17 October 2005

Cerita: Pokok Epal

Suatu masa dahulu, terdapat sebatang pokok epal yang amat besar. Seoarang kanak-kanak lelaki begitu gemar bermain-main di sekitar pokok epal ini setiap hari. Dia memanjat pokok tersebut, memetik serta memakan epal sepuas-puas hatiinya, dan adakalanya dia berehat lalu terlelap di perdu pokok epal tersebut. Budak lelaki tersebut begitu menyayangi tempat permainannya. Pokok epal itu juga amat menyukai budak lelaki tersebut.



Masa berlalu.....
Budak lelaki itu sudah besar dan menjadi seorang remaja. Dia tidak lagi menghabiskan masanya setiap hari bermain di sekitar pokok epal tersebut. Namun begitu, suatu hari dia datang kepada pokok epal tersebut dengan wajah yang sedih. "Marilah bermain-main di sekitarku," ajak pokok epal tersbut. "Aku bukan lagi kanak-kanak, aku tidak lagi gemar bermain dengan engkau" jawab budak remaja itu. "Aku mahukan permainan. Aku perlukan wang untuk membelinya," tambah budak remaja itu dengan nada yang sedih.



Lalu pokok epal itu berkata, "kalau begitu, petiklah epal-epal yang ada padaku. Jualkannya untuk mendapatkan wang. Dengan itu, kau dapat membeli permainan yang kau inginkan. Budak remaja itu dengan gembiranya memetik semua epal pada pokok itu dan prgi dari situ. Dia tidak kembali lagi selepas itu. Pokok epal itu merasa sedih.



Masa berlalu.....
Suatu hari, budak remaja itu kembali. Dia semakin dewasa. Pokok epal itu merasa gembira. "Marilah bermain-main di sekitarku.", ajak pokok epal itu. "Aku sudah tiada masa untuk bermain. Aku terpaksa bekerja untuk mendapatkan wang. Aku ingin membina rumah sebagai tempat perlindungan untuk keluargaku. Bolehkah kau menolongku?" tanya budak itu. "Maafkan aku. Aku tidak ada rumah. Tetapi kau boleh memotong dahan-dahanku yang besar ini dan kau buatlah rumah daripadanya." Pokok epal itu memberikan cadangan. Lalu budak yang semakin dewasa itu memotong kesemua dahan pokok epal itu dan pergi dengan gembiranya. Pokok epal itu pun tumpang gembira sekali tetapi kemudiannya berasa sedih kerana budak itu tidak kembali lagi.



Masa berlalu......
Suatu hari yang panas, seorang lelaki datang menemui pokok epal itu. Dia sebenarnya adalah budak lelaki yang pernah bermain-main dengan pokok epal itu. Dia telah matang dan dewasa. "Marilah bermain-main di sekitarku.", ajak pokok epal itu. "Maafkan aku, tetapi aku bukan budak lelaki yang suka bermain-main disekitarmu. Aku sudah dewasa. Aku mempunyai cita-cita untuk belayar. Malangnya, aku tidak mempunyai bot. Bolehkah kau menolongku?" tanya lelaki itu. "Aku tidak mempunyai bot untuk diberikan kepada kau. Tetapi kau boleh memotong batang pokok ini untuk dijadikan bot. Kau akan dapat belayar dengan gembira" cadang pokok epal itu. Lelaki itu berasa amat gembira sekali dan menebang batang pokok epal itu. Dia kemudiannya pergi dari situ dan tidak kembali lagi selepas itu.



Namun begitu, pada suatu hari, seorang lelaki yang telah dimamah usia, datang menemui pokok epal itu. Dia adalah budak lelaki yang pernah bermain-main di sekitar pokok epal itu. "Maafkan aku, aku tidak ada apa-apa lagi yang hendak diberikan kepada engkau. Aku telah memberi buahku untuk dijual, dahan untuk dibuatkan rumah, batangku untuk dibuatkan bot. Aku hanya tinggal tunggul dengan akar yang hampir mati..." kata pokok epal itu dengan nada pilu. "Aku tidak mahu epalmu kerana aku sudah tiada gigi, aku tidak mahu dahanmu kerana aku sudah tua untuk memotongnya, aku tidak mahu batang pokokmu kerana aku tidak berupaya untuk belayar lagi. Aku merasa penat dan ingin berehat." Jawab lelaki tua itu. "Jika begitu, berehatlah di perduku, cadang pokok epal itu. Lalu lelaki tua itupun duduk berehat di perdu pokok epal itu dan berehat. Mereka berdua menangis kegembiraan.



Sebenarnya pokok epal yang dimaksudkan tersebut ialah ibu bapa kita. Tatkala kita masih kanak-kanak, kita sering bermain bersamanya. Apabila kita meningkat remaja, kita perlukan bantuan mereka untuk meneruskan kehidupan. Kita tinggalkan mereka dan hanya kembali meminta pertolongan apabila kita berada dalam kesusahan. Namun mereka tetap membantu kita. Mereka tetap membantu kita dan melakukan apa saja asalkan kita bahagia dan gembira dalam kehidupan. Anda mungkin terfikir bahawa lelaki itu bersikap kejam. Tetapi fikirkanlah, itulah hakikatnya bagaimana kebanyakan anak-anak masa kini melayan ibu bapa mereka. Hargailah jasa ibu bapa kepada kita.

No comments: