31 December 2009

Himpunan Aman - 8 Jan 2010: Mesir Jangan Jadi Israel

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...


“Biarkan kami mati dalam kemuliaan sebagai mujahid. Jika kalian mau, marilah bersama-sama kami sedaya mungkin. Tugas membela kami terpikul di bahu kalian. Kalian juga sepatutnya menyaksikan kematian kami dan menghulurkan simpati. Sesungguhnya Allah akan menghukum siapa saja yang lalai menunaikan kewajiban yang diamanahkan Dan kami berharap kepada kalian supaya jangan menjadi musuh yang menambah penderitaan kami. Demi Allah, jangan menjadi musuh kepada kami wahai pemimpin-pemimpin ummat ini, wahai bangsa ummat ini” - Syeikh Ahmad Yassin

HIMPUNAN AMAN DAN SERAHAN MEMORANDUM BANTAHAN MENYEKAT ROMBONGAN BANTUAN “PALESTINE SOLIDARITY CAMPAIGN” KE KEDUTAAN MESIR

Dewan Pemuda PAS Pusat akan mengadakan Himpunan Aman serta serahan memorandum ke Kedutaan Mesir bagi membantah tindakan kerajaan Mesir yang menyekat rombongan bantuan “Palestine Solidarity Campaign” ke Palestin.

Tindakan kerajaan Mesir dianggap melampau serta mencabul nilai-nilai kemanusiaan. Himpunan Aman tersebut akan diadakan menurut makluman berikut:-

  • Tarikh : 8 Januari 2010 (JUMAAT)
  • Masa : jam 2.00 petang (selepas solat Jumaat)
  • Tempat : bermula dari Masjid Tabung Haji, Jalan Ampang dan Berarak ke Kedutaan Mesir, Jalan Ampang.

Semua pencinta keamanan dan kebenaran diminta hadir beramai-ramai.

Wallahua'lam.

29 December 2009

Wajah terbaru Balqis

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Sesaje posting gambar-gambar Balqis. Ni antara yang terbaru. Perkembangan terbaru tentang Balqis rasanya tidak banyak. Cuma sudah mulai belajar berdiri. Balqis akan bergantung kepada apa yang ada di sekelilingnya untuk cuba berdiri.

Berat dan kesihatan biasa-biasa saja. Berat dah naik 8.5Kg, manakala kesihatan - sedang selsema. Sudah seminggu. Baru-baru ini Balqis ada mengikuti Lawatan Persatuan Sindrom Down Terengganu ke KL, tapi Umi Balqis belum buat posting berkaitan lawatan tersebut. Kata Umi, banyak berkongsi dengan ibubapa yang lain tentang anak-anak SD ini.

Antara 'sifat' mereka yang seakan sama adalah tidak suka air masak / kosong dan akan membaling botol selepas minum.


"Abi, ajar adik buat blog". Gaya seorang blogger cilik. Balqis dah mulai berdiri!


Senyum!


Di suatu hari yang panas...


Senyum sokmo.


Tidur di penjuru bilik mesyuarat. Kesian Balqis kena ikut abi gi meeting.


Sesekali ikat rambut.


Ni nak daftar masuk sekolah mana ni?


Main masak-masak


Di tepi pantai yang indah.. ku duduk seorang diri..


Menanti order nasi air siap.

Sekian catatan kebosanan!

23 December 2009

Wajarkah Dr Rosli Allani Melepaskan Jawatan?

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Aku secara peribadi tidak bersetuju dengan keputusan Dr Rosli Allani melepaskan kesemua jawatannya di dalam parti selepas keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu memerintahkannya tinggal berasingan dengan isteri keduanya. Alasan yang diberikan adalah bagi mengelakkan masalah peribadinya menjejaskan imej PAS.


Mesyuarat melahirkan hasil yang baik

Aku tidak bersetuju jika keputusan yang diambil oleh Dr Rosli Allani itu adalah keputusan peribadi beliau. Sebaliknya jika itu keputusan jemaah, atau paling tidak telah berbincang di dalam mesyuarat mahupun usrah Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan, aku kira keputusan yang diambil lebih baik dan lebih elok.

Perlantikan sesuatu jawatan dalam jemaah adalah suatu amanah. Amanah ini bukan diberikan kepada sebarangan individu, tetapi biasanya melalui suatu mesyuarat atau pemilihan. Jika jawatan Ketua Penerangan, aku percaya ianya dipilih melalui pemilihan memandangkan jawatan tersebut merupakan Organisasi Harian kepada Dewan Pemuda PAS Kelantan.

Mungkin ada sebahagian yang bersetuju dengan perletakan jawatan Dr Rosli Allani kerana menganggap tindakan tersebut betul dan keputusan mahkamah tersebut akan memberi kesan kepada PAS. Tetapi sebenarnya persepsi masyarakat adalah sebaliknya dan melihat perletakan jawatan tersebut sebagai suatu pengakuan bahawa Dr Rosli Allani dengan sedar dan sengaja melakukan kesalahan tersebut!

Keputusan mahkamah hanya memerintahkan Dr Rosli Allani mufarakah dengan isteri keduanya dan belum memutuskan bahawa pernikahan mereka dibatalkan. Mereka sedang dibicarakan dan masih tidak didapati bersalah. Cuma apabila melibatkan isu suami-isteri, arahan mufarakah adalah sesuatu yang biasa dan wajar sementara perbicaraan diteruskan.

Aku percaya, sehingga pengumuman perletakan jawatan oleh Dr Rosli Allani semalam, surat perletakan jawatan masih belum dihantar kepada DPPNK. Janganlah budaya 'melepaskan jawatan' ini dijadikan suatu amalan, apatah lagi kesalahan dan jawatan yang dipegang tidak berkait secara langsung.

Mungkin ada yang beranggapan tindakan tersebut sebagai hero, tetapi bagi aku ianya tidak lebih dari tindakan cepat mengalah.

Teringat kata-kata seorang teman, jika mahu jadi ahli politik mesti bertelinga tebal, mulut mesti manis. Jika tidak tahan dengan sedikit cubaan, usah masuk politik.

Apapun, ianya adalah PERSEPSI sahaja. Persepsi oh persepsi...

Nota: Pimpinan PAS Kelantan ramai yang 'terpalit' dengan masalah poligami. Harap ada kursus khas bagaimana menguruskan poligami di kalangan pimpinan. :)

Kalaulah Yang Tidak Hadir Sidang Bajet Parlimen itu MP Bachok dan MP Marang...

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Pendahuluan: Artikel ini disalin dari sebuah blog. Bagaimanapun, aku tidak suka untuk menyebut blog mana yang menyiarkan artikel ini atas faktor-faktor 'pendapat peribadi' aku.
---------------------------------------------------------------------------------



Sidang Parlimen untuk meluluskan Bajet 2010 baru-baru ini menimbulkan perbahasan hangat di dalam blog-blog politik dan akhbar-akhbar arus perdana.Penyokong-penyokong BN mahupun PR, masing-masing kesal apa yang berlaku ke atas Ahli-ahli Parlimen (MP) yang mereka pilih yang sepatutnya menjalankan tugasan mereka untuk hadir ke dalam sidang parlimen yang dijalankan.

Bagi penyokong-penyokong BN, ketidakhadiran MP-MP mereka ke Perlimen menyukarkan lagi usaha mereka untuk mengembalikan sokongan rakyat kepada mereka selepas gagal pada PRU lalu. Bagi penyokong-penyokong PR pula, kejadian tersebut menjadikan usaha untuk meyakinkan rakyat bahawa PR sebagai “government in waiting”, menjadi sukar selepas “hampir berjaya” pada PRU lalu dan “agenda 16 September”.

Agenda 16 September yang pernah gagal dahulu sepatutnya diteruskan dan Sidang Parlimen untuk meluluskan Bajet 2010 inilah medan terbaik untuk membuktikan semangat Pakatan Rakyat yang bersungguh-sungguh untuk menggantikan rejim Umno/BN. Namun, kejadian ini amat dikesalkan sama sekali.

Kalau di Bagan Pinang, kekalahan PAS disabitkan kepada “kapten” PAS seperti yang dikatakan oleh Dr Aziz Bari, maka kegagalan PR perlu disabitkan kepada “kapten” kepada Ahli Parlimen Pembangkang, bukankah begitu?

Kalau kita gunakan nada yang sama daripada tulisan Dr Aziz Bari “Pengajaran dari Bagan Pinang”, maka lemparan-lemparan yang sama wajar dikeluarkan untuk “kapten” MP pembangkang di Parlimen Malaysia, seperti “Pak Lah versi PR”, “perubahan dalam PR”, “terlalu lama memimpin”, dan sebagainya…..

(Nota : Di dalam tulisan Pengajaran dari Bagan Pinang”, Dr Aziz Bari menyifatkan Presiden PAS adalah Pak Lah versi PAS, kerana terlalu lama memimpin, dan PAS perlukan perubahan kapten).

Cuba bayangkan, kalaulah yang tidak hadir itu adalah MP Bachok dan MP Marang, sudah tentu akan melalak dan meroyanlah blogger-blogger Tulang, Tukang Tarik Beca, MP-MP yang mengaku merekalah Pro-Pakatan Rakyat.

Mujurlah yang tidak hadir itu MP Kuala Krai, MP Parti Buntar, MP Pokok Sena, MP Gombak, MP Lembah Pantai….

Kalaulah MP Bachok atau MP Marang yang tidak hadir, sudah tentu lagu-lagu “pro-Umno”, “pengkhianat mandat rakyat”, “memecahbelahkan PR”, “fraksi Umno”, dan sebagainya akan dinyanyikan di sana-sini oleh para blogger upahan dan sebahagian pemimpin PR.

Malah, MP-MP yang beria-ia menghantar memorandum membantah Kerajaan Perpaduan pun tidak hadir hadir, termasuklah MP yang mengetuai sidang media dan memorandum tersebut.

MP Shah Alam dan MP Kuala Selangor juga tidak memberi reaksi mereka sangat dalam isu ini di blog mereka berbanding isu 16 September dan Kerajaan Perpaduan. Oh, mungkin mereka menjaga semangat setia kawan PR, bukan kerana rakan-rakan mereka yang sama team tidak hadir sidang Parlimen.



(Nota: Pada 18 Jun lalu, beberapa MP PAS mengadakan sidang media dan memorandum membantah Kerajaan Perpaduan atas alasan memperkukuhkan Pakatan Rakyat).

Kalau dilihat satu persatu senarai nama MP PR yang tidak hadir itu, daripada jumlah keseluruhan tersebut, MP daripada PAS adalah yang paling sedikit,

Ini membuktikan PAS yang diketuai oleh TG Haji Abdul Hadi Awang begitu komited untuk memperkukuhkan PR, meskipun MP PAS yang paling sedikit berbanding rakan-rakan PR yang lain di dalam Parlimen.

(Nota akhir: tentu tulisan ini akan dikritik sebagai “pemecahbelah PR” oleh mereka tadi)

----------------------------------------------------------------------
Nota Akhir Aku: Tulisan ini hanya mahu menjelaskan betapa PERSEPSI itu sesuatu yang boleh dibina, dan boleh diruntuhkan. PERSEPSI bukanlah suatu informasi, tetapi lebih kepada suatu bentuk manipulasi. Sebab itu PERSEPSI salah dan jahat terhadap pimpinan tertinggi selama ini sebenarnya sengaja ditimbulkan oleh pihak-pihak tertentu. UG hanyalah kambing hitam dan alasan.

17 December 2009

Doa Awal dan Akhir Tahun

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Selamat tinggal 1430H...




Ahlan Wasahlan 1431H.



Semoga segala amal kita diterimaNya. Wallahua'lam

08 December 2009

Dari Siem Reap ke Phnom Penh 2

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Siem Reap dan Angkor Wat

Siem Reap agak terkenal sebagai sebuah bandar pelancongan. Antara destinasi utama di sini adalah Angkor Wat. Kemegahan Angkor Wat bukan sahaja dilihat sebagai satu mercu tanda bagi Kemboja, malah nama 'Angkor' digunakan secara meluas dan menjadi suatu kebanggaan. Itu termasuklah minuman keras 'Angkor' yang berasal dari Kemboja. Di mana-mana kedai samada runcit atau kedai makan, terpampang banner atau poster jenama 'Angkor' dengan megah.

Nama Angkor juga digunakan meluas sebagai nama pada hotel dan premis perniagaan yang lain. Hotel yang kami menginap di Siem Reap pada malam pertama di Kemboja turut menggunakan perkataan Angkor. Angkor Star Hotel, milik seorang Cina yang sudah memeluk Islam. Dikatakan, terdapat lebih 150 hotel di Siem Reap sahaja, dan jumlah ini jauh melebihi hotel di Phnom Penh.


Penggunaan Tut-tut masih meluas di sini.

Mengikut perancangan asal, memang kami dijadualkan melawat Angkor Wat, tetapi kerana masa banyak dihabiskan ketika menunggu 'sarapan', maka perancangan terpaksa diubah. Namun bukanlah sesuatu yang merugikan rasanya tidak melawat Angkor Wat yang merupakan sebuah kuil yang besar.

Di sini, pembinaan bangunan 'dilarang' melebihi ketinggian Angkor Wat itu sendiri. Paling tinggi bangunan yang ada di sini adalah sekitar 5 atau 6 tingkat sahaja. Aku tidak pasti samada itu adalah peraturan pembandaran, atau kepercayaan masyarakat setempat. Namun, aku tidak menemui bangunan yang melebihi ketinggian tersebut.

Walaupun Siem Reap merupakan bandar pelancongan, penduduk di sini dikatakan antara yang paling miskin berbanding wilayah-wilayah lain di Kemboja. Wilayah yang dikatakan paling ramai golongan yang kaya adalah Kampung Cham. Kampung Cham mempunyai penduduk muslim yang ramai, tetapi muslim di wilayah Kampung Cham jauh ketinggalan berbanding golongan lain.

Memandangkan Siem Reap merupakan kawasan pelancongan, kami tidak digalakkan membeli belah di sini. Harga barangan di sini dikatakan lebih mahal dari Phnom Penh yang merupakan ibu negara Kemboja.

Kampung Atas Air di Tonle Sap

Saujana mata memandang...

Perjalanan ke Tasik Tonle Sap dari bandar Siem Reap mengambil masa kira-kira 30-40 minit. Sepanjang jalan menuju ke jeti, jelas kelihatan betapa kesusahan yang melanda penduduk di Siem Reap ini. Rumah-rumah yang kebanyakan kecil dan ada yang kelihatan seperti pondok-pondok sahaja layaknya.

Apa yang menarik mengenai rumah atas air ini adalah ianya menjadi suatu produk pelancongan. Banyak bot-bot untuk pelancong disediakan di jeti menggambarkan betapa ianya menjadi suatu destinasi utama pelancong ke sini. Rumah-rumah di sini memang sebahagiannya atas perahu atau bot yang ditambah atap.

Walaupun di atas air, tetapi terdapat banyak juga kemudahan di sini. Ada balai polis, ada surau, ada sekolah, ada restoran, kedai runcit, ada khidmat membuat bot dan pelbagai lagi. Semuanya di atas air. Juga ada sebahagian penduduk di sini mempunyai televisyen yang dijanakan dengan kuasa solar.


Rumah seperti ini pemandangan 'biasa' di sepanjang jalan ke Tasik Tonle Sap.


Jeti di Tasik Tonle Sap.


Bot-bot yang digunakan mampu memuatkan sekitar 20 penumpang lebih dalam satu-satu masa


Suasana di tasik


Suasana rumah atas air


Walaupun di air, masih sempat bertanam bunga.


Sebuah bot 'diparking' ketika tidak digunakan


'Pengemis atas air'


Dengan sebuah besen, gadis kecil ini bergerak di dalam air sambil menunjukkan kebolehannya bermain ular.


Antara restoran yang terdapat di sini.


Sekolah


Cenderahati dijual di atas 'restoran bot'


Pusat Geckos


Buaya yang dibela di atas bot


Surau - signboard biru.


Majlis menyerah sumbangan untuk surau kepada imam menjadi agenda terakhir kami di Tasik Tonle Sap.

Wallahua'lam.

Dari Siem Reap ke Phnom Penh 1

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Tiba di Siem Reap, Kemboja. (26 Nov 2009)

Alhamdulillah, penerbangan Airasia yang membawa kami dari LCCT, Kuala Lumpur selamat mendarat kira-kira jam 8.00 pagi waktu Kemboja. Waktu Kemboja dan Malaysia hanya berbeza satu jam. Jam di tangan menunjukkan waktu di Malaysia, masanya adalah jam 9.00 pagi.

Pemandangan Lapangan Terbang Antarabangsa Siem Reap-Angkor agak menarik kerana menampilkan ciri-ciri tradisi. Sekali dilihat ciri-cirinya agak mirip kepada Thailand. Mungkin namanya Siem Reap itu mempunyai maksud tersendiri memandangkan wilayah ini tidak jauh dari sempadan Kemboja-Thailand.


Airport Siem Reap- Angkor

Kami mengambil masa yang agak lama untuk berurusan dengan pihak imigresen di sana kerana hanya beberapa kaunter sahaja dibuka. Mungkin itu agak berbaloi kerana ketika ketibaan kami, tiada pesawat lain di situ. Dilihat kepada airport yang ada, tidak banyak penerbangan dilakukan dari sini.

Dari airport, kami terus dibawa ke sebuah 'warung' masakan Malaysia dengan menaiki van. Pada permulaan, kami menjangkakan hanya kami 9 orang sahaja satu kumpulan. Rupa-rupanya kumpulan kami digabungkan dengan dua kumpulan yang lain dari Utara Malaysia. Menjadikan kumpulan kami keseluruhannya sekitar 22 orang (termasuk 4 orang wakil Yayasan Salam Malaysia)


d'Wau Restoran "Malaysia Kitchen Authentic Asia Cuisine"

Apa yang sedikit menyedihkan warung ini adalah servisnya. Mungkin juga ianya satu kesilapan 'pemandu pelancong' kami yang tidak menempah makanannya terlebih dahulu. Natijahnya, kami terpaksa menunggu lama bagi mendapatkan makanan. Juga, masa kami banyak terbuang di sini. Bayangkan sehingga jam 10.00 pagi waktu kemboja makanan yang aku order belum sampai.

Antara menu utama di sini adalah Kuew Teow Sup. Itulah yang kami order untuk sarapan. Tapi, bila tiba giliran aku, air sup pula dikatakan sudah habis. Maka terpaksalah aku menerima sahaja menu "Nasi Lemak Siem Reap".


Nasi Lemak + Air Suam

Sesuatu yang agak istimewa ketika mana sedang bosan menunggu hidangan tiba adalah ketibaan lori ais. Dengan tiba-tiba sahaja aku teringat isu pengusaha ais di Terengganu terpaksa 'menutup seketika' operasi kerana wabak Taun yang melanda Terengganu. Ais dikatakan antara punca utama wabak tersebut di Terengganu. Wabak Taun dikaitkan dengan kebersihan sesuatu penyediaan makanan.


Lori ais di Kemboja. Call je nombor yang tertera jika berminat.


Ais dipotong mengikut saiz yang dikehendaki.

Ada lagi gambar menarik tentang ais yang dijual di Kemboja. Banyak lagi yang mahu dikongsi. Seorang sahabat mencadangkan ditulis buku mengenai perjalanan tersebut, namun rasanya terlalu kerdil untuk menulis tentang perjalanan yang beberapa hari sahaja itu.

Wallahua'lam.
 

Great Morning ©  Copyright by a m d a n g 8 1 | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks