25 March 2009

Pilihan Raya Kecil dan Projek Mee Udang

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Semalam aku tiba di Kuala Terengganu setelah 2 hari menjenguk Bukit Gantang. Mengikut maklumat kawan-kawan sebelum ini, suasana Bukit Gantang sudah panas, tetapi dari beberapa pemerhatian aku suasana yang ada tidaklah terlalu panas jika dibandingkan cuaca yang ada. Cuma cuaca panasnya berselang dengan hujan yang turun sesekali. Kadangkala lebat juga. Mungkin itu sebenarnya maksud 'panas' dari sahabat-sahabatku. Panasnya sesekali.

Mendengar taklimat 'bawah pokok' dari seorang sahabat, kedudukan semasa dilihat menyebelahi PAS yang diwakili MB Perak, Dato Seri Nizar. Dikatakan simpati terutamanya dari masyarakat Cina dan India cukup tinggi. Pengundi Melayu yang merupakan majoriti mungkin akan terbahagi kepada dua. Namun, sekiranya kena pada sentuhan kempen, tidak mustahil undi besar bakal diperolehi dari kaum Melayu.

Pengundi saluran 1 (golongan veteran) dikatakan mungkin sukar didekati. Ini kerana selain termakan umpan UMNO, kebanyakan golongan ini tidak terdedah kepada maklumat. Ketika berada di sebuah kampung di Dun Terong, dikatakan hanya sedikit sahaja akhbar harian yang terjual setiap hari. Selebihnya maklumat diperolehi dari kaca TV. Mungkin PR perlu lebih banyak turun padang mendekati pengundi kali ini.

Selain suasana bendera yang sudah mula dikibarkan, sesuatu yang turut biasa berlaku dalam mana-mana pilihan raya kecil adalah penurapan jalan. Namun, sedikit kebaikan penurapan jalan ini dilakukan adalah kerana jalan raya yang sedia ada memang agak teruk dan permukaannya beralun.

Aku menamakan projek-projek segera itu sebagai projek Mee Udang. Istilah 'projek Mee Udang' dinamakan bagi menggantikan projek Mee Segera adalah kerana projek pilihan raya adalah mahal harganya. Mee Udang adalah antara menu yang terkenal di sini. Selain kerana udangnya yang banyak dan besar, harga bagi sepinggan juga adalah boleh tahan. Setakat yang aku dimaklumkan paling murah adalah RM 6 dan yang paling mahal mencecah ke RM 15. Itu yang aku dimaklumkan.

Mee Udang yang sempat aku rasa sepinggan pada aku lebih kurang Mee Bandung sahaja. Cuma udangnya yang banyak sehingga menutup pinggan. Mungkin rasa Mee Udang yang aku makan di sebuah gerai di Kuala Sepetang bukanlah yang paling istimewa. Namun, mengikut apa yang tertera pada gerai berkenaan, kewujudannya sejak 1956 lagi!! Harga sepinggan yang aku makan tidaklah aku ketahui kerana bayarannya dijelaskan oleh pembantu kepada YB. Drs Idham Lim , Adun Titi Serong atau lebih dikenali sebagai Cina Islam.

Aku akan kembali lagi ke Bukit Gantang dan aku akan pastikan dapat merasa Mee Udang yang paling sedap selepas kemenangan PAS dan Pakatan Rakyat di sana!!

p/s: ada ke sesiapa nak rekemen Mee Udang di Bukit Gantang yang paling sedap?

18 March 2009

Hishammuddin, PPSMI Gagal lah!!

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Kurang 4% sahaja yang berjaya menguasai Bahasa Inggeris melalui PPSMI. Apa lagi agaknya alasan mahu meneruskan pelaksanaan PPSMI. Apakah kurang 4% tersebut mahu dinilai sebagai suatu kejayaan yang besar setelah melalui banyak tahun kegelapan?

4% terlalu jauh dari cemerlang. Mendekati lulus pun masih teramat jauh. Jika diberi gred, aku tidak pasti 4% itu mewakili E, F atau G.

Dato Seri Hishammuddin, PPSMI gagal lah! Hentikanlah segera!!

Aku malas dah nak komen pasal PPSMI. Apa boleh buat bilamana Pemimpin-Pemimpin Sombong, Mereng dan Isim. Golongan yang mempertahankannya secara membabi-buta dan membuta-tuli lagilah kesian. Golongan yang digunakan untuk mempertahankan dasar PPSMI itupun turut aku kesian. No komen. No komen. Wallahua'lam.

16 March 2009

Kenduri Kahwin dan Jaga Perut

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Petang semalam aku menghadiri satu kenduri kahwin seorang anak bekas jiran aku di Rusila, Marang. Aku tidak ingat sejak bila keluarga tersebut menjadi jiranku, tetapi yang aku ingat keseluruhan ahli keluarga tersebut agak rapat dengan keluarga aku. Aku tiba lewat petang dan memberi peluang untuk lebih beramah mesra.

"Perut abi dia ni mengandung jugak" Tegur Makcik Nor kepada aku. Ketika itu aku baru sahaja hendak memulakan makan.

"Tiap kali hujan je, nak joging. Hujan je, nak joging". Aku membalas beralasan. Maksud aku, setiap kali aku nak joging, mesti ketika itu hujan sudah turun. ;) Kebetulan pula ketika ini hujan sahaja setiap petang. Sepanjang hari pun.

Berselang hari jemputan kenduri kahwin. Kebanyakan kawan sekolah. Lebih tepat yang sama batch. Ikut jadual, jika aku tidak ke Perak untuk mencari 'sisa-sisa replika plak Pokok Demokrasi', insyaAllah kesemua kenduri tersebut akan aku kunjungi. Ummu Balqis sendiri dah siap belikan beberapa hadiah kahwin untuk diberikan semasa kunjungan nanti.

Jumpa kawan-kawan lama di kenduri nanti mesti persoalan perut adalah yang utama. Jika perempuan sibuk bertanyakan 'ada isi', yang lelaki pula sibuk melihat kejayaan si isteri menjaga suami masing-masing.

Jujurnya, selepas kahwin agak kurang aku beriadah. Jika ada pun main badminton di TER j a r a n g - j a r a n g. Itupun jika malam yang ditetapkan aku berkelapangan. Ada kalanya rindu di zaman kampus yang saban hari aku berbasikal. Baik ke kelas, mahupun pusing-pusing di tepi pantai di waktu petang. Atau rindukan zaman di asrama sekolah menengah menayangkan aksi ala-ala 'Moero Attack' di court biru.

Zaman sekolah rendah adalah paling aktif. Semua sukan aku sertai. Baik acara padang mahupun trek. Agaknya sebab itu ketika itu aku jauh lebih slim. Mungkin juga disebabkan gaya kerja yang tidak banyak melibatkan aktiviti luar menyebabkan lemak-lemak mudah berkumpul.

Jeles sebenarnya melihat kejayaan seorang abang dalam menguruskan diet makan. Namun, dalam menyedapkan hati mengatakan ruginya tak makan macam-macam. Hehehhe. Memang terasa rugi pun tolak itu dan ini.

Wallahua'lam.


10 March 2009

PPSMI: Menanti UMNO Perjuangkan Bahasa.

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Marahnya Hishamudin bilamana diketahui bahawa perhimpunan membantah PPSMI berjaya diadakan dan jumlah kehadiran memberangsangkan. Aku sendiri sebenarnya tidak percaya melihat jumlah kehadiran yang hadir. Dalam sangkaan awal aku, kehadiran mungkin sekitar 3 atau 4 ribu orang sahaja.

Aku sempat mengikuti satu mesyuarat terakhir antara GMP dan wakil-wakil NGO. Ketika mesyuarat tersebut diadakan, wakil media juga terdapat sama. Dari laporan setiap wakil-wakil NGO yang hadir, jumlah kehadiran yang tercatat sekitar 2000 orang sahaja. Malahan, lebih mengecewakan bilamana ada yang wakil NGO yang hadir tidak dapat memberi sebarang jaminan untuk hadir kerana terikat dengan 'Kakitangan Awam'.

PPSMI bukan isu politik. Ianya isu pendidikan dan bahasa. Itu yang cuba digambarkan oleh para pemimpin UMNO. Kononnya perarakan mansuhkan PPSMI tersebut didalangi orang politik. Apakah salah orang politik berbicara isu pendidikan dan bahasa? Apakah salah orang politik berjuang untuk bahasa dan pendidikan? Apatah lagi isu pendidikan dan bahasa yang diperjuangkan itu adalah bahasa yang melambangkan bangsa mereka.

Aku tercari-cari di mana kekuatan UMNO untuk berdepan dengan isu PPSMI ini. Pak Lah mengambil jalan selamat bilamana mengatakan mahu ianya segera diselesaikan. Seolah-olah Pak Lah tiada kuasa dalam menentukan dasar PPSMI ini. Namun, ianya masih jauh dari penyelesaian sebenar.

Hishammuddin yang dilihat paling tertekan. Sebagai Menteri Pelajaran, PPSMI secara langsung berada dalam bidangnya. Baik buruk PPSMI adalah baik buruk Hishammuddin. Ketika mana kini PPSMI sedang berjalan, sudah tentu Hishammuddin akan bertahan bahawa PPSMI adalah baik dan wangi. Jika disebut PPSMI buruk dan busuk, tetapi mahu diteruskan maka sudah tentu Hishammuddin akan dilabel buruk. Silap percaturan, Hishammuddin akan kehilangan senyum lebarnya. Kerusi Naib Presiden yang bakal ditandinginya juga bakal melayang.

Dikatakan Hishammuddin akan menggunakan senjatanya yang terakhir bagi mempertahankan PPSMI sebelum menjelang Persidangan Agung UMNO. Senjata itu tidak lain dan tidak bukan adalah keputusan SPM 2008. Dikatakan keputusan SPM bagi tahun sudah itu akan diumum sebelum persidangan tersebut. Keputusan bagi mata pelajaran Sains dan Matematik dikatakan akan Cemerlang dan Gemilang. Pelajar yang lulus juga bertambah.

Aku sendiri tidak tahu sejauh mana kebenaran senjata ini akan digunakan Hishammuddin. Dalam keadaan PPSMI ditekan sehabis mungkin oleh golongan-golongan 'jutawan bahasa' ini, apakah keputusan cemerlang Sains dan Matematik tersebut boleh dijadikan ukuran?

Umum mengetahui markah penuh satu-satu kertas adalah 100 markah. Namun, markah lulus adalah berbeza. Adakalanya 50 dijadikan aras lulus. Kadangkala 40 sahaja sudah lepas. Malah, markah 30 bukan sesuatu yang tidak mungkin berlaku. Dikatakan bergantung kepada berapa ramai pelajar yang mahu 'diluluskan'. Begitu juga bagi menentukan A, B, C dan seterusnya. Jadi, apakah itu nilai PPSMI diukur?

Meletakkan PAS khususnya sebagai dalang kepada himpunan 100 000 Rakyat membantah PPSMI adalah suatu kelaziman UMNO bagi menghilangkan fokus sebenar. PAS memang menganggotai GMP sebagai suatu badan di bawah GMP. Jadi, tidak timbul samada PAS dalang atau tidak. Namun, sesuatu yang perlu disedari adalah kejayaan himpunan tersebut adalah kerana sokongan dari PAS secara khusus. Pemimpin GMP sendiri silih bertukar negeri di Pentas PAS bagi menerangkan mesej GMP.

Pada aku, PAS yang diperalatkan oleh GMP. Selain pentas PAS, aku percaya media PAS, blog penyokong PAS dan sebagainya amat berperanan dalam membantu GMP memberi tekanan kepada UMNO dan BN. PAS bersama GMP kerana mahu membantah PPSMI. Jika UMNO mahu dan merasakan inilah peluang memperjuangkan bahasa Melayu, kenapa tidak menggunakan peluang ini?

Apabila himpunan besar, lain ceritanya. Apabila tiada penyertaan, dikatakan PPSMI disokong kebanyakan rakyat. Itu adalah lumrah yang selalu dimainkan media dan berita. Hishammuddin pula persoalkan kenapa selepas 6 tahun baru dibantah. Sedangkan sebelum ini sudah banyak bantahan demi bantahan dilakukan. Namun, kerana kurangnya 'tekanan' dan bentuk tekanan yang diambil dalam keadaan aman, maka kerajaan merasakan isu ini akan senyap suatu hari nanti.

Membaca tulisan Prof Dr Awang Sariyan - Tak Perlu Mencari Jalan Berliku Pertahan PPSMI aku kira cukup menarik. Mesejnya jelas dan tepat sekali dengan apa yang berlaku dengan PPSMI ini. Mereka bukan ada kepentingan pun dalam politik, dalam mendapatkan tender. Apatah lagi gila glamour di saat penghujung nafas. Aku percaya golongan 'jutawan bahasa' ini bukan seperti UMNO sifat mereka.

Mereka tidak UMNO dan tidak akan bersama-sama dengan UMNO. Silap UMNO apabila memilih golongan 'lembut' dan lama ini untuk ditentang. UMNO silap!

Tak perlu mencari jalan berliku pertahan PPSMI - Prof Awang Sariyan

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Saya bersyukur akhirnya pernyataan hati nurani rakyat yang prihatin kepada kedudukan dan peranan dan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa penghantar utama sistem pendidikan negara, sebagaimana yang dimaktubkan dalam Perlembagaan dan Akta Pendidikan dapat disembahkan kepada Ketua Negara, Yang di-Pertuan Agong.

Saya menyertai ucap sembah menjunjung kasih seluruh pejuang bahasa kepada baginda atas keprihatinan baginda terhadap kedudukan bahasa Melayu sebagai salah satu pancang dan tunjang kenegaraan.

Saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada penggerak Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) yang berjaya merakyatkan dan memasyarakatkan perjuangan bahasa kebangsaan sehingga bangkit kesedaran massa tentang peranan bahasa Melayu sebagai salah asas pembinaan negara, sebagaimana yang diputuskan dan dilaksanakan sejak kemerdekaan.

Saya tidak berminat mengulas soal teknis tentang apa-apa yang berlaku dalam cara penyampaian memorandum perjuangan rakyat itu, kerana yang jauh lebih penting ialah memfokuskan perhatian kepada agenda negara dalam soal mempertahankan kedudukan dan peranan bahasa Melayu dalam pembangunan negara.

Asas paling utama bantahan pejuang bahasa dan mereka yang faham serta menghayati peruntukan dalam Perlembagaan dan Akta Pendidikan tentang kedudukan dan peranan bahasa Melayu ialah bahawa kuasa eksekutif wajib menghormati keputusan badan Penggubal undang-undang, iaitu Parlimen.

Jelas bahawa pelaksanaan PPSMI bercanggah dan menyeleweng daripada undang-undang tentang bahasa Melayu yang telah dimaktubkan. Atas asas ini sahaja kerajaan tidak perlu mencari jalan panjang lagi berliku-liku untuk mencari kewajaran mempertahankan dan meneruskan PPSMI.

Apa-apa jua alasan dan hujah untuk mempertahankan dan meneruskan PPSMI dan dasar lain yang seumpama itu terbatal dengan sendirinya apabila kita menggunakan premis undang-undang negara tentang dasar bahasa kebangsaan.

Oleh itu, seruan Perdana Menteri supaya disegerakan keputusan yang wajar (pasti yang berdasarkan undang-undang negara) tentang PPSMI perlu dilaksanakan oleh badan eksekutif (jemaah menteri).

Polemik yang bersifat pinggiran seperti pencarian dalang di balik perhimpunan membantah PPSMI tidak memberikan faedah apa-apa pun jua, selain semata-mata menayangkan nafsu menjaga kuasa dan memusuhi golongan yang tidak sekelompok dengan pihak berkenaan.

Dapatkah orang yang sihat akalnya menerima tohmah bahawa tokoh seperti Dato' Dr Hassan Ahmad dan Sasterawan Negara Dato' A Samad Said serta tokoh-tokoh lain yang sepanjang hayatnya tidak hidup atas kurniaan kontrak dan perniagaan sanggup didalangi oleh mana-mana pihak untuk ke hadapan dalam perjuangan menjaga martabat bahasa Melayu?

Yang dapat dibayangkan ialah bahawa kesungguhan hendak mempertahankan dan meneruskan PPSMI itu barangkali ada kaitannya dengan kepentingan agihan kontrak dan habuan yang telah dibuat dalam aspek prasarana pelaksanaan PPSMI. Wallahu a'lam.

Demikian juga, berkali-kali disebut bahawa mengapa sesudah enam tahun pelaksanaannya baru kini timbul penentangan dan hujah bahawa PPSMI menyalahi Perlembagaan dan Akta Pendidikan, seolah-olah pejuang bahasa sengaja menanti saat tertentu dengan niat tertentu untuk menjatuhkan orang yang merasakan dirinya begitu penting. Sahlah bahawa orang yang berhujah demikian sama ada baru bangkit daripada lena yang panjang atau diserang penyakit pelupa yang kronik.

Seawal pengumuman dasar PPSMI pada tahun 2002, individu dan badan-badan bukan kerajaan, dan bahkan parti politik tertentu atau bahagian dalam parti kepemimpinan kerajaan sendiri telah mengadakan seminar, konvensyen, forum, pertemuan dengan pemimpin pelbagai pihak, hatta kedua-dua orang Perdana Menteri, penyerahan memorandum dan hasil kajian empiris, penggunaan media cetak dan media elektronik.

Para pejuang bahasa dengan penuh adab dan kesantunan mencuba menggunakan saluran intelektual dan yang dikatakan "saluran betul" oleh pihak-pihak yang kononnya sangat beradab selama bertahun-tahun, tetapi tidak tampak reaksi yang meyakinkan daripada kerajaan, malah pernyataan demi pernyataan pihak berkuasa cenderung untuk meneruskan dasar yang bercanggah dengan undang-undang negara dan kepentingan negara itu.

Menteri Pelajaran yang ketika itu menjadi Menteri Belia dan Sukan sendiri dan atas kapasitinya sebagai Ketua Pemuda Umno telah dikunjungi oleh pimpinan Dewan Bahasa dan Pustaka dan Persatuan Linguistik Malaysia di pejabatnya di Jalan Dato' Onn dan telah memperlihatkan keprihatinan pada waktu itu.

Pada hemat saya, kini bukan masanya untuk kita saling mendakwa tentang cara dan kenapa timbul bantahan, atau ada tidaknya dalang di balik bantahan terhadap PPSMI. Fikirkanlah asas proses pembinaan negara yang telah dirancang sejak awal, malah sebelum kemerdekaan, menurut acuan yang munasabah bagi negara kita. Salah satu asas itu ialah bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa penghantar utama sistem pendidikan.

Marilah kita menjadi bangsa yang tahu menghormati warisan tamadun bangsa yang telah berakar teguh sejak berabad-abad lamanya. Manfaatkanlah apa-apa jua unsur daripada tamadun luar, termasuk penguasaan bahasa-bahasa asing, tetapi usahlah menjadi bangsa yang rakus akan kemajuan kebendaan sehingga kehilangan roh bangsa dan negara.

Bukalah mata kita seluas-luasnya bagaimana negara-negara maju di seluruh dunia yang tetap mengutamakan bahasa kebangsaan masing-masing sebagai wahana komunikasi dalam bidang-bidang kehidupan bertamadun mereka, meskipun tidak meremehkan bahasa asing yang bermanfaat sebagai alat sokongan kemajuan negara mereka.

------
Prof Dr Awang Sariyan ialah Penyandang Kursi Pengajian Melayu, China Beijing Foreign Studies University.

09 March 2009

Catatan Balqis ke Himpunan 100 000 Membantah PPSMI

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Tarikh: 7 Mac 2008.
Lokasi: Masjid Negara ke Istana Negara.
Pakaian: Putih

Jam 2.03 minit petang, alhamdulillah kami selamat tiba di perkarangan Masjid Negara. Seperti yang dirancang, perjalanan dengan LRT dari Terminal Putra, Gombak ke Pasar Seni berjalan lancar. Cuma Balqis awal-awal lagi sudah tertidur dalam dukunganku.

Kedatangan kami disambut dengan sepasukan pihak berkuasa yang sedang siap bersedia di pintu masuk Masjid Negara. Kami melintasi hadapan mereka sambil merakam gambar.

Kami menyertai para peserta yang sedang berhimpun di Perkarangan Masjid. Ketika ini beberapa individu kelihatan sedang memberi ucapan semangat. Balqis tetap tertidur dalam dukungan.

Nyenyak tanpa menghiraukan apa yang berlaku di sekitar. Laungan takbir dan hiruk pikuk manusia seolah-olah nyanyian yang mengasyikkan.

Tiba-tiba, sekumpulan pasukan Unit Amal yang membentengi beberapa pimpinan GMP bergerak melintasi kami. Nampaknya para peserta sudah berlepas. Kami terhimpit di celah-celah lautan manusia. Aku segera keluar dari kumpulan yang ramai bilamana takut Balqis terhimpit.

Pasukan Polis yang tadi kuat membentengi pintu pagar Masjid akhirnya berpecah dan terpaksa mengakui bahawa mereka tidak mampu menentang gelombang manusia yang berpusu-pusu keluar sambil melaungkan "La ilaha Illallah".

Kelihatan peserta keluar dari Masjid Negara menuju ke jalan raya.

Bersemangat melangkah. Kami ikut dari belakang. Balqis tetap lena dalam pangkuan.

Di sini sahaja aku mampu melangkah. Nun 100 meter di hadapan kelihatan asap-asap putih sudah kelihatan. Aku pada mulanya mahu terus melangkah, namun ditegur oleh kebanyakan peserta bilamana melihat Balqis dalam dukunganku. Aku mula mencari tempat yang selamat untuk Balqis.

Dalam berlari-lari anak, aku sempat melihat ke arah Balqis. Tiba-tiba sahaja dia terjaga dari tidurnya yang panjang. Matanya berair dan mula hendak menangis. Aku percaya, apa yang Balqis rasakan adalah sama seperti yang aku rasa. Tekak sedikit pahit, mata pedih dan berair.

Balqis sudah terjaga dari tidur. "Kacau betul FRU tu!! Orang nak mimpi lebih pun tak boleh. Dengki!!"

Aku segera membasahkan kain tuala dan menyapu mukanya. Seorang sahabat menghulurkan garam. Aku segera meletakkan garam tersebut ke lidah Balqis. Ketika itu aku lihat makin ramai yang berundur. Kami berhenti seketika di sebuah gerai yang berdekatan. Kononnya cuba untuk makan tengahari yang belum sempat diambil.

Tiba-tiba, datang pula trak meriam air memancutkan air berasid. Kami bernasib baik sempat melarikan diri dan tiada apa-apa. Mee goreng yang sempat disuap dua kali terpaksa ditinggalkan. Nasi goreng yang ditempah belum sempat siap. Namun, aku menyuruh isteriku pergi semula menjelaskan bayaran bilamana melihat keadaan di sekitar gerai berkenaan sudah aman. Kami bergerak keluar dari medan. Mencari gerai lain. Lapar.

Berhenti lelah sambil menikmati ibu jari yang sedap dan berkhasiat. Agaknya masin-masin pada ibu jari Balqis itu menyebabkan dia tiada apa-apa bila terkena gas. Hehehe.

Sempat posing dengan Umi sementara menanti air kelapa dan nasi tiba.

Masa untuk bergerak pulang. Posing sambil menanti LRT tiba untuk membawa kami pulang.

Akhirnya kami selamat tiba di rumah mak sedara Balqis. Selepas mandi dan menyusu, tibalah masa-masa untuk melepaskan lelah.

Semoga PPSMI dapat dikuburkan. Agaknya itulah yang difikirkan Balqis sebelum matanya terlena.

Wallahua'lam.

03 March 2009

Surat Terbuka buat Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaludin

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Berikut adalah artikel yang dicopy paste dari ArifAbdul. Surat ini adalah karangan Raja Petra dalam Malaysia-Today.

------------------------------------------------------------------------------------

Datuk Seri,

Saya akan menulis secara ringkas dan manis. Tak ada lagi artikel cheong hei daripada saya.

Sudah tentu mereka dapat mengunci bangunan yang menempatkan Dewan Undangan Negeri Perak, jika itu yang mereka mahu. Bangunan itu tidak penting. Jika bangunan itu tidak dapat digunakan — umpamanya, jika bagunan itu musnah akibat banjir atau gempa — adakah bermakna sidang Dewan Undangan juga tidak dapat diadakan [di tempat lain - penterjemah]?

Tentu saja boleh. Sidang boleh diadakan di mana saja, tidak semestinya di dalam dewan tersebut.

Malam ini, sekarang, pergilah cari tempat lain supaya sidang Dewan Undangan Negeri esok dapat dijalankan. Luluskan undi percaya terhadap kepimpinan anda sebagai Menteri Besar. Luluskan segala usul lain, termasuk usul untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri. Kemudian, segeralah memandu ke Bukit Chandan dan persembahkan kepada baginda Tuanku akan keputusan sidang Dewan Undangan Negeri itu.

Andainya Tuanku enggan memberi perkenan terhadap suatu yang secara terang adalah sejajar dengan undang-undang, cabarlah baginda, jika perlu, cetuskan Krisis Perlembagaan yang tidak pernah berlaku dalam sejarah 52 tahun negara ini.

Rakyat telah bersedia. ‘Revolusi’ seterusnya ini tidak akan menjadi rusuhan kaum a la 13 May. Ia akan menjadi satu Perjuangan Kelas. Dan saya bersama Rakyat dalam perjuangan ini, jangan pedulikan latarbelakang kerabat Di-Raja saya itu.

Saya bercakap sebagai raja tetapi bersuara untuk Rakyat. Percayalah, terdapat ramai anggota kerabat yang sependapat dengan saya. Jangan biarkan beberapa orang yang duduk di tampuk kuasa itu mengertak dan menakut-nakutkan anda sehingga anda fikir anda keseorangan, mewakili Rakyat, menghadapi Kesultanan. Tidak sama sekali, kami semua bersama dengan anda, begitu juga anggota kerabat yang lain.

Tangkaplah seladang itu melalui tanduknya dan jatuhkan ia dengan menarik tanduknya sehingga ke bawah kakinya. Walaupun telah ditakdirkan seladang itu memakai mahkota. Rakyat telah bangkit. Jangan sesekali mengaku kalah. Bersungguh-sungguhlah meneruskan perjuangan atau selamanya peluang itu akan hilang. Dan jika anda gagal bersunggu-sungguh meneruskan perjuangan ini, ingatlah bahawa Rakyat tidak akan memaafkan dan anda akan kehilangan kepercayaan kami buat selamanya.

Daulat Tuanku. Daulat Tuanku. Daulat Tuanku.

Patek yang hina sembah Tuanku dan memohon perkenan agar Tuanku jangan kecewakan Rakyat. Hasrat Rakyat ialah untuk mencari kebenaran dan keadilan. Biarlah ini juga menjadi hasrat Tuanku.

Daulat Tuanku. Daulat Tuanku. Daulat Tuanku.

[Terjemahan bebas arifabdull terhadap Open letter to Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin tulisan RPK]

02 March 2009

Apa Menarik di Perak?

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

1. Esok, 3 Mac akan diadakan Sidang DUN Pertama selepas BN merampas kuasa di Perak. Tapi malangnya MBH dan exco-exconya adalah dilarang dari menghadiri sidang Dun.

2. Najib kata Sidang DUN yang akan diadakan esok tidak sah kerana masih bergantung kepada suatu keputusan mahkamah. Tapi Najib tidak pula kata MBH itu Haram kerana masih bergantung kepada keputusan Mahkamah yang difailkan MB Nizar.

3. Speaker dan S/U DUN berbalah dalam isu mengadakan Sidang DUN. Speaker Bos, S/U sepatutnya ikut kata Bos. Jika tindakan itu salah sekalipun, itu kesilapan Bos.

4. Seorang pimpinan PAS di Perak mengatakan Sidang DUN akan tetap berjalan. Speaker dikatakan akan membawa 'tukang kunci' untuk membuka pintu sekiranya tidak dibenarkan. Ada yang bertanya, apa jadi sekiranya polis dan FRU mengepung kawasan tersebut?. Jawab beliau buat sahaja sidang DUN di bawah pokok. Teringat aku kisah seorang raja dilantik di bawah pokok di Kelantan. Jika Raja boleh dilantik, apalah sangat jika diadakan sidang DUN.

5. 3 orang Adun yang lompat menjadi Adun Bebas (sokong Be End) sehingga hari ini tidak diketahui ke mana gerangan mereka. Besar kemaluan mereka agaknya untuk berhadapan dengan rakyat.

6. PAC pening kepala untuk menentukan siapa yang patut dibayar gaji sebagai MB Perak dan Exco. Pening juga PAC bilamana MBH melantik 3 penasihat dan Ketua Penerangan berkuasa Exco. Dari mana sumber kewangan yang akan membayar gaji mereka. Sekiranya mahu dibayar melalui peruntukan DUN, maka keputusan melantik mesti melalui sidang DUN. Agaknya MBH nak potong gaji sendiri kot.

7. MB Perak, YAB Nizar kekal menggunakan kenderaan rasmi MB Perak sebagai simbolik MB yang sah.

8. Parlimen Bukit Gantang P059 mempunyai 3 Dun iaitu N13 Kuala Sepetang, N14 Changkat Jering dan N15 Trong. Ketiga-tiga Dun terbabit adalah sama nombor DUNnya dengan N13 Wakaf Mempelam, N14 Bandar dan N15 Ladang di Parlimen Kuala Terengganu. Parlimen Kuala Terengganu mempunyai 4 Dun termasuk N16 Dun Bandar.

9. Rata-rata orang Perak menawarkan Mee Udang jika berkunjung ke sana. Bagaimanapun aku belum sempat mencubanya.

10. Untuk lebih menarik, jom sama-sama turun ke Perak.

Iklan: Himpunan 100 000 Bantah PPSMI

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Permohonan aku untuk mendapat cuti pada hari Ahad ini 8 Mac 2009 telah berjaya. Dengan sporting bos aku meluluskan. Tinggal lagi cuti untuk isteriku. Aku cadangkan untuk dia ambik MC sahaja. Senang untuk sama-sama ke Himpunan 100 000 Rakyat Membantah PPSMI. Balqis pun dah setuju untuk ikut sama.

InsyaAllah aku sekeluarga akan bergerak seawal pagi Jumaat, 6 Mac ke KL. Pada malam tersebut akan diadakan satu ceramah sebagai gempur terakhir di Taman Melewar, KL. Sudah lama aku tidak menjengukkan muka ke TM. Apa khabarnya TM sekarang.

Aku sedang merencana untuk parking kereta di sekitar Stesen LRT Putra Gombak. Kemudian bergerak ke pusat bandaraya menggunakan kemudahan LRT tersebut. Berkumpul di lokasi yang dinyatakan, seterusnya bergerak ke Istana Negara.

Aku sudah mempunyai sehelai T-Shirt Bantah PPSMI. Isteriku mungkin mengenakan tudung putih sahaja. Balqis pula mungkin akan dipakaikan kesemuanya putih. Menyampaikan mesej yang jelas lagi terang. Rakyat membantah PPSMI.

Sudah terang lagi bersuluh PPSMI ini tidak diterima. Tidak praktikal. Tidak mesra ilmu. Tidak menepati perlembagaan. Tidak memajukan pelajar. Tidak itu dan tidak ini. Semuanya tidak kepada rakyat. Semuanya tidak kepada pelajar.

Namun, PPSMI ini relevan pada Mahathir. Bagus pada Hishamudin. Tepat pada Najib. Sesuai dengan Pak Lah. Relevan untuk mengkayakan kroni. Bagus untuk memperbodohkan rakyat. Tepat untuk memusnahkan bahasa. Sesuai untuk menghilangkan identiti bangsa.

Wallahua'lam.
 

Great Morning ©  Copyright by a m d a n g 8 1 | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks