12 February 2011

Kami Pendakwah Bukan Penghukum - Us Din Tantawi

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

1. Biarpun berdepan kritikan pedas dari pelbagai pihak, saya dan rakan-rakan Dewan Pemuda PAS Malaysia akan terus berjuang dan berdakwah bagi menyelamatkan generasi muda dari terus dimangsakan oleh pelbagai aktiviti tidak bermoral di dalam negara ini. Kami akan turun sebagai Duta penyelamat dan Kasih Sayang dengan membawa misi dakwah untuk mendidik serta membimbing masyarakat khasnya generasi muda muslim hari ini agar tidak hanyut dibawa arus keruntuhan moral.

2. Gerakan dakwah ini akan disemarakkan oleh Lajnah Dakwah dan Pembelaan Islam Dewan Pemuda PAS Malaysia di seluruh negara melalui Dewan Pemuda PAS Negeri-Negeri dengan memilih beberapa lokasi sasaran yang berpotensi berlakunya kegiatan tidak bermoral sempena sambutan Valentine Day.

3. Dakwah atau gerakan mengedar "risalah didikan" serta menyantuni mereka yang terlibat dalam kegiatan tidak bermoral sebenarnya telah menjadi aktiviti rutin Dewan Pemuda PAS Malaysia sejak berzaman lamanya. Sebagaimana Pemuda PAS tegas membenteras kegiatan tidak bermoral didalam politik seperti penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa, juga membenteras aktiviti tidak bermoral didalam ekonomi seperti pembaziran dan rasuah, maka Dewan Pemuda PAS juga istiqamah membenteras perlakuan tidak bermoral didalam sosial seperti pergaulan bebas, seks bebas dan vandalisme.

4. Namun kami bukan penghukum, kami juga bukan Polis Moral malah kami bukan penguatkuasa. Kami adalah pendakwah yang bertanggungjawab untuk mendidik rakyat agar tidak terjebak dalam sebarang kegiatan, aktiviti dan perlakuan yang tidak bermoral justeru implikasinya merosakkan maruah diri, nilai tamadun dan nama baik negara.

5. Kami Pemuda PAS sedia menghulurkan kerjasama malah mengharapkan kerjasama dari pihak berkuasa kerajaan negeri khasnya negeri-negeri Pakatan Rakyat untuk turun ke padang menyelamatkan generasi muda dari terjebak dalam kancah moral yang negatif. Kempen No Panties For Valentine Day pada tahun lalu, sebagai contoh kegiatan tidak bermoral yang dibimbangi masih berterusan dalam aktiviti yang pelbagai dan nama yang berbeza untuk mengelirukan orang ramai serta pihak berkuasa.

6. Saya masih percaya bahawa kerajaan negeri-negeri Pakatan Rakyat tidak mahu membiarkan generasi mudanya yang bakal mewarisi kepimpinan negeri dan negara pada masa akan datang terperangkap dalam perlecehan moral yang merosakkan reputasi diri dan nilai maruah mereka. Justeru itulah saya menawarkan kerjasama antara Dewan Pemuda PAS Malaysia dengan pihak Kerajaan negeri untuk memantau perkembangan dan kegiatan tidak bermoral lalu tampil memberi didikan kepada mereka yang terjebak agar insaf dan tidak membiarkan diri mereka lemas dalam pengaruh nafsu dan syahwat.

7. Suatu sikap yang sangat tidak adil, apabila kita begitu keras dan tegas menentang kegiatan yang tidak bermoral dipentas politik dan ekonomi seperti penyalahgunaan kuasa, pembaziran, rasuah, penipuan dan penindasan tapi kita berdolak dalih dalam usaha memurnikan iklim sosial negara dari kegiatan tidak bermoral seperti seks bebas, vandalism, penyalahgunaan dadah dan sebagainya sedang ia turut membawa kesan yang buruk kepada kesejahteraan, keamanan keharmonian negara.

8. Dewan Pemuda PAS Malaysia tidak hanya turun pada Valentine Day, tetapi juga pada malam sambutan Ulangtahun Kemerdekaan, Sambutan Tahun Baru dan hari-hari yang dianjurkan pesta atau karnival yang mempromosi atau menggalakkan pergaulan bebas lelaki dan perempuan tanpa batas. Kami turun sebagai Duta Penyelamat dan Kasih Sayang. Ini adalah sikap Dewan pemuda PAS Malaysia yang diwarisi sejak dulu dan ia bukan pandangan peribadi saya.

9. Kami pemuda PAS tekad akan selamatkan generasi muda muslim dan siapa jua yang mahu dari hanyut dibawa arus maksiat seta mungkar dengan penuh kasih sayang demi masa depan mereka dan juga masa depan negara, biarpun berdepan dengan pihak yang terus mahu menyuburkan aktiviti tidak bermoral dan sengaja tidak mahu memahami hasrat dan tindakan kami.

10. Akhirnya saya terus menyimpan harapan agar Kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat menjadi contoh kepada negara untuk mendidik rakyat bukan sahaja dalam aspek politik dan ekonomi tetapi juga kearah membentuk iklim sosial yang jernih dan harmoni. Bebas dari kegiatan yang tidak bermoral serta meruntuhkan maruah negeri dan negara. Sementara saya tiada authoriti untuk memberi arahan kepada sebuah kerajaan negeri sebagaimana saya juga bukan polis untuk menangkap pesalah. Saya hanya pendakwah bukan penghukum.

-----------------------------

Nota Amdang: Cuma kadang-kadang pendakwah kena berani menjelaskan hukum. Jika tidak, ramai buat-buat tak tahu sahaja.Justify Full

06 February 2011

Kisah Sedih: Mereka-mereka yang dilupakan...

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Ketika mana sedang menunggu juadah tengahari di sebuah warung, seorang sahabat bertepuk dahi sambil menyebut yang beliau terlupa untuk mengambil anaknya yang berumur 5 tahun di sebuah Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI). Ketika itu, jam sudah menunjukkan pukul 1.00 tengahari. Kebiasaan PASTI menamatkan persekolahan sekitar jam 12.00 atau 12.30 tengahari.

Kemudian, muncullah cerita-cerita 'sedih' yang dikongsi di warung tersebut.

Cerita 1:
Seorang Ustaz tiba-tiba teringat anaknya yang belum diambil dari sekolah ketika mengangkat takbir solat Isyak! Ketika itu mujurlah beliau menjadi makmum. Sebelum itu, beliau memberikan kuliah Maghrib yang sangat bersemangat kepada jemaah surau. Sebaik selesai solat, beliau terus pergi mencari anaknya di perkarangan sekolah. Namun tiada. Waktu persekolahan tersebut tamat sekitar jam 6.00 petang.

Dengan keyakinan bahawa anaknya sudah diambil oleh bapanya (datuk anak), maka beliau ke rumah bapanya. Alhamdulillah, anaknya sudah berada di rumah datuknya itu. Beliau pula diceramahkan oleh ibunya selepas itu.

Cerita 2:
Seorang bapa tertinggal anaknya di sebuah kedai. Setelah selesai membeli belah, si bapa dan anak-anak terus masuk ke dalam kereta. Sesampai di rumah, sebaik sahaja pintu kereta dibuka dia terkejut kerana anaknya sudah tiada dalam kereta. Dalam fikirannya, cepat betul anaknya. Sekejap sudah masuk ke dalam rumah. Setelah diperiksa, barulah dia sedar salah seorang anaknya tiada.

Kemudian, si bapa dihubungi seseorang mengatakan anaknya tertinggal di sebuah kedai. Mujur sahaja anak tersebut tidak menangis ketika si bapa pergi mengambilnya.

Cerita 3:
3 orang pemuda dalam satu perjalanan dari Kuala Lumpur ke Terengganu melalui lebuhraya Pantai Timur. Kejadian berlaku tengah malam. Penumpang di belakang tertidur semasa kenderaan bergerak. Tiba di satu stesyen minyak, pemandu dan penumpang di depan keluar untuk ke tandas. Setelah kembali ke kenderaan, mereka terus meneruskan perjalanan dengan menyangka penumpang di belakang masih ada. Sedangkan penumpang belakang turut turun ke tandas dan masih belum kembali!

Akhirnya mereka terpaksa melakukan U-Turn di susur keluar berikutnya bagi mendapatkan kembali sahabat mereka yang tertinggal setelah sahabat yang ditinggalkan itu menghubungi mereka melalui telefon bimbit.

Cerita 4:
Seorang ayah terlupa mengambil anaknya di Taska. Apabila petang, si isteri bertanyakan perihal anak-anak yang tidak cukup seorang dengan jangkaan si anak ke taman permainan. Barulah si bapa teringat yang anaknya belum diambil di Taska.

Cerita 5:
Setelah menghantar si isteri membeli belah di sebuah pasaraya, seorang suami terus menguruskan si anak yang mempunyai urusan lain. Apabila urusan si anak selesai, si suami terus pulang ke rumah dengan anak. Apabila mahu diminta si isteri membuatkan air, barulah disedari yang si isteri masih belum diambil di pasaraya yang ditinggalkan pada pagi tadi. Semuanya gara-gara si isteri terlupa membawa telefon.

Cerita 6:
Semalam ketika berehat seketika di sebuah masjid, aku didatangi seorang wanita agak berumur dengan hanya berselipar jepun. Dia mengadu dirinya telah ditinggalkan menantunya dan anak-anaknya ketika mereka berhenti solat. Lebih malang lagi kerana kejadian sebegitu pernah berlaku kepada anaknya yang lain. Apabila ditanya nombor telefon menantu atau anak-anak, makcik tersebut tidak ingat nombor-nombor mereka. Mulut makcik tu dah mula bising.

"Gini la orang muda, hok tua ni dia tak ingat..."

Kemudian, makcik tu semacam tersedar sesuatu. Dia bertanyakan adakah masjid tersebut mempunyai pintu masuk yang lain? Sambil menunjukkan ke satu arah, aku lihat makcik tersebut berjalan dengan satu harapan...

Tamat.

Wallahua'lam

01 February 2011

Stadium runtuh: Jurutera perunding didakwa

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Seorang jurutera perunding hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen berhubung kes runtuhan bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak di Kuala Terengganu pada Jun 2009.

Wan Manan Wan Ali, 51, mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan menipu dengan berpura-pura bertindak sebagai pemeriksa yang diiktiraf mengeluarkan dokumen bertarikh 15 Januari 2009 iaitu dokumen mengenai sistem teras bumbung utama dan kerja yang berkaitan dengannya, bagi cadangan untuk membina dan menyiapkan stadium utama atau kompleks Sukan Negeri Terengganu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 15 Januari dan 29 Mac 2009 di pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Terengganu.

Dia didakwa memberi dan menandatangani dokumen berkenaan kepada Pengarah JKR negeri, Rosli Zainal, dan turut bertindak memperdaya Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mokhtar Nong, untuk mempercayai dia adalah pemeriksa yang diiktiraf.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan yang menetapkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabit kesalahan.

Hakim M Bakri Abdul Majid menetapkan 17 Mac ini untuk sebutan semula kes dan membenarkan Wan Manan diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh diwakili Wan Zainuddin Wan Musa manakala pendakwaan dilakukan oleh Syafinas Shabudin daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

--Bernama