20 May 2010

Terengganu Catat Jumlah Penagih Paling Tinggi Di Malaysia

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Terengganu Catat Jumlah Penagih Paling Tinggi Di Malaysia - Bernama

KUALA TERENGGANU, 19 Mei (Bernama)-- Terengganu mencatatkan jumlah penagih dadah paling ramai di negara ini dengan 10,000 tangkapan dicatatkan sepanjang tahun lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri Supt Roslan Abd Wahid berkata berdasarkan jumlah penduduk seramai 1.2 juta di negeri ini, nisbah penagih dadah ialah seorang daripada 100 penduduk.

"Hasil mesyuarat Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik seluruh negara yang diadakan di Bukit Aman awal bulan ini mendapati Terengganu mencatatkan angka penagih dadah yang tertinggi di Malaysia dengan 10,000 tangkapan dilakukan tahun lepas diikuti dengan Kuala Lumpur dan Pulau Pinang

"Angka itu menunjukkan masalah penagihan dadah di negeri ini dalam keadaan yang amat serius dan memerlukan perhatian pihak berkuasa dan rakyat di negeri ini," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini Rabu.

Katanya, rekod tangkapan pelbagai kesalahan dadah di negeri ini bagi tahun ini dari Januari hingga semalam ialah 3,791 orang, meningkat sebanyak 31 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Malah, katanya jumlah tangkapan pengedar dan pembekal dadah pada tahun ini juga meningkat 11 peratus dengan 97 tangkapan berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Beliau berkata analisis dan kajian yang dijalankan oleh polis mendapati, kebanyakan penagih dadah di negeri ini terdiri daripada mereka yang berumur lewat 20-an hingga 40-an dan mereka merupakan penagih tegar yang sukar untuk dipulihkan walaupun pelbagai program pemulihan telah dilakukan.

"Mereka kini menjadikan kawasan di luar bandar terutama di kawasan Felda sebagai pusat baru... termasuk di kawasan segitiga emas iaitu Kuala Terengganu, Marang dan Hulu Terengganu."

Beliau berkata akhir-akhir ini polis mendapati semakin banyak heroin bermutu tinggi masuk ke negeri ini dari negara jiran berikutan permintaan yang tinggi.

"Kebanyakan heroin yang masuk ke negeri ini adalah heroin no 4 yang lebih bermutu tinggi berbanding negeri pantai barat yang lebih banyak menggunakan dadah sintetik dan heroin no 3 " katanya

Roslan berkata polis akan menggiatkan operasi bagi membanteras kegiatan pengedaran dan penagihan dadah daripada berleluasa di negeri ini.



-- BERNAMA

No comments: