05 April 2010

GST: Kakitangan Dirasuah Kenaikan Gaji

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Gaji penjawat awam boleh dinaikkan dengan syarat 1.2 juta penjawat awam meningkatkan produktiviti dan menyokong inisiatif kerajaan untuk Malaysia menjadi ekonomi berpendapatan tinggi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

Beliau berkata selagi produktiviti meningkat, gaji mereka akan diselaraskan seiring dengan ekonomi yang lebih kukuh.

"Gaji mereka akan diselaraskan mengikut perkembangan. Apa yang penting ialah dengan pengukuhan ekonomi, perolehan kerajaan juga meningkat," kata beliau dalam program "Setahun di Aras 5: Temubual Khas Bersama Perdana Menteri” yang disiarkan Bernama TV.

Najib, yang juga menteri kewangan, turut menegaskan mengenai kepentingan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sebagai satu daripada cara meningkatkan hasil kerajaan.

"Itulah sebabnya GST amat penting. Rakyat mahukan gaji yang lebih tinggi tetapi tidak mahu menyokong GST. Saya memerlukan sokongan 1.2 juta penjawat awam. Sekiranya anda mahu dibayar gaji yang lebih baik di masa depan, saya perlu mengukuhkan asas perolehan kerajaan kerana kalau tidak, dari mana saya akan dapat wang untuk membayar penjawat awam?," katanya.

Beliau berkata dengan mendapat sokongan daripada semua penjawat awam, akan membolehkan kerajaan melakukan yang lebih baik untuk semua rakyat.

Najib bagaimanapun menolak tanggapan bahawa kerajaan tunduk kepada tekanan politik berikutan perubahan fikiran dilihat dalam pelaksanaan GST dan peraturan dua harga petrol, dengan menyatakan lebih banyak masa diperlukan untuk sokongan dan kepercayaan rakyat bagi inisiatif itu.

Beliau berkata pembangkang telah memutar belitkan fakta berhubung cadangan GST yang menyebabkan kerajaan memerlukan masa untuk
menjelaskan kepada rakyat kerana ia adalah sesuatu yang baik untuk rakyat bagi jangka masa panjang.

Jadi kita bukan mengambil keputusan untuk menghentikannya tetapi untuk menangguhkannya sehingga projek itu mendapat lebih penerimaan umum.,” katanya.

Mengenai penstrukturan semula subsidi dua harga petrol, beliau berkata ia merupakan sistem yang amat kompleks dan tidak berbaloi, tetapi “kita akan tetap mengurangkan subsidi. Cuma akan dilakukan secara berperingkat-peringkat kerana kerajaan tidak mahu membebankan rakyat.”

“Jadi, ia akan dilaksanakan dengan teratur dan berhati-hati,” kata Najib.

Kepada soalan yang ia mungkin dilaksanakan selepas pilihanraya umum, Najib yang ketawa mendengarnya berkata: “Tentunya akan ada yang sinis

dan skeptikal tetapi ia harus dihadapi sebagai cabaran dan kita perlu membuktikan yang mereka salah.”

- Bernama 

No comments: