07 October 2008

Adakalanya diam itu lebih baik

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

"Apa komen Cikgu Pa?" Itu yang aku lontarkan kepada seorang sahabat yang berniaga akhbar Harakah bilamana mendapat tahu TG Nik Aziz memberi pandangan balas terhadap pandangan peribadinya tentang 16 September.

Melalui sahabat yang lain, aku dimaklumkan Cikgu Pa mengambil keputusan berdiam diri sehingga mereka berdua bertemu mata.

"Macam anak dengan ayah je. Sekarang dah tiada apa-apa" Kata Cikgu Pa menjawab perselisihan yang berlaku.

Semuanya telah berlalu. 16 September berlalu, permasalahan antara kedua-dua pimpinan terbabit juga sudah berlalu. Cikgu Pa betul, TG Nik Aziz juga tidak silap dalam menegur.
Nota: Kenapa aku lama tak update blog dengan isu-isu semasa? Adakalanya diam itu lebih baik. ;)

Abdul Hadi Awang: Majoriti Melayu Muslim Asas Kerajaan Pakatan Rakyat (Siri I)

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Oleh: Aqil Fithri

Islam ada pengalaman yang menarik dan elok jika dihimbau kembali dalam menghalusi kerumitan politik dewasa ini. Bagi Ibn Taimiyyah, adalah lebih penting pemimpin muslim yang zalim berbanding pemimpin kafir yang adil, asalkan shariat Islam maseh ditegakkan.

Jalur Ibn Taimiyyah ini sebenarnya ditentang oleh Khawajah Nasir ad-Din at-Thusi. Kini, dalam konteks penekanan PAS pada majoriti Melayu Muslim, wacana—antara nilai dan shariat—ini menarik untuk diangkat. Apatah lagi, al-Qur’aan menerusi Surah al-Maaidah, ayat 8 turut membicarakan kedekatan taqwa dengan keadilan. Wawancara Ummahonline.com bersama Tuan Guru Dato’ Seri Abdul Hadi Awang, Presiden PAS ini membuka medan perbahasan panjang.

Khalayak melihat Pakatan Rakyat (PR) memberi harapan yang lebih baik berbanding Barisan Nasional (BN). PR menjanjikan penghapusan akta-akta yang menindas, pendidikan percuma, kebajikan yang meluas, dan sebagainya. Jadi, apakah ada lagi kebimbangan lain untuk kita memilih PR?

Saya rasa, bagi PAS tidak ada kebimbangan, kerana PAS konsisten dengan Islam yang diperjuangkan… di mana dalam penyertaan kita bersama PR, tidak disentuh idealogi perjuangan parti masing-masing. Dalam hal ini, PAS berhak untuk menyatakan Islam sebagai satu syarat yang penting kepada sebarang perubahan. Kepada PAS, sebarang perubahan dalam negara tanpa meletakkan Islam, tidak akan berjaya. Ini kerana, kita telah mengalami percubaan idealogi-idealogi yang lain daripada Islam—bukan sahaja di Malaysia, tapi di seluruh dunia—iaitu kegagalan komunisme, sosialisme, kapitalisme, dan liberalisme yang sedang kita hadapi ini. Ini kegagalan orang yang bukan Islam. Oleh kerana itu, sudah tiba masanya kita mengemukakan Islam sebagai penyelesaian. Dengan sebab itu PAS meletakkan syarat Islam adalah syarat penting dalam sebarang penyertaannya di dalam PR.

Sebelum ini, Tuan Guru ada menyebut jumlah ahli parlimen PR mestilah majoriti Melayu Muslim. Persoalannya, mengapa Melayu?

Melayu ini kerana majoriti orang Islam (di Malaysia) adalah Melayu. Bahkan kalau kita baca Muqadimmah Ibn Khaldun, ada hadith yang menyebut, “pemimpin dari Quraisy.” Ini kerana, yang menjadi teras kepada penguasaan Islam pada masa itu adalah kabilah Quraisy. Maka, syarat kepimpinan mestilah Quraisy.

Di Malaysia, oleh kerana majoriti orang Islam adalah Melayu, dengan sebab itu kepimpinan Melayu Islam adalah lebih utama… kecuali kalau berubah, orang Cina masuk Islam ramai-ramai, dan mereka menjadi majoriti. Maka, sudah tentu mereka yang perlu menjadi teras. Itu pernah berlaku dalam sejarah Islam. Bila orang Turki yang menganut Islam, mereka merupakan orang Islam yang terkuat, maka mereka menjadi kepimpinan.

Di Malaysia, hakikat ini diterima oleh semua parti-parti politik, bahawa teras ialah Melayu Islam. Cumanya, kita mahu Islam dijadikan prinsip kepada penyelesaian masalah-masalah dalam negara. Ini satu perkara yang sering ditinggalkan.

Bukankah sudah memadai majoriti Muslim sahaja?

Muslim sahaja tidak cukup. Muslim lain, Islam lain. Muslim itu ada orang yang memelok Islam tapi tidak beramal dengan Islam. Kita mahu, Muslim yang beramal dengan Islam. Saya yakin, jika Islam dijadikan model… sepertimana yang kita pernah laksanakan di Kelantan, juga di Terengganu, dan seperti yang kita sedang laksanakan di Kedah dan di Perak. Dan, ini tidak menjadi masalah kepada orang bukan Islam. Apa salahnya bila Islam itu kita kemukakan dalam perubahan peringkat pusat? Bahkan peringkat pusat lebih wajar, sebab kuasanya lebih berbanding dari peringkat negeri lagi.

Tapi bukankah kedudukan Islam dan juga Melayu telah terjamin dalam perlembangaan, termasuklah menerusi institusi Yang Dipertuan Agong sendiri?

Yang penting kita menafsirkan perlembagaan menurut al-Qur’aan dan Hadith. Bukan menafsirkan mengikut barat. Islam dalam perlembagaan hari ini ialah Islam sebagai religion. Islam bukan religion, tapi ad-Deen, yang mempunyai makna yang lebih luas. Sebab itu, kita pakai perlembagaan itu juga, tapi Islam itu sebagai ad-Deen, bukan sebagai religion.

Tapi, bukankah PAS boleh menarik diri dari PR sekiranya berlaku masalah setelah pembentukan kerajaan PR nanti. Malah, dengan sendiri PR akan turut terbubar pada waktu tersebut?

Sehingga hari ini, kita maseh dalam PR. Kita tidak bersedia untuk keluar lagi. Kita maseh peringkat awal, peringkat perbincangan, peringkat mahu membuat perubahan, dan belum lagi peringkat memerintah negara. Saya yakin dan percaya, kerana hari ini parti-parti pakatan rakyat telah menerima majoriti Muslim. Ini mereka telah terima. Saya difahamkan DAP pun terima, Keadilan pun terima, iaitu mesti majoriti mesti Islam.

Bukan saya membuat kenyataan begitu sahaja, bahkan saya mendapat maklum balas, bahawa kalangan bukan-Islam menerima majoriti Islam dalam kerajaan. Ini perkara yang sangat penting.

Tapi, apakah PAS menaruh kecurigaan terhadap ahli parlimen bukan-Islam yang ingin menyeberang ke dalam Pakatan Rakyat?

Kita menghukum apa yang zahir. Itu yang diajar oleh Islam. Hakikat yang tersembunyi, itu di sisi Tuhan. Kerana, Tuhan mengajar kita dalam al-Qur’aan, sekiranya mereka mahu menipu kamu, maka Allah akan menjadi penolong kamu dalam menghadapi mereka.

Jadi, yang penting keikhlasan kita untuk melaksanakan Islam.

Sekiranya PAS mengancam untuk keluar dari Pakatan Rakyat, itu boleh membangkitkan soal penjanjian PAS dengan Pakatan Rakyat. Tidakkah tindakan tersebut menunjukkan PAS ingkar pada penjanjian?

Tidak ada ancaman. Ancaman tidak ada. Bahkan ini dibincang secara terbuka di dalam parti-parti pakatan rakyat.

Memang isu berkenaan majoriti Melayu Muslim telah lama timbul. Tapi, berkenaan berita tentang penarikan diri PAS dari Pakatan Rakyat hanya baru saja timbul?

Itu permainan media. Media yang menimbulkan isu PAS hendak keluar. Saya tegaskan, kita maseh lagi dalam Pakatan Rakyat.

Tapi, tidakkah PAS memerlukan muktamar khas untuk memutuskan sebarang kedudukannya dalam Pakatan Rakyat?

Saya tidak mahu menjawab soalan yang berupa andaian. Andaian bila tiba masa baru kita membuat keputusan. Muktamar khas bukan mesti. Kalau tidak perlu, cukup dengan keputusan PAS Pusat sahaja.

Tapi, kalau melihat kaitan isu majoriti Melayu Muslim ini, Nabi turut bertolak ansur dalam Penjanjian Hudaibiyyah. Tidak begitu?

Tapi, Nabi tidak bertolak ansur dalam perkara prinsip. Nabi hanya bertolak ansur dalam perkara cabang sahaja. Nabi tidak terima supaya pemerintahan Islam dibubarkan. Apa yang diterima ialah, Penjajian Hudaibiyyah itu memberi makna bahawa pemimpin mustrikin makkah mengiktiraf Madinah adalah sebuah kerajaan Islam. Ini yang penting dalam Penjanjian Hudaibiyyah.

Adapun syarat-syarat penjanjian tersebut, itu adalah cabang. Prinsip Penjajian Hudaibiyyah itu adalah mengiktiraf kerajaan yang dibentuk oleh Nabi di Madinah. Itu kita kena sedar.

Tapi dalam soal BN dan PR ini, bukankah PAS juga boleh memakai kaedah “memilih kemudaratan yang lebih kecil”?

Pakatan Rakyat belum lagi teruji pemerintahannya di peringkat pusat. Apa yang ada cuma di peringkat negeri. Dengan sebab itu, penekanan dibuat di peringkat negeri seperti yang ada sekarang… di mana kita telah diberi kepercayaan untuk memimpin dua buah negeri, di samping Kelantan. Ini satu kepercayaan yang sangat besar. Bahkan, kita turut menerima hakikat DAP memerintah Pulau Pinang, dan keadilan memimpin Selangor. Dan kita menyertai kerajaan tersebut. Jadi, sebab itu tidak timbul lagi soal keluar dari Pakatan Rakyat, sebab kita maseh bersama dalam kerajaan (negeri).

Jika PR—peringkat pusat—belum lagi teruji, mengapa PAS meletakkan batas-batas lebih awal sebelum diuji?

Itu sebelum mendirikan kerajaan, maka kita mestilah ada asas dahulu. Majoriti Melayu Muslim adalah asas kepada kerajaan ini. Asas itu kena ada. Macam kita nak mendirikan rumah juga. Tapak rumah tersebut mestilah diuji terlebih dahulu. Rumah tidak ada lagi… dan ujian rumah setelah membinanya adalah ujian kedua. Sebaleknya, ujian pertama ialah tapak rumah tersebut.

Tapi, kita melihat ada perbezaan sikap dengan DAP di Perak. Di Perak, DAP sedia memilih Menteri Besar dari kalangan PAS, meskipun mereka mempunyai suara majoriti dalam DUN. Ini menunjukkan satu tolak-ansur DAP dalam semangat Pakatan Rakyat. Jadi, adakah ini juga menunjukkan bahawa DAP sebenarnya lebih berjiwa besar berbanding PAS?

Alhamdulillah, kita lebih lama dari DAP. Kita ditubuhkan pada 1951, sebaleknya DAP dalam tahun 1960-an. Kita lebih awal. Dan kita menghadapi tribulasi lebih hebat dari DAP lagi. Kita berpengalaman memerintah kerajaan negeri. Kita berpengalaman menjadi kerajaan campuran bersama dengan BN. Kita berpengalaman menjadi pembangkang. Kita berpengalaman semua. DAP baru saja berpengalaman memerintah kerajaan Pulau Pinang. Kita lebih lama. Dan kita berjiwa besar kerana ketahanan kita pada prinsip kita. Dengan sebab itu, prinsip Islam yang kita perjuangkan ini adalah sangat penting. Inilah teras kepada jiwa besar kita.

Setelah kejatuhan Baghdad, banyak ilmuan Islam yang muncul. Ini termasuklah Ibn Athaillah dalam bidang tasawwuf, Ibn Katsir dalam bidang tafsir, Nasir al-Din al-Thusi dalam bidang falsafah, dan Ibn Taimiyyah dalam bidang aqidah, dan ramai yang lain lagi. Salah satu rumusan Ibn Taimiyyah dalam Minhajul Sunnah ialah “pemimpin muslim yang zalim lebih baik dari pemimpin kafir yang adil.” Jadi, apa pandangan Tuan Guru tentang pandangan Ibn Taimiyyah ini?

Itu pandangan yang betul, dalam soal kepimpinan negara. Sebab itu saya rasakan bahawa majoriti Muslim itu penting. Kerana kepada kita, idealogi negara iaitu Islam adalah sangat penting. Bila kita memilih seorang Islam, idealoginya Islam, walaupun dia seorang yang zalim, tapi dia tetap melaksanakan shariat Islam. Jadi, ini yang kita mahu. Itu yang dimaksudkan oleh Ibn Taimiyyah. Apa yang berlaku hari ini tidak wujud. Yang berlaku hari ini ialah orang Islam yang tolak idealogi islam. Ini masalah yang kita sedang hadapi. Itu lain dengan maksud dari kitab Ibn Taimiyyah. Ibn Taimiyyah itu zaman Tartar menguasai Baghdad, di mana pada masa itu ada kerajaan-kerajaan Islam. Dan kerajaan Islam itu maseh melaksanakan shariat Islam. Walaupun rajanya minum arak, dan berfoya-foya, tapi rajanya tidak berani untuk membatalkan shariat Islam. Apa yang berlaku hari ini, pemimpinnya orang Islam, tapi menolak terus pemerintahan cara Islam. Ini masalah yang kita hadapi.

Jadi, ini bercanggah dengan pandangan Nasir al-Din al-Thusi yang meletakkan “pemimpin kafir yang adil lebih baik dari pemimpin muslim yang zalim?”

Itu pada zamannya. Zaman pemimpin Islam yang memerintah dengan Islam. Peribadi pemimpin itu sendiri memang buruk. Kita hari ini, ada pemimpin yang sembahyang, tapi tak laksanakan shariat. Jadi, kita perlu letakkan asas pemerintahan Islam sangat penting. Kita tidak ada pemeritahan Islam hari ini. Itu masalah kita.

Artikel asal dari Ummahonline.

06 October 2008

Bongkar: Fakta Sebenar Disebalik Insiden Anggota Polis Lepaskan 58 Das Tembakan !!

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Petikan dari Pahangdaily.

Satu syawal yang lalu, seluruh negara dikejutkan dengan berita "Anggota Polis Lepaskan 58 Das Tembakan". Sesungguhnya berita ini amat menggemparkan sekali, tambahan pula ia dilakukan oleh seorang anggota polis. Apakah yang berlaku sebenarnya?. Mengapakah anggota polis terbabit melepaskan tembakan membabi buta begitu?. Mengapakah seorang anggota polis yang diluar tugas boleh membawa begitu banyak peluru sedangkan beliau sepatutnya menyerahkan semua senjatanya ketika diluar tugas rasmi. Inilah yang menjadi persoalan ramai pihak. Kami juga tertanya-tanya dengan laporan yang disiarkan oleh media arus perdana tentang perkara ini. Sesungguhnya, insiden yang berlaku ini adalah "mirip" kepada kejadian yang membabitkan Prebet Adam suatu ketika dulu. Beliau juga dikatakan telah membuat tembakan rambang dan membahayakan orang awam. Tiada apa yang berlaku, namun disebalik kisah tersebut tersembunyi sebab musabab kenapa Prebet Adam melakukannya. Ini kerana tekanan perasaan dan jiwa akibat "adiknya" yang dikatakan meninggal dunia gara-gara penangan "orang ternama". Apakah kes terbaru ini juga sama seperti yang pernah berlaku itu. Segala persoalan masih bermain difikiran ramai orang terutamanya para penduduk dan orang awam yang berada di tempat kejadian tempohari.

Pihak kami telah menjalankan risikan "kisah sebenar" kejadian ini dari kacamata orang awam. Ini kerana kami tidak yakin dengan laporan media arus perdana. Tambahan pula kebanyakan wartawan yang terbabit hanya mendapatkan maklumat dan gambaran kejadian ini daripada pihak polis semata-mata. Ini maknanya ada fakta-fakta kes yang tidak diketahui umum. Justeru itu pihak kami mengambil peluang ini untuk membuat "pembongkaran" tentang isu ini. Bukanlah tujuan kami untuk menyalahkan mana-mana pihak. Namun kejadian ini sebenarnya harus dipandang dari sudut keselamatan orang awam. Apa yang dapat dilihat sekarang ialah pihak berkenaan lebih menyalahkan anggota polis terbabit dan mengaitkan beliau dengan "masalah mental" dan "ajaran sesat". Lantaran itu, anggota polis terbabit telah dirujuk ke Jabatan Psikiatri Hospital Lipis dan khabarnya kini dibawa pula ke Hospital Bahagia Tangjung Rambutan untuk menjalani ujian mental. Sebaliknya "mental orang awam" yang tertanggu dengan kes ini tidak didedahkan kepada khalayak ramai. Malahan pihak media juga seolah-olah dihalang untuk melaporkan berita sebenar tentang kejadian ini. Justeru itu kami lampirkan gambarfoto yang sempat diambil pada pagi kejadian oleh krew Pahang Daily yang sempat berada dilokasi kejadian. Kebanyakan media melaporkan fakta yang salah dalam insiden ini. Lihat laporan ini:

Anggota Polis Lepaskan 58 Das Tembakan Akibat Tekanann

KUANTAN, 1 Okt (Bernama) -- Seorang anggota polis melepaskan 58 das tembakan ke udara dipercayai akibat mengalami tekanan dalam satu kejadian di Kampung Selendang, Padang Tengku, Kuala Lipis. Ketua Polis Daerah Lipis, DSP Abdul Razak Hassan berkata, anggota polis berusia 22 tahun itu bertindak demikian pada pukul 6.30 pagi di kawasan berhampiran satu tanah perkuburan Islam. "Tiada sebarang kecederaan dilaporkan kerana penempatan agak jauh dari kawasan berkenaan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini. Ketika kejadian, hanya anggota berkenaan yang berada di tempat itu. Katanya, anggota polis itu yang baru berkhidmat selama tiga tahun, turut melepaskan tiga das tembakan ke arah keretanya sendiri. Beliau berkata anggota polis itu membawa pulang pistol yang sepatutnya ditinggalkan di tempatnya bertugas di Balai Polis Simpang Durian, Jelebu, Negeri Sembilan. Anggota polis itu telah ditahan untuk siasatan lanjut dan polis masih menyiasat punca dia bertindak demikian, kata Abdul Razak. -BERNAMA

Ada beberapa perkara dan fakta yang telah disalah lapor oleh pihak media berhubung dengan kejadian sebenar insiden ini, iaitu ;-

Bukan Pistol, 2 Buah Raifel M15 Juga Digunakan

Untuk makluman kes tersebut melibatkan seorang anggota polis yang berumur 22 tahun dan bertugas di Balai Polis Simpang Durian, Jelebu Negeri Sembilan. Menurut maklumat beliau dikatakan dalam perjalanan ke satu tempat untuk melakukan "jihad", lantaran itulah beliau membawa begitu banyak senjata. Beliau menaiki sebuah kereta Iswara Aeroback dengan nombor pendaftaran BDC7918. Siasatan kami senjata dalam kes berkenaan bukan sahaja sepucuk pistol biasa malahan juga turut melibatkan dua pucuk senapang Raifel M15 (Sila lihat foto) serta terdapat begitu banyak peluru hidup termasuk 2 set peluru M15 yang masih belum digunakan. Disamping itu juga beliau turut membawa kayu belantan, beberapa buah kitab dan lain-lain barangan yang dipercayai untuk tujuan "jihad" berkenaan. Beliau dikatakan dalam perjalan ke sebuah lokasi berhampiran Padang Tengku-Merapoh yang dikenali sebagai "Bukit Tujuh". Laporan polis mengatakan suspek hanya membawa pistol adalah tidak benar sama sekali. Mana mungkin pistol boleh mengeluarkan sehingga 58 das peluru ditembak ke udara?.




Bukti jelas menunjukkan dua lagi keronsong peluru Raifel M15 didalam kenderaan suspek yang masih belum digunakan.

Kami difahamkan tempat berkenaan adalah satu "kawasan keramat" yang biasanya dikunjungi oleh mereka-mereka yang ingin menjalankan aktiviti "pembomohan". Kawasan ini dikatakan menjadi tempat pemujaan dan amalan syirik. Banyak kejadian misteri yang dialami oleh mereka-mereka yang pernah melalui kawasan ini, termasuk diganggu makhluk halus ataupun jin. Malahan, jika berlaku kerosakan kereta dikawasan terbabit, maka tiada sesiapa pun penduduk kampung yang berdekatan berani membuka pintu kiranya anda memerlukan bantuan. Itu cerita orang-orang kampung sekitar Bukit Tujuh. Ini bermakna tempat itu penuh dengan misteri.

Kesalahan Lokasi dan Masa Insiden Diselesaikan

Difahamkan kejadian sebenar berlaku bukanlah di Kampung Selendang seperti yang dilaporkan oleh semua media arus perdana. Insiden berkenaan berlaku di Kampung Teha, Mukim Gua, Padang Tengku, Kuala Lipis Pahang. Kampung Selendang adalah lokasi surau yang berdekatan dan menjadi tempat perhimpunan orang awam. Mungkin wartawan terbabit hanya singgah disitu dan tidak pergi ke lokasi kejadian sebenar seperti kami. Laporan media juga menyebut kejadian itu dapat diselesaikan dalam masa 15 minit, walhal sebenarnya fakta itu adalah salah dan kemungkinan besar mereka hanya mendapatkannya daripada pihak polis. Sebenarnya kejadian itu bermula sejak jam 6 pagi lagi dan berakhir hampir 2 jam kemudian. Ini menyebabkan penduduk setempat berada didalam ketakutan ketika solat sunat Aidil Fitri. Difahamkan kereta yang dinaiki oleh anggota polis terbabit telah kehabisan minyak dan terhenti dikawasan berkenaan. Lihat foto dibawah yang diambil dari lokasi kejadian.


Inilah laluan jalan lokasi tempat kejadian tembakan anggota polis di Kg.Teha

Sebenarnya ada penempatan disekitar kejadian, dan yang paling hampir jaraknya hanya tidak sampai 100 meter daripada lokasi terbabit

Lagi bukti, jarak yang terlalu dekat dengan dua buah rumah penduduk tempatan. Kenapa fakta ini dikelirukan?

Suspek Dalam Tugas Dan Memakai Seragam Polis

Laporan media arus perdana pihak polis mengatakan bahawa suspek diluar waktu bertugas dan hendak pulang ke kampung halamannya di Kelantan. Tetapi, siasatan kami setelah kehabisan minyak kenderaannya, suspek yang dilihat berpakaian seragam dan berkopiah itu keluar dari keretanya dan mundar-mandir sambil memegang "pistol" ditangannya. Ketika itu beliau tidak menganggu dan menembak. Beliau hanya ke hulu ke hilir seperti orang kehilangan arah. Terdapat saksi yang telah menghubungi pihak polis, namun polis yang menerima laporan tidak mempercayai bahkan melayan panggilan tersebut. Mungkin beliau berangapan perkara itu adalah satu permainan semata-mata. Pihak terbabit terpaksa pergi ke balai, hanya dua orang polis yang bertugas di balai berkenaan. Setelah laporan dibuat, maka polis terbabit mengikuti beliau untuk memastikan bahawa apa yang dilaporkan itu adalah benar ataupun tipu. Memandangkan hanya dua anggota polis bertugas, maka seorang sahaja yang telah pergi ke tempat kejadian dengan pengadu. Polis terbabit juga pada awalnya tidak percaya pistol yang dipegang oleh suspek adalah pistol sebenar. Lalu cuba menghampiri suspek menerusi "longkang" yang berdekatan. Suspek mula menembak setelah menyedari ada pihak polis datang dan cuba untuk mengganggu beliau ketika itu. Maka bermulalah aktiviti tembakan kepada polis terbabit dan juga ke udara. Keadaan ketika itu umpama ada pesta "main mercun", tambahan pula ketika itu adalah pagi Hari Raya Aidil Fitri.

Tembakan bukan sahaja ditujukan ke udara dan kenderaaan suspek sendiri. Malahan lebih parah lagi ia juga ditujukan kepada orang awam yang melalui kawasan itu. Suspek dikatakan berdiri ditengah jalan sambil menghalakan senjata kepada kenderaan yang lalu lalang. Difaham ada mangsa yang hampir terbunuh dalam kejadian tersebut. Mangsa dikatakan akan membuat "saman" atas kes ini. Mangsa dikatakan melalui jalan berkenaan walaupun keadaan "berbahaya" ketika itu kerana tiada anggota polis yang mengawal lalulintas. Tiada sekatan atau pun lencongan dibuat, menyebabkan kenderaan mangsa meredah laluan berkenaan. Mujurlah mereka tidak terbunuh.


Kesan tembakan pada cermin kenderaan suspek, foto kiri kayu belantan yang turut dibawa oleh suspek semasa kejadian "ngeri" ini

Kejadian tembakan hanya dapat ditamatkan setelah 3 orang anggota polis dari Balai Polis Lipis yang lebih profesional untuk memujuk suspek tiba. Akhirnya suspek menyerah diri dan dibawa dengan kenderaan polis terbabit ke balai polis. Kejadian itu berakhir dengan tiada korban manusia, namun terdapat beberapa penyelewangan fakta dan tindakan pihak polis yang sebenarnya boleh mengancam keselamatan orang awam.

Antara Tindakan Yang Gagal Dilaksanakan Polis

Kejadian ini sebenarnya menyebabkan orang awam semakin takut dengan pihak polis. Persoalan yang timbul bagaimana suspek terbabit boleh bergerak sejauh itu dengan membawa banyak senjata berbahaya didalam kenderaan mereka. Bahkan ia boleh mengganggu ketenteraman awam. Bayangkan sekiranya tembakan yang dibuat mengenai penduduk tempatan. Kami difahamkan terdapat 3 buah kenderaan yang terkena tembakan. Mujurlah tidak ada kemalangan jiwa. Bahkan ada mangsa penduduk tempatan yang hampir "maut" bila peluru tembakan berkenaan benar-benar melalui atas kepala beliau. Mujurlah beliau menundukkan kepalanya. Bukankah ini berbahaya kepada orang awam. Soalnya sekarang, apa yang dibangkitkan hanyalah isu "Suspek dipercayai kurang siuman". Sedangkan nyawa penduduk tempatan sebenarnya ramai yang hampir melayang gara-gara kelewatan dan kegagalan pihak polis dalam kes ini. Antara kegagalan pihak polis ialah :-
  • Gagal memastikan suspek terbabit bertugas di balai terbabit (Balai Polis Simpang Durian, Jelebu) Hinggakan beliau boleh keluar sejauh itu dengan membawa senjata berbahaya.
  • Gagal mengawal keluar masuk senjata di balai tempat suspek bertugas. Ini menyebabkan suspek boleh mengambil senjata dan peluru sesuka hati tanpa ada sebarang sekatan daripada mana-mana pihak untuk tujuan "jihadnya" itu.
  • Gagal memastikan keselamatan orang awam. Laporan dibuat tetapi polis menganggap ianya adalah "lawak jenaka", akhirnya pengadu terpaksa membawa anggota polis terbabit ke tempat kejadian. Hanya dua orang anggota yang bertugas di Balai Polis berhampiran. Akhirnya bantuan 3 anggota terpaksa dihantar dari Balai Polis Lipis, itu pun sudah terlambat ketika ada kenderaan orang awam yang sudah ditembak.
  • Gagal membuat sekatan jalanraya, dan memeriksa senjata yang dibawa dari Negeri Sembilan hingga ke Pahang. Bukankah banyak terdapat "roadblock" di musim perayaan.
  • Ketika suspek melepaskan tembakan hanya seorang anggota polis ditempat kejadian. Tiada sekatan untuk melencongkan pengguna jalaraya dari melalui jalan berkenaan. Akibatnya terdapat tiga kenderaan yang cuba melalui kawasan terbabit telah ditembak oleh suspek. Mujurlah tiada nyawa yang terkorban. Hanya orang awam yang menjaga dan menghalang kenderaan melalui jalan berkenaan. Mungkin polis ramai yang bercuti raya.
  • Laporan polis yang memutar belit fakta mengatakan tiada penempatan awam, hanya guna pistol dan tiada orang awam yang ditembak adalah amat mengecewakan. Padahal ada rumah yang jaraknya tidak sampai 100 meter dari tempat kejadian. Kesemua keluarga dalam rumah terbabit terpaksa melarikan diri dalam ketakutan untuk menyelamatkan diri kerana takut ditembak. Tambahan pula terdapat peluru yang dihalakan ke rumah mereka. Ini jelas sekali mengganggu ketenteraman awam dan menyebabkan keluarga terbabit "trauma" dengan kecuaian pihak polis ini.
  • Pihak polis gagal mengenalpasti anggota mereka yang bermasalah seperti ini. Suspek tidak mengalami masalah kewangan kerana buku bank yang turut terdapat dalam kenderaan beliau menujukkan baki simpanan sebanyak RM12,000. Ini bermakna suspek adalah seorang yang penjimat dalam usianya baru mencecah 22 tahun itu.
Pulihkan Imej Polis, Suspek Perlu Ditahan ISA

Susulan daripada terbongkarnya fakta sebenar kes ini, maka pihak kami mendapati polis sengaja melaporkan cerita yang berbeza kepada apa yang sebenarnya berlaku. Seolah-olah kes ini tidak melibatkan keselamatan awam, walhal perkara sebaliknya berlaku. Mujurlah Krew Pahang Daily antara yang paling awal sampai ditempat kejadian ketika ia masih berlaku. Justeru itu kami bertanggungjawab atas laporan ini. Kreadibiliti pihak polis perlu diperbaiki, laporan yang salah menyebabkan penduduk setempat kecewa dengan kejadian ini. Mereka tahu apa yang berlaku di kampung mereka ketika kejadian. Sebelum ini sudah banyak kejadian senjata dibawa keluar tanpa rekod dan pengetahuan pihak terbabit, namun kes kali ini dianggap paling serius kerana tembakan rambang terhadap orang awam sebenarnya berlaku. Media arus perdana juga sengaja memutar belitkan laporan ini. Kami menyeru supaya pihak-pihak berkenaan mengambil perhatian perkara seperti. Jangan biarkan ia berlaku lagi. Bayangkan jika suspek pergi menyerang ditempat awam, sudah pasti banyak mangsa yang akan terkorban dalam kes ini. Maka itu, adalah wajar suspek ditahan ISA atau terus didakwa di mahkamah kerana beliaulah yang telah mengganggu ketenteraman awam dan melakukan huru-hara secara jelas didepan mata. Apa yang ditunggu lagi oleh pihak polis dan kerajaan Malaysia. Tindakan menghantar suspek ke Tg.Rambutan adalah satu alasan untuk melarikan diri daripada cerita sebenar kes ini dari pandangan mata rakyat. Tunjukkan sikap profesional dalam kes ini sama dengan apa yang berlaku kepada Raja Petra yang dikatakan mengganggu ketenteraman awam.

[Pahang Daily mengucapkan syabas kepada 3 orang anggota polis dari Balai Polis Lipis yang lebih cekap dan berani mengawal keadaan. Jika tidak sudah pasti kes ini akan terus berpanjangan. Kepada keluarga dan mangsa yang terbabit dalam insiden ini, harap bersabar dengan dugaan yang melanda. Semoga kes ini akan memberi pengajaran kepada kita agar lebih berwaspada dan berhati-hati dengan sesuatu kejadian].

Amdang: Aku tetap tidak berkenan penggunaan ISA terhadap mana-mana pihak selagi mana ianya bersifat TAHAN TANPA BICARA!