16 April 2014

Dato’ Ustaz Harun Taib dan Kisah Dakwah Buah Nangka Prof Zul

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...



Bagi anak murid yang selalu mengikuti ucapan dan taujihat dari Murabbi Dato’ Ustaz Harun Taib, sudah pasti menyedari bahawa setiap ucapan Almarhum pasti diselitkan kisah-kisah yang beliau alami sendiri mahupun pengalaman sahabat-sahabat.

Antara kisah yang suka dibawa oleh almarhum adalah kisah Profesor Dr. Zulkifli Muhammad (1927-1964), yang merupakan bekas Timbalan Yang Dipertua PAS ketika PAS dipimpin oleh Dr Burhanudin Al Helmi

Menurut almarhum Ustaz, suatu hari Prof Zul mengunjungi sebuah rumah seorang penyokong UMNO dengan hasrat mahu melakukan dakwah Fardhiyyah. Namun, sambutan yang diberikan oleh tuan rumah tersebut terlalu dingin. Soalan-soalan yang diajukan dijawab acuh tak acuh sahaja. Bahkan mimik muka yang digambarkan juga tidak senang dengan kehadiran pimpinan PAS tersebut.

Melihat kepada situasi yang tidak mesra itu, tiba-tiba Prof Zul terpandang sebatang pokok nangka di halaman rumah tersebut. Pada pokok nangka itu, sudah mula terdapat buah-buah yang kecil dan masih putik.

Prof Zul kemudiannya mengalihkan topik perbualan mereka mengenai pokok buah nangka tersebut. Prof Zul kemudiannya menyatakan minat bagi mendapatkan buah nangka itu apabila masak kelak.

Bermula dari hari itu, Prof Zul kerap melalui rumah penyokong UMNO berkenaan. Singgahnya hanya sebentar bertanyakan khabar buah nangka yang masih putik itu. Prof Zul terus berpesan supaya buah tersebut dijaga elok dan disimpan apabila masak kelak.

Rutin tersebut berterusan sehingga Prof Zul dan tuan pokok nangka tersebut akhirnya boleh berbual dengan baik. Dari bermasam muka, boleh bertegur sapa. Dari berbual di muka pintu, boleh masuk ke ruang tamu.

Akhirnya, dikatakan belum masak buah nangka tersebut, penyokong UMNO itu telah menyerahkan boring bagi bersama-sama dengan PAS.



*Versi lebih kurang dari penceritaan yang disampaikan oleh Almarhum Dato’ Ustaz Harun Taib di dalam program-program khususnya yang melibatkan teknik dakwah dan penyampaian berkesan.