27 September 2006

20 atau 8 rakaat??

KUALA LUMPUR, 26 Sept (Hrkh) - Persatuan Ulama Malaysia (PUM) menyokong sembahyang sunat tarawih dibuat sebanyak 20 rakaat, diselangi tazkirah atau kuliah pendek selepas 10 rakaat pertama.

Yang Dipertua PUM, Ustaz Salleh Ahmad berkata, memandangkan bulan Ramadan disambut hanya sekali setahun, umat Islam hendaklah mengambil kesempatan mengerjakan ibadat sebanyak mungkin termasuklah menunaikan tarawih 20 rakaat.

"Saya tidak menyokong amalan sembahyang tarawih lapan rakaat, kenapa kita nak kurangkan sepatutnya kita perbanyakkan rakaat sebab tawarih dibuat sekali setahun," katanya semasa dihubungi.

Beliau juga menjelaskan, mengikut kitab fikh keempat-empat mazhab mensyaratkan kepada pengikutnya mengerjakan tarawih sebanyak 20 rakaat malahan di Masjidilharam sekali pun tidak melaksanakan solat lapan rakaat.

Jelasnya, tazkirah juga perlu dibuat selepas 10 rakaat pertama bagi memberi amanat kepada para jemaah.

"Apa salahnya buat tazkirah, benda baik dan setakat memberi nasihat kepada jemaah takkan tak boleh," katanya.

Baru-baru ini dilaporkan kerajaan Selangor meminta semua masjid dan surau di negeri ini tidak membenarkan tazkirah atau kuliah pendek diadakan sewaktu sembahyang sunat tarawih.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Negeri, Dato' Abdul Rahman Palil berkata, ia bertujuan mengelakkan pihak-pihak tidak bertanggungjawab menyusun aktiviti tazkirah sekiranya solat tarawih dilakukan hanya lapan rakaat.

Abdul Rahman juga berkata, larangan menganjurkan tazkirah bertujuan mengelakkan pihak-pihak bertanggungjawab daripada menggunakannya untuk kepentingan peribadi atau politik masing-masing. - lanh

No comments: