29 June 2009

Penjual Ikan Vs Pengurus Projek

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Kata Muhyiddin:

"Calon kita nak bela umat Islam dan bawa obor perpaduan. Beliau seorang yang berpengalaman, ada rekod kerja yang baik di sini, bukan seorang penjual ikan, dan berkelulusan tinggi. Penting untuk pilih calon yang berilmu kerana dialah yang nak bimbing masyarakat di sini, tak ada ilmu bahaya kerana mungkin dia terseleweng,"

Kata Muhyiddin calonnya nak bela Islam. Tapi, tidak pula dikhabarkan bahawa calonnya punya kelulusan yang tinggi dalam bidang agama. Katanya nak bawa obor perpaduan, tetapi Kerajaan Negeri Kelantan sejak dahulu dianaktirikan.

Dikatakan calonnya berilmu kerana takut jika tidak berilmu berlaku penyelewengan. Apa yang biasa kita tahu, lagi berilmu seseorang, lagi banyak idea-idea untuk dia membuat rasuah. Lagi tinggi kedudukan seseorang, lagi besar peluang untuk melakukan penyelewengan.

Namun, hanya iman sahaja yang mampu menjadi penghalang kepada segala salah laku dan penyelewengan. Iman mampu menghalang seorang penjawat awam dari melakukan rasuah. Iman mampu menghalang seorang yang berkedudukan tinggi menyeleweng.

Pengurus projek belum tentu mampu mengurus rakyat. Rakyat ini banyak ragamnya. Apatah lagi jika penduduk yang jauh dari kota seperti Manek Urai. Pada mereka semua perkara perlu dilayan Wakil Rakyat. Sakit, demam, anak masuk sekolah, beranak, kahwin, cerai, mati dan sebagainya. Rumit. Pengurus biasanya berurusan dengan mandur, atau pegawai di bawahnya sahaja. Lebih teruk jika pengurus tidak tahu mengurus, tetapi hanya tahu mengarah!.

Lihat pula pada si Penjual Ikan. Secara umumnya penjual / peniaga ini berurusan dengan ramai orang setiap hari. Dia perlu berjumpa dengan pembekal, dia juga perlu berurusan dengan pembeli-pembeli. Dia perlu berhadapan karenah pembekal, dia juga perlu melayani karenah pembeli. Ada yang hanya suka ikan Selayang, ada yang alah kepada Ikan Aya (Tongkol). Ada yang tidak memandang ikan Kembong dan Lolong (apa nama standard lolong ek?), tetapi sentiasa mahukan Tenggiri dan ikan Merah.

Melayan kerenah pembeli, berdepan kerenah pembekal membuatkan si penjual biasanya dikenali ramai. Sikap ramah, mudah berkira (mmudah bbaso - ayat YB Zul Mamat), tidak kedekut, jujur dalam timbangan akan dapat dinilai oleh pembeli peribadi si penjual.

Dari pemerhatian dan perbualan dengan orang-orang Manek Urai yang sempat dikunjungi 2 kali setakat ini, secara umumnya mereka mahukan YB yang bersama mereka. Dapat membantu ketika susah, mudah dirujuk apabila payah.

Apapun, secara umumnya kedudukan keduanya adalah masih 50-50. Dikatakan pengundi luar Manek Urai (bekerja/ belajar di luar) seramai 800 orang berada di sekitar Lembah Kelang. Itu tidak termasuk berada di negeri-negeri lain. Mereka ini dikenalpasti sebagai yang biasanya membantu kemenangan PAS. Dengan hari pembuangan undi pada hari Selasa, PAS dilihat tidak berada pada kedudukan selesa. Apapun penilaian, penduduk Manek Urai berhak memilih Penjual Ikan mahupun Pengurus Projek.

Wallahua'lam.

21 June 2009

Krisis dalam PAS: Siapa yang Gembira?

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Tulisan ini bukan untuk UMNO. Bukan untuk Najib, Muhyiddin mahupun Hishamuddin. Tulisan ini untuk PAS, untuk Tuan Guru Presiden, untuk Timbalan Presiden. Tulisan ini juga untuk Tuan Guru Mursyidul Am, Timbalan Mursyidul Am. Juga untuk semua AJK PAS Pusat, AJK Perhubungan Negeri dan AJK Peringkat Kawasan. Tidak lupa untuk semua kepimpinan di peringkat cawangan. Pendek kata, tulisan ini untuk semua ahli PAS, penyokong dan pendokongnya.

Tulisan ini bukan mahu mencari siapa benar dalam isu yang melanda pimpinan. Tulisan ini juga bukan mahu membuka siapa benar dan siapa salah. Tapi tulisan ini mahu mengingatkan samada yang benar, mahupun yang salah, apa yang kita sedang hadapi ini perlu diinsafi dan perlu dimuhasabah kembali.

Aku percaya sesiapa sahaja yang mengikuti tarbiyyah, memahami PAS dan bersama dalam PAS dengan ikhlas akan merasa sedih dengan apa yang berlaku. Tidak kira dia berada di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor mahupun berada di Selangor. Tidak terlepas di Kedah, Perak, Penang dan seluruhnya di Malaysia ini sewajarnya berasa sedih dengan apa yang sedang dihadapi dalam jemaah kini.

Namun, di sana ada satu pihak yang bernama UMNO sedang bergembira dengan apa yang berlaku dalam PAS ini. Gembira UMNO mungkin gembira sepertimana syaitan berjaya menyesatkan manusia. Mungkin UMNO merasa suatu kemenangan dengan isu dan permasalahan ini berjaya dibelit-belit di kalangan pimpinan PAS.

Kita tidak pelik dengan gembiranya UMNO. Kita tidak pelik jika UMNO merasakan mereka tiba-tiba mendapat suatu kemenangan dalam memecah-belahkan pimpinan PAS. Kita tidak pelik kerana UMNO adalah musuh PAS. UMNO gembira PAS berpecah dan dilihat lemah.

Apa yang pelik, selain UMNO dan sekutunya, ada pihak di dalam PAS merasakan krisis yang berlaku ini suatu KEMENANGAN juga buat mereka. Mereka tidak melihat apa yang berlaku ini sebagai sesuatu yang menyedihkan, tetapi adalah sebaliknya! Pada mereka, ini suatu kegembiraan, suatu kemenangan dan suatu perjuangan.

Malapetaka yang besar bagi PAS jika wujudnya golongan sebegitu. Jika ianya wujud di peringkat penyokong kecil dan ahli biasa-biasa, mungkin ianya tidak terlalu teruk. Jika ianya wujud pada peringkat pimpinan pertengahan, pimpinan negeri dan pimpinan Pusat, maka marilah sama-sama kita doakan agar pimpinan-pimpinan kita itu diberi kesedaran.

Wallahua'lam.

p/s: Ada yang mengatakan ada rakan-rakan blogger yang menyampaikan 'kegembiraan' pimpinan tertentu. Malang lah rakan blogger tersebut dan marilah kita juga doakan mereka kesedaran.

18 June 2009

Mak, Ayah Jangan Bergaduh. Anakanda Nak Exam!!

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Kelmarin aku ke UPU Laloh, Manek Urai, Kelantan. Aku pergi kerana mahu menyelesaikan beberapa urusan bagi menduduki Ujian Suruhanjaya Pilihan Raya (USPR) yang dijadualkan pada 14 Julai ini. Proses pendaftaran subjek pada 6 Julai. Sengaja aku pergi awal bagi urusan mencari rumah sewa, meninjau-ninjau kawasan sekitar bagi memudahkan aku pada hari pendaftaran subjek dan peperiksaan dijalankan.

Walaupun study week akan bermula pada 6 sehingga 13 Julai, namun aku merasakan aku perlu membuat beberapa ulangkaji awal bagi memastikan pemahaman aku terhadap subjek yang akan diambil lebih terperinci dan meyakinkan. Aku perlu study awal kerana seperti kebiasaan, study week akan terganggu dengan masalah-masalah dan tekanan-tekanan lain yang mungkin datang tiba-tiba.

Malam semalam, ketika sedang makan malam bersama keluarga, tiba-tiba ayah menegur mak berkenaan kenyataan mak dalam Risalah Kampung Dusun yang mengatakan mak mahu begitu dan begini. Risalah Kampung Dusun adalah risalah terbitan Jawatankuasa Kucar kacir Kampung (JKK). Risalah gosip kampung yang cukup laris, tetapi beritanya selalu ditokok tambah dan dimanipulasi.

Mak cuba menjawab pertanyaan ayah, tiba-tiba terus menjadi pertengkaran yang maha hebat. Kata-mengata, ungkit-mengungkit dan tuduh menuduh berlaku menyebabkan kami yang sedang menjamah makanan menjadi tawar hati untuk meneruskan makan. Aku basuh tangan, dan bergegas lari ke bilik kerana mahu menumpukan kepada buku yang perlu ditelaah. Bingit telinga menyebabkan aku tetap tidak dapat fokus kepada study.

Pagi ini, ketika sedang cuba menekuni apa yang perlu diulangkaji, aku terdengar pula bunyi pinggan di dapur pecah. Kemudian bunyi jeritan mak. Aku agak, ayah melempang mak. Kemudian aku terdengar juga ayah mengaduh keras. Mungkin senduk besar mak memukul kepala ayah.

Aku menutup buku. Aku pejam mata. Aku cuba menutup telinga. Sayup-sayup kedengaran suara mak dan ayah bertengkar. Cukup jelas pada pendengaran aku. Aku percaya adik-adik aku yang sedang bermain di bilik sebelah turut sama mendengar pertengkaran tersebut. Aku juga penuh yakin jiran sekeliling rumah turut mendengar bunyi pinggan dan senduk berketukan.

Ini bukan kali pertama ayah dan mak bertembung pendapat. Pada perkiraan aku, permasalahan mereka kecil sahaja. Tidak perlu sampai kami adik beradik tahu. Tidak perlu sampai Risalah Kampung Dusun terus membuat cerita. Tidak perlu sampai jiran-jiran 'menjeling' telinga. Tidak perlu posmen yang menghantar surat, Ali Majid si pembaca meter air turut sama mendapat cerita.

Bagi aku yang mentah ini, permasalahan mak dan ayah cukup dengan sama-sama masuk bilik dan duduk di bawah satu selimut. Bisiklah perlahan-lahan, bincang dengan elok. Tarik telinga jika perlu ditarik. Pulas pusat jika di situ punca masalah. Aku percaya bincang dalam selimut itu pasti menyelesaikan masalah.

Aku, adik-beradik tidak mahu tahu siapa benar dan siapa salah. Pada kami mak dan ayah tetap merupakan mak dan ayah. Apa-apa yang berlaku antara mak dan ayah, sudah tentu kami sebagai anak akan menjadi mangsa. Kami mahu keputusan perbincangan. Kami mahu keharmonian. Kami mahu kerukunan.

Aku tidak mahu Risalah Kampung Dusun terus membuat cerita mak dan ayah. Malu kami anak-anak cerita dalam rumah, bawah bantal tersebar seluruh kampung. Aku percaya beritanya banyak belit dan sengaja menyulitkan.

Aku mahu periksa. Aku mahu study. Aku harap mak dan ayah doakan dan jangan bising-bising lagi!

Wallahua'lam.

14 June 2009

Antara Kerajaan Perpaduan dan 16 September

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Sebetulnya aku mahu sahaja menamatkan isu Kerajaan Perpaduan seperti saranan kebanyakan pihak. Namun, aku kira menamatkan isu sahaja tidak cukup bagi memahamkan individu yang tidak faham dan tidak bersedia untuk memahami. Di sini aku copy n paste satu artikel untuk renung-renung dari blog IbnuZack. Artikel asal ini bertajuk "Kerajaan Perpaduan: Siapa Celaru?". Bagaimanapun, aku merasakan tulisan ini asalnya hendak diberikan tajuk seperti di atas atas. Wallahua'lam.
-------------------------------------------------------------------------------

Assalamu'alaykum..

Kalaulah mahu dihitung kezaliman BN kepada seluruh rakyat Malaysia, barangkali tidak ada kalkulator yang mampu menjumlahkannya. Semua orang sedar hakikat itu. Seorang saudara saya mengalami sakit jiwa apabila bapanya dimasukkan ke dalam tahanan tanpa bicara atas sebab yang tidak pernah dibuktikan hingga ke saat ini. Duit yang sepatutnya diguna untuk membangunkan negeri saya, dirampas atas nama ehsan dan tidak pernah dipulang hingga ke hari ini. Kesan kekasaran FRU pula mengekalkan kesan di badan saya selama beberapa hari.

Pendek kata, cukup banyak.

Jesteru itu memang saya membenci BN. Parti ini berada di tempat ke 3 selepas Zionis dan Amerika pada kebencian saya. Jesteru, jangan ada sesiapa yang gatal mulut menyebut tentang perpaduan dengan mereka ini. Jangan ada sesiapa yang cuba menjadi najis dan memperdekatkan kita dan mereka ini. Mereka tidak layak diperdekat, dan mereka tidak layak disalami sedang tangan mereka masih berbau darah Memali.

Namun apabila Tuhan menyebut "Wa ta'a wanuu 'alal birri wat taqwaa" iaitu "Bertolong bantulah kamu dalam perkara kebajikan dan taqwa" dan "Wala Yajrimannakum syana aanu Qaumin 'alaa alla ta'dilu" bermaksud "Janganlah kerana kebencian kamu kepada sesuatu kaum, menyebabkan kamu berlaku tidak adil kepada mereka" (Al-Maidah), maka tolong bagitahu saya bagaimana saya nak melawan Tuhan dalam perkara ini? Saya tidak reti dan tidak diajar bagaimana. Saya bertalaqqi beberapa kitab dan membaca beberapa yang lainnya, bermula Fiqh Awlawiyyat dan berakhir Mafahim Yajibu An-Tusohhah (belum habis), saya tidak jumpa satu mukasuratpun untuk bagaimana saya boleh melawan Tuhan dan Tuhan redha akan perbuatan saya itu. Saya tidak jumpa.

Disebabkan saya tidak reti melawan itulah barangkali Dewan Muslimat tidak mendesak JAKIM untuk menyiasat dan mengharamkan saya jika terbukti bersalah sepertimana yang diusul mereka kepada sebuah pertubuhan feminis-liberal. Ya, barangkalilah..

Apa yang membezakan ahli jemaah Islam dan jemaah biasa adalah kita tidak pernah diajar untuk meletakkan emosi kita mengatasi iman dan fikiran kita dan akhirnya memandu perbuatan kita. Kita diajar untuk menjadikan iman menguasai fikiran dan fikiran itu menguasai perbuatan kita. Meletakkan emosi dan amarah hanya mengakibatkan wujudnya ketidak rasionalan dalam pendapat dan tindakan kita.

Benar mereka pernah zalim kepada kita ketika mereka kuat. Mereka pernah enggan berunding dengan kita tatkala kita lemah dan tiada daya. Tetapi jika kita yang kuat pada hari ini enggan berunding dan menyelamatkan mereka yang sudah lemah daripada terus hanyut dengan dunia mereka dan kemudiannya akan memusnahkan negara, maka kita bukan sudah sama dengan mereka.... tapi kita adalah mereka!

Ada orang menulis menolak 'unity government' ini dengan kejadian 1977 dan dalil 'Orang mukmin itu tidak akan dipatuk ular 2 kali di lubang yang sama'. Namun, unity government terlalu berbeza dengan coalition government yang dibentuk 35 tahun lalu. Ia diperjelaskan sendiri oleh Dato Tuan Ibrahim Tuan Man di blognya dan ditambah syarat-syarat pembentukannya oleh Tuan Guru beberapa detik tadi.


Antara Kerajaan Perpaduan dan Projek 16 September

Lantas pastinya sesetengah akan mempersoalkan, mengapa terlalu lambat mengeluarkan syarat dan kenyataan? Mengapa ditunggu sehingga retak jemaah baru membetulkan keadaan?

Saya masih merasai gegaran 16 September tahun lepas. Sepertimana Unity Government, 16 September juga berkongsi matlamat serupa; membetul dan memandu negara ke arah yang sempurna.

Saat itu pernahkah kita didedahkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan strategi pembentukannya, syarat-syarat (tawaran) kemasukan ahli lompatnya, kedudukan ahli lompat dalam kabinetnya hatta siapakah Timbalannya?!. Tidak ada.

Kenapa?

Kerana politik adalah seni serba mungkin. Politik adalah seni menggoda. Politik juga adalah seni perang. Tidak ada jeneral yang memberitahu strateginya kepada para tentera tatkala telinga musuh tertadah di sebelah. Itu jeneral tak mumayyiz namanya.

Apabila DSAI mengumumkan 16 September, tidak ada seorang pun antara kita yang menganggap itu cubaannya yang mahukan kuasa walaupun umum tahu dia akan jadi PM jika PR memerintah. Tetapi apabila Tuan Guru Presiden menggagaskan 'Unity Government' kita anggap dia nyanyuk dan gila kuasa padahal kita tak tahupun kalau jadi pelan itu Tuan Guru akan jadi siapa.

Apabila DSAI berahsia tentang strategi 16 Septembernya, kita anggap itu taktik dan tindakan politik matang. Apabila Tuan Guru berahsia tentang strateginya, kita anggap dia pembohong, lembap dan patut diludah mukanya.

Begitu juga apabila tarikh itu berlalu, DSAI semakin tidak menyebut tentang 16 September. Dan kita mentaatinya dengan tidak berbicara lagi tentangnya kerana kita tahu itu bisa menggugat perpaduan antara parti komponen dalam PR. Kita sanggup bertindak lebih jauh dengan membelasah siapa juga yang cuba mempertikaikan kejayaan 16 september walaupun semua orang tahu tokoh itu betul dalam tekaan politiknya. Tetapi apabila Dato Mustafa Ali meminta kita jangan mempolemikkan 'Unity Government' kkerana ia mengocak keamanan dalam parti, kita anggap dia cuba menutup pelan busuknya. Walhal rayuan tokoh ini selari dengan kenyataan Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah di blog suaminya.

Kenapa kita husnuzzon (sangka baik) pada tokoh luar dan syirruzzon (sangka buruk) pada tokoh sendiri?

Saya tidak marah atau tersinggung bilamana kita semua mentaati dan menyanjung DSAI sebegitu rupa; kerana saya adalah salah seorang dari kelompok itu juga. Saya mengkaguminya sebermula gelaran TPM melekat di dadanya.

Tetapi saya pelik dan jijik bilamana kita sanggup menumpahkan taat setia seorang pemimpin yang berada di luar jemaah tetapi dalam masa yang sama kita memijak dan menyepak kepala pemimpin jemaah kita sendiri sampai lunyai!

Saya tidak harap kita mampu jadi seperti sahabat Nabi, yang mana mereka tidak mempersoalkan tindakan baginda sebaliknya sentiasa menyebutkan "Allah dan Rasulnya lebih tahu". Saya tidak mampu harap ketaaatan sebegitu. Mimpi sahaja. Kerana Rasulullah jauh lebih indah daripada Tuan Guru dan kita jauh lebih hina dari tapak kaki para sahabat. Tetapi bukankah Allah menyebutkan; "Laqod kaana fi qososihim 'ibratun li ulil albab"? (Sesungguhnya dalam kisah-kisah mereka itu ada pengajaran bagi orang yang berakal).

Tidak adakah sedikitpun pelajaran daripada kisah itu kepada kita yang dikurniakan akal ini?

Percayalah bahawa Islam itu tertegak melalui jemaah. Jemaah itu tidak boleh wujud tanpa bai'ah (sumpah setia). Bai'ah tidak ada nilai tanpa wala' (ketaatan). Wala' tidak boleh terbina tanpa thiqah (kepercayaan). Dan thiqah tidak boleh hidup tanpa sabar.

Yaa ayyuhal laziina aamanusta'iinu bissobri wassolah.

(Wahai orang yang beriman, jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu)


Hati-Hati dengan 'Akhbar Online'

Saya sempat hadir dalam Muktamar Tahunan PAS pada 2 hari terakhir. Hari pertama (Jumaat), saya tidak hadir atas sebab tugas.

Dalam ucapan dasar Presiden no 8, jelas disebutkan bahawa agenda PAS adalah memperkukuhkan kerjasama dalam Pakatan Rakyat dan seterusnya PAS mempunyai sikap terbuka untuk bertemu sesiapa sahaja demi kepentingan Islam dan rakyat negara ini. Pendirian yang sama diulang lagi dalam ucapan penutup. Timbalan Presiden, Ustaz Nasharuddin Mat Isa kemudiannya mempertegaskan pula pendirian itu dengan kenyataan bahawa 'tidak ada niat untuk membawa PAS bersama UMNO'.

Saya fikir kenyataan ini sudah jelas. Saya tidak kisah bilamana ada media perdana masih dungu melaporkan 'Hadi mahu bergabung dengan UMNO'. Sebab itu memang kerja mereka. Tetapi apabila media alternatif memainkan isu serupa maka saya cukup kilan.

Kerana media ini dipercayai oleh teman-teman kita. Akhirnya wujudlah statement kebudak-budakan seperti "PAS mahu main kahwin-kahwin dengan UMNO" atau "PAS seperti anak dara yang merelakan diri dirogol mat-mat rempit bernama UMNO". Peliknya apabila PAS bekerjasama dengan DAP dan PKR demi kebaikan dan keadilan, tidak pula wujud statement "PAS seperti anak dara yang menyerahkan daranya kepada anak teruna" atau apabila ABIM cuba menyatukan PAS dan UMNO pada zaman Almarhum Us Fadhil Noor dahulu, tidak juga dikata "ABIM umpama bapak ayam yang cuba menjual anak dara kepada mat rempit!"

Ini sedang berlaku. Dan bayangkan jika amarah dan emosi yang dijana hasil laporan songsang media yang selama ini kita anggap kawan merebak, bukankah saat itu pecah belah bahtera yang kita layari sekarang?

Begitu juga apabila media sama melaporkan kononnya 3 naib Presiden menolak cadangan Presiden. Sedangkan hakikatnya Tuan Ibrahim cukup terbuka dan bersama Presiden dalam hal ini.

Hal sama juga berlaku bilamana mereka 'tiba-tiba' menjadi condong kepada Datuk Paduka Husam Musa dengan mempertikaikan perlantikan Ustaz Nasharuddin sebagai Timbalan Presiden dengan alasan beliau tiada sokongan majoriti (Lebih 50%). Tetapi apabila 52% tidak turun mengundi di Penanti, tidak ada pula yang gatal-gatal mengandaikan 52% itu bersama BN memboikot PRK.

Bukankah sama dengan perangai Utusan Malaysia yang 'tiba-tiba' condong kepada Us Nasharuddin?

Jesteru kenapa hal ini berlaku?

Ahh.. jika wujud kerja-kerja bodoh dalam PAS, tidak mustahil kerja-kerja bodoh tidak wujud dalam pihak lain.

Saya tidak mengatakan kita harus boikot akhbar-akhbar ini. Tapi saya kira kita wajar menganalisis dan merasionalkan pemikiran dengan mengambil kira sepenuhnya sumber parti yang asas (Harakah) agar tidak mudah musuh memecah belahkan kita. Seimbangkan pembacaan dan teguhkan konsep tarbiyyah yang kita terima.

Kerana perjuangan ini penuh liku dan sukar. Tidak ada kesenangan. Percayalah kerana Nabi sendiri menyebutkan bahawa 'Akan datang suatu zaman di mana umatku memegang agamanya sepertimana dia memegang bara api'

Rabbanaftah bainana wa baina qaumina bil haq. Wa anta khairul Faatihiiin.

Ya Allah Tuhan kami, bukakan antara kami dan antara kaum kami dengan kebenaran. Kerana Engkau sebaik-baik pembuka.

Ameen

iBNuZaCK: Dan Allah Maha Mengetahui.

PAS Terengganu Menguasai PAS Pusat?

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Mungkin ini adalah suatu persoalan dan perkara yang diperkatakan selepas Muktamar Tahunan PAS kali ke 55 yang telah seminggu lebih berlalu. Apatah lagi bilamana Dato' Mustafa Ali atau lebih dikenali dengan Cikgu Pa telah dipilih sebagai Setiausaha Agung PAS. Dewan Ulamak memperlihatkan Dato Ustaz Harun Taib memegang Ketua Dewan Ulamak, manakala Ustaz Azman Shapawi pula berada pada tempat ke dua pemuda PAS Pusat. Ajk PAS Pusat pula memperlihatkan 2 orang pimpinan PAS Terengganu berjaya mendapat tempat di hati perwakilan iaitu Dato' Ustaz Abu Bakar Chik dan Dr Syed Azman.

PAS Kelantan yang diperintah PAS sejak beberapa penggal lalu pula memperlihatkan perkara sebaliknya. Kekalahan Dato' Husam Musa di kerusi Timbalan Presiden, dan beberapa pimpinan PAS Kelantan turut tewas di kerusi Naib Presiden dan AJK PAS Pusat dikatakan dipersoalkan oleh sesetengah pihak.

Aku tertarik dengan pandangan Khalid Samad yang menggambarkan walaupun 'orang Kelantan' tidak terpilih dalam muktamar tersebut, namun YB-YB Kelantan seperti Ustaz Nasarudin Md Isa, Dr Hatta dan sebagainya tetap terpilih.

Sebenarnya, jika dilihat kepada pimpinan PAS Pusat selama ini telah lama dipegang oleh kebanyakan pimpinan dari Terengganu. Selain TG Presiden PAS adalah orang Terengganu, Ketua Pemuda PAS Pusat sebelum ini cukup lama dipegang oleh Cikgu Pa dan Ustaz Abu Bakar Chik. Ustaz Harun Taib juga sudah lama berada di peringkat pimpinan Dewan Ulama dan menjadi Ajk PAS Pusat.

Ini sebenarnya berbeza dengan pimpinan Kelantan yang dilihat lebih banyak menumpukan masa di dalam negeri. Sejak dulu lagi, walaupun PAS Kelantan punya ramai YB samada di peringkat DUN dan Parlimen, namun mereka tidak menonjol di peringkat Pusat. Dalam pemerhatian aku, hanya Husam Musa sahaja yang dilihat agak ke depan di peringkat Pusat berbanding pimpinan PAS yang lain di Kelantan. Aku melihat Husam bukan ditolak, tetapi mungkin lebih wajar jika kerusi Naib Presiden dipertahankan.

Dikatakan PAS Kelantan mempunyai satu dasar yang amat menekankan wakil rakyat supaya tidak terlalu kerap berada di luar kawasan. Ini bagi memastikan rakyat senantiasa didekati dan sentiasa merasakan wakil rakyat mereka cakna terhadap rakyat. Mungkin.

Secara kesimpulannya, aku kira apalah salahnya jika pimpinan PAS Terengganu yang diamanahkan itu membantu memperkasa PAS di peringkat Pusat di saat ramai pimpinan negeri lain terpaksa menjaga negeri masing-masing. Jangan kerana menang di negeri masing-masing dirasakan sudah terlalu handal berpolitik. Jangan sampai kita angkuh. Jangan sampai kita takbur. Wallahua'lam.

Nota: Tulisan ini tidak bermaksud menafikan sumbangan besar pimpinan PAS dari lain-lain negeri. Cuma aku memberi pandangan dari sudut Terengganu yang 'dikecam' seolah-olah apabila kalah adalah haprak dan tidak berguna.

09 June 2009

Apabila Blog Tanpa Posting...

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Dua minggu lebih blog ini menyepi. Sepi sungguh. Aku sendiri tidak merasakan ianya sesuatu yang disengajakan walaupun ada unsur disengajakan. Terkilan juga tidak membuat posting apatah lagi banyak cerita-cerita menarik yang perlu dikongsi. Dari cerita stadium Sultan Mizan Zainal Abidin diruntuhkan raksasa di Terengganu sehinggalah cerita kehangatan Muktamar PAS dari stadium Malawati, Shah Alam.

Stadium Runtuh

Menjadi bahan lawak bilamana gambar raksasa menyerang Stadium Sultan Mizan bertebaran di internet samada email mahupun blog. Walaupun menyedari ianya merupakan suatu gurauan semata, namun sebenarnya ianya menggambarkan betapa kita masih kekurangan Ultraman dalam menyelamatkan Malaysia. Hidup Ultraman!

Apabila stadium runtuh, pelbagai pihak dipersalahkan. Kontraktor, JKR, Idris Jusoh, Ahmad Said, Bangla buruh stadium, tukang sapu, UMNO dan BN mahupun exco-exco terdahulu mahupun sekarang. Lebih menarik apabila masing-masing cuba persalahkan masing-masing. Walhal masing-masing punya saham untuk dipersalahkan.

Apapun, Idris Jusoh adalah paling kecewa dan teruk terkena tempias. Sudahlah segala projek mega yang dibina di zamannya digunakan Ahmad Said, bilamana ianya rosak dan bermasalah, semuanya diberikan kepada Idris. Tahi juga yang Idris dapat. Padan Muka!

SPM dengan 10 Subjek

Hebatnya TPM kita yang baru apabila turut menjawat Menteri Pendidikan. Dalam masa beberapa minggu menjadi TPM sudah memberi idea bernas untuk menghadkan 10 subjek sahaja untuk peperiksaan SPM. Genius, pintar, geliga dan bijak sifir! lebih penting cepat dan cukup drastik.

Mungkin Muhyiddin Yassin tidak perasan bagaimana kecewanya pihak-pihak tertentu bilamana isu PPSMI yang tidak selesai terus ditangguhkan keputusannya bilamana kajian dan pandangan pihak tertentu MENOLAK PPSMI! Sedangkan isu SPM dengan 10 subjek ini cepat sahaja keputusannya.

Suatu yang perlu tidak terlepas pandang adalah subjek teras kepada SPM itu sendiri. Sebelum ini subjek teras ada 6 iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Sejarah dan Pendidikan Islam atau Moral. Jika ianya dikurangkan apakah subjek yang akan menjadi mangsa? Apakah Sejarah dan Pendidikan Islam atau Moral?

Ramai melihat isu menghadkan 10 subjek ini tidak lebih kepada pengukuhan PPSMI yang sudah ditentang banyak pihak. Kini timbul pula isu Bahasa Inggeris mahu dijadikan subjek wajib lulus.

PAS dan Muktamar

Alhamdulillah selesai sudah muktamar PAS. Tapi walaupun sudah selesai semacam masih belum selesai sahaja lagi. Kepada yang menang dalam pemilihan, terima amanah dengan penuh rasa tanggungjawab. Kepada yang tidak terpilih, perjuangan bukan dengan jawatan. Betapa ramai pejuang di dalam PAS yang turut berjuang, tetapi tiada jawatan. Mereka ikhlas, dan amat ikhlas dan penuh ketelusan dalam perjuangan. Merekalah pejuang yang tiada nama.

Wallahua'lam.
 

Great Morning ©  Copyright by a m d a n g 8 1 | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks