TV3 malam tadi menyiarkan satu berita berkaitan satu latihan bersama anggota PDRM dan ATM. Latihan itu dinamakan sebagai Eksesais Bersatu Aman. Latihan bersama yang bertujuan menjaga keamanan dan keselamatan itu aku kira satu tindakan yang terpuji dan persiapan yang baik.
Namun, apa yang menjadi kebimbangan dan kerisauan adalah kerjasama yang dilakukan itu adalah bagi menggagalkan sebarang himpunan aman yang dibenarkan oleh Perlembagaan Persekutuan. Himpunan Protes 6 Julai ini misalnya yang dibentuk dan disusun dengan aman dibimbangi diganggu dan menjadikan ianya huru-hara.

Ini adalah kebimbangan dan prasangka yang ada asasnya. Tragedi berdarah 8 September di Batu Burok tidak mudah dilupakan. Bagaimana polis berpakaian biasa membuat provokasi dan seterusnya menyuntik kemarahan ramai terhadap pihak polis itu sendiri.
Ketika suasana dilihat tidak terkawal, maka unit-unit yang dilatih bersama ini akan menjalankan tugas mengawal keselamatan dengan menyembur air berasid, memukul dan menerajang orang ramai. Ketika itu tidak ada lelaki dan wanita, semuanya akan dilanyak dan diperlaku begitu sahaja.

Mungkin ada yang mengatakan apa perlu demonstrasi? Kenapa tidak berbincang dan toleransi? Jawapan aku untuk soalan kali ini mudah sahaja. Tidakkah rakyat Malaysia tahu bahawa usul kenaikan harga minyak diluluskan dalam Parlimen setelah 2 minggu harga dinaikkan? Usul itu juga disokong sepenuhnya oleh wakil rakyat dari komponen BN!

Rakyat tiada pilihan. Terima kenaikan dengan hati terbuka, atau menderita sengsara. Melontarkan bantahan terbuka juga satu cara. Mencemuh pihak yang mahu berdemo bukan satu tindakan bijak. Apakah pihak yang mencemuh tidak suka jika harga minyak diturunkan?
No comments:
Post a Comment