26 February 2009

PPSMI: Pemimpin-Pemimpin Sombong, Mereng dan Isim

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

PPSMI. Aku suka mengambil pandangan Cikgu Azmi Abdul Hamid, Presiden TERAS. Kata Cikgu Azmi, PPSMI itu adalah Pemimpin-Pemimpin Sombong, Mereng dan Isim. Ungkapan itu aku dengar dalam satu Pidato PPSMI di Dewan Himpunan Cina Selangor. Aku tumpang senyum lebar bila ungkapan itu disebut.

PPSMI sebenarnya adalah Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris. Mengikut riwayat sudah dilaksanakan sejak 2003 lagi. Adapun tujuan dilaksanakan PPSMI adalah untuk meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris. Maka, diajar Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris.

Satu persoalan besar yang timbul dengan pelaksanaan PPSMI ini adalah, adakah pelaksanaan PPSMI itu berjaya meningkatkan penguasaan BI para pelajar? Pada pendapat aku, teori ini adalah salah dan silap sama sekali.

PPSMI mungkin berjaya menambahkan beberapa perkataan BI (Vocab) ke dalam kamus pelajar. Mungkin juga PPSMI berjaya memaksa anak-anak pelajar bercakap orang putih sepatah dua dalam kelas Matematik dan Sains. Mungkin juga kejayaan dinilai bilamana para pelajar menjawab soalan Matematik dan Sains dalam BI. Itu sahajakah penilaian kejayaan PPSMI?

Jika itu nilai kejayaan, aku kira teramat rendahnya kejayaan yang dicapai. Bukan sahaja rendah, malah kejayaan itu turut memakan korban yang besar. Korban di mana pelajar luar bandar khususnya dan mereka yang sedikit lemah dalam subjek BI akan mengalami kemerosotan dalam subjek Sains dan Matematik.

Apa pelik jika subjek yang diajar dalam BI dijawab dalam BI. Langsung tak pelik. Ini langsung tidak boleh dikategorikan sebagai suatu kejayaan. Bilamana sesuatu istilah telah diajar dalam BI, sudah tentu istilah tersebut akan terus digunakan oleh pelajar. Menjawab tetap dalam BI, tetapi bagaimana kefahaman mereka tentang apa yang diterima?

Secara peribadi aku melihat dalam keluarga aku, tiada yang bermasalah dalam mata pelajaran Matematik. Tetapi, bilamana PPSMI dilaksanakan, aku lihat keputusan semasa adik bongsuku (yang menjadi mangsa PPSMI) berada pada tahap yang tidak membanggakan. Soalan-soalan mudah pun tidak mampu dijawab. Bukan soal tidak tahu konsep Matematik iaitu campur, darab, tolak dan bahagi, tetapi kerana tidak memahami soalan sahaja. Apabila aku menerangkan kehendak soalan, barulah dia tersenyum faham. Sungguh aku kesian melihatnya.

Kenapa kita menyusahkan sesuatu yang mudah. Kenapa kita membebankan penguasaan ilmu. Al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad S.A.W dalam Bahasa Arab. Nabi berbangsa Arab dan bertutur dalam Bahasa Arab. Walaupun Al-Quran dalam Bahasa Arab, tidak bermakna untuk mempelajarinya mesti 100% dalam Bahasa Arab. Sebab itu ada terjemahan dan tafsirnya dalam pelbagai bahasa.

Walaupun Islam itu sinonim dengan Bahasa Arab, tetapi tidak menjadi masalah pun bagi penganut Islam yang tidak memahami Bahasa Arab. Cuma beberapa ketika sahaja kita disuruh berbahasa Arab dan menggunakan ayat Quran misalnya dalam solat. Dalam urusan lain, kita bebas untuk berdoa, berniat, berbincang dan seumpamanya dalam pelbagai bahasa.

Pedih dan sedih bilamana pihak berwajib marahkan pihak yang menegur. Seolah-olah teguran yang diberikan ini membabi-buta dan tanpa asas. Kajian demi kajian telah dijalankan, dan teguran yang datang pula bukan dari pihak-pihak sembarangan. Ini jauh bezanya dari kajian dan respon yang diberikan pihak kementerian. Pihak yang sentiasa membenarkan orang atasan. Mengampu dan menyedapkan tuan sahaja.

Apa salahnya mansuhkan PPSMI ini. Jika perlu sangat untuk perkasakan BI, tambah sahaja masa pengajarannya. Jika kurang guru yang mahir, tambah sahaja guru dan beri kemahiran sepatutnya. Jika perlu peruntukan khusus, tambahkan sahaja. Biar matlamat tercapai, tiada pihak menjadi korban.

Patutlah Cikgu Azmi berkata demikian...

Iklan: Ceramah Jihad Palestin di MTT

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Sedikit Iklan:


CERAMAH JIHAD PALESTIN & TAYANGAN VIDEO PALESTIN

Tarikh:
26 Februari 2009 (Khamis)

Masa:
9.00 Malam

Tempat:
Maahad Tahfiz Wal Tarbiyyah Tok Jiring (MTT)

Penceramah:
1. YB Salahudin Ayub, Ahli Parlimen Kubang Kerian
2. Ybhg Dato' Ustaz Abu Bakar Chik, Presiden AFMY

3. Ybhg Tuan Haji Hussin Ismail, Presiden Yayasan Amal Malaysia.


SEMUA DIJEMPUT HADIR dan MENDERMALAH

25 February 2009

Lepaskanlah Eli dan Anak Ali

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Semalam Malaysiakini melaporkan 10 000 tandatangan berupa petisyen sudah diserahkan kepada MB Selangor sebagai sokongan kepada Elizabeth Wong untuk mengekalkan kerusi Dun Bukit Lanjan dan Jawatan Exconya. Sokongan dari rakyat itu diusahakan sendiri oleh penduduk Bukit Lanjan.

Aku secara peribadi bersimpati terhadap Elizabeth yang telah 'dicabul' melalui penyebaran foto-foto dan klip video yang dikatakan dalam posisi separuh teLANJANg. Aku sendiri belum melihat foto dan video berkenaan. Tetapi dimaklumkan foto-foto berkenaan 'biasa-biasa' sahaja.

Terfikir aku, sekiranya foto-foto tersebut adalah 'biasa-biasa' sahaja, kenapa Eli mahu bertindak sehingga melepaskan jawatan? Memang malu jika peribadi kita disingkap seperti yang berlaku kepada Eli, tetapi jika ianya sesuatu yang tidak sampai kepada peringkat kesalahan besar, tiada sebab untuk Eli melepaskan jawatan.

Aku merasakan tindakan Eli mahu melepaskan jawatan adalah sesuatu yang waras pada pemikirannya. Pertimbangan itu mungkin sudah mengambil kira pelbagai perkara. Aku bukan mahu buruk sangka, tetapi aku merasakan gambar yang disiarkan itu mungkin mempunyai cerita yang lebih panjang dan lebih dari sekeping gambar 'biasa-biasa'.

Dalam situasi ini, tindakan Eli mahu melepaskan semua jawatan adalah suatu kewajaran kepada PKR dan Kerajaan PR Selangor. Kita semua perlu menghormati keputusan tersebut. Jangan sampai dari gambar yang 'biasa-biasa', muncul pula nanti cerita 'luar biasa'. Ini yang ditakuti.

Eli tahu tindakannya, maka lepaskanlah dia sebagaimana yang dikehendakinya. Cukuplah kita menyokongnya dari segi menyelar tindakan pihak yang 'mencabul'nya yang melanggar ruang peribadi seorang insan. Cukuplah dan lepaskanlah Eli.

Bagaimana pula dengan anak Ali si Ibrahim? Ibrahim Ali bukan tokoh baru dalam politik tanahair kita. Cukup terkenal dan pimpinan PAS Kelantan juga amat mengenalinya. Bahkan gelaran 'Katak' juga amat sinonim dengan Ibrahim Ali. Lompat dari satu parti ke satu parti bukan perkara yang asing bagi Ibrahim Ali. Semua orang pun tahu.

Anggaplah kerusi Ibrahim Ali sudah dilepaskan. Anggap sahaja kita tersilap percaturan dengan membenarkan logo bulan digunakan Ibrahim Ali dalam PRU 12 lalu. Memang dia yang meminta, tetapi kita terlalu baik dan sentiasa terlalu baik sangka. Kita juga sedar yang logo bulan hanya digunakan ketika pengundian, tetapi hakikatnya adalah bebas.

Kita sendiri yang membebaskan Ibrahim Ali. Kita juga tidak mengikatnya seperti mana yang kita katakan kepada ahli-ahli parti yang lain. Aku percaya Ibrahim Ali tidak terikat dengan Bai'ah. Aku percaya Ibrahim Ali memang berada di pihak bebas. Maka lepaskanlah dia.

Cukuplah sekali terjerat dengan Ibrahim Ali. Bukan kita tertipu, tetapi kita menimba pengajaran. Kita sentiasa diuji kawan dan lawan. Ujian bukan hanya bersifat kesusahan. Ujian juga datang dengan kesenangan. Rahmat juga bukan bersifat kesenangan, tetapi ada ketikanya susah dan perit itu adalah Rahmat yang tidak terhingga.

Wallahua'lam.

19 February 2009

Ke Arah Merealisasikan Blogawan Terengganu

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Pertengahan tahun lalu aku pernah ditegur oleh saudara roslan (My-localAgenda) bertanyakan dan mencadangkan dibuat suatu pertemuan antara blogger-blogger Terengganu. Ketika itu aku mengangguk kepala bersetuju dan memang merasakan ianya suatu cadangan yang baik. Aku menyibukkan diri aku dan akhirnya cadangan itu senyap.

Akhir tahun lalu, aku diingatkan sekali lagi, dan terakhir adalah beberapa hari lalu. Beliau rupa-rupanya telah mengambil langkah awal dengan membuat butang 'Blogawan Terengganu' dan sudahpun mula ditampal di blog beliau. Tahniah.

Sebenarnya usaha menyatukan blogger-blogger Terengganu sudah lama muncul dan diutarakan ramai pihak kepada aku sebelum ini. Antaranya nasikerabupetro. Namun, atas sebab-sebab yang menghalang, kekangan yang ada dan seribu satu alasan, maka terus tertangguh.

Aku letakkan dulu butang ini di sini untuk paparan. InsyaAllah gerakerja ke arah menyatu dan memperkasa Blogawan Terengganu akan diteruskan.

Kenapa Blogawan Terengganu dan bukan Terengganu Bloggers United? PPSMI jawab saudara Roslan. Agaknya itulah maksud PPSMI yang dijawab saudara Roslan tadi.

Mahu bersama-sama BLOG-GU ? (ni yang aku nak cadang singkatan Blogawan Terengganu). Nantikan pengumuman rasmi dalam masa terdekat. Tidak minggu depan, bulan depan. Hehehehe.

Kiranya dah umum sini sebagai suatu tekanan la pada aku. Nanti mesti ramai yang tanya itu ini. Maka ketika itu aku tidak mampu mengelak, dan akan sungguh-sungguh realisasikannya bersama kalian. InsyaAllah.

Nota: Harap-harap jadi laa...

Tidur Bertungging?

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Cuba bayangkan sekiranya suatu ketika nanti gambar tidur korang dalam keadaan mulut ternganga, bunyi berdengkur, meleleh air liur basi, memeluk bantal busuk, dalam keadaan tertungging, terselak kain pelikat yang dipakai sehingga ternampak punggung tersebar di internet.

Aku dapat merasakan bagaimana korang rasa rendah diri, malu dan pelbagai rasa yang akan menyelubungi diri ketika itu. Mungkin ketika itu terniat di hati korang untuk menyorok muka ke dalam mangkuk tandas atau mungkin terfikir mahu bertapa sahaja di dalam gua.

Memalukan, memang malu. Malu kerana semua yang sebelum ini tidak diketahui umum terdedah. Namun, adakah salah jika itu gaya tidur korang?

Teringat aku kepada satu iklan streamyx. Bagaimana suatu adegan 'luar tabii' yang dilakukan oleh seorang pemuda tersebar luas di internet dalam masa beberapa jam sahaja.



Gaya yang mungkin pada pemuda berkenaan biasa, sekadar nak puaskan diri sendiri, malahan tidak terdapat kesalahan pun dari segi perundangan, bahkan syariat sekalipun, namun dunia akan melihat 'serong' kepadanya. Ye ke?

Kesimpulan, tak salah pun apa gaya tidur selagi mana ianya tidak salah, digayakan di tempat sesuai.

(nota: Aku tidur sopan jer..)

Perak: Antara Pening dan Kelakar

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Aku tersenyum panjang bila membaca kenyataan Nazri Aziz berkenaan penggantungan MB haram Perak dari menghadiri sidang DUN. Kata Nazri ianya kelakar. Nazri juga mencadangkan kepada MB haram dan Exco haram Perak supaya mengambil tindakan mahkamah bagi menyelesaikan isu ini.

Pada aku, episod yang sedang berlaku ini tidak sepatutnya berlaku dan dilakukan. Speaker tidak sepatutnya menggantung MB haram Perak itu dari menghadiri sidang DUN. Tidak patut sama sekali. Walaupun speaker ada kuasa tersebut (jika ada) sekalipun, sudah tentu ada lunas-lunas lain yang perlu dan boleh dibincangkan bagi menyelesaikan permasalahan yang ada.

Begitu juga pada pandangan aku tentang majlis angkat sumpah MB haram Perak pada Jumaat terdahulu. Ianya adalah sesuatu yang tidak patut juga berlaku. Tergesa-gesa, dan kelihatan terpaksa sedangkan situasi yang ada tidaklah patut sampai ke tahap itu. Namun, ianya tetap dilakukan juga.

Apa yang aku nampak dalam situasi di Perak ini adalah penggunaan kuasa di tahap maksima sedang dilakukan dalam peruntukan yang ada pada diri masing-masing. Pihak BN berkeras mereka betul memperlaku sultan begitu dan merasakan MB haram mereka sah menjadi MB. Namun, ianya dilihat sebaliknya oleh rakyat.

Speaker juga dilihat agak ke depan bilamana mengambil tindakan ke tahap tersebut. Namun, pada aku asas yang digunakan itu adalah bilamana ada pihak yang menggunakan 'kuasa maksima' sebelum ini, maka perlulah dilawan semaksima mungkin.

Kelakar? Pada aku semua yang berlaku adalah kelakar. Nazri Aziz pun tidak terkecuali dalam puak-puak yang kelakar apabila pantas sahaja memberi pendapat kelakarnya. Namun tidak kurang pendapatnya memeningkan kepala.

Antara pening dan kelakar, jangan sampai rakyat di bawah terlepas pandang dan disusahkan oleh politik-politik yang ada. Peningnya...

11 February 2009

Antara Idris Jusoh dan Nizar Jamaludin

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Aku lebih kenal Idris Jusoh dari Nizar Jamaludin. Kenal aku tidaklah sampai ke peringkat tahu berapa banyak kurap yang ada di tubuh Idris Jusoh. Tidak kenal aku kepada MB Perak, Nizar Jamaludin pula bukanlah kerana tidak kenal. Mungkin kerana baru terkenal.

Ketika mana Idris Jusoh berada dalam zaman kegemilangannya, Nizar langsung tidak pernah aku tahu kewujudannya. Ketika itu Idris Jusoh terkenal dengan Ketengahnya (Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah). Juga terkenal dengan Ketegaqnya. Ketika itulah zaman Gelombang Biru. Dari pelbagai sudut Kerajaan Terengganu (1999 - 2004) diserang dan ditekan.

Apabila Idris Jusoh berjaya mengambil kuasa Kerajaan Terengganu. Ketengah diketepikan. Tapi ketegaqnya lebih jelas. Tanah-tanah rakyat dirampas. Masjid dirobohkan. Pertandingan Kapal Layar termahal di dunia juga dicipta dan diadakan di Terengganu. Pembaziran demi pembaziran dilakukan termasuk membina Taman Tamadun Islam.

Dipendekkan cerita, akhirnya Idris Jusoh dihalau Sultan dari menjadi Menteri Besar. Tindakan Sultan disokong rakyat. Rakyat rasa gembira atas kebijaksanaan Sultan. Rakyat tahu, tindakan Sultan kerana bukan sahaja Idris biadap dengan istana, malah zalim juga orangnya terhadap rakyat. Sokongan Rakyat terhadap tuanku Sultan dapat dilihat di mana-mana ketika itu. Sehingga hari ini masih ada kereta ditampal dengan pelekat "Daulat Tuanku, Patik sekalian rakyat bersama dengan tuanku".

Apa pula cerita Nizar Jamaludin? Aku terima SMS sehari selepas Perak dikuasai PR mengatakan YB Nizar Jamaludin dari PAS akan menjadi MB Perak. Siapa Nizar? Aku langsung tidak kenal ketika itu. Dalam hati aku, harapnya OK lah insan yang dipilih menjadi MB itu. Abang ipar dan kakak yang tinggal di Perak sudah berazam mahu menukar mengundi di Perak sahaja selepas ini.

Selepas Nizar menjadi MB, aku pernah berkunjung ke sana. Ketika itu Jamuan Rakyat oleh PAS Perak diadakan di perkarangan Pejabat PAS. Itulah kali pertama aku melihat dan mendengar tutur kata Nizar secara langsung. Lembut orangnya, senyum sokmo. Apa yang menarik, Nizar dilihat mampu diterima oleh semua kaum.

Politik di Perak aku ikuti dari jauh sahaja. Namun, MB Perak itu selalu juga diundang berceramah di Terengganu. Maka adalah sedikit sebanyak yang didengari. Paling 'teruk' yang dilakukan MB Perak ini adalah memberi tanah kepada Sekolah Cina dan Orang Cina. 'Lebih teruk' lagi kerana turut memberikan tanah kepada Sekolah Agama Rakyat dan penduduk kampung yang Melayu.

Secara peribadi, aku tidak pernah menjangkakan seorang yang dilihat lembut, mudah tersenyum itu boleh bertindak seberani yang aku lihat pada hari ini. Sungguh pada aku Nizar memang berani. Bukan berani melawan Sultan, tetapi berani kerana benar. Berani pertahankan 'hak rakyat' yang beliau hanya diamanahkan untuk memegang seketika.

Lihat pula kepada sokongan yang diterjemahkan rakyat dan penyokong masing-masing. Idris Jusoh dilihat hanya disokong oleh puak-puak UMNO Besut yang dinaungi gedebe-gedebe Besut. Paling kuat penyokong Idris yang ada ketika itu adalah Pak Lah sendiri yang turut mempertikai pemilihan Ahmad Said. Kesemua Adun yang sebelum ini dilihat teguh di belakang Idris juga menghilang secara tiba-tiba.

Nizar dilihat tidak begitu. Kesemua Adun dari PAS, PKR dan DAP dilihat menyokong sepenuhnya kepimpinan beliau dalam negeri. Sokongan rakyat adalah cukup luar biasa. Segelintir penyokong UMNO berlakon menyokong istana dalam isu ini. Namun, rakyat jelas melihat UMNO yang mempergunakan istana. Macamlah UMNO itu bukan penderhaka.

Derhakakah Nizar? Derhakalah jika mengikut telunjuk UMNO. Namun, pada rakyat yang faham, tahu dan sedar dalang sebenar tidak pernah menganggap begitu. UMNO juga sebenarnya tidak pernah menjangkakan tindakan Nizar yang tegas dan cukup yakin mempertahankan amanah rakyat itu. Disangkakan Nizar akan berundur, namun pertembungan yang berlaku memperlihatkan UMNO semakin panas dan tertekan.

Aku juga mahu menantikan himpunan 100 000 rakyat Perak 'menyokong Sultan' jika ada. Simbolik di Terengganu adalah bagaimana semua rakyat keluar menyambut Tuanku Sultan di Lapangan Terbang. Namun, apa yang aku tahu program Sultan bersama Rakyat sempena Jubli Perak pula dibatalkan. UMNO Perak mungkin ada jawapannya. Wallahua'lam.

p/s: Teringat plak ke Deris Jusoh. Apa khabar agaknya dia sekarang? Apakah Mara tidak mahu membuat Taman Tamadun Mara yang menghimpunkan replika-replika hasil usaha Mara? UiTM ada, IKM ada, Pusat Giat Mara pun ada. Atau budget tak cukup?

Larangan Ceramah di Perak: Bukti BN Pengecut.

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Takutnya BN dengan situasi apa yang sedang berlaku di Perak. Terbaru dikatakan ceramah politik pula yang dihalang di sana. Setahu aku parti-parti seperti PAS, PKR dan DAP sahaja yang biasanya mengadakan ceramah. UMNO dan BN pula biasanya melalak di kaca TV, radio dan surat khabar. Apakah relevannya arahan larangan ini?

Akhbar Harakah, Suara Keadilan sudah menjadi mangsa dirampas di pasaran. seolah-olah tidak cukup dengan rampasan sebuah kerajaan, maka dilakukan lagi rampasan demi rampasan. Mungkin juga tanah-tanah yang telah diserahkan kepada rakyat miskin oleh Kerajaan Perak Pakatan Rakyat Yang Sah juga akan dirampas sebagaimana berlaku di Terengganu?

Demokrasi makin hilang. Kuasa si penguasa terus ditunjukkan. Polis seolah-olah (bukan seolah-olah!!! memang pun!!) menjadi alat bagi mereka melindungi kuasa. Sultan dipergunakan sebegitu rupa. Sungguhlah hayat BN dan UMNO sudah hampir kepada hujungnya.

Mahu sahaja aku cadangkan dibuat laporan polis kepada Ketua Polis Negara. Kenapalah suatu larangan yang bersifat tidak demokratik itu boleh difikirkan. Sepatutnya arahan yang dikeluarkan adalah "semua pihak hendaklah tidak bercakap apa-apa berkaitan negeri Perak". Barulah adil dan saksama. Media dilarang menemubual, mengulas dan membuat sebarang laporan berkaitan negeri Perak. Jika yang dilarang sebelah pihak, memang nampak sangat pun Polis ini berat sebelah.

"Maaf Dato', kami hanya menjalankan tugas." Inilah jawapan yang akan diberikan mereka selalunya.

p/s: Mengikut Hanifa Maidin, ceramah ni tak perlu permit pun. Buat jer. Hak kita untuk berhimpun. Setakat hari ini belum pernah rasanya yang ditahan dalam kes ceramah tanpa permit kalah di mahkamah.

YAB Dato' Seri Nizar dari kacamata Lutfi Othman

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Petikan Harakahdaily

ImageMemang berat ujian buat Nizar Jamaluddin. Bagaimanapun Menteri Besar Perak ini - yang dititah letak jawatan oleh Sultan Perak namun enggan berbuat demikian - yakin beliau berada di jalan yang benar. Wajahnya tetap ceria dan berseri, cuba menyembunyikan rasa letih meniti hari yang padat. Matanya merah petanda tidak cukup tidur. Beberapa ayat awal surah ad-Dhuha menjadi rukun dalam mukadimah ucapannya, termasuk semasa wawancara eksklusif kami dengannya, juga ketika berpidato ringkas di depan Kuil Kallumaii Arul Subramaniar, Gunung Cheroh, Ipoh, pagi 8 Feb lalu.

Biarpun boleh dianggap pendatang baru dalam dunia politik, dan tiba-tiba dilantik menjadi Menteri Besar Perak, sesuatu yang tidak pernah termimpi oleh pimpinan Perak negeri itu, Nizar memang cepat belajar dan mudah menguasai persekitarannya. Berdepan tuduhan menjadi boneka DAP, menjual kepentingan Melayu, diapit tujuh Exco bukan Islam, ditambah Speaker dan Timbalan Speaker juga bukan Islam, dengan tenang Nizar mengemudi bahtera Kerajaan Negeri Perak selama 11 tahun. Justeru, tuduhan bahawa beliau kini seorang penderhaka bukan isu besar baginya.

Pada hari paling kritikal, 5 Feb, Nizar mengikuti satu program Koridor Utara di Bagan Serai bersama Perdana Menteri. Dalam ucapannya, Abdullah Ahmad Badawi langsung tidak menyebut nama Nizar walhal beliau masih seorang menteri besar. Esoknya, akhbar perdana turut "menggelapkan" kehadirannya di majlis berkenaan. Difahamkan Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara, Anuar Zaini yang sepatutnya berada bersama Abdullah sedang rancak "mengatur nasib" Nizar di Istana Kinta. Anuar dikatakan dalang yang cuba merosakkan hubungan baik Nizar dengan istana, dan menganggu pentadbiran kerajaan negeri. Nizar sendiri pernah memaklumkan hal itu kepada Raja Nazrin Shah, rakan karib Anuar.

Menurut laporan akhbar, Nizar secara tergesa-gesa meninggalkan majlis di Bagan Serai itu untuk menghadap Sultan. Jam 12.45 tengah hari, Nizar dilihat memasuki Istana Kinta dan keluar kira-kira 20 minit kemudian dengan mengangkat tangan menunjukkan isyarat bagus sambil berkata 'insya-Allah' kepada sekumpulan wartawan. Ramai menjangkakan baginda telah memperkenan permohonan Nizar untuk membubarkan Dun. Rupanya tidak, isyarat bagus bagi Nizar adalah tanda beliau berpuas hati dapat menjelaskan semua yang terbuku di dadanya kepada Sultan. Nizar memberitahu kami, Sultan hanya diam tunduk mendengar hujahnya.

Selama ini, sejarah pendek negara kita menyaksikan bahawa tiada tokoh politik yang "selamat" jika bertembung dengan pihak istana. Konflik dengan istana rasanya tidak pernah dimenangi oleh orang politik. Justeru, apakah kita boleh bayangkan bagaimana episod ini bakal berakhir? Ternyata Nizar sendiri sukar meramalkannya, namun membayangkan ia dapat membawa kesan positif akhirnya buat rakyat dan negara. Beliau mohon kami mengulas krisis di Perak itu dari sudut yang jarang terfikir oleh orang lain. Saya sendiri agak termangu mendengarnya.

ImageMemang Nizar di pihak yang benar. Sultan tiada kuasa untuk menitahkannya meletakkan jawatan. Di bawah sistem Raja Berperlembagaan, Sultan juga harus tunduk dengan undang-undang dan peraturan. Baginda tidak boleh masuk campur sewenang-wenangnya dalam pemerintahan negeri. Dalam situasi genting di Perak apabila BN dan Pakatan Rakyat mempunyai jumlah kerusi yang sama, dan tiga kerusi penentu wakil Bebas sedang dirujuk ke mahkamah, baginda sewajarnya memenuhi permohonan untuk membubarkan Dun. Ia langkah paling adil untuk semua pihak dan tidak dilihat memihak kepada mana-mana parti. Jika dirasakan Nizar sudah tidak mendapat kepercayaan majoriti Adun, baginda boleh menolak permohonan Menteri Besar itu dan membiarkan sahaja sidang Dun memutuskan undi tidak percaya kepada Nizar. Langkah baginda melantik menteri besar baru telah mengeruhkan lagi suasana dan langsung tidak membantu untuk memulihkan keadaan.

Memerhatikan dari dekat semasa beliau melawat tapak perayaan Thaipusam di Gunung Cheroh, saya yakin Nizar berjaya menawan hati rakyat Perak dari pelbagai kaum dan agama itu. Wajah orang ramai yang bersalaman dengannya, termasuk anak-anak kecil yang belum bersekolah, begitu ceria dan nampak senang sekali. Mereka bersorak gembira memanggil namanya sambil melambai-lambaikan tangan.

Malah ketika Anwar Ibrahim mengumumkan pada majlis ceramah perdana di kediaman rasmi menteri besar, saya dapat mengesan reaksi pantas hadirin dari masyarakat Tionghua. Semasa Anwar menegaskan bahawa jika berlaku pilihan raya negeri dan Pakatan menang, tiada calon yang akan dipilih menjadi menteri besar melainkan Nizar, beberapa anak muda Cina bertepuk sepuas hati. Mereka betul-betul gembira tidak terkata!

05 February 2009

Pakatan Rakyat Teruji: PAS Tetap Istiqamah

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Biar apapun yang berlaku kepada negeri-negeri yang sedang diperitah PR, aku percaya semua sedang mengintai sejauh mana tetapnya pendirian MP dan Adun PAS. Aku percaya ramai yang tidak hairan dan tidak pelik sekiranya PKR dan DAP melompat parti, namun suatu tamparan hebat sekiranya ada MP dan Adun PAS yang melompat.

Sejarah di Kelantan memperlihatkan Kerajaan PAS Kelantan pimpinan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz mampu bertahan ketika mana PAS hanya mempunyai kelebihan 1 kerusi berbanding BN selepas tewas dalam Pilihan Raya Kecil Pengkalan Pasir. Cakap-cakap mengatakan kerajaan Kelantan ketika itu memerintah hanya dengan 2 undi. Ini kerana Dun Kemuning dalam pilihan Raya 11 lalu menang dengan majoriti 2 undi sahaja.

Namun, sehingga Mac 2008 semuanya berjalan dengan lancar. Tiada sebarang perkara yang tidak diingini berlaku. Mac 2008 juga menyaksikan bagaimana PAS memerintah Kelantan dengan majoriti yang lebih besar.

Umum maklum bahawa PAS mempunyai dasar perjuangan yang jelas. Menjadikan Al-Quran dan Hadis sebagai sandaran dan panduan. Tiada siapa dapat menafikan ini termasuk pimpinan UMNO sendiri. Sebab itu UMNO melihat sukar untuk membeli atau merasuah mana-mana pimpinan PAS.

Semoga pimpinan, MP dan Adun PAS terus istiqamah dalam diuji dengan habuan dunia semata-mata ini. Wallahua'lam.

02 February 2009

Muhasabah Boikot.

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Ini ruangan aku untuk muhasabah diri. Kebetulan jumpa poster boikot ni dengan penuh sticker produk-produk yang ada, maka aku nak semak la samada aku terpakai ke, terbeli ke dan sebagainya. Jom sama-sama koreksi diri!

Untuk senarai yang lebih detail dan lengkap boleh tengok kat SINI.

1. Coca-cola - Aku dah lama tak beli. Cuma masa PRK P036 aritu aku minum skit. Itupun sebab jumpa atas meja dekat bilik kawan. Aku niat masa tu nak 'telan Israel'. Aci ke?

2. CNN - Aku tak langgan Astro. Kiranya tak bersubahat la.

3. Levis - Ni malu skit nak bagitau. Aritu punyalah pusing-pusing nak buat cermin mata. Apabila ditunjukkan satu cermin jenama Levis terus berkenan. Tapi aku tak beli dulu. Aku pusing lagi kedai-kedai lain kot-kot jumpa yang berkenan, tapi akhirnya aku kembali ke kedai mula-mula tadi dan order cermin tu. Kiranya umur cermin mata aku ni dah setahun lebih. Selagi boleh pakai, pakai je lah. Tapi lepas ni aku janji tak akan guna jenama Levis lagi.

4. BOSS, Calvin Klein, Donna Karan - semua ni aku tak pakai.
5. Carrefour - Alhamdulillah kat Terengganu tak ada jenama nih. Harap-harap tidak diadakan.

6. DANONE - Biskut nih. Dulu tak tahu. Dah tahu ni, insyaAllah tak beli dah. Lagipun aku tak suka makan biskut.

7. Nestle (Maggi, Milo, Nescafe dll) - Yang ni aku dah cerita. InsyaAllah tak ambik dah semua tu. Aku akan pastikan kalu yang ada tu setakat tu je. Habis beli produk lain.

8. L'OREAL - Seingat aku ada satu milik wife aku. Macam nak abis dah je. Tapi aku dah perkenalkan dia dengan produk-produk Centella White (HPA). Lagipun dia keluar shopping dengan aku. Senang la nak kontrol.

9. Disney - Susahkan nak elak kartun Disney ni? Sama-sama pakat elak. Masa duk KL dulu, kalu VCD ni suka ambik cetak rompak punya je. Tapi sekarang rasa dah tak minat kartun-kartun nih. Nasib baik dah tua. Kalu ada gak cerita menarik, mungkin download je. Aci kan?

10. Garnier - Fasha Sandha tidak mampu nak membuat aku tergoda dengan iklannya.

11. Kleenex - Aku rasa aku tak terbeli produk ni untuk tisu terbaru kat rumah. Kadang-kala main ambik je. Harap-harap tak.

12. Kotex, Huggies - Dua-dua ni aku tak pakai. Heheheh. Balqis aku akan jaga dari pakai benda-benda jenama nih. Beli je diaper yang murah-murah. Boleh je nak elak ni. Tak perlu la bersayap, lebih panjang dan seumpamanya. Hehehhe.

13. Johnson&Johnson - Alhamdulillah berjaya mengelakkan produk ni. Nasib baik banyak produk alternatif barangan bayi.

14. Kiwi - Aku lebih suka sandal, atau kasut-kasut biasa. Jadi tak perlu pakai Kiwi. Selamat aku.

15. Sara Lee - Aku rasa berjaya elak. Tapi kena cek betul-betul lepas ni. Kadang-kadang jenama tu pakai nama lain dan tidak zahirkan syarikat.

16. Nokia - Aku pakai Samsung. Tapi ada juga Nokia satu sebagai spare. Sebab mudah untuk urusan SMS. Aku akui Nokia ni mesra pengguna sangat. Tapi aku cari yang murah je laa.

17. Intel - No komen la yang ni. Macam susah je nak elak.

Nota: Lain-lain barangan seperti minuman dan sebagainya tu alhamdulillah berjaya elak. Minuman bergas yang aku minum hanya 100Plus je. Selain tu aku ambik produk HPA. Ada Radix Cola, Sarsi dan Oren. "Mak kata syedapp".

Aku masih berharap dapat alternatif untuk gantikan Deodorant Nivea yang aku pakai. Eh, roti Gardenia tu bukan dari US ke?

Wallahua'lam.

Apa Khabar Orang Perak?

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Sudah lama rasanya tidak ke Negeri Perak. Kali terakhir adalah ketika mana PAS Perak mengadakan kenduri kesyukuran pada tahun lalu. Sudah hampir 10 bulan rasanya peristiwa itu berlalu. Berita mengenai Perak hanya diketahui melalui media sahaja.

Perak akhir-akhir ini bergelora pula dengan isu. Bermula dengan kemasukan Nasarudin Hashim menyertai PKR, kini timbul pula isu 2 Adun PKR melepaskan jawatan. Sehingga kini tarik tali isu ini sedang ditunggu oleh semua pihak. Apakah surat perletakan jawatan tersebut diterima pakai atau tidak.

Seorang sahabat dari Perak yang datang bertugas dalam PRK P036 baru-baru ini awal-awal lagi telah menghantar SMS menjemput untuk membantu pertahankan Perak. Aku menjawab ringkas dengan "InsyaAllah". Namun, jauh di sudut hati merasakan inilah peluang membalas jasa bantuan yang dihulurkan selama ini.

Apapun, sama-sama kita tunggu episod yang lebih menarik dan dramatik ini.

amdang: Suka menunggu, tapi tak suka jika diserbu.


01 February 2009

Gaza dan Boikot Produk USA & Israel

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

"Boleh ke kita nak boikot Milo? Milo tu Nestle kan?" Tanya seorang Ustaz ber'title' Dato' kepada aku.

"Ana dah lama boikot Milo dan Nescafe" Jawab aku sedikit tegas.

"Kalu kita start tukar minum Milo dan Nescafe tu dengan Kopi Radix boleh kot" Ustaz tadi terus memberi pendapat.

"HPA dah keluarkan produk Radix Koko, tapi tekak ana kurang boleh terima" Aku memberi penjelasan.

Itu perbualan aku semalam. Ketika mana aku melalui sebuah kilang Nestle di Petaling Jaya. Aku sendiri tidak pasti sudah berapa lama aku tidak membeli dua produk tersebut. Lain-lain produk Nestle mula aku jauhi dari semasa ke semasa. Jika tersalah beli pun Cili Sos Maggi. Itupun seingat aku pertengahan tahun lalu.

KFC, McD dan Starbuck? KFC kali terakhir aku menjamah ayamnya pada tahun 2003. Itupun tertipu dengan seorang sahabat. McD pula seingat aku tahun 2001 adalah pertama kali dan terakhir aku menjejakkan kaki. Itupun ada senior di kampus yang beria-ria mahu belanja di situ. Starbuck pula tidak pernah aku jejakkan kaki.

Walaupun sudah lama aku menanam dalam diri untuk memboikot produk tersebut, namun aku lihat syarikat mereka masih tetap sama. Belum juga gulung tikar. Aku sendiri pula, walaupun tidak lagi menggunakan produk berkenaan, aku tidak mati kelaparan. Selera makanku tetap sama. Malah mungkin lebih jika adanya budu.

Apa tujuan boikot? Apa sasaran kejayaan boikot? Susah juga kiranya mahu menjawab persoalan ini. Umumnya boikot sebagai suatu tanda protes. Jika boikot keseorangan, maka rasa dan kuasa protes tersebut tidak kuat. Begitu juga dengan tempoh boikot. Jangan sekadar hangat-hangat tahi ayam sahaja. Nanti selepas rundingan damai dijalankan, semuanya kembali membekalkan peluru kepada Israel.

Sepatutnya boikot kita terhadap Israel dan Amerika melebihi boikot yang pernah dilakukan ke atas Belanda gara-gara filem FITNA yang diterbitkan seorang Ahli Parlimennya. Ketika itu kita dapat melihat bagaimana ada pengusaha pasaraya mengeluarkan produk Belanda dari rak yang ada. Atau paling lembut yang dilakukan adalah dengan melabelkan produk tersebut dengan suatu pengenalan khusus dan dinyatakan produk tersebut disaran boikot. Namun, perkara ini tidak berlaku ke atas produk US dan Israel ini.

Sebenarnya bukan sesuatu yang mudah bagi membuang produk US dan Israel ini dari rak. sekaligus. Tidak semudah memboikot Belanda yang melibatkan beberapa produk sahaja. Dalam hal ini, aku tertarik dengan pendekatan yang dilakukan oleh Pasaraya Sabasun.

Sebagai contoh, produk Milo sekarang terpaksa bersaing dengan beberapa minuman coklat yang lain. Selain Vico, masih ada 2,3 produk lain (aku lupa namanya. Memeco, bebeco gitu lah kot) yang kini boleh menjadi alternatif kepada Milo. Sekurang-kurangnya kita ada pilihan.

Mengikut laman web Sabasun juga, produk penjagaan bayi Johnson & Johnson mula diboikot sejak 2006 lagi. Proses pemboikotan terpaksa dilakukan secara berperingkat. Strategi yang digunakan ialah dengan memboikot 100 jenis barangan daripada jumlah keseluruhan 126 jenis. Hanya beberapa jenis yang masih popular dijual seperti bedak bayi. Di samping itu, ruangan jualan dan pameran dihadkan serta sebarang bentuk pengiklanan, aktiviti promosi atau sampel barangan tidak dibenarkan.

Dengan produk alternatif tempatan yang ditawarkan berserta sokongan pelanggan, jualan produk dari syarikat Amerika ini (Johnson & Johnson) semakin berkurangan dari sehari ke sehari. Pengguna yang berbelanja di Sabasun mula selesa memilih bedak bayi buatan tempatan seperti Carrie, Safi Manja Care, Do Re Mi dan beberapa jenis lagi.

Kesimpulannya mudah. Peniaga berusaha mendidik masyarakat supaya memboikot, manakala kita selaku pengguna terus kepada memboikot. Tepuk dada, tanya iman.

Wallahua'lam.

 

Great Morning ©  Copyright by a m d a n g 8 1 | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks