24 November 2009

Ziarah & Qurban di Kemboja 1430H

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Antara perkara yang aku suka adalah pusing-pusing, jalan-jalan. Jika diberi kesempatan dan mempunyai ruang masa, serta punya kewangan yang lebih mahu rasanya mengelilingi dunia. Aku suka memerhatikan gelagat manusia yang pelbagai. Merasai suasana mereka dan menghayati kehidupan mereka.

Alhamdulillah, tahun ini aku dapat pelawaan untuk menguruskan korban di Kemboja. Sebetulnya tawaran ini sudah muncul 2 tahun lalu, tetapi terpaksa ditolak kerana ketika itu sedang mengumpul wang untuk mendirikan rumahtangga. Pelawaan tahun lalu juga terpaksa ditolak kerana Balqis masih kecil lagi.

InsyaAllah, jika program ziarah ini sempat diikuti, ini adalah negara ketiga yang aku kunjungi. Awal tahun lalu aku sempat menjejakkan kaki ke Singapura. Suatu lawatan yang amat singkat. Tidak bermalam pun di sana!

Pertengahan tahun ini pula aku berpeluang ke Bangkok. Melalui suatu lawatan yang agak tersusun. Thailand pada aku punya pakej pelancongan yang cukup baik. Namun, aku merasakan lawatan ke Bangkok tersebut banyak menelan duit poket apabila ada sahaja tempat membeli-belah yang dijadualkan. Penginapan di Baiyoke Sky Hotel juga tidak berbaloi rasanya kerana kami hanya pulang ke hotel untuk tidur sahaja. Rasanya cukup dengan hotel yang lebih murah.

Ziarah ke Kemboja yang dirancang ini pula aku rasakan jauh lebih istimewa. Selain membawa hajat saudara-saudara di Malaysia melakukan ibadah Qurban di Kemboja, aku akan berpeluang melihat sendiri dengan lebih dekat kehidupan mereka terutamanya penduduk muslim. Sesuatu yang aku tidak sabar juga adalah untuk menaiki bot di Tasik Tonle Sap. Alangkah bermaknanya sambutan ulangtahun kedua perkahwinanku. (Sorry Balqis, Umi ngan Abi tinggal adik dengan Tok dan Tok ki)


Masjid Kampung Khla Krabe yang dibina oleh pihak AFMY hasil sumbangan pelbagai pihak di Malaysia.

Aku kongsi jadual perjalanan kami yang telah dirancang oleh sahabat di Kemboja yang mewakili Cambodian Community Education & Development Organization (CEDO) yang bertanggungjawab menguruskan hal kami di sana.

26/11/2009 (Khamis)

12:00 tgh - Daftar masuk hotel di Siem Reap
1:00 tgh - Makan tengah hari
2.30 ptg - Melawat Angkor Wat / Village Culture
4:00 ptg - Menaiki bot melawat Bandar atas Sungai Tonle Sap
5:30 ptg - Kembali ke hotel
8:00 mlm - Makan malam
- Melawat Bandar Siem Reap dan shopping
9:30 mlm - Kembali ke hotel & tidur

27/11/2009 (Jumaat)

6:00 pg - Daftar keluar
- Sarapan
- Solat sunat Raya Aidil Adha
8:45 pg - Acara sembilih lembu korban dan agihan daging korban
10:00 pg - Berhari Raya Aidil Adha bersama orang-orang kampung
- Acara penyerahan sumbangan (sekiranya ada)
10:30 pg - Makan tengah hari
11: 00 ptg - Bertolak ke Kg. Phom 2 (wilayah Kompong Cham)
8:00 mlm - Tiba kg. Phom 2, makan malam, rehat dan tidur

28/11/2009 (Sabtu)

7:00 pg - Sarapan
8:00 pg : Program bermula
- Ucapan aluan oleh Pengarah Program
(Presiden CEDO / Pengurus Besar Halal Product Alami Co., Ltd.)
- Laporan khas oleh Ketua Kampung Phom 2
- Ucapan Khas oleh Wakil STAIL & SMART, AFMY dan Yayasan Salam
- Ucapan Perasmian Pelancaran Program Korban & Aqiqah
dan Majlis Jamuan Hari Raya Aidil Adha
oleh YB La Lai, Penasihat Timbalan Perdana Menteri H.E Sok Am
11:00 pg - Acara penyerahan bantuan (sekiranya ada)
- Acara sembilih lembu korban & agihan daging korban
12:00 tgh - Jamuan makan tengah hari
1:30 ptg - Bertolak ke Stung Treng
- Kunjung mesra ke kampung-kampung Islam sekitar
5:00 ptg - Daftar masuk hotel
- Makan malam dan melawat bandar Stung Treng

29/11/2009 (Ahad)

6:30pg - Sarapan
7.00pg - Acara sembilih dan agihan korban.
- Melawat cadangan tapak Projek Pendidikan & Pertanian CEDO
- Melawat kampung-kampung orang Islam di Stung Treng

10:30 pg - Bertolak ke Phnom Penh
- Makan tengah hari (Prek Sday, Kratie)
12:30 tgh - Solat zohor
1:30 ptg - Bertolak ke Phnom Penh
6:00ptg - Daftar masuk hotel di Phnom Penh
7:30 mlm - Makan malam dan melawat Bandaraya Phnom Penh
9:30 mlm - Rehat & tidur

30/11/2009 (Isnin)

6:30 pg - Sarapan di hotel
7:30 pg - Bertolak ke Pejabat Mufti KM 9
8:00 pg - Kunjung hormat ke Pejabat Mufti Kemboja,
melawat masjid-masjid
9:30 pg- Bertolak ke Phnom Penh
Shopping di Pasar Thmey dan lain-lain
12:00 tgh - Bersiap-siap untuk check out
12.30 ptg - Daftar keluar dan makan tengah hari di Halal Restauran
2:00 ptg - Bertolak ke airport
4:35 ptg - Berlepas ke LCCT dan selamat pulang ke tanah air!!!


Acara korban tahun dulu-dulu
-----------------------------------------------------------

Jadi, aku punya alasan untuk tidak update blog!

Selamat Hari Raya AidilAdha..

19 November 2009

Persepsi Kambing Siri 2

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

TERAPI KAMBING

Kambing sering dikaitkan dengan penyakit darah tinggi. Tetapi hakikat sebenarnya banyak sungguh manfaat, khasiat dan kesan daripada kambing sama ada memakan dagingnya atau digembala sehingga ia digelar terapi kambing.



Salah satu bahan yang terdapat dalam darah yang menjadi punca kepada penyakit darah tinggi dan obesiti ialah kolestrol daripada sumber seperti berikut;

1. Kolestrol daripada minyak tumbuhan seperti minyak sawit, minyak bunga matahari, minyak soya, minyak jagung dan sebagainya (kecuali minyak zaitun).
2. Kolestrol daging lembu dan ayam.
3. Kolestrol tepu daripada makanan laut (kecuali ikan) iaitu sotong, udang, ketam, kerang, siput.
4. Kolestrol tepu daripada organ dalaman haiwan seperti hati, limpa, perut, usus, dan organ-organ lain seperti telinga, lidah, mata, dan sebagainya.
5. Ikatan kolestrol yang terjadi daripada protein yang disaluti oleh kolestrol tumbuhan seperti keropok lekor, tauhu goreng, taugeh goreng, telur goreng (bahagian kuning telurnya) dan sebagainya.
6. Ikatan kolestrol yang terjadi daripada protein yang disaluti oleh sodium (garam pengawit) seperti daging berger atau daging di restoran makanan segera.
7. Ikatan kolestrol yang terjadi daripada protein yang disaluti Vitamin C seperti daging yang diperah limau atau mengambil herba chitosan (herba slimming) atau kuah laksa yang diperah limau atau amalan meminum jus oren setelah mengambil makanan tinggi protein.
8. Ikatan kolestrol yang terjadi daripada protein yang disaluti karbon seperti ikan bakar, sate atau daging panggang.


Teringat dulu-dulu masa berbuka puasa di Taman Melewar. Kalu lauk kambing, sure penuh!! Tapi jemaah tak dimaklumkan awal-awal apa menu setiap hari. Sebab nak suruh datang setiap hari.

Daging kambing tidak memiliki protein yang tinggi, oleh itu ia terkecuali daripada membentuk sebarang ikatan kolestrol akibat amalan pemakanan seperti yang dinyatakan di atas.

Ikatan kolestrol tepu boleh dicegah sekiranya terdapat Omega 3 di dalam darah, tetapi Omega 3 tidak mampu mengurai kolestrol yang telah terbentuk. Hanya ikatan hidrogen dan karbon (kolestrol lembut) sahaja yang boleh menguraikan ikatan hidrogen dan karbon (kolestrol kasar). Oleh itu, kolestrol yang terbentuk dalam badan tidak boleh diurai dengan sebarang bahan melainkan ia hanya boleh diurai dengan kolestrol kambing sahaja.



Vitamin C dan chitosan yang digunakan untuk menyelaputi protein akan mengakibatkan pembentukan kolestrol yang lebih bahaya sekiranya ia diserap oleh darah. Kandungan kolestrol tepu jenis ini sekiranya terdapat banyak dalam darah akan mengakibatkan masalah jantung.

Sodium (sejenis garam) yang digunakan untuk mengawit daging serta untuk menyedapkan rasa daging akan membentuk kolestrol tepu yang halus. Biasanya kaedah ini digunakan untuk membuat daging berger. Selain itu memakan makanan yang tinggi protein yang dicampurkan dengan perasa makanan seperti Mono Sodium Glitumat (MSG) juga akan membentuk kolestrol tepu yang sangat halus. Ia boleh dipam naik ke bahagian otak dan sekiranya tersekat, ia akan menyebabkan strok.

Pencegah Penyakit Darah Tinggi Dan Obesiti

Kolestrol kambing boleh menguraikan kolestrol dalam darah punca kepada penyakit darah tinggi. Kolestrol kambing yang menguraikan darah yang tercemar dengan kolestrol tepu akan menyebabkan isipadu darah meningkat. Pesakit darah tinggi yang mengambil daging kambing akan mengalami gejala penguraian akibat peningkatan isipadu darah seperti pening.

Walaupun daging kambing bertindak sebagai pengurai protein yang terbaik, tetapi pesakit darah tinggi yang tidak tahan dengan kesan pembongkaran penguraian ini dinasihatkan agar tidak mengambil daging kambing sebagai terapi. Tetapi bagi mereka yang tidak mengalami masalah tekanan darah tinggi dinasihatkan agar mengamalkan pemakanan daging kambing untuk mengelakkan penyakit darah tinggi.

Kolestrol yang gagal dicerna oleh hati akan disimpan dalam bentuk lemak di bawah permukaan kulit. Dalam jumlah yang banyak ia akan menyebabkan masalah obesiti (kegemukan). Pesakit obesiti yang mengambil daging kambing akan mengalami masalah tekanan darah yang tidak stabil dan turut mengalami pening kepala akibat kesan pembongkaran kolestrol tepu oleh kolestrol kambing. Selain itu, daging kambing akan membakar lemak yang berlebihan dalam badan. Kesan pembakaran lemak akan mengakibatkan gejala pembongkaran seperti panas badan, berpeluh dan telinga berdengung.

Mencantikkan Kulit

Dalam daging kambing turut terdapat Vitamin C semulajadi yang tidak teroksida. Vitamin C tidak teroksida amat penting untuk pembinaan dan ketahanan sel kulit. Vitamin C yang tidak teroksida akan menyeimbangkan dan mengurangkan bebanan fungsi hempedu dan mencantikkan kulit.

Pengambilan protein tinggi yang berlebihan akan menyebabkan ia tersimpan di bahagian bawah kulit akan mudah teroksida dan bertindak balas dengan sel kulit untuk membentuk tenaga. Proses ini akan menyebabkan kulit kelihatan hangus dan gelap sekiranya berjemur di bawah sinaran matahari. Vitamin C daripada daging kambing akan memberi lebih ketahanan terhadap kulit daripada bertindak balas terhadap protein yang terkena cahaya matahari.

Mengamalkan memakan daging kambing adalah salah satu cara semula jadi untuk mendapatkan kulit yang putih dan cantik.

Meningkatkan Rasa Kasih Sayang Dan Kegembiraan


Sistem darah (NW18) berkaitan dengan kawasan Thalamus (NW3). Thalamus berfungsi menjaga kasih s ayang . Sistem darah yang sihat dan kuat akan memastikan bahagian Thalamus juga kuat dan membantu mewujudkan perasaan kasih s ayang .

Jantung yang menerima kolestrol daging kambing akan lebih lembut dan lancar pergerakannya. Jantung yang lembut akan mewujudkan perasaan yang gembira. Jantung yang lancar pergerakannya akan mudah tersentuh dan terpesona dengan sesuatu yang mengusik perasaannya. Oleh itu ia akan membahagiakan dan mewujudkan perasaan kecintaan.


Apa kaitan gambar ni dengan kambing? Fikir-fikirkan...

Mereka yang mengamalkan memakan daging kambing akan merasa tenang dan gembira dan mudah merasa getaran kasih sayang . Sekiranya anda menghadapi masalah sukar merasai nikmat kasih s ayang dan getaran kecintaan, silalah amalkan memakan daging kambing.

Wallahua'lam.

Sumber: email

Adakah anda masih dengan persepsi lama anda terhadap kambing? Persepsi oh persepsi...

17 November 2009

Persepsi Oh Persepsi: Kisah Paderi dengan Gembala Kambing

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Kejadian berlaku di sebuah negara yang tidak dapat dipastikan namanya. Masyarakat dalam negara itu hidup dalam keadaan yang aman dan damai. Rata-rata penduduknya adalah yang menganut agama Islam.

Suatu hari datang seorang cendekiawan kristian, yang ingin menguji keagungan dan kebenaran Tuhan yang disembah. Cendekiawan itu berjumpa dengan raja negara tersebut dan meminta kebenaran untuk berdebat dengan penduduk-penduduk di negara itu.

Pertaruhan yang telah ditetapkan oleh cendekiawan itu adalah, jika dia dikalahkan, dia beserta seluruh ahli keluarganya akan memeluk Islam. Sebaliknya jika dia menang, raja hendaklah memberi dia kekayaan dan kebenaran menyebarkan agamanya di situ. Dan syarat terpenting perbahasan ialah menggunakan bahasa isyarat. Kemudian raja pun bertitah mengumumkan pertandingan tersebut kepada rakyat dan barangsiapa yang kalah, dia akan dikenakan hukuman yang berat.

Setelah hampir waktunya, muncullah seorang pengembala kambing Islam yang ingin membela agamanya. Dengan berat hati,raja membenarkan kerana tiada siapa lagi yang berani menyahut cabaran itu. Pada hari pertandingan, rakyat berkumpul di padang yang luas dan gembala kambing didudukkan bertentangan dengan cendekiawan kristian.

Bermulalah soalan, cendekiawan menunjukkan satu jari kepada hadirin. Gembala kambing pula menunjukkan dua jarinya pada hadirin. Dan jawapannya betul!

Cendekiawan menunjukkan dua jari pula dan gembala kambing menunjukkan lima jari, jawapannya juga betul.

Kemudian, cendekiawan menunjukkan lima jari, gembala kambing menunjukkan enam jari. Betul juga! Raja mula berfikir, hebat juga gembala kambing ini.

Cendekiawan yang tidak berpuas hati, membuat bulatan pada hadirin dengan tangannya, kemudian gembala kambing menunjukkan penumbuk tangannya. Betul lagi...

Lalu cendekiawan tersenyum puas hati. Cendekiawan mengeluarkan pedang dan halakan ke langit. Gembala kambing pula mengeluarkan pisau kontotnya, lalu dijunamkan ke bumi. Betul! Lalu cendekiawan menepuk tangan.

Cendekiawan kemudiannya menunjukkan seekor ayam ditangan dan gembala kambing menunjukkan telur ayam ditangan. Betul...

Maka tamatlah sesi perdebatan. Raja amat berpuas hati dengan kepandaian gembala kambing. Cendekiawan itu mengadap raja, untuk menunaikan janjinya. Raja bertanyakan soalan dan jawapan perdebatan antara cendekiawan dan gembala kambing. Cendekiawan pun mula bercerita...

"Sungguh hamba akui kebesaran Tuhan, sehingga rakyat tuanku dapat menjawab dengan baik sekali. Sebenarnya soalan hamba, tunjuk satu jari bermakna adakah kalimah syahadah cuma yang pertama sahaja? (Asyhaduallah ilaha illallah...) Jawapan yang diberikan gembala kambing, dua jari.Jawapannya betul kerana sambungannya, (wa asyhaduan namuhammadarrasullullah)"

"Hamba tunjukkan dua jari, bermakna adakah rukun islam ada dua? Gembala kambing memberi jawapan, lima. Betullah... Bila hamba tunjukkan lima jari,maksudnya adakah islam setakat itu sahaja? Jawapan yang diberikan enam jari, sebab rukun iman ada enam"
"Bulatan pula bermakna siapa yang jadikan bumi? Gembala kambing |menjawab penumbuk, betullah sebab Allah yang Maha Berkuasa. Bila hamba |mengeluarkan pedang dan menunjuk ke langit, gembala kambing mengeluarkan pisau kontotnya dan menjunamkan ke bumi. Betullah... kerana Allah yang jadikan langit dan bumi."

"Ayam tu sebenarnya soalan bonus... apakah asal usul kejadian ayam itu Jawapannya telur... betullah...Sesungguhnya hamba amat berbesar hati dan akan mendalami islam sepenuhnya, serta menyebarkannya"

Raja tersenyum gembira mendengar soalan dan jawapan tersebut.Kemudiannya gembala kambing dipanggil untuk mengadap Raja, maka diberikan ganjaran yang telah dijanjikan. Dan bertanyalah Raja akan rahsia gembala kambing tersebut, adakah soalan itu dah bocor? Gembala kambing pun bercerita...

"Hamba sungguh tak puas hati betul dengan orang Kristian yang sombong itu.Dia tunjuk satu jari, maknanya dia nak kambing hamba satu. Jadi hamba menjawab, dua pun hamba boleh bagi. Dia tunjuk dua maknanya dia nak lagi dua pulak! Nak empat la maksudnya. Dan hamba jawab lima pun boleh.Kemudian dia tunjuk lima, maknanya takkan lima jea...? Oklah hamba boleh bagi enam pada dia."

"Lepas tu dia tunjuk bulatan, maknanya dia nak semua kambing hamba.Hamba pun tunjuklah penumbuk. Pas tu dia keluarkan pedang, wah wah... dia ingat orang kaya je ada pedang. Hamba pun tunjuk pisau kontot hamba.Sekurang-kurangnya hamba ada juga. Kemudian dia tunjuk ayam pulak!Amboi... mentang-mentanglah dia kaya, selalu makan ayam... Hamba pun mampu... walaupun hanya telur ayam. Tapi patik tetap bersyukur, kerana dia dah sedar dan nak peluk islam, sekurang-kurangnya dia takkan sombong dan bongkak lagi..."

Tergelak besar Raja mendengar penjelasan gembala kambing tersebut. Sungguh besar keagungan Tuhan... walau dengan cara apa sekalipun islam dicabar dan dihina, Islam akan tetap terbela.



Cerita ini hampir sama seperti yang diceritakan oleh YB Tuan Guru Dato' Ustaz Harun Taib, Pesuruhjaya PAS Terengganu dalam suatu majlis dengan mengaitkan dengan persepsi. Persepsi oh persepsi...

Adapun, cerita ini aku copy & paste dari SINI kerana malas untuk menulis dalam versi Ustaz Harun. Wallahua'lam.

15 November 2009

Ustaz Abu Bakar Chik sergah TGNA?

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

"Amdang, mung kena jawab bagi pihak Terengganu." Sapa seorang kenalan yang merupakan seorang penulis dalam beberapa majalah dan akhbar alternatif menerusi YM!. Juga seorang blogger.

Perkenalan kami bermula ketika PRU 12 lalu dan agak sering juga berjumpa di program-program besar parti. Isu yang beliau maksudkan adalah isu-isu yang melibatkan pimpinan PAS Terengganu diserang, terutamanya yang terbaru isu "Ustaz Abu Bakar Chik menyergah Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat".

"Bukan tak nak jawab, tapi nak tengok sejauh mana pembohongan mahu terus dilakukan" Aku menjawab beralasan.

Sebenarnya aku tiada kesempatan untuk menulis bagi menjawab tuduhan yang tiada asas langsung. Sudahlah tiada asas, lebih malang lagi disebarkan pula oleh blogger-blogger lain yang mana langsung tidak menyelidik sumber berkenaan, mahupun mahu mendapatkan kebenaran dari isu yang diperkatakan.

Hari ini, sudah seminggu lebih isu tersebut berlalu. Aku bukan mahu memanaskan isu ini kembali, tetapi aku berasa bertanggungjawab untuk menjawab isu ini dari sudut yang sebenar. Sebenar yang aku maksudkan di sini adalah dengan bertanyakan sendiri orang yang dituduh tersebut.

Alhamdulillah, aku berkesempatan makan semeja dengan Ustaz ABC beberapa hari lalu. Peluang yang ada tersebut aku gunakan untuk bertanya sendiri tentang apa yang dihebohkan oleh blog-blog yang menyerang Ustaz ABC.

"Ustaz, ada blog tulis kata ustaz kata TGNA nyanyuk dalam Mesyuarat Khas baru-baru ni. Betul ke?" Aku mencelah ketika mana dia asyik makan.

"Eh, tak dok" Kata Ustaz ABC menafikan. Dia semacam berfikir semula selepas menjawab.

"Blog mana?" Ustaz ABC pula bertanya.

"Blog XXX.blogspot.com" aku menjawab.

Ketika itu aku difahamkan blog terbabit yang mengeluarkan tuduhan tersebut. Akhirnya aku mendapat tahu sumber tulisan asal dari blog lain. Rasanya tak perlu aku tulis nama blog berkenaan di sini kerana blog berkenaan hanya "copy & paste" sahaja artikel asal.

Aku terbaca juga komen Ustaz Misbahul Munir berkenaan fitnah jahat blog berkenaan, yang akhirnya cuba juga dijawab kembali oleh blog jahat tersebut. Apa yang kelakar bilamana diminta Ustaz ABC sendiri tampil untuk menjawab tuduhan tersebut. Sedangkan Ustaz Misbah sudah mendapat kepastian dari individu-individu lain yang hadir dalam Mesyuarat Khas tersebut tentang tiadanya insiden yang dimaksudkan.

Jika benar ada maklumat, tampilkan siapa yang mendedahkan maklumat tersebut barulah adil dalam membuat pertuduhan. Kenapa nak libatkan semua ahli mesyuarat terbabit bersumpah. Tak logik!. Minta ustaz ABC tampil menjawab pertuduhan pun aku rasa tidak logik. Apakah kerja setiap pimpinan membelek blog setiap hari bagi menjawab setiap tuduhan? Ini lagi tiada kerja!

Betapa mudahnya aku melihat para blogger yang kononnya memperjuangkan kebenaran maklumat "copy & paste" artikel dari blog jahat tersebut. Sudahlah, henti-hentilah menyebarkan dosa dan fitnah.

Mungkin blogger berkenaan 'terfikir idea' Ustaz ABC sergah TGNA selepas melihat Ustaz ABC sergah Prof Dr Aziz Bari.

Wallahua'lam.

P/s: Maaf, artikel ini terlewat beberapa ribu saat dari yang sepatutnya. Tapi ini aku kira memadai dari langsung tiada. Mungkin ini sekadarnya sahaja. Atau permulaan?

11 November 2009

Ada baiknya Zulkifli Nordin sertai PAS...

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Jika Zulkifli Nordin tidak bersama PKR, mahu rasanya mengajak beliau untuk bersama-sama dengan PAS. Bukan tidak mahu mengajak menyertai PAS, tetapi nanti PAS akan dikatakan oleh kawan sebagai 'mengkhianati' kawan. Apapun, perlu diingat dasar PAS adalah Islam dan tidak seperti PKR.



Aku terpanggil untuk melontarkan tulisan ini bilamana melihat ada individu yang berada dalam kelompok yang kurang islamik, tetapi begitu menunjukkan 'minat' ke arah Islam. Zulkifli Nordin agak terkenal dengan pendedahan kes-kes murtad yang berlaku dalam negara. Selain itu, keberanian beliau mempertahankan Islam dalam beberapa kes yang berlaku turut menunjukkan komitmen yang tinggi beliau di dalam perjuangan Islam.

Dalam kenyataan media semalam, Zulkifkli Nordin dipetik sebagaimana berkata:
"Saya ingin menegaskan apa yang saya telah sebut secara konsisten dan istiqomah; mempertahankan dan memperjuangkan Islam dan hak Muslim adalah sesuatu yang sangat berharga bagi saya. Saya mungkin bukan Muslim yang terbaik, tetapi saya akan melakukan yang terbaik untuk Islam. Saya adalah Muslim dahulu, Ahli Parlimen kedua. Saya adalah Muslim dahulu, ahli parti kedua. Apabila tiba harinya saya terpaksa memilih diantara Islam dan parti, saya tanpa sedikit keraguann pun akan pasti memilih Islam."
Aku terfikir, apakah tindakan Zulikfli Nordin yang mempertahankan Islam itu akan menyebabkan Pakatan Rakyat akan mundur dan lemah? Adakah tindakan itu akan dikira mengkhianati PR?

Sama-sama kita renung dari sudut kita yang mengaku berada di dalam Parti Islam.

Wallahua'lam.
------------------------------------------------------------
Nota:

Untuk makluman, aku menulis isu Zulkifli Nordin ini dengan sedar siapa Zulkifli Nordin. Adapun tulisan ini ditujukan kepada pihak yang mengambil tindakan tertentu kepada pihak-pihak yang menyokong Islam dengan mendahulukan Pakatan Rakyat. Selamatkan PAS!!

Kenapa akhbar Utusan tidak boleh dipercayai?

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Cuba lihat 2 gambar di bawah dan cari perbezaannya.


Gambar 1 (Utusan - Ismail Kamadin)


Gambar 2

Gambar 1 dari Utusan, manakala gambar 2 dari sebuah akhbar lain yang kadang-kadang juga tidak boleh dipercayai. Agaknya Ismail Kamadin ni akan dinaikkan pangkat kot dengan menyiarkan gambar sebegini. Apakah dia bimbang payung biru itu menjadi 'saksi' di mahkamah?

Link asal berita:

Utusan

Akhbar kedua

Maka, janganlah puak-puak blogger mengikut akhbar utusan dalam merekacipta cerita-cerita palsu dan mengarut. Lebih teruk jika blogger terbabit mengaku Islam dan menyokong Islam.
Jangan biarkan diri anda dibelenggu oleh Utusan...
Ada baiknya direnung ucapan Tuan Guru Presiden PAS di dalam hal menyebarkan maklumat bohong.

KLIK- Harakahdaily.

Wallahua'lam.

Al-faatihah untuk arwah isteri YB Kamarudin Jaafar.

09 November 2009

Akhirnya Anwar Ibrahim bersuara...

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Hari ini Harakahdaily melaporkan:

Anwar rakam terima kasih, puji cara PAS selesai masalah.

"PAS ternyata sebuah parti yang komited dengan Pakatan Rakyat, matang dan bijak menangani permasalahan yang timbul.

"Saya juga berterima kasih dengan kepimpinanya yang sedaya upaya memperkemaskan pemuafakatan yang sedia ada demi perjuangan memartabatkan Negara berkebajikan, " Kata Anwar

Pujian dan terima kasih Anwar tersebut dilontarkan selepas PAS mengadakan Seminar Memperkasakan Parti pada Sabtu lalu. Sebelum ini ketika mana Presiden PAS dan beberapa pimpinan PAS diserang, tidak kedengaran suara Anwar dalam menyokong Presiden PAS.

Paling tidak, Anwar boleh mengambil langkah tengah dengan menenangkan semua pihak dengan mengatakan "Pakatan Rakyat selesa dengan kepimpinan Hadi ketika ini".

Atau mungkin "Pakatan Rakyat berjalan seperti biasa" bagi menggambarkan suasana yang baik antara parti-parti dalam PR.

Tapi, di manakah Anwar ketika itu?

07 November 2009

Seminar Memperkasakan Parti: Tahniah kepada semua!

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Pertamanya aku ucapkan tahniah kepada penganjur atas suatu inisiatif menjayakan program yang dinamakan seminar memperkasakan parti ini. Suatu seminar walaupun dilihat tidak mencapai suatu matlamat besar dalam menyatukan perselisihan pendapat di kalangan ahli dan pimpinan, tetapi suatu ruang yang baik. Cukup baik.


Dua Orang Tok Guru jalan beriringan memasuki dewan utama.

Tahniah juga aku ucapkan kepada pimpinan tertinggi PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang atas sifat sabar dan menekuni setiap patah kata yang dilontarkan oleh peserta yang walaupun adakalanya cukup 'menyenakkan' jika kita menerimanya. Kesediaan Tuan Guru Presiden menyerlahkan sifat pemimpin PAS bersedia ditegur dan boleh menerima teguran.

Tahniah juga bagi semua peserta yang mengambil bahagian samada berucap, mahupun tidak. Peserta yang berucap dilihat tidak segan menggunakan ruang yang ada untuk melontarkan pandangan samada bersetuju dengan pimpinan mahupun tidak. Walaupun suasana agak 'panas', namun sejujurnya diucapkan tahniah kerana berjaya menjaga adab berseminar dengan baik.



Kesempatan berkumpul dengan kawan-kawan seperjuangan selepas program, rata-rata berpuas hati dengan program yang diadakan. Namun, masing-masing percaya isu perbezaan pendapat ini tidak mudah diselesaikan dengan sekali program sahaja.

Apapun, tahniah untuk semua!

06 November 2009

SMS dari seorang Ayah...

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Sedang asyik mengadap laptop pagi ini bagi menyiapkan satu kad jemputan, tetiba dapat SMS dari ayah:

"Hidup di dunia akan mati, akhirat kekal. Untuk tengok bola dan hiburan TV kita boleh, untuk solat sunat tak boleh. Baca akhbar dan layari internet boleh, baca Quran tak boleh. Pandu kereta untuk ke tempat kerja dan super market boleh, tapi untuk ke masjid dan majlis ilmu tak boleh"
Ayah rajin juga SMS anak-anak jika ada tazkirah dan ada berita yang menarik. Kadang-kadang ayah hantar juga SMS kepada aku minta ditulis itu dan ini. Kadang-kadang, terfikir juga untuk buat satu blog biar ayah menulis dengan gaya sendiri.

Ayah tahu guna email, apalah sangat dengan blog ini. Cuma belum tahu sahaja. Jika tahu stepnya, mudah sahaja. Tapi, mak mesti menentang keras. Belum ada blog dah mengadap komputer cukup lama, inikan pula jika punya blog sendiri.

Ikut perancangan, minggu ni memang nak balik kampung. Tapi, tiba-tiba pula Mesyuarat Khas PAS Pusat minggu sudah memutuskan diadakan seminar di Taman Melewar esok. Jadi, kesudahannya tidak jadi untuk balik kampung.

Thanks ayah atas SMS yang mengingatkan diri ini. Luv U.

Wallahua'lam.


 

Great Morning ©  Copyright by a m d a n g 8 1 | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks