08 December 2009

Dari Siem Reap ke Phnom Penh 1

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Tiba di Siem Reap, Kemboja. (26 Nov 2009)

Alhamdulillah, penerbangan Airasia yang membawa kami dari LCCT, Kuala Lumpur selamat mendarat kira-kira jam 8.00 pagi waktu Kemboja. Waktu Kemboja dan Malaysia hanya berbeza satu jam. Jam di tangan menunjukkan waktu di Malaysia, masanya adalah jam 9.00 pagi.

Pemandangan Lapangan Terbang Antarabangsa Siem Reap-Angkor agak menarik kerana menampilkan ciri-ciri tradisi. Sekali dilihat ciri-cirinya agak mirip kepada Thailand. Mungkin namanya Siem Reap itu mempunyai maksud tersendiri memandangkan wilayah ini tidak jauh dari sempadan Kemboja-Thailand.


Airport Siem Reap- Angkor

Kami mengambil masa yang agak lama untuk berurusan dengan pihak imigresen di sana kerana hanya beberapa kaunter sahaja dibuka. Mungkin itu agak berbaloi kerana ketika ketibaan kami, tiada pesawat lain di situ. Dilihat kepada airport yang ada, tidak banyak penerbangan dilakukan dari sini.

Dari airport, kami terus dibawa ke sebuah 'warung' masakan Malaysia dengan menaiki van. Pada permulaan, kami menjangkakan hanya kami 9 orang sahaja satu kumpulan. Rupa-rupanya kumpulan kami digabungkan dengan dua kumpulan yang lain dari Utara Malaysia. Menjadikan kumpulan kami keseluruhannya sekitar 22 orang (termasuk 4 orang wakil Yayasan Salam Malaysia)


d'Wau Restoran "Malaysia Kitchen Authentic Asia Cuisine"

Apa yang sedikit menyedihkan warung ini adalah servisnya. Mungkin juga ianya satu kesilapan 'pemandu pelancong' kami yang tidak menempah makanannya terlebih dahulu. Natijahnya, kami terpaksa menunggu lama bagi mendapatkan makanan. Juga, masa kami banyak terbuang di sini. Bayangkan sehingga jam 10.00 pagi waktu kemboja makanan yang aku order belum sampai.

Antara menu utama di sini adalah Kuew Teow Sup. Itulah yang kami order untuk sarapan. Tapi, bila tiba giliran aku, air sup pula dikatakan sudah habis. Maka terpaksalah aku menerima sahaja menu "Nasi Lemak Siem Reap".


Nasi Lemak + Air Suam

Sesuatu yang agak istimewa ketika mana sedang bosan menunggu hidangan tiba adalah ketibaan lori ais. Dengan tiba-tiba sahaja aku teringat isu pengusaha ais di Terengganu terpaksa 'menutup seketika' operasi kerana wabak Taun yang melanda Terengganu. Ais dikatakan antara punca utama wabak tersebut di Terengganu. Wabak Taun dikaitkan dengan kebersihan sesuatu penyediaan makanan.


Lori ais di Kemboja. Call je nombor yang tertera jika berminat.


Ais dipotong mengikut saiz yang dikehendaki.

Ada lagi gambar menarik tentang ais yang dijual di Kemboja. Banyak lagi yang mahu dikongsi. Seorang sahabat mencadangkan ditulis buku mengenai perjalanan tersebut, namun rasanya terlalu kerdil untuk menulis tentang perjalanan yang beberapa hari sahaja itu.

Wallahua'lam.

No comments: