26 December 2005

Kewajiban mengundi dari perspektif Islam

Oleh Abdul Ghani Samsudin

Allah berfirman dalam surah al Talaq ayat 2, yang bermaksud: ”Tegakkan (sempurnakan) kesaksian semata-mata kerana Allah. Itulah yang disarankan sebagai pengajaran kepada kalian yang beriman kepada Allah dan hari akhirat. Sesiapa yang bertaqwa kepada Allah nescaya Allah beri dia jalan keluar (dari segala kesusahan).”

Dalam Surah Al Nisa’ ayat 135 Allah berfirman, maksudnya: ”Wahai orang-orang yang beriman, kamu hendaklah menjadi orang yang sentiasa menegakkan keadilan serta menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu. Jika orang (yang didakwa itu) kaya atau miskin maka Allah lebih utama dari (perhitungan) kaya atau miskin (tersebut). Oleh itu janganlah kalian menurut hawa nafsu, kalian wajar berlaku adil. Tapi kalau kalian menyimpang atau berpaling (dari kebenaran) maka Allah sangat mengetahui apa yang kalian lakukan.”

Dalam Surah al Baqarah, ayat 188, maksudnya: Jangan kamu makan harta sesama kamu secara yang tidak halal dan kamu menghubungkannya pula dengan kuasa dan sewenang pemerintah untuk dapat melahap harta umum secara yang berdosa pada hal kamu sedar dan tahu.

Dalam Surah al Baqarah, ayat 283, maksudnya: Jika kamu dalam perjalanan (lalu terlibat dalam hutang atau memberi hutang) tetapi kamu tidak ada penulis (notaris penthabit hutang) maka adakanlah barang gadaian untuk dipegang (oleh orang pemberi hutang). Tapi kalau pemberi hutang percaya kepada yang berhutang maka hendaklah orang yang berhutang menunaikan bayarannya (tunaikan amanah), namun dia wajar bertaqwa (takut) kepada tuhannya. Janganlah kamu menyembunyikan kesaksian (yang benar). Siapa yang menyembunyikan kesaksian (yang benar) maka dia adalah manusia (berjiwa kotor dan) berdosa. Allah amat mengetahui apa kalian lakukan.

Firman Allah dalam surah al Maidah ayat 8 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman , kamu (semua) hendaklah menjadi golongan yang menegakkan kebenaran kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap mana-mana kaum (golongan) menyebabkan kamu tidak berlaku adil. Kamu hendaklah adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu lakukan.”

Muslim meriwayatkan dari Anas Bin Malik katanya: Rasulullah pernah menyebut mengenai dosa-dosa besar ( atau beliau ditanya tentang itu). Baginda menjawab: (Dosa besar itu ialah ) syirik kepada Allah, membunuh orang dan menderhaka kepada ibu bapa. Baginda berkata: Mahu kah kalian aku beritahu dosa besar yang paling besar. Baginda menjelaskan iaitu bercakap bohong )atau bersaksi dusta). Syu’bah berpendapat: berat angkaan saya bahawa yang beliau maksudkan ialah kesaksian palsu”

Menurut riwayat Bukhari dan Muslim dan lain-lain baginda pernah berkata: tiap orang dari kamu akan berhadapan dan tuhan akan bertutur dengannya secara bersendirian tanpa penterjemah pada hari kiamat kelak. Ia memandang kekanan maka ia dapati amalan kejahatan yang telah dilakukannya, pandang ke kiri pun ia melihat gambaran yang sama malah lebih teruk lagi. Ia pandang ke hadapan lalu ia melihat hanya api neraka. Oleh itu kalian semua hendaklah menghindari api neraka walaupun dengan (menyedekahkan) setengah ulas buah tamar ataupun dengan menuturkan (apa-apa jua) perkataan yang baik.

Pendahuluan

Kuasa memerintah dicapai melalui berbagai cara. Ada yang diperolehi melalui keturunan (sistem beraja penuh). Ada pula yang diperolehi melalui rampasan kuasa samada berdarah atau tidak. Ada yang tercapai melalui permuafakatan dan pilihanraya. Dalam bahasa agama disebut syura , manakala dalam bahasa yang lumrah masa kini ialah melalui “Intikhab “ atau pungutan suara rakyat yang dilakukan dengan amanah, bersih dan adil .Manakala sistem yang lumrah di terima kini – dalam konteks peralihan kuasa secara aman kini - ialah sistem demokrasi yang murni dan bersih.

Ada beberapa keperluan rakyat yang asas dalam negara demokrasi antaranya ialah
1.Hak-hak Madani atau sivil
2.Sistem dan peraturan serta perlaksanaan pilihanraya yang adil
3.Pengurusan kerajaan yang baik dan bersih dari rasuah
4.Media yang beretika, profesional, adil dan memihak kepada rakyat
5.Undang-undang yang adil dan perlaksanaanya yang tidak pilih kasih
6.Penglibatan penuh rakyat dan sistem perwakilan yang sihat
7.Kehakiman yang mempunyai integriti yang tinggi

Asas asas di atas dan beberapa pertimbangan seperti membenarkan penubuhan parti politik secara halal , mewujudkan suruhanjaya pilihanraya yang bebas, memberi peluang mengundi kepada orang yang berkelayakan tanpa menghalang mereka menggunakan hak mereka dengan alasan pentadbiran secara licik, mengadakan pilihanraya Kerajaan Tempatan, mengadakan pilihanraya negeri (DUN) dan Federal (parlimen) dan sebagainya adalah merupakan indikator wujudnya kebebasan dan demokrasi dalam sesebuah negara.

Kendatipun tatacara yang baik sudah sepakati oleh manusia yang bertamadun namun itu tidak bermakna manusia dapat menepati tuntutannya. Sering berlaku penipuan, pencabulan dan penyalahgunaan kuasa sehingga menghilangkan kebaikan dan ketenteraman yang boleh dijana oleh sistem yang baik. Manusia yang tamak, korup. dan tidak berakhlak terus menerus melakukan penyelewengan tanpa menyedari akibat buruk dari perbuatan tersebut.

Di Malaysia umpamanya terdapat sistem , kaedah perlaksanaan, amalan yang jelas bercanggah dengan lunas demokrasi diamalkan oleh parti yang memerintah. Setakat hari ini belum ada tanda-tanda yang menunjukkan bahwa penyelewengan dari garis demokrasi yang sah ini akan diperbaiki oleh mereka . Antara pencabulan demokrasi yang terus menerus berlaku di Malaysia kini ialah:

1 (a) Politik & Pilihan raya

SPR diletakkan dan bertanggungjawab kepada Perdana Menteri

Penukaran sempadan pilihanraya secara sewenang-wenang bagi kepentingan pihak tertentu

Menukarkan syarat pendaftaran menurut kepentingan pihak tertentu

Menukar pengundi keluar dari kawasan mengundi dan memasukkan pengundi ke kawasan lain tanpa pengetahuannya

Penambahan kerusi parlimen dan DUN bagi kepentingan politik tertentu

Daftar pemilih yang tidak bersih. Ada pengundi hantu

Menggunakan daftar pemilih yang berlainan

Berlakunya pengulangan mengundi bagi seorang individu lebih dari sekali

Penyalinan no siri pengundi pada tunggul keratan kertas mengundi yang membolehkan dikesan nama pengundi

Pejabat Pendaftaran Negara diperalatkan bagi menambah dan mengurangkan pendaftaran di sesuatu kawasan menurut kepentingan BN.

Pengeluaran kad pengenalan sementara bagi pengundi-pengundi upahan

Memanipulasi pengundi-pengundi pos

Politik wang dan rasuah politik

Penambahan waktu mengundi – bercanggah dengan akta pilihanraya

Keputusan penghakiman petition pilihanraya yang tidak konsisten

Parti pemerintah menggunakan peralatan dan kemudahan kerajaan

Menyekat golongan tertentu yang sudah berkelayakan dari mengundi

Menggunakan samseng dan kaki pukul untuk menyekat dan menakutkan pengundi

Menahan atau tidak menyerahkan borang 14 bagi tujuan penipuan keputusan mengundi

Memonopoli segala media elektronik dan cetak

2.Pencabulan Hak Asasi

Malaysia tidak telus dan tiada kebebasan media. Global Freedom Ranking of Freedom House pada tahun 2004 meletakkan Malaysia pada ranking 122/167. Berkedudukan lebih teruk dari Indonesia 117/167. 2003 Malaysia mendahului Indonesia pada ranking 111/167.

New York City Based Think-Tank Freedom House 2005 meletakkan Malaysia pada ranking 152/194 terkebelakang dari Phlippine (77), Thailand (95) dan Singapura (139).

Wujudnya di Malaysia akta-akta ISA (1960), OSA – Akta Rahsia Rasmi (1972), Akta Hasutan (1948), Akta AMCP –Akta Mesin Cetak Dan Penerbitan (1984), AUKU (1971) dan AKU JANJI (2002).

PBB menghantar Pelapor Khasnya (Special Rapporteur) ke Malaysia menyiasat tuduhan pencabulan hak kebebasan bersuara dari 20 hingga 24 Oktober 1998 dan berpendapat ``…hak kebebasan bersuara dan mengeluarkan pendapat adalah terbatas daripada segi kewujudan akta-akta ISA, Akta Hasutan, dan AMCP; kawalan pemilikan media arus perdana dan memperolehi maklumat mengenai parti pembangkang di media elektronik oleh parti pemerintah, `self-censorship` para wartawan, menghukum wartawan asing dan menghalang pengedaran media elektronik asing; menghalang rakyat memperolehi maklumat yang berupa pandangan dan pendapat kritikal kepada kerajaan; serta memperlihatkan usaha campur tangan kerajaan ke atas badan kehakiman (Commission On Human Rights 1998: 7-8 dipetik Azizuddin Mohd Sani: 84-85).

International Bar Association (IBA), International Commission of Jurists (CIJL), The Commonwealth Lawyers’ Association (CLA) dan Union Internationale des Avocats (UIA) yang menghantar misi pengkaji perundangan Malaysia dari 17 hingga 27 April 1999 diketuai Lord Abernethy menyiasat mengenai kebebasan kehakiman di Malaysia mendapati Perlembagaan Persekutuan membatasi hak-hak yang penting dan menafikan kajian semula kehakiman tindakan badan eksekutif dan menggugat konsep pengasingan kuasa yang diamalkan. (Azizuddin Mohd Sani: 85-86).

Report of `The Royal Commission to Enhance the Operation and Management of The Royal Malaysia Police, mendapati bahawa: The Commission’s findings are that there is extensive and consistent abuse of human rights in the implementation of these laws and standing orders by PDRM personnel. This has added to the erosion of integrity in the police service and further undermined the trust of the public in this important institution ( Report of The Royal Commission, 2005: 4)

Berbagai-bagai cara pencabulan Hak Asasi Manusia dilakukan oleh Polis di bawah desakan parti-parti politik pemerintah seperti menyekat permit untuk berceramah, walaupun diminta memohon, menyekat jalan-jalan ke tempat ceramah, walaupun ceramah di dalam premis, memasuki premis- premis yang sedang dalam sesi ceramah, walaupun polis tidak berhak berbuat demikian, menggempur kawasan dan premis ceramah dengan jip, trak, lori dan menembak gas dan air kimia, bahkan menangkap mereka yang hadir ke ceramah.

Untuk menghadapi realiti politik Malaysia yang begitu buruk rakyat dan parti-parti yang berperanan memperkasa demokrasi dan memulihkan kedaulatan rakyat perlu menyebarkan kefahaman yang betul tentang pilihanraya dari perspektif Islam. Ini kerana kita yakin bahawa kefahaman dan komitmen keagamaan yang tinggi sahaja boleh menjana kesedaran moral yang kukuh untuk mengatasi kelemahan batin dan jiwa manusia yang kerap terjebak melakukan pengkhianatan dan penipuan dalam mengurus pilihanraya dan memerintah negara. Lanjutan dari itu kita perlu memperincikan tajuk di atas sehingga boleh mencetus kesedaran yang tinggi di kalangan rakyat mengenai akauntabiliti, responsibiliti dan tanggungjawab dalam melaksanakan amanah dan tugas mengundi. Pendek kata dalam mengundi rakyat perlu memilih calon yang layak kerana mirit mereka dan bukan kerana wang dan janji habuan yang ditaburi mereka.

Hakikat Mengundi

Ada beberapa pandangan yang ditampilkan oleh ulama mengenai kewajipan mengundi ini.

(a) Ada yang mengatakan bahawa kewajipan mengundi ialah ialah suatu syahadah atau kewajipan mengutarakan syahadah seperti yang disebut oleh Allah dalam Surah al Talaq:2, Al Nisa’ 135,, al Baqarah:283, al Maidah:8. Ringkasan penghujahan mereka ialah: bahawa Allah telah mewajibkan sesorang itu menampilkan kesaksiannya (syahadah) dengan jujur dan benar. Allah melarang umat Islam menyembunyikan kesaksian Allah berfirman:Al Baqarah 283, maksudnya: “Janganlah kalian menyembunyikan syahadah, siapa yang menyembunyikan kesaksian maka ia adalah manusia yang (hatinya) berdosa.”

Penyembunyian syahadah tidak hanya dengan keengganan melaksanakan syahadah tetapi juga dengan menafikan yang hak dan kebenaran dengan tidak menyokong dan menonjolkan kebenaran itu; sebaliknya mendokong dan menyokong kebatilan. Menyokong dan memenangkan kebatilan adalah satu bentuk dari kejahatan menyembunyikan kebenaran. Perbuatan ini – tidak ada khilaf ulama – hukumnya adalah haram dalam Islam.

Syahadah mesti dilaksanakan kerana Allah bukan kerana yang lain seperti wang, pembangunan, kesenangan atau keuntungan kebendaan. Oleh kerana pilihanraya dan mengundi dalam pilihanraya itu adalah satu bentuk syahadah maka pertimbangan dalam membuat pilihan siapa yang patut diundi itu mesti kerana Allah. Dengan lain-lain perkataan sampai di mana calon atau parti yang diwakili oleh seseorang itu memihak dan mahu melaksanakan perintah Allah. Sebab itu rasuah dalam pengundian diharamkan dalam Islam justeru itu satu pembelotan dan pengkhianatan terhadap Allah. Atau lebih jelas adalah kerana perbuatan itu bermakna tidak bersyahadah kerana Allah; sebaliknya kerana duit atau habuan kebendaan. Perbuatan seperti ini adalah ditegah oleh syara’.

Rasulullah bersabda: “Allah mengutuk orang yang memberi dan menerima rasuah” Hadith riwayat Ahmad , al Tabrani dan Abu Daud dan Termizi. Ia mengatakan bahawa hadith itu adalah hadith Hasan. Dalam setengah riwayat ditambah dengan ungkapan : .. “dan orang yang menjadi perantara kepada pemberi dan penerima rasuah.”

Larangan terhadap rasuah ini malah dirakam dalam kitab Taurat dalam bab dua. Tersebut di situ : Janganlah kamu menerima rasuah; justeru rasuah itu membutakan mata hakim dalam penghakiman mereka.

b) Kewajipan mengundi adalah unjuran dari kewajipan amr makruf dan nahi anil munkar yang wajib ditunaikan oleh setiap muslim. Ia suatu jihad madani untuk mendokong kebenaran dan menumpaskan kebatilan.

Rasulullah bersabda: “Sesiapa dari kalangan kamu yang melihat kemungkaran ia hendaklah merubah (mencegahnya) dengan tangan(kuasa). Kalau tidak berdaya maka dengan lisan.”

Fatwa Islam online menegaskan: (Pengubahan dan pencegahan dengan lisan tidak semestinya bermakna pengubahan dengan perbuatan. Ia bermakna pengubahan dengan membuat teguran terhadap kemungkaran itu sendiri. Salah satu mekanisme menegur kemungkaran ialah apabila seorang ahli parlimen yang pandangannya lumrah diterima oleh orang ramai menegur kemungkaran berkenaan bagi pihak rakyat di parlimen. Teguran seperti itu tentu mudah diterima oleh orang ramai, di samping akan disebar luaskan oleh media massa.)

c) Kewajipan mengundi adalah seumpama kewajipan mentazkiah atau merekomenkan seseorang untuk memegang suatu jawatan dan tanggungjawab penting dalam negara.

d) Kewajipan mengundi adalah kewajipan politik yang terbit dari sifat seseorang sebagai rakyat yang wajib mengundi secara berkala untuk menentukan kumpulan dan wakil pemerintah yang akan menguruskan negara berasaskan perintah Allah.

e) Tugas mengundi adalah merupakan penunaian amanah untuk memberi mandat kuasa kepada seseorang yang layak dan soleh untuk memerintah dan menguruskan negara di lokaliti masing-masing.

Perawi hadith meriwayatkan: “Ketika Nabi sedang memberi bimbingan (tazkirah) kepada orang ramai tiba-tiba datang seorang Arab Badui bertanya: Bilakah kiamat? Tapi Rasulullah terus sahaja bercakap. Lalu kata segolongan; beliau dengar tapi beliau tidak suka dengan soalan itu. Segolongan yang lain pula berrpendapat ; beliau tidak dengar pertanyaan itu. Sehinggalah apabila selesai tazkirah baginda bertanya: siapa yang bertanya mengenai kiamat tadi. Orang itu menjawab, sayalah wahai Rasulullah. Rasulullah menjawab: Apabila disia-siakan amanah maka tunggulah kiamat. Orang itu bertanya pula: Bagaimana yang dikatakan mensia-siakan amanah ? Bagina menjawab: Apabila sesuatu itu diserahkan kepada orang yang tidak berkelayakan maka tunggulah kiamat.”

Menurut Dr. Walid Rabi’ Mahaguru Syariah di Universiti Kuwait asas syariah tanggungjawab mengundi ini berkisar sekitar dua teras sahaja :

Pertama: Ia merupakan kesaksian dari pengundi tentan layaknya calon yang diundi untuk melaksanakan amanah dan tanggongjawab memikul tugas-tugas awam.

Kedua: Ia merupakan suatu rekomendasi “Tazkiah” pengundi untuk calon, Rekomendasi adalah termasuk dalam persoalan pengadilan atau kehakiman; di mana seseorang itu merekomenkan kelayakan seseorang saksi di hadapan hakim. Para ulama fiqh menetapkan bahawa saksi yang mendapat” tazkiah” sama dengan saksi pendakwaan dalam beberapa perkara. Antaranya mereka perlu memiliki kewarasan akal yang sempurna, kuat ingatan, mampu memikul tugas, adil, tidak buta, boleh bertutur, tidak pernah kena hukuman hudud sepeti qazaf, tidak ada pertalian kerabat yang menghalang penerimaan kesaksian di samping kesaksiannya terlepas dari membawa kepenting diri kepada saksi itu sendiri

Pendek kata keseluruhan huraian di atas adalah menjadi asas kepada kewajiban mengundi dalam Islam. Umat tidak dapat lari dari memikul tanggungjawab di dunia dan di akhirat apabila mengkhianati tugas dan kewajiban mengundi sehingga menobatkan para pemimpin korup, sesat dan tidak bermoral atau kredebiliti. Apatah lagi kalau mereka penuh temberang, tembelang dan pasti akan kecundang di akhirat kelak.

Hukum menjual atau membeli undi

Ulama sepakat berpendapat haramnya perbuatan menjual atau membeli undi dalam pilihanraya. Sebab ia adalah merupakan rasuah yang diharamkan baik kepada pengambil atau penerima mahupun pemberinya, bahkan penjadi orang tengah dalam kejahatan ini pun dilarang. Ia termasuk dalam kategori penipuan atau pemalsuan serta pembohongan. Justeru ia berbohong dan menipu orang lain. Ia mengaku layak menjadi pemimpin dan menguasai orang ramai akan tetapi ia sebenarnya tidak layak dan berhak dengan martabat tersebut. Membeli undi adalah suatu pengkhianatan umum yang membawa kepada meratanya kejahatan dan kemusnahan tanggungjawab, serta wasilah untuk memakan duit dan wang haram. Walhal itu semua itu merupakan dosa besar. Ia juga seolah-olah menyembunyikan kesaksian yang benar terhadap yang berhak; padahal perbuatan tersebut dilarang oleh Allah.S.W.T Allah berfirman dalam surah al-Baqarah, ayat 283 yang bermaksud: Jangan kamu sembunyikan kesaksian (yang benar). Siapa yang berbuat demikian maka dia adalah manusia berdosa.

Perbuatan ini juga termasuk dalam kategori kejahatan kezaliman , sebab ia ”meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya”. Apabila kejahatan ini berleluasa maka akan berkembanglah amalan rasuah yang memungkinkan manusia penyeleneh menduduki tempat-tempat kekuasaan yang penting dalam masyarakat serta manusia terkutuk dapat memperkotakkatikkan kepentingan umat.

Rasuah ialah pengajuan wang, benda, atau khidmat atau sebarang janji untuk memberi sesuatu habuan kepada seseorang untuk menghalang proses kebenaran atau usaha menumpaskan kebatilan. Ia adalah salah satu dosa besar yang paling besar bahananya di dunia dan di akhirat; berdasarkan firman Allah dalam surah al-Baqarah, ayat 188, maksudnya: Jangan kamu makan harta sesama kamu secara yang tidak halal dan kamu menghubungkannya pula dengan kuasa dan wewenang pemerintah untuk dapat melahap harta umum secara yang berdosa pada hal kamu sedar dan tahu.

Berbagai Ragam Pembelian Undi

Sebenarnya bentuk dan cara membeli undi masa kini berbagai ragam. Ada yang membeli dengan memberikan kepada pengundi tiket kapal terbang untuk melancong secara langsung atau melalui pihak ketiga. Ada yang memberi perabot rumah, motor, motokar, basikal, malah kadang-kadang rumah murah, atau penginapan di hotel mewah dan sebagainya untuk memancing dan memastikan pengundi mengundi diri mereka atau parti mereka. Semua ini tergolong dalam kategori dosa besar.

Walau bagaimana pun pemberian ikhlas kerana sedekah, tanpa menghubungkaitkan pemberian itu dengan kepentingan peribadi atau kumpulan untuk meraih undi atau kepentingan yang lain maka hal itu tidaklah terlarang dalam Islam. Allah maha mengetahui hakikat niat dan tujuan sebenar sesuatu pemberian. Allah mengganjari sesuatu yang dibuat kerananya.

Golongan yang terlanjur menerima rasuah atau habuan tertentu perlu berpegang teguh kepada prinsip mengundi kerana Allah. Mereka tidak sepatutnya mudah terpengaruh dengan muslihat pemberi rasuah berkenaan. Mereka perlu setia kepada prinsip kebenaran, Islam dan Allah S.W.T. Jika mereka teguh dan tetap mengundi kebenaran atau pihak yang benar maka mereka tidaklah terlibat dalam apa yang dipanggil sebagai politik wang atau rasuah dalam politik. Rezeki di tangan Allah dan dari Allah. Manakala sumpah yang wajib dan wajar dikota ialah sumpah yang benar atau demi menegakkan kebenaran dan Islam. Al Quran tidak pernah menjadi kitab sumpahan untuk memenangkan kebatilan, kejahatan atau kekufuran. Sumpahan al Quran dan laknat Allah hanya mengenai pengkhianat dan penentang ajaran Islam yang sebenar.

Penutup

Apa yang penting para pengundi, baik muslim mahupun bukan harus bijak dan tidak menyerahkan kad pengenalan mereka kepada pihak yang tidak bertanggungjawab yang boleh menghilangkan hak mereka mengundi pada masanya atau memberi hak kepada orang lain untuk membuat pengundian atas namanya tanpa sebarang rasa bersalah dan berdosa hanya kerana sehelai kain atau beberapa ringgit wang imbuhan.

Ingatlah undi dan hak pengundian anda adalah amanah Allah dan rakyat kepada anda. Anda wajib menunaikan amanah ini dengan sebaik-baiknya dan demi Allah semata-mata. Allah Allah berfirman dalam Surah al Taubah ayat 40, maksudnya: “Mengapa kalian tidak mahu menyokongnya (perjuangan Muhammad atau perjuangan Islam ) pada hal Allah sendiri telah menyokongnya ketika orang-orang kafir mengusirnya keluar (dari kota Mekah) sehingga beliau menjadi salah seorang dari dua orang (pelarian).(Ingatlah juga) ketika mereka berdua dalam gua dan dia berkata kepada temannya; jangan bimbang, Allah bersama kita. (Justeru itu ) Allah turunkan rasa tenteram dalam jiwanya, Allah bantu dia dengan tentera yang mereka tidak nampak. (Malah) Allah jadikan dasar perjuangan orang kafir hina dan rendah. (Sebaliknya) Allah julangkan perjuangan atas nama Allah (Islam). Memang Allah maha perkasa maha bijaksana.”

13 December 2005

Akhlak yg Mulia...

Di sudut pasar Madinah ada seorang pengemis Yahudi buta yang setiap harinya selalu berkata kepada setiap orang yang mendekatinya, "Wahai saudaraku, jangan dekati Muhammad, dia itu orang gila, dia itu pembohong, dia itu tukang sihir, apabila kalian mendekatinya maka kalian akan dipengaruhinya".

Namun, setiap pagi Muhammad Rasulullah SAW mendatanginya dengan membawakan makanan, dan tanpa berucap sepatah kata pun Rasulullah SAW menyuapkan makanan yang dibawanya kepada pengemis itu sedangkan pengemis itu tidak mengetahui bahwa yang menyuapinya itu adalah Rasulullah SAW.

Rasulullah SAW melakukan hal ini setiap hari sampai beliau wafat. Setelah wafatnya Rasulullah SAW praktis tidak ada lagi orang yang membawakan makanan setiap pagi kepada pengemis Yahudi buta itu. Suatu hari sahabat terdekat Rasulullah SAW yakni AbuBakar RA berkunjung ke rumah anaknya Aisyah RA yang tidak lain tidak bukan merupakan isteri Rasulullah SAW dan beliau bertanya kepada anaknya itu,

"Anakku, adakah kebiasaan kekasihku yang belum aku kerjakan?". Aisyah RA menjawab, "Wahai ayah, engkau adalah seorang ahli sunnah dan hampir tidak ada satu kebiasaannya pun yang belum ayah lakukan kecuali satu saja".

Apakah Itu?", tanya Abu Bakar RA.

"Setiap pagi Rasulullah SAW selalu pergi ke hujung pasar dengan membawakan makanan untuk seorang pengemis Yahudi buta yang ada di sana", kata Aisyah RA.

Keesokan harinya Abu Bakar RA pergi ke pasar dengan membawa makanan untuk diberikan kepada pengemis itu. Abu Bakar RA mendatangi pengemis itu lalu memberikan makanan itu kepadanya. Ketika Abu Bakar RA mulai menyuapinya, si pengemis marah sambil menghardik, "Siapakah kamu ?".

Abu Bakar RA menjawab, "Aku orang yang biasa."

"Bukan! Engkau bukan orang yang biasa mendatangiku", bantah si pengemis buta itu.

"Apabila ia datang kepadaku tidak susah tangan ini memegang dan tidak susah mulut ini mengunyah. Orang yang biasa mendatangiku itu selalu menyuapiku, tapi terlebih dahulu dihaluskannya makanan tersebut setelah itu ia berikan padaku", pengemis itu melanjutkan perkataannya.

Abu Bakar RA tidak dapat menahan air matanya, ia menangis sambil berkata kepada pengemis itu, "Aku memang bukan orang yang biasa datang padamu.
Aku adalah salah seorang dari sahabatnya, orang yang mulia itu telah tiada. Ia adalah Muhammad Rasulullah SAW".

Seketika itu juga pengemis itu pun menangis mendengar penjelasan Abu Bakar RA, dan kemudian berkata, "Benarkah demikian?

Selama ini aku selalu menghinanya, memfitnahnya, ia tidak pernah memarahiku sedikitpun, ia mendatangiku dengan membawa makanan setiap pagi, ia begitu mulia....

" Pengemis Yahudi buta tersebut akhirnya bersyahadat di hadapan Abu Bakar RA saat itu juga dan sejak hari itu menjadi muslim.

Nah, wahai saudaraku, bisakah kita meneladani kemuliaan akhlaq Rasulullah SAW? Atau adakah setidaknya niatan untuk meneladani beliau?

Beliau adalah ahsanul akhlaq, semulia-mulia akhlaq. Kalaupun tidak bisa kita meneladani beliau seratus persen, alangkah baiknya kita berusaha meneladani sedikit demi sedikit, kita mulai dari apa yang kita sanggup melakukannya.
 

Great Morning ©  Copyright by a m d a n g 8 1 | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks