25 December 2008

Ketua Kerajaan Perlu Dihormati - Pak lah

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Selaku ketua kerajaan yang dilihat bermasalah, kaki tidur dan tangan 'gosok', aku kira kenyataan Pak Lah ini memang disebut dengan penuh kebimbangan. Apatah lagi dirinya yang juga mahu bersara tidak lama lagi sudah tentu tidak mahu diucapkan 'bye-bye' dengan cara seumpama itu.

Apapun, aku sebagai warga Terengganu berjanji tidak akan menghadiahkan Pak Lah dengan kasut sekiranya Pak Lah turun ke Terengganu. Walaupun Pak Lah dah kaut banyak kekayaan royalti rakyat Terengganu dengan kerjasama Patrick Lim, Wan Hisham (Abang Wan farid) dan Idris Jusoh sendiri, kasut terbang tidak sesekali akan diberikan kepada Pak Lah.

Secara umumnya aku kira ramai bersetuju dengan Pak Lah yang mana ketua Kerajaan perlu dihormati. Namun perlu diingat apakah jasa Bush kepada Umat Islam khususnya di Iraq itu adalah sesuatu yang perlu dihormati?

Pada aku, kasut yang dibaling itu sudah 1000x lebih lembut dari bom dan peluru yang Bush hadiahkan kepada Umat Islam. Dengan bahasa lainnya, orang seperti Bush tidak perlu dihormati, malah bom sahaja yang layak dilemparkan kepadanya.

---------------------------------------------------------------------------------

TEHRAN: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menegaskan bahawa mana-mana ketua kerajaan sekalipun tidak boleh dihina seperti apa yang berlaku dalam insiden membaling kasut ke arah Presiden Amerika Syarikat, George W.Bush di Baghdad, Iraq, baru-baru ini.

Perdana Menteri berkata pihak yang tidak berpuas hati dengan apa juga perkara boleh meluahkan perasaan mereka melalui cara lain.

"Saya sentiasa berpendapat kita tidak boleh menghina ketua kerajaan seperti itu," kata beliau pada sidang akhbar di akhir lawatan rasmi empat hari ke Iran di sini hari ini.

"Kita boleh mengambil tindakan, kita boleh mengeluarkan kenyataan keras jika perlu jika kita tak berpuas hati. Kita tak suka tentanglah, cakaplah dengan sekuatnya," katanya.

Namun tindakan bersifat menghina seperti membaling kasut tidak boleh dilakukan oleh sesiapapun, tegas Abdullah.

Wartawan sebuah stesen televisyen yang berpangkalan di Kaherah yang bertindak membaling kasut itu dilaporkan menghadapi tindakan undang-undang. BERNAMA


24 December 2008

Wan Farid dan Selamat Tinggal UMNO

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Pilihan Raya selalu menyaksikan pelbagai taktik dan kempen dilakukan oleh kedua-dua belah pihak yang bertanding. Taktik yang biasa disebut dan digunakan antaranya adalah ahli parti A keluar dan melompat masuk ke parti B. Taktik ini yang biasa digunakan UMNO terutamanya UMNO Terengganu dan Kelantan sejak dahulu lagi mungkin akan digunakan juga dalam Pilihan Raya Kecil P036 Kuala Terengganu ini.

Mungkin kali ini UMNO sedikit tersentak apabila dalam demam PRK ini, tiba-tiba sahaja bekas Ketua Bahagian Umno Petaling Jaya Selatan, Datuk Zahar Hashim menyerahkan borang keahliannya untuk menyertai PAS kepada Ustaz Nasharuddin Mat Isa. Lebih menarik apabila kekuatan UMNO yang dimilikinya akan turut dibawa masuk bersama. Datuk Zahar juga dikatakan akan turun untuk berkempen di Kuala Terengganu.

Aku sebenarnya ternanti-nanti apakah gimik Wan Farid dalam menentang calon PAS. Ini berikutan Wan Farid sebenarnya tidak mendapat mandat dari UMNO Terengganu, terutamanya Ahmad Said. Jika benar Wan Farid akan dicalonkan, mana mungkin jawatan Senator diserahkan kepada Wan Farid. Aku secara peribadi melihat jawatan Senator yang disambung oleh Ahmad Said sebagai syarat supaya Wan Farid menarik diri dari menjadi calon. Namun Wan Farid cuba berlagak jantan.

Aku suka menyifatkan Wan Farid sebagai pengkhianat kepada UMNO Terengganu dan rakyat Terengganu. Mengkhianati UMNO Terengganu dengan beria-ria mahu menjadi calon dan menafikan pilihan Ahmad Said iaitu Zuber Embong. Wan Farid juga mengkhianati rakyat Terengganu apabila mahu meletak jawatan dari senator yang mahu disambung tugas walaupun dilihat langsung tidak berperanan sebenarnya.

Mungkin antara isu yang akan dimainkan adalah Terengganu akan kehilangan 2 Timbalan Menteri sekaligus selepas kematian Datuk Razali jika Wan Farid turut tewas dalam PRK ini. Ini berikutan Wan Farid tidak boleh dilantik semula sebagai senator. Ini mungkin dilihat akan menggamit simpati pengundi.

Namun, sesuatu yang perlu kita sedari adalah, Wan Farid sebenarnya langsung tidak berperanan sebagai Timbalan Menteri. Wan Farid tidak membantu rakyat Terengganu dan Ahmad Said untuk mendapatkan semula Royalti. Sedangkan dengan kedudukan yang ada, mungkin dapat memberikan sedikit tekanan kepada Pusat. Ini berikutan kedudukan Ahmad Said yang dilihat team yang berbeza dengan dirinya yang berada dalam team Idris Jusoh.

Kesimpulannya Wan Farid memang telah gagal meyakinkan UMNO Terengganu, dan gagal untuk menjadi calon yang perlu dipilih untuk PRK P036 Kuala Terengganu. Habis, mana calon PAS? Tunggulah dulu. Biarlah Wan Farid bersilat sendiri dulu, nanti bila dia sudah letih barulah kita buat pukulan TKO!

18 December 2008

Kasut Coklat Bersaiz 10.

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Dunia sehari dua ini begitu bercerita perihal Bush dilempar dengan sepasang kasut. Walaupun percubaan dua kali berkenaan tidak mengenai Bush, namun ianya dilihat sebagai sesuatu yang begitu memalukan Presiden Amerika itu.

Lebih menarik bilamana Muntadar al-Zeidi, seorang wartawan dari saluran televisyen Iraq, Al-Baghdadia yang berpangkalan di Kaherah, Mesir dipuji dan disokong oleh pelbagai pihak atas tindakan beraninya itu.

Terbaru satu games online 'bush dilempar kasut' dikesan telah mula diperkatakan di internet sejak kejadian itu berlaku. Video rakaman insiden dalam youtube juga setakat dimaklumkan sudah mencecah 8 juta pelawat. Mungkin mahu melihat aksi berani Muntadar atau mahu melihat keupayaan Bush mengelak serangan.

Jom uji keupayaan anda dengan turut melemparkan kasut kepada Bush. ---> Game Flash.

Wallahua'lam.

Anak Syarikat T'ganu Rugi RM 80juta – Ahmad atau Idris Yang Berbohong ?

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Petikan: Buletinonline.net

Kuala Terengganu – Satu persoalan timbul, siapakah antara dua tokoh UMNO Terengganu yang bercakap benar atau pun yang bebohong berkenaan prestasi anak-anak syarikat kerajaan negeri Terengganu?

Atau boleh jadi kedua-duanya berbohong dan tidak menyatakan kedudukan sebenarnya anak-anak syarikat kerajaan negeri Terengganu itu.

Menteri Besar Dato’ Ahmad Said hari ini mendedahkan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu bahawa beberapa anak syarikat kerajaan negeri itu mengalami kerugian keseluruhan kira-kira RM80 juta sejak tahun 2005.

Sebaliknya Bekas Menteri Besar, Dato’ Seri Idris Jusoh pada 14 Januari lalu berkata anak-anak syarikat kerajaan Terengganu dibawah Terengganu Incorporated (Terengganu Inc) telah membantu beberapa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri mencatatkan keuntungan daripada RM230 juta kepada RM530 juta, sehingga 31 Disember lepas.

Ahmad Said berkata ketika menjawa soalan lisan Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (Pas-Rhu Rendang) berkata antara syarikat berkenaan ialah Yayasan Terengganu, Yayasan Islam Sdn Bhd, Golden Pharos Bhd, Syarikat Percetakan Yayasan Islam Terengganu, dan Permint-Suterasemai Sdn Bhd.

Menjawab soalan tambahan Mohd Abdul Wahid Endut (Pas-Wakaf Mempelam) yang ingin tahu langkah kerajaan negeri terhadap syarikat itu, Ahmad berkata kerajaan negeri mungkin menutup operasi beberapa syarikat bagi mengelak mereka terus mengalami kerugian.

“Bagi syarikat yang ada (potensi) berdaya maju, kita perlu tukar pihak pengurusan dan ada syarikat tertentu, kita akan buat sesuatu untuk lebih berdaya saing,” katanya.

17 December 2008

Squidward, Mr.Crab, Patrick dan Spongebob.

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Malam tadi aku menerima SMS selamat malam dari seorang teman. Ketika itu mataku sudah mula mengantuk. Namun aku gagahkan jua membaca SMS tersebut:

"Kalau saya jadi Squidward, saya akan buli awak; Jika ditakdirkan saya jadi Mr. Crab, saya akan kikis semua harta awak; Bila saya jadi Patrick, saya akan selalu buat awak tension;

Tapi, saya tak nak jadi Squidward, Mr. Crab mahupun Patrick kerana saya mahu jadi Spongebob yang selalu setia dan sayang pada sahabatnya."

Aku sebenarnya langsung tidak memahami SMS tersebut berdasarkan watak-watak yang agak asing dari hidupku. Namun, SMS tersebut telah membuat ada sedikit keinginan untuk mengenalpasti sejauhmana benarnya dakwaan SMS tersebut.

Pendek kata, kena gak la sesekali layan Spongebob! Heheheh.

Wallahua'lam.

Baiknya Bapak Polisi Kita.

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Ramai barangkali mudah salah sangka dengan Bapak-bapak Polisi kita. Apatah kerana seorang dua yang makan rasuah, seorang dua yang memukul tahanan, seorang dua yang mengedar dadah, seorang dua yang menembak rambang, seorang dua yang berkata 'bodoh', seorang dua yang macam-macam itu, maka kita mahu menghukum keseluruhan Bapak Polisi itu jahat, kejam dan zalim? Jangan sekali-kali.

Terbaru dikhabarkan sebilangan anak-anak remaja yang tidak tahu apa-apa 'diselamatkan' oleh Bapak Polisi bilamana anak-anak ini mengikut sekumpulan penunggang basikal JERIT. JERIT ini bukanlah kumpulan yang berbasikal sambil merempit. JERIT ini juga tidak berbasikal sambil berteriak sana dan sini.

JERIT adalah Jaringan Rakyat Tertindas. JERIT berbasikal bagi meningkatkan kesedaran di kalangan rakyat terutamanya mereka yang belum ditindas, atau yang tertindas tetapi masih belum disedari. Itu tujuan JERIT berbasikal.

Berbalik kepada budak-budak yang 'diselamatkan' Bapak Polisi tadi. Kata Kepala Bapak Polisi di Selangor, JERIT mempergunakan kanak-kanak. JERIT salah kerana berhimpun tanpa permit. Budak-budak itu 'diselamatkan' kerana mereka bawah umur. Bukankah baiknya Bapak Polisi kita?

Cuma mungkin baik Bapak Polisi kita belum menyeluruh. Nun jauh di tepi jalan ramai anak-anak muda yang berkumpul bersorak tanpa arah dibiarkan bebas. Jika malam minggu lihatlah betapa ramainya anak-anak muda yang tidak meminta izin keluarga untuk berpeleseran di mana-mana di bawah sinar lampu. Namun mereka tidak pula diselamatkan.

Mudah disimpulkan baik Bapak Polisi kita ini bertempat. Jika perbuatan baik sekalipun yang dilakukan, namun tidak serasi dengan pemikiran Kepala Kerajaan, maka sudah tentu mereka itu akan ditangkap dan diajar. Mungkin takut mereka yang muda-muda sudah ikut dengan perjuangan, maka besar nanti bakal menjadi Bapa Penentang.

Wallahua'lam.

16 December 2008

Royalti: Isu Politik yang harus disebut-sebut.

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Sekembali dari kampung menuju ke Bandaraya Kuala Terengganu selepas Aidil Adha, aku tersenyum melihat bunting penyerahan royalti minyak yang tergantung di sepanjang Jambatan Sultan Mahmud. "Duit belanja Pilihan Raya" Getus hatiku.

Ketika mula terdengar berita royalti akan dikembalikan, aku kira Najib akan datang dengan 4 lori kontena membawa duit. Namun, semua itu langsung tidak berlaku. Dengan sekeping 'cek palsu' yang tertulis RM408.6 juta, melenyapkan mimpi rakyat Terengganu untuk menerima tunggakan royalti yang dirampas selama ini. Apa yang diserahkan bersama adalah 'bil-bil' yang telah dibelanjakan sahaja.

Najib berulang-ulang menyebut supaya isu royalti tidak lagi dimainkan atau dipolitikkan. Masalahnya isu ini akan dimainkan oleh UMNO sebagai UMNO baik kerana memulangkan royalti. Sedangkan hakikat yang sebenarnya adalah pembawa kepada semua masalah ini adalah UMNO juga. Bayangkan kerana dosa-dosa UMNO itu rakyat Terengganu tertindas. Rakyat Terengganu menderita.

Aku cuba melihat kesamaan UMNO dan Robin Hood, rupanya Robin Hood jauh lebih mulia walaupun dia perompak. Robin Hood perompak wang orang kaya yang jahat dan zalim, kemudian diberikan kepada orang miskin yang susah. Tapi UMNO memang zalim. Dirompaknya wang rakyat yang susah dan ditindas. Kemudian wang itu dibahagi-bahagikan sesama mereka dengan projek-projek gila dan tidak masuk akal sesama kroni.

Jahatnya UMNO nih. Melayu mereka hanya kepada UMNO dan kroni. Islamnya hanya kepada UMNO dan kroni. Prihatinnya hanya kepada UMNO dan kroni. Sudahlah Najib, dirimu semakin tidak layak menjadi PM.

Selamatkan Malaysia dari PM seperti Najib!!

Wallahua'lam.

p/s: Langkah pertama adalah dengan Menangkan Pakatan Rakyat di P.036

12 December 2008

Sepuluh " H "

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

HARAP MAAF
Aku agak lama meninggalkan blog ini. Bukan langsung tidak jenguk, namun kerana beberapa sebab dan keadaan yang tidak mengizinkan.

HUJAN
Musim hujan yang cukup mengimbau kenangan kanak-kanak. Melihat anak-anak jiran berguling-guling dalam lopak air, mengingatkan aku kepada bermain 'kapal' di dalam longkang. Ada sahaja bahan yang akan dijadikan kapal. Kemudian aku lepaskan ke longkang. Aku akan ikut perjalanannya sehinggalah ke parit besar. Biasanya selalu dimarahi bila pulang kerana mak takut jatuh longkang. Sayangnya mak kepada aku. ;)

HILANG
Aku tidak tahu ke mana hilangnya kunci motor aku. Sudah 3 minggu rasanya tidak bergerak. Mujur sahaja musim hujan, jadi banyak menggunakan kereta. Aku akan tukar sahaja dengan kunci baru. Menyesal kerana tidak membuat kunci pendua. Kononnya aku ni tak akan hilangkan kunci tersebut.

HAMPA
Aku kira aku berjaya pergi ke kesemua kenduri kawan-kawan yang menjemput. Rupanya aku tertinggal seorang sahabat. Kenapalah 13 disangka 15 Disember. Maafkan aku Joe. Nantikan sahaja hadiah dari aku.

HARI LAHIR
Disember bermakna umur aku bertambah lagi. Makin pendek masa hidup. Patutlah akhir-akhir ini terdapat beberapa tanda kiamat kecil pada diriku. Semoga aku istiqamah dan dapat menggandakan ibadah. Aku sedang nantikan hadiah dari yang tersayang. Ada ke? Hehehe.
--->link personaliti tarikh lahir.

HARI RAYA
AidilAdha tahun ni sambutannya agak biasa. Aku terlepas mengambil bahagian dalam ibadah korban. Balqis dan Uminya sahaja yang mengambil bahagian tahun ini. Ada idea supaya dibuat kutipan bulanan bagi mengadakan korban di tahun akan datang. Contohnya RM 30 sebulan untuk bahagian RM 300 sebahagian dan begitulah seterusnya. Ada juga baiknya.

HADIAH
Aku baru sahaja menerima hadiah Pemenang Keempat De Xtreme Blog By Muncet dan JOMHosting.NET. Beberapa e-book dan benda-benda yang aku belum explore sepenuhnya. Pening juga rasanya nak mengadap semua tu. Apapun aku akan download semuanya terlebih dahulu. Thanks Ein dan Wan Mus.

HARI PERANG MAKIN HAMPIR
Aku mula nak sibukkan diri dengan perang PRK P.036 Kuala Terengganu. Aku rasa bahangnya agak kendur seketika setelah AidilAdha. Namun akan mula panas kembali setelah kiraannya memasuki sebulan atau 30 hari. Jom sama-sama kita kira. :)

HABISKAN UBAT!!
Aku selalu makan ubat tak habis. Kalu terasa sihat sedikit, terus buat-buat lupa akan ubat. Apabila batuk atau demam datang kembali, maka adalah yang akan menasihati; "Habiskan Ubat!!" ;)

HISAP JARI
Ini pasal Balqis hisap jari. Dari meniarap, dia mula belajar hisap jari dalam keadaan terlentang / keadaan lebih bebas. Tapi masih belum berjaya. Jika meniarap dia hisap ibu jari kanan, dalam keadaan lain jari dari tangan kiri semacam menjadi pilihan. Harap-harap dia dapat kekalkan jari kanan dia tu. Heheheh.

HABIS
Wallahua'lam.

p/s: Banyak lagi cerita lain, tapi tak leh letak sini sebab tak mula dengan huruf H. Hehehe.

03 December 2008

Masjid manakah yang mahu dirobohkan?

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Ini gambar di Bandaraya Kuala Terengganu. Sebenarnya kain rentang ini sudah hampir sebulan tergantung di persimpangan lampu isyarat Jalan Panji Alam. Sehingga kini kain tersebut masih tergantung dan tiada sesiapapun yang mengusiknya.

Aku cuba mahu memandai-mandai menafsirkan apa yang dimaksudkan dengan kain rentang di bawah ini. Harap penafsiran aku ini tidak disalah erti. Aku hanya mengandaikan dari apa yang aku nampak sahaja.

Kain Rentang membantah masjid dirobohkan.

Sekali pandang, mungkin kita tertanya-tanya apakah yang dimaksudkan dengan kain rentang ini.

DAULAT TUANKU - Warna kuning. Ini menunjukkan kain rentang ini ditujukan kepada pihak Tuanku Sultan dan Istana. Sultan menjadi ketua agama di Terengganu.

Kami - Warna Hijau. Ini menggambarkan orang Islam yang menaikkan kain rentang ini.

BANTAH ROBOH - Warna Merah. Merah ini tanda marah. Juga warna logo UMNO. Mungkin kerana sikap UMNO yang biasa merobohkan masjid, maka warna berkenaan digunakan bagi menggambarkan sifat UMNO yang biasa merobohkan masjid.

Masjid - Warna Hijau. Hijau warna syurga. Perkataan Masjid menggunakan warna hijau bagi menggambarkan sebahagian sifat ahli syurga adalah mendatangi dan mengimarahkan masjid.

Kami - Warna Kuning plak. Ni nak gambarkan rakyat tadi mengharapkan campurtangan Sultan untuk menangani isu ini.

SETUJU BAIKI - Warna Merah. Memandangkan UMNO yang memerintah Terengganu sekarang ini, maka sudah tentu ahli Qariah terbabit setuju kerajaan membaiki masjid berkenaan. Lagipun biasanya projek-projek baiki dan buat ni dah tentu dapat kat kroni UMNO tu.

Masjid - Warna Kuning. Warna kuning di sini agaknya nak gambarkan persetujuan baiki terbabit hendaklah mendapat kelulusan dan campurtangan pihak Istana. Mungkin bagi memastikan ketelusan, dan tender yang dikeluarkan, mahupun adakah ada individu tertentu yang mendapat keuntungan melampau dari kerja-kerja membaiki terbabit.

Kami - Hijau. Sekali lagi mereka menunjukkan sikap sebagai Orang Islam dalam menyatakan menolak pembaziran.

TAK SETUJU PEMBAZIRAN - Merah. UMNO ni biasa sangat membazir. Tengok Monsoon Cup, Masjid Kristal dan macam-macamlah pembaziran yang dilakukan. Makanya pembaziran dan UMNO adalah sinonim.

Itulah sedikit yang dapat aku ulas berkenaan kain rentang berkenaan. Aku rasa mungkin tidak terlalu tepat, namun persen ketepatan tu mungkin mencecah 99.9% kot bila melibatkan UMNO tu.

Wallahua'lam.

p/s: Gambar oleh Ummu Balqis.

Permata Hatiku: Balqis III

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum wbt...

"Pasal berat dia ni, memang budak yang ada Sindrom Down graf dia tidak sama dengan budak lain. Lambat skit. Itu normal bagi dia. Ada apa-apa lagi nak tanya?" Soal Dr Rohaya kepada aku dan isteri. Ketika itu kami memaklumkan yang berat Balqis baru sahaja 4.05 kilogram (Umur 3 bulan).

Aku senyum kepadanya dan mengatakan tiada apa-apa. Isteriku diam sahaja tanda juga tiada apa-apa lagi persoalan. Ketika itu Balqis sudah terlena dalam pangkuan uminya.

Minggu sudah kami ditunjukkan keputusan ujian darah Balqis. Hasilnya Balqis memang positif Sindrom Down. Kami ditunjukkan keputusan (47,XX,+21). Kata Dr Rohaya normal adalah 46, XX. Aku tidak tahu sangat. Tapi aku pernah terbaca yang sindrom down juga dikenali dengan Kromosom 21.

Kami sudah jangka keputusan ujian tersebut. Pada kami tiada apa-apapun dengan keputusan tersebut. Cuma segala persoalan terjawab jelas kini. Langsung tiada terasa kurang.

"Dia ni boleh dikategorikan sebagai Kanak-kanak Istimewa" Sambung Dr Rohaya. Matanya melihat kepada aku, kemudian beralih kepada isteri. Aku mengangguk akur.

Mainan Pertama Balqis

Terus di kepalaku teringat kepada suatu peristiwa yang diceritakan isteriku di satu majlis jamuan makan. Ketika itu isteriku meninggalkan Balqis di atas sofa untuk mengambil makanan. Ketika sedang makan, dia terdengar perbualan seseorang dengan seorang makcik yang berada di sebelah Balqis.

"Dia cacat skit" Jelas makcik yang berada di sebelah Balqis. Tersentak isteriku yang tidak jauh dari situ. Sedikit kesal bilamana perkataan cacat digunakan kepada Balqis.

Aku apabila mendengar kembali cerita itu turut terasa. Namun aku dapat menerima hakikat yang ada. Cuma penggunaan istilah cacat memang dirasakan sedikit kasar bagiku. Mungkin suatu ketika dahulu penggunaan istilah itu tiada apa-apa yang silap pada diriku. Namun, setelah sendiri berada di tempat ini barulah aku menjadi lebih memahami.

Balqis posing untuk blog Abi.

Kami sempat berbincang seketika dengan Dr Rohaya tentang rawatan Stem Cell terhadap individu Sindrom Down. Nampaknya Dr Rohaya tidak banyak mengikuti perkembangan mengenainya. Mungkin juga bidangnya tidak menjurus kepada penyakit ini. Aku banyak mengikuti maklumat tentang Sindrom Down ini melalui internet sahaja.

Beberapa hari sesudah bertemu Dr Rohaya, isteriku mula bertanya perasaanku ketika dimaklumkan keputusan tersebut. Sebenarnya aku tidak menyangka soalan tersebut akan diajukan. Aku menjelaskan yang aku sedia menerima Balqis seadanya.

Aku merenung isteriku. Aku melihat ada sedikit tanda harapan ujian tersebut negatif pada wajahnya. Sungguh, sebenarnya tiada siapa mahu anaknya tidak seperti orang lain. Sihat, cantik, bijak, dan aktif. Melihat ia membesar tanpa ada rasa bimbang. Boleh berdikari dan sebagainya.

Sebenarnya walaupun keputusan adalah positif, namun pada kami ianya adalah sangat minor. Balqis sihat, aktif dan tidak kurang bijaknya. Kata Uminya, bijak macam Umi. Dia akan menjawab setiap agahan kepadanya. Cantik sahaja pada pandangan kami. Pendek kata tiada apa pun yang kurang.

Siapa bilang gadis Melayu tak menawan?

Kami sebenarnya sangat bersyukur atas kesihatan Balqis. Aku pernah bertemu dengan seorang bapa yang anaknya turut mengalami Sindrom Down. Ada masalah jantung, tidak boleh meniarap, dan mesti diberi perhatian sentiasa. Berat anak tadi juga agak bermasalah. Mesti menjalani pembedahan demi pembedahan. Ketika itu terasa betapa jauhnya bertuahnya kami.
Hidup ini jalannya ke depan. Jika mahu mengejar impian, lihatlah siapa yang ada di hadapan. Namun, sekiranya jatuh tersungkur, terasa tewas, lihatlah di belakang. Percayalah kita masih tidak ketinggalan- amdang81
Wallahua'lam.

p/s: Thanks sayang kerana sentiasa kuat di belakang abang.

02 December 2008

Setahun Berlalu...

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

29 November lalu genaplah setahun aku bergelar seorang suami. Rasanya masih baru sahaja berlalu. Dengan sepasang baju melayu putih, aku dengan agak takut-takut melafazkan akad menerima isteriku kini sebagai isteri. Dua kali. Pertamanya lafaz yang aku ucapkan dikatakan perlahan oleh Ayah Mertuaku. Maka, disuruh ulang. Alhamdulillah selesai juga kali keduanya. (kantoi!!)

Beberapa teman isteriku mengirim SMS mengucapkan tahniah atas ulangtahun pertama ini. Specialnya apabila kami menerima Kek sempena ulangtahun ini daripada Kak Ummi. Terharu rasanya atas Kek Kismis yang sedap. Banyak tul kismisnya. Siap bunga-bunga lagi.


Sepanjang setahun bersama, terlalu banyak rasanya perkara baru yang kami pelajari. Hidup bersama ketika dekat, ketika jauh, dan ketika jauh tapi dekat. Semuanya banyak mengajar erti kesabaran, kerinduan dan juga pengorbanan.

Sambutan ulangtahun perkahwinan ini rasanya bertambah lengkap apabila kehadiran Balqis yang cukup bermakna. Cuma mungkin tiada 'bulan madu' buat masa terdekat memandangkan Balqis masih kecil dan loceng pilihanraya akan dibunyikan tidak beberapa lama lagi.

Wallahua'lam.
 

Great Morning ©  Copyright by a m d a n g 8 1 | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks