19 June 2014

Bagaimana mengenalkan Ramadhan kepada anak-anak?

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...


Selamat Datang Ramadhan...

10 hari menjelang Ramadhan, suasana sekeliling masih seperti biasa. Semua orang tetap dengan cara hidup yang sama. Seperti biasa. Jika ada yang mengalami perubahan, para peminat Piala Dunia. Ulasannya semangat Hasbullah Awang, matanya lebam seperti Panda.

Dalam satu perbincangan di Whatsapp FAQEH Terengganu, saya tertarik dengan satu lontaran perbincangan yang dikemukakan oleh Ustazah Nor'Aziah Mohd Daud mengenai bagaimana mengenalkan anak-anak istimewa khususnya tentang kehadiran bulan Ramadhan.

Bagaimana mengenalkan Ramadhan kepada anak-anak?





Wujudkan 'suasana' yang istimewa terhadap anak-anak. Antara caranya adalah jika menjelang raya kita persiapkan baju raya, Ramadhan ini disambut dengan shopping telekung baru, kopiah baru, quran baru, sejadah baru dan sebagainya. Juga boleh ajak mereka membeli CD atau VCD quran untuk dipasang di rumah atau di dalam kereta. Ceritakan kepada mereka setiap apa yang kita buat tu sebagai nak sambut Ramadhan.

Sebelum datang Ramadhan juga kita boleh bawa anak-anak survey masjid dan surau. Kenalkan dia tempat wudhuk, tandas dan tidak lupa tabung masjid. Nanti apabila tiba Ramadhan, minta anak isi tabung tersebut. Biarpun hanya dengan kadar RM1, paling tidak kita telah memberikan mereka pengalaman untuk menghulurkan sedekah di bulan Ramadhan. Ceritakan kepada mereka amalan baik di bulan Ramadhan Allah gandakan pahalanya.

Pengalaman kita sendiri ketika masih budak-budak yang tentu kita ingat adalah menghantar makanan berbuka kepada jiran-jiran. Teruskan amalan ini kepada anak-anak kita. Samada kita memasak lebih sedikit pada hari berkenaan, atau kita beli lebih sedikit di bazar Ramadhan. Biar anak pegang makanan berkenaan dan serah kepada jiran. Ajar mereka memberi.

Ustazah juga menitip pesan supaya jangan lupa beri penerangan yang paling ringkas terhadap setiap perlakuan yang kita lakukan. Tidak perlu panjang lebar seperti berteori. InsyaAllah mereka akan faham.

"Ini sunnah nak"

"Nabi suka kita buat macam ni"

Pelbagai lagi amalan dan praktikal yang kita boleh lakukan bersama anak-anak. Kenalkan mereka buah tamar, bantu orang miskin, cerita tentang zakat, cerita tentang cara berpuasa dan pelbagai lagi. Pendek kata, kita cuba kenalkan kedatangan Ramadhan ini kepada mereka.

Jika terasa tidak tahu bagaimana mahu memulakan, ajak sahaja mereka tonton Upin dan Ipin berpuasa. Sambil-sambil kita terangkan sedikit demi sedikit.

Bagaimana lagi cara berkongsi kedatangan Ramadhan dengan anak-anak?

Selamat Datang Ramadhan!!

16 April 2014

Dato’ Ustaz Harun Taib dan Kisah Dakwah Buah Nangka Prof Zul

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...



Bagi anak murid yang selalu mengikuti ucapan dan taujihat dari Murabbi Dato’ Ustaz Harun Taib, sudah pasti menyedari bahawa setiap ucapan Almarhum pasti diselitkan kisah-kisah yang beliau alami sendiri mahupun pengalaman sahabat-sahabat.

Antara kisah yang suka dibawa oleh almarhum adalah kisah Profesor Dr. Zulkifli Muhammad (1927-1964), yang merupakan bekas Timbalan Yang Dipertua PAS ketika PAS dipimpin oleh Dr Burhanudin Al Helmi

Menurut almarhum Ustaz, suatu hari Prof Zul mengunjungi sebuah rumah seorang penyokong UMNO dengan hasrat mahu melakukan dakwah Fardhiyyah. Namun, sambutan yang diberikan oleh tuan rumah tersebut terlalu dingin. Soalan-soalan yang diajukan dijawab acuh tak acuh sahaja. Bahkan mimik muka yang digambarkan juga tidak senang dengan kehadiran pimpinan PAS tersebut.

Melihat kepada situasi yang tidak mesra itu, tiba-tiba Prof Zul terpandang sebatang pokok nangka di halaman rumah tersebut. Pada pokok nangka itu, sudah mula terdapat buah-buah yang kecil dan masih putik.

Prof Zul kemudiannya mengalihkan topik perbualan mereka mengenai pokok buah nangka tersebut. Prof Zul kemudiannya menyatakan minat bagi mendapatkan buah nangka itu apabila masak kelak.

Bermula dari hari itu, Prof Zul kerap melalui rumah penyokong UMNO berkenaan. Singgahnya hanya sebentar bertanyakan khabar buah nangka yang masih putik itu. Prof Zul terus berpesan supaya buah tersebut dijaga elok dan disimpan apabila masak kelak.

Rutin tersebut berterusan sehingga Prof Zul dan tuan pokok nangka tersebut akhirnya boleh berbual dengan baik. Dari bermasam muka, boleh bertegur sapa. Dari berbual di muka pintu, boleh masuk ke ruang tamu.

Akhirnya, dikatakan belum masak buah nangka tersebut, penyokong UMNO itu telah menyerahkan boring bagi bersama-sama dengan PAS.



*Versi lebih kurang dari penceritaan yang disampaikan oleh Almarhum Dato’ Ustaz Harun Taib di dalam program-program khususnya yang melibatkan teknik dakwah dan penyampaian berkesan.
 

27 March 2014

Blog Ini Perlu Diteruskan....

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Sungguh, sudah lama aku tidak menjenguk blog ini. Walaupun suatu ketika dahulu, di sinilah aku meluah rasa, mencoret cerita dan menunjal siapa sahaja yang aku rasa tidak kena. Hampir semuanya dikongsi di sini. Entah mengapa perpisahan aku dengan blog ini tamat begitu sahaja sebelum ini. Aku rasa mungkin juga gara-gara Mark Zuckerberg.

Lama tidak menulis, terasa masih kosong...
Menulis blog memerlukan sedikit komitmen berbanding menulis di Facebook. Di Facebook, taip sepatah pun ramai yang baca. Ramai yang like. Tersalah taip pun ada yang like. Itulah dunia Facebook. Muka buku dan mungkin juga tempat melahirkan manusia bermuka-muka.

Tetiba terasa mahu membuka kembali blog ini. Antara faktor utama adalah blog mudah membuat rujukan peristiwa yang dicatatkan. Jika di Facebook, jenuh juga. Benda mudah, ada ketika susah. Benda susah, ada ketikanya menyenangkan.

Semoga ada kebaikan kepada diri ini dan sahabat pembaca dengan kembalinya blog ini. Anggap sahaja diri ini masih baru di dunia blog dan harap sahabat yang masih aktif dapat beri tunjuk ajar dan ilmu-ilmu baru tentang dunia blog ini. Wallahua'lam...