19 June 2014

Bagaimana mengenalkan Ramadhan kepada anak-anak?

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...


Selamat Datang Ramadhan...

10 hari menjelang Ramadhan, suasana sekeliling masih seperti biasa. Semua orang tetap dengan cara hidup yang sama. Seperti biasa. Jika ada yang mengalami perubahan, para peminat Piala Dunia. Ulasannya semangat Hasbullah Awang, matanya lebam seperti Panda.

Dalam satu perbincangan di Whatsapp FAQEH Terengganu, saya tertarik dengan satu lontaran perbincangan yang dikemukakan oleh Ustazah Nor'Aziah Mohd Daud mengenai bagaimana mengenalkan anak-anak istimewa khususnya tentang kehadiran bulan Ramadhan.

Bagaimana mengenalkan Ramadhan kepada anak-anak?





Wujudkan 'suasana' yang istimewa terhadap anak-anak. Antara caranya adalah jika menjelang raya kita persiapkan baju raya, Ramadhan ini disambut dengan shopping telekung baru, kopiah baru, quran baru, sejadah baru dan sebagainya. Juga boleh ajak mereka membeli CD atau VCD quran untuk dipasang di rumah atau di dalam kereta. Ceritakan kepada mereka setiap apa yang kita buat tu sebagai nak sambut Ramadhan.

Sebelum datang Ramadhan juga kita boleh bawa anak-anak survey masjid dan surau. Kenalkan dia tempat wudhuk, tandas dan tidak lupa tabung masjid. Nanti apabila tiba Ramadhan, minta anak isi tabung tersebut. Biarpun hanya dengan kadar RM1, paling tidak kita telah memberikan mereka pengalaman untuk menghulurkan sedekah di bulan Ramadhan. Ceritakan kepada mereka amalan baik di bulan Ramadhan Allah gandakan pahalanya.

Pengalaman kita sendiri ketika masih budak-budak yang tentu kita ingat adalah menghantar makanan berbuka kepada jiran-jiran. Teruskan amalan ini kepada anak-anak kita. Samada kita memasak lebih sedikit pada hari berkenaan, atau kita beli lebih sedikit di bazar Ramadhan. Biar anak pegang makanan berkenaan dan serah kepada jiran. Ajar mereka memberi.

Ustazah juga menitip pesan supaya jangan lupa beri penerangan yang paling ringkas terhadap setiap perlakuan yang kita lakukan. Tidak perlu panjang lebar seperti berteori. InsyaAllah mereka akan faham.

"Ini sunnah nak"

"Nabi suka kita buat macam ni"

Pelbagai lagi amalan dan praktikal yang kita boleh lakukan bersama anak-anak. Kenalkan mereka buah tamar, bantu orang miskin, cerita tentang zakat, cerita tentang cara berpuasa dan pelbagai lagi. Pendek kata, kita cuba kenalkan kedatangan Ramadhan ini kepada mereka.

Jika terasa tidak tahu bagaimana mahu memulakan, ajak sahaja mereka tonton Upin dan Ipin berpuasa. Sambil-sambil kita terangkan sedikit demi sedikit.

Bagaimana lagi cara berkongsi kedatangan Ramadhan dengan anak-anak?

Selamat Datang Ramadhan!!