24 August 2008

15 Sen je?

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Seminggu lalu Pak Lah sibuk benar mencanangkan akan menurunkan harga minyak. Malahan dari awal bulan Ogos lagi Pak Lah mengatakan kerajaan akan mengumumkan penurunan harga minyak. Dalam ucapan janji-janji manisnya, Pak Lah membayangkan akhir bulan ini pengumuman tersebut akan dibuat. Tup-tup, kelmarin Pak Lah mengumumkan penurunan harga minyak sebanyak 15 sen.

15 sen je? Itulah hakikat yang rakyat Malaysia perlu terima. Aku kira terlalu kecil. Ramai lagi yang mengatakan penurunan itu terlalu kecil. Tidak terasa apa-apapun dengan penurunan sebanyak itu. Aku merasakan 20 sen adalah satu jumlah yang munasabah untuk diturunkan.

Najib marah dengan mereka yang mempertikai 15 sen yang dikurangkan. Kata Najib, jika dicampur dengan rebat tunai yang diterima rakyat, sudah banyak yang diberikan kerajaan. Akhirnya sistem rebat tunai mahu difikirkan dengan cara yang lain. Apa tidaknya rebat tunai yang diterima rakyat digunakan untuk membeli keperluan lain dan bukannya minyak. Pada aku, rebat tunai semacam wang ehsan sahaja.

Pak Lah dengan penuh wibawa meminta peniaga menurunkan harga barang keperluan. Dalam satu sidang akhbar semalam, Pak Lah dipetik sebagai berkata:

"Peniaga mestilah juga memberi manfaat kepada pengguna, turunkan sama. Janganlah cepat nak bagi naik, nak bagi turun pun cepat-cepatlah juga... bantu membantulah."

Turun 15 sen, nak suruh peniaga turunkan segera harga barang? Sewaktu kenaikan harga minyak baru-baru ini pun, kebanyakan peniaga mengambil masa kira-kira dua tiga minggu juga untuk membuat penyelarasan harga baru. Itupun aku kira ramai yang teragak-agak meletakkan harga. Aku juga percaya ada yang terpaksa mengurangkan untung dalam memastikan pelanggan tidak terlalu terbeban.

Mustahil sebenarnya mahu melihat harga barang turun. Penurunan 15 sen tidak langsung terasa kepada rakyat yang sudah amat terbeban dengan kenaikan baru-baru ini. Bukan tidak bersyukur, tetapi selepas 'dirompak' 78 sen, nilai 15 sen teramat tiada makna.

Mungkin 15 sen adalah 'gula-gula' untuk pengundi di Permatang Pauh. Namun, nilai itu untuk menyelamatkan sebuah kerajaan aku rasa sungguh tidak munasabah. Pak Lah agaknya menjangkakan harga gula-gula masih seperti 20 tahun dahulu. Dahulu mungkin 5 sen mampu membeli pelbagai barangan. Itu 30-40 tahun yang lalu. Kini 50 sen pun sudah tidak dipandang budak-budak!

Undurlah Pak Lah!!

20 August 2008

Datuk Wira Ayob Yaakob: Dari Batu Burok ke Permatang Pauh

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Mungkin ramai yang tidak menyedari Datuk Wira Ayob Yaakob yang kini bertugas sebagai Ketua Polis Pulau Pinang adalah bekas Ketua Polis Terengganu. Ayob dilantik sejak 16 Jun 2008 yang lalu selepas tempatnya di Terengganu diganti oleh Pemangku Senior Asisten Komisioner I (SAC I) Sidin Abdul Karim, Ketua Jabatan Pengurusan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.

Aku sebenarnya sudah lama berniat menulis sesuatu berkaitan pertukaran Ayob ke Pulau Pinang. Namun, kerana tidak mahu selamanya bersangka buruk dengan pihak polis, maka aku diamkan sahaja dengan beranggapan ianya adalah pertukaran biasa.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar ketika hadir di sesi taklimat mengenai persiapan anggota polis pada pilihan raya kecil Permatang Pauh di Ibu Pejabat Polis Seberang Perai Tengah. Turut hadir Ketua Polis Negeri Datuk Wira Ayob Yaakob (kanan).

Ingatkah kalian kepada Peristiwa Berdarah Batu Burok 8 September 2007 (PBB 809) yang lalu? Aku percaya peristiwa itu masih segar dan masih merah dalam ingatan ramai pihak. Insiden di mana dua orang penyokong PAS telah ditembak menggunakan peluru hidup oleh anggota polis Terengganu. Insiden yang dipercayai dirancang akhirnya terbongkar apabila pelbagai kekeliruan timbul dan didedahkan. Rakyat tidak akan lupa riben merah di bahu SB,

Datuk Wira Ayob Yaakob, merupakan Ketua Polis Terengganu ketika berlakunya kejadian PBB 809. Datuk Wira Ayob (Ketika itu Datuk) telah dilihat memberi kerjasama yang cukup baik kepada Kerajaan UMNO Terengganu pimpinan Idris Jusoh dalam menjawab dan memberi penjelasan berkenaan isu PBB 809 tersebut. Seolah-olah satu kumpulan dengan UMNO, Ketua Polis Terengganu terbabit menawarkan diri untuk dipanggil memberikan penerangan dan taklimat berkaitan isu tersebut.

Datuk Wira Ayob (ketika ini Datuk) sedang memberikan penerangan berkenaan PBB 809 di Wisma Darul Iman tahun lalu.

Kerana politik juga, beberapa foto individu tertentu yang diambil gambar mereka pada malam kejadian PBB 809 dimuatkan di dalam akhbar dan diminta menyerah diri kepada pihak berkuasa. Sehingga hari ini kes PBB 809 masih dalam perbicaraan.

Datuk Wira Ayob Yaakob kini bukan lagi berkhidmat di Terengganu. Dosanya membiarkan si polis yang melepaskan peluru hidup bebas masih dikenang penduduk Terengganu. Suwandi dan Azman yang menjadi mangsa sudah tentu masih kekal parut di tubuh mereka, namun luka di hati mereka sudah tentu masih merah berdarah.

Hari ini, kepanasan Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh melonjak kembali nama bekas Ketua Polis Terengganu itu. Apatah lagi bilamana beberapa keping gambar individu didedahkan kepada media untuk disiarkan yang kononnya membantu siasatan insiden yang telah mencederakan wartawan.

Harakahdaily melaporkan insiden memukul jurugambar berkenaan sebagai satu kejadian aneh. Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengatakan tiada sebab mengapa dua jurugambar itu perlu dipukul oleh ahli KeADILan kerana tidak ada sebarang kejadian yang menimbulkan kemarahan penyokong Pakatan Rakyat.

Peliknya, dalam banyak-banyak kes, insiden politik memihak kepada UMNO dan BN sahaja yang sibuk dijaga oleh Ketua Polis yang seorang ini. Bukan mahu bersangka buruk, tetapi tindakan dan keputusan yang diambil dilihat begitu. Apakah pihak polis terus digunakan untuk merancang rusuhan sebagaimana PBB 809?

Jika tindakan pro-aktif sebegini dilakukan, (mendedah muka pesalah di akhbar) mungkin wajah-wajah penderhaka kepada Tuanku Sultan yang digelar NATANG oleh pihak-pihak terbabit juga patut disiarkan di dalam akhbar dan media. Kes ini juga terus senyap. Apakah berlaku pendakwaan atau tidak, rakyat langsung tidak mengetahuinya.

Polis melenting jika dikatakan anjing UMNO dan BN oleh sesetengah pihak. Merasa terhina dengan logo berkepala anjing, 'bertuhankan' C4 dan RM semata. Namun, realiti dan kebenaran yang ada sukar menafikan begitulah polis diperKUDAkan ( jangan baca ANJING. Polis marah).

Bukan tidak percaya kepada pihak polis yang ada. Tapi ternyata tindakan dan keputusan yang diambil selalunya tidak boleh dipercayai dan diyakini. Bukang sangsi dengan kebijaksanaan polis, tetapi selalunya kesangsian yang diperlihatkan oleh pihak polis dalam menangani kes-kes terutamanya melibatkan politik.

Apakah pertukaran Datuk Wira Ayob ke Pulau Pinang tersimpan suatu agenda yang besar? Mungkin Datuk Wira Ayob Yaakob ada jawapannya!

Wallahua'lam.

17 August 2008

Adakah Saiful Akan Dimakan Sumpah?

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

"Alang-alang Mandi, biar basah.
Alang-alang menyeluk perkasam, biar sampai ke pangkal lengan."

Itu pepatah Melayu. Pepatah ini biasanya digunakan bagi menggambarkan sikap bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu perkara. Pepatah ini juga biasa digunakan dalam Filem Melayu. Filem apa? Cubalah cari sendiri.

(Ketika menulis artikel ini, air liur aku sedikit kecur. Kenapa tidaknya bilamana membayangkan ikan perkasam (mana yang betul PERkasam atau PEkasam?) yang sungguh semerbak baunya itu.)

Aku sudah menjangka yang Si Saiful itu akan melakukan sumpah yang disebut Mubahalah itu. Ini berikutan kes yang dilalui ini merupakan suatu ulangan kepada apa yang telah berlaku pada 1999. Jadi, untuk memastikan impak yang lebih besar dan memastikan apa yang dipertuduhkan itu dilihat benar, maka sumpah seumpama itu terpaksa dilakukan.

Saiful tidak akan dipercayai jika sekadar membuat laporan polis dia diliwat. Kenyataan media, serangan di blog dan frensternya juga tidak dapat menimbulkan keyakinan orang ramai kepadanya. Jadi, dia terpaksa membuat sesuatu supaya dia dilihat benar-benar telah dinodai dan tidak merelakan dirinya dinodai. Caranya adalah dengan bersumpah.

Aku tertarik dengan kenyataan beberapa pimpinan tertinggi PAS dalam kes bersumpah ini. Pertamanya Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Presiden PAS.

"Ianya satu kebodohan terhadap hukum Islam lebih-lebih lagi yang memakai jenama agama (Islam), Perkara ini mesti difahami dengan jelas. Bagi kita orang Islam kita ada li'an. Li'an adalah sumpah yang melibatkan suami isteri. Tetapi Anwar dan Mohd Saiful bukan suami isteri. Cara sumpah guna al-Quran juga seperti amalan Kristian yang gunakan Bible untuk bersumpah,"

Saiful telah melakukan sumpah dihadapan bapanya, Azlan Mohd Lazim dan Imam Masjid Wilayah Persekutuan.

Kenyataan TG Presiden Pas itu turut disokong oleh Mursyidul Am Pas, Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang turut menyatakan cara sumpah yang dilakukan salah dan mengikut cara Kristian. Mengikut TG Mursyidul Am Pas, Islam hanya menerima sumpah dengan menyebut Wallahi, Wabillahi, Watallahi.

Sementara Timbalan Mursyidul Am Pas, Dr Harun Din pula menyelar Saiful yang bersumpah melibatkan keturunan dan meminta Saiful menarik balik sumpah tersebut. Dalam satu sidang media, Ustaz Haron Din dipetik berkata;

"Mengapa nak libatkan keturunannya dilaknat sampai bila-bila? Keturunan tak bersalah. Diri sendiri buat salah, perlu ditanggung sendiri."

Mungkin nasihat Dr Harun Din itu berguna bagi tunang Saiful berfikir untuk meneruskan perkahwinan mereka. Keturunan yang disebut juga tidak diketahui sehingga ke berapa keturunan? Sumpah Mahsuri hanya tujuh keturunan. Ada juga had masanya. Sumpah Saiful mungkin sehingga kiamat.

Sebagai seorang awam, aku tidaklah tahu dengan lanjut perihal sumpah menyumpah ini. Namun, pada aku pandangan ulamak perlu diambil bagi memastikan ianya berjalan mengikut saluran dan cara yang betul.

Apapun, sumpah Saiful membuktikan dia nekad untuk mengakui dirinya diliwat. Sumpah Saiful juga meletakkan dirinya sudah 'menang' bagi pihak yang menyokongnya. Namun, dia juga dilihat sudah mempunyai suatu agenda bilamana bersumpah sehari sebelum penamaan calon dilakukan.

Sumpah Saiful juga akan dinilai melalui beberapa perkara. Antaranya kemenangan Anwar Ibrahim dalam Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh. Jika Anwar kalah, sumpah Saiful dilihat telah 'berhasil'. Bagaimana jika Anwar menang? 16 September pula akan ditunggu.

Wallahua'lam.