30 November 2008

Selamat Datang Ke Bandaraya Kuala Terengganu!

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Selamat Datang!!

Terengganu sehari dua ini menerima taburan hujan yang agak banyak. Ini lumrah di musim tengkujuh. Berita-berita perdana juga menjadikan berita banjir, paras air naik dan hujan sepanjang hari di pantai timur sebagai berita yang agak utama.

Apa yang lebih penting kini apabila isu kekosongan kerusi bagi Parlimen Kuala Terengganu. Segala hujan, banjir dan angin yang melanda kini mungkin tidak mampu untuk menyejukkan keadaan di Kuala Terengganu. Sudah panas di kalangan kedua-dua parti politik utama di sini persoalan siapa yang akan dicalonkan.

Siasahdaily membayangkan pertembungan antara dua Wan. Wan Mutalib dari PAS dan Wan Farid dari BN. Secara kasarnya memang ada kemungkinan kedua-dua tokoh ini akan dicalonkan oleh parti masing-masing memandangkan Wan Mutalib @ Ayah Wan merupakan bekas Adun Batu Buruk sejak sekian lama (Dun Batu Buruk berada dalam Parlimen Kuala Terengganu) dan merupakan Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu. Manakala Wan Farid adalah Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu.

Mengikut pemerhatian aku, Ayah Wan ada kemungkinan untuk dicalonkan, namun mungkin berdepan dengan isu 'orang lama'. Isu ini agak panas di luar negeri Terengganu, namun hakikat yang ada di Terengganu, isu ini adalah suam-suam kuku sahaja. Para pendokong PAS Terengganu masih menerima hakikat bahawa orang-orang lama ini bisanya belum hilang.

Jika isu 'orang lama' ditimbulkan sekalipun, isu siapa 'orang baru' turut menjadi persoalan bagi PAS Terengganu. Ahli Parlimen bukan seperti Adun yang isunya adalah setempat. Di sini kelebihan yang ada pada Ayah Wan.

Namun, bagi Wan Farid adalah sedikit mustahil untuk dicalonkan kerana rekod menunjukkan Wan Farid adalah dari Team Idris Jusoh. Bagaimanapun sudah ada suara-suara dari bawahan Umno yang membayangkan memboikot PRK ini sekiranya Ahmad Said bertindak mengenepikan Team Idris.

Ada juga suara dari PAS yang turut membayangkan Mat Sabu sekali lagi mencuba nasib di Kuala Terengganu. Mungkin ketiadaan calon sebaik allahyarham Datuk Razali Ismail memungkinkan Abg Mat dapat dihantar ke Parlimen. Arwah yang lama bergelumang dalam dunia pendidikan memang terkenal di kalangan para pendidik dan masyarakat tempatan. Bagaimanapun Abg Mat tetap berdepan dengan isu 'calon luar'.

Calon muda dan orang tempatan sudah semestinya tetap menjadi harapan kepada sesetengah pihak di kalangan penyokong dan pendokong PAS. Beberapa nama yang muda dan segar mungkin baru bagi orang luar, namun sudah lama bertapak di Terengganu. Setiausaha DPPNT- Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah, dan Ketua DPPKT - Ustaz Haji Ahmad Kamal Ali.

Calon-calon ini muda dan tidak pernah bertanding. Merupakan orang tempatan dan agak dekat juga kepada masyarakat. Mungkin kerana muda mereka dilihat sedikit kebelakang. Namun, jika yang muda tidak pernah dikedepankan, sampai bila mereka akan terus tidak diasah? Sudahnya, akan disebut PAS Terengganu tiada pelapis. Ini juga peluang mengetengahkan calon muda dan baru. Menang menguatkan pakatan, kalah tidak menjejas kerajaan.

Namun, isu menang kalah juga akan dilihat sebagai kekuatan kepada PR khususnya di Terengganu. Saat di mana Umno di lain-lain negeri mahu ditalkinkan, Umno Terengganu tetap kukuh walaupun berdepan dengan sedikit kecelaruan. Kerjasama PAS, PKR dan DAP Terengganu akan dinilai sejauh manakah bersedianya Pakatan Rakyat ini berdepan dengan komponen BN.

Sebenarnya, siapapun calon samada muda, mahupun tua, PAS Terengganu tidak menghadapi masalah yang banyak. Pengundi di Kuala Terengganu mempunyai pandangan politik tersendiri. Penyokong PAS sebenarnya jarang membuat undi 'protes' walau calon itu tidak mengikut citarasa mereka. Apatah lagi sekiranya cakap-cakap yang memburukkan individu tertentu terutamanya calon dibuat oleh mereka yang tidak kenal hujung pangkal.

Apatah lagi keyakinan mereka dengan keputusan Majlis Syura dalam menentukan isu calon ini. PAS Terengganu mungkin sekadar mencadangkan nama individu tertentu. Namun keputusan tetap pada PAS Pusat untuk menentukannya.

Tulisan ini bukanlah untuk mengangkat individu tertentu berkaitan soal calon, tidak lebih sekadar menamakan sahaja. Namun, tujuan asal tulisan ini adalah bagi mengingatkan bahawa memperjuangkan Islam itu lebih utama dari memperjuangkan calon tertentu. Jangan kerana calon yang dinamakan nanti tidak selari, maka pelbagai hentaman, tohmahan mahupun pelbagai fitnah nista berterusan dihukum kepada sesetengah pihak.

Wallahua'lam.

p/s: Biarlah orang Kuala Terengganu yang menentukan pilihan mereka.

27 November 2008

Pak Lah Menghalalkan Yoga?

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Pak Lah dipetik sebagai berkata kepada Bernama:

"Saya ingin tegaskan bahawa amalan fizikal tanpa sebarang unsur-unsur pemujaan boleh diteruskan, ertinya tidak diharamkan. Saya percaya umat Islam tidak mudah untuk disyirikkan".

Pak Lah juga berkata bagi umat Islam yang mengamalkan senaman yoga tetapi tidak menggunakan sebarang bentuk mantera, mereka boleh meneruskan aktiviti tersebut kerana ia adalah untuk kebaikan kesihatan mereka.

Oleh itu, Pak Lah meminta semua pihak memahami intipati fatwa yang diumumkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan berkaitan amalan yoga dan tidak memutarbelitkan fakta sehingga membuat rakyat terkeliru.

Timbul persoalan, apakah Pak Lah ini sebenarnya faham fatwa yang diumumkan Majlis Fatwa Kebangsaan? Jika Pak Lah tidak faham, sebagai ketua negara (walaupun dan nak undur), dia seharusnya bercakap dengan berlapik dalam isu halal dan haram ini.

Sekali imbas jawapan yang diberikan Pak Lah itu adalah yoga boleh terus diamalkan jika tidak disertakan mantera.

Jika melihat kepada Laman Rasmi Jakim (http://www.islam.gov.my) ada tercatat satu kenyataan akhbar berkenaan dengan Fatwa Yoga yang boleh dilihat dari sini. Sidang Akhbar tersebut menyebut:

"Antara perkara yang telah dibincangkan oleh Ahli Majlis Muzakarah Fatwa Kebangsaan yang bersidang pada 22 – 24 Oktober 2008 di Kota Bharu, Kelantan ialah senaman Yoga. Setelah meneliti dan mengkaji hujah-hujah serta pandangan-pandangan yang berkaitan dengan Yoga maka, Ahli Muzakarah berpandangan dan berpendapat bahawa senaman Yoga yang berasal dari masyarakat Hindu sejak sebelum Masihi lagi yang menggabungkan amalan fizikal, unsur-unsur keagamaan, mentera dan pemujaan bagi tujuan tertentu seperti mendapatkan ketenangan dan kemuncaknya, penyatuan diri dengan tuhan atau tujuan-tujuan lain adalah tidak sesuai dan boleh merosakkan akidah seorang muslim.

Oleh itu, Ahli Muzakarah juga bersetuju dan memutuskan apa jua jenis atau bentuk amalan yang mengandungi unsur-unsur tersebut di atas adalah dilarang dan bertentangan dengan syariat Islam. Sementara pergerakan amalan fizikal tanpa unsur-unsur di atas yang dilakukan pada zahirnya tidaklah menjadi kesalahan. Namun demikian, masyarakat Islam dingatkan wajib berhati-hati dan berwaspada dari perkara-perkara yang boleh menghakis akidah seseorang muslim.

Seperti yang kita sedia maklum, perkara-perkara yang boleh menghakis akidah boleh berlaku dengan sebab-sebab berikut:

(1) kepercayaan atau keyakinan di hati.
(2) menerusi perkataan atau pengakuan dengan lidah.
(3) perbuatan.

Memandangkan terdapat dua elemen tersebut dalam amalan yoga, maka umat Islam wajib memelihara akidah mereka dari terhakis.

Sekali pandang, maksud kenyataan media di atas dengan pendapat Pak Lah adalah sama. Namun, bilamana melihat kepada versi English kenyataan tersebut, ianya lebih jelas dan mungkin lebih memberi kefahaman.

The Fatwas of Religious Council in Islamic affairs which took place on 22-24, 2008 in Kota Bharu Kelantan included Yoga cases in their agenda. After carefully studied various reports and factual data, the Council unanimously agreed that this ancient India religious teachings, which involves physical and mental exercises, are Hinduism in nature known as wahdat al-wujud philosophy (oneness of existence; the realization of identity between the Self in man, Atman; and the Divine, BRAHMAN: ‘Brahman is all, and Atman is Brahman). It is prohibited (haram) for Muslims to practice it.

The Council unanimously agreed that whatever actions or conceptions imitate the Yoga’s teachings such as to practice the asana yoga or self annihilation (nirvana) is against the Islamic faith. Any physical activities which apparently not Hinduism in nature, are not included in these Fatwas. Anyway, Muslims have to be fully aware in order their religious faith and practices not to be jeopardized. One has to be conscious that one of these three elements can effect Muslim’s faith:

  1. Believe in heart;
  2. Verbal confessions; and
  3. Actions

In view these elements contained in the teachings of yoga, Muslims are advised not to be involved into them so as their faith is not eroded.

Apapun, di penghujung kedua-dua kenyataan itu juga seharusnya dilihat bilamana menasihatkan Umat Islam agar menjauhi dari perbuatan yang boleh menghakis akidah.

Wallahua'lam.

p/s: Boleh baca juga artikel ini untuk lebih memahami di mana perlu dijauhi yoga ini. Maaf, artikel itu dicopy paste tanpa edit/ susun semula. Jadi sedikit berterabur dan mungkin tidak sedap di baca. Apapun, utamakan isinya.

Kenapa Yoga Haram?

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

INTIS: Keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan Tepat

Dua fatwa terbaru yang diumumkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan (MFK) telah dilihat menimbulkan reaksi kurang senang segelintir pihak sama ada dari kalangan umat Islam mahupun bukan Islam. Jika kita mengamati kedua-dua fatwa tersebut, iaitu fatwa tentang pengharaman pengkid dan amalan yoga, keduanya berpijak di atas satu landasan yang sama iaitu hukum `tasyabbuh’.

Apakah itu tasyabbuh? Tasyabbuh di ambil dari perkataan al-Musyabahah yang bermaksud meniru, mencontohi, menjalin, mengaitkan diri dan mengikuti (Dr.Nashir Bin Abdul Karim Al-Aql, Man Tasyabbaha Bi Qaumin Fahuwa Min Hum).

Dr.Nashir Bin Abdul Karim Al-Aql menerangkan bahawa tasyabbuh yang dilarang di dalam Islam ialah meniru orang kafir dalam segala bentuk aqidah, ibadah, kebudayaan dan tingkah laku yang menunjukkan ciri khas golongan bukan Islam tersebut.

Ini adalah berasaskan hadith Rasulullah yang bermaksud: “Barangsiapa menyerupai sesuatu kaum, maka dia adalah sebahagian daripada mereka” (Hadith riwayat Abu Daud).

Jika diamati, Majlis Fatwa Kebangsaan (MFK) telah menjelaskan bahawa pengharaman yoga adalah kerana ia berkait dengan ajaran agama Hindu. Keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan (MFK) bertepatan dengan sabda Rasulullah di atas.

Oleh yang demikian, umat Islam sewajarnya mentaati fatwa tersebut. Terdapat beberapa hikmah kenapa umat Islam dilarang daripada menyerupai golongan bukan Islam.

Pertama, kesemua ajaran agama selain Islam dibangun di atas asas yang terpesong dan rosak.

Kedua, dengan meniru ajaran bukan Islam, ia akan menjadikan umat Islam pengikut mereka.

Ketiga, meniru perbuatan orang bukan Islam akan menimbulkan rasa kagum kepada kepercayaan dan tatacara hidup mereka.

Keempat, meniru ajaran bukan Islam akan melahirkan rasa cinta dan kesetiaan kepada orang-orang yang ditiru, iaitu bukan Islam.

Kelima, meniru bukan Islam akan menyebabkan umat Islam terjerumus ke dalam kehinaan kerana akan sentiasa merasa rendah diri kepada orang kafir.

Jika kita mengamati isu pengkid pula, ia berkaitan dengan hukum tasyabbuh jua iaitu larangan menyerupai jantina lawan. Ini jelas berdasarkan hadith Rasulullah iaitu:

Dari Ibn `Abbas ra meriwayatkan bahawa : “Rasulullah saw melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan wanita menyerupai lelaki” (Hadith riwayat al-Bukhari)

“Rasulullah saw melaknat lelaki yang memakai pakaian wanita dan wanita memakai pakaian lelaki”.(Hadith riwayat Abu Daud).

Berdasarkan dalil-dalil di atas, jelas terbukti bahawa fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan (MFK) bertepatan dengan al-Quran dan as-Sunnah.

Oleh kerana itu, umat Islam hendaklak patuh dan tunduk. Sebagaimana firman Allah :. Dan sesiapa yang menentang (ajaran) Rasulullah sesudah terang nyata kepadanya kebenaran pertunjuk (yang dibawanya), dan dia pula mengikut jalan yang lain dari jalan orang-orang yang beriman, Kami akan memberikannya kuasa untuk melakukan (kesesatan) yang dipilihnya, dan (pada hari akhirat kelak) kami akan memasukkannya ke dalam neraka jahanam; dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali. (An-Nisa’:115) .

Selain daripada itu, diharapkan jua, agar fatwa yang berkaitan dengan lelaki yang menyerupai wanita atau ‘tomboy’ dapat dikeluarkan. Ini bagi mengelakkan kekeliruan sesetengah pihak yang menuduh Majlis Fatwa Kebangsaan (MFK) cuba mendiskriminasi golongan wanita.

Majlis penerangan berkaitan fatwa-fatwa yang dikeluarkan hendaklah diperhebatkan bagi menangkis tuduhan-tuduhan melulu sesetengah pihak yang cuba memburuk-burukkan agama Islam. Umat Islam jua hendaklah berusaha meningkatkan ilmu pengetahuan agama mereka terutamanya di dalam bidang akidah. Ini bagi mengelakkan kita daripada terjerumus ke dalam perbuatan yang boleh menjejaskan keimanan kita.


Mohd Masri Bin Mohd Ramli
Unit Penerangan dan Penerbitan
INTIS Consultant

http://intisonline. com


26 November 2008

Bunuh Diri: Satu Lagi Sejarah Tercipta?

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Semacam belajar dari peristiwa, seorang isteri menjadikan sebuah bangunan empat tingkat dalam pembinaan di Kuala Berang, Hulu Terengganu sebagai tempat mengancam membunuh diri. Dua hari sebelumnya seorang gadis juga bertindak nekad dengan mengancam terjun dari atas bumbung sebuah hotel di Bandaraya Kuala Terengganu. Semuanya kerana lelaki. Kekasih dan suami.

Dua insiden berasingan ini adalah suatu perkara baru di Terengganu. "Tidak Pernah Sebelum Ini" adalah suatu slogan yang biasa digunakan pemerintah di Terengganu dan sesuai dengan insiden ini. "Mencatat Sejarah Mencipta Tamadun" juga boleh digunapakai.

"Tidak Pernah Sebelum Ini"

Perkara yang sama berlaku kepada kedua-dua wanita terbabit adalah mereka berdua berjaya diselamatkan. Alhamdulillah. Semoga mereka berdua bertaubat atas keterlanjuran yang mereka cuba lakukan itu.

Sebelum ini, dua kes bunuh diri yang melibatkan individu Melayu telah berlaku di Terengganu. Semuanya ini berlaku dalam tempoh 2 bulan terakhir ini sahaja.

Pertama berlaku di Chendering yang membabitkan seorang wanita orang kurang upaya (OKU) yang membunuh diri dengan menggantung diri dalam bilik air diikuti tindakan seorang remaja lelaki di Kampung Bukit Guntung yang menamatkan riwayat hidup dengan menggantung diri dalam bilik tidur.

Mahu aku salahkan UMNO dan BN?

Wallahua'lam.

p/s: Cuba amati Kempen Gaya Hidup Sihat yang biasa dipromosikan oleh Kementerian Kesihatan. Selain soal pergaulan dan pemakanan, menangani stress dengan betul adalah perlu dan tidak boleh diabaikan.

25 November 2008

Harga Minyak: Kenapa berdolak dalik?

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

"Kerajaan semacam Along!" Kata Mahfuz Omar apabila mengulas harga minyak yang dijual RM2 sedangkan harga sepatutnya RM1.62.

RM1.62 adalah harga tanpa subsidi Kerajaan. Sekiranya kerajaan memberikan subsidi RM0.30 seliter sebagaimana dijanjikan sebelum ini harga minyak berada pada RM1.32 sahaja. RM0.30 adalah subsidi yang disebut dan diulang oleh Pak Lah, Najib dan Shahrir Samad.

RM0.30 itu juga sebelum ini selalu diulang dan diingatkan kepada rakyat betapa baiknya kerajaan sehingga sanggup memberi subsidi kepada rakyat. RM0.30 selalu disebut supaya setiap kali rakyat mengisi minyak, rakyat akan berterima kasih kepada kerajaan atas RM0.30 yang disubsidikan itu.

Apa sudah jadi dengan RM0.30 yang dijanjikan itu? Agaknya ke mana duit subsidi itu dilarikan?

Teringat pula ketika Pak Lah menaikkan minyak suatu ketika dahulu. Kata Pak Lah nak kurangkan subsidi kerana mahu meningkatkan pengangkutan awam. Sehingga hari ini tidak nampak suatu perubahan ketara pada pengangkutan awam.

Aku kira kerajaan BN sepatutnya menggunakan peluang harga minyak turun ini untuk meringankan beban rakyat. Turunkan harga minyak ke paras sepatutnya. Rakyat bawahan akan terasa nikmat itu. Apatah lagi kini adalah musim cuti sekolah. Tentu Cuti-Cuti Malaysia akan lebih meriah.

Wallahua'lam.

p/s: Kat mana la aku nak sambut ulangtahun perkahwinan pertama aku ek?


21 November 2008

Kenyataan Akhbar Abdul Razak Baginda

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Berikut adalah kenyataan Akhbar oleh Abdul Razak Baginda.
-------------------------------------------------------------------------
Kenyataan Akhbar
oleh
Abdul Razak Baginda

20hb November 2008

lzinkan saya pertama sekali merakamkan penghargaan saya kepada sdr/sdri sekalian di atas kehadiran sdr/sdri pada pagi ini. Saya juga ingin terlebih dahulu memohon maaf kerana tidak dapat bertemu sdr/sdri sebelum ini.

lzinkan saya mulakan dengan mengucap syukur Alhamdullah, segala pujian bagi Allah SWT, Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang dan Maha Agung kerana adanya saya di sini hari ini, di antara sdr/sdri sebagai seorang yang bebas.

Saya telah menghabiskan selama 22 bulan di penjara dan dengan petunjuk Allah SWT jua, dengan keyakinan penuh bahawa saya tidak bersalah dan sokongan yang diberikan oleh keluarga dan kawan karib yang telah membantu saya melalui apa yang boleh saya katakan sebagai satu tempoh yang sangat menekan, sangat menduga dan sangat menyedihkan sepanjang usia 48 tahun saya.

Kata-kata tidak akan mampu menggambarkan dan menyatakan penghargaan saya yang amat mendalam terhadap keluarga saya yang telah bersama-sama saya mengharungi waktu yang sangat mencabar ini. Kasih sayang dan dedikasi mereka yang tidak terhingga yang memberi saya kekuatan. Setiap hari Sabtu tanpa gagal, keluarga saya akan datang melawat saya semasa tempoh lawatan mingguan. Sejumlah lebih 100 kali mereka datang melawat dan lawatan mereka adalah kemuncak dari seminggu saya. Sungguh, saya sungguh bertuah.

Mungkin lumrah manusia apabila seseorang di dalam kesusahan, ramai yang rnenjauhkan diri. Saya telah menjangkakan ini dan tepat sekali, lumrah manusia ini tidak pernah mungkir. Saya telah menyambut dua kali Hari Raya di dalam penjara. Sebelum dipenjara, menjelang Hari Raya saya akan terima ratusan kad raya. Bagi dua tahun yang lepas, saya terima tidak lebih dari dua puluh keping kad.

Kepada mereka yang telah menghantar ucapan selamat kepada keluarga saya dan kepada yang segelintir yang pernah hadir di mahkamah, saya mengucapkan terima kasih. Kehadiran dan sokongan anda bermakna kepada saya dan keluarga saya.

Terirna kasih yang tidak terhingga dari saya kepada para peguam saya yang bukan sahaja telah berkerja keras di dalam kes saya tetapi juga telah datang melawat saya di penjara. Semasa Perang Dunia Kedua, apabila askar ditawan sebagai tawanan perang, memang menjadi tugas mereka untuk melepaskan diri. Tentu sekali, tidak pernah terlintas di fikiran saya untuk melepaskan diri, bagaimanapun saya tetap terlepas kerana fikiran saya sentiasa bebas. Zahirnya seseorang boleh dipenjara tetapi fikirannya tidak mungkin terpenjara. Keluarga saya, kawan karib, para peguam saya dan buku-buku saya telah membantu saya melepaskan diri, kerana fikiran saya tidak pernah terpenjara. Kepada saya, inilah pelepasan diri yang bermakna.

Ramai orang cenderung mempunyai tanggapan yang sempit dan negatif tentang penjara dan pihak penguasanya. Bagaimanapun, saya ingin menyatakan di sini, ia bukanlah satu tugas yang mudah dan umumnya saya dapati pihak penguasa penjara telah menunjukkan satu tahap profesionalisma yang tinggi. Penghargaan saya juga untuk mereka.

Akhir sekali, saya mengucapkan terima kasih kepada tahanan-tahanan lain. Mereka telah menolong saya melalui kehidupan di penjara yang antaranya, mereka menunjukkan kebaikan yang ikhlas kepada saya. Saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan semoga yang terbaik untuk mereka.

Tidak ada perkataan yang rnarnpu rnenyatakan dan menggambarkan kesengsaraan yang di lalui keluarga saya selama hampir dua tahun. Sejak saya ditahan dalam bulan November 2006, banyak yang telah diperkatakan oleh ramai orang. Pembohongan dan tanggapan yang tidak berasas telah dijadikan asas yang kononnya dikatakan kebenaran. Kebenaran sebenar sudah tidak lagi menjadi penting. Seolah-olah tiada siapa yang berminat lagi untuk mengetahui perkara yang sebenar. Beberapa pihak telah membuat yang bersepadu untuk rnemutarbelitkan kisah sebenar sehingga menjadi timbunan sampah sarap. Pembohongan cepat sekali memintas kebenaran. Seperti yang dikatakan Shakespeare dalam Henry IV, "Pembohongan sudah setengah pusingan mengelilingi dunia sebelum kebenaran sempat menyarung kasutnya".

Saya akui saya sendiri merasa terperanjat rnenyaksikan bagaimana kes saya telah digembar-gemburkan sebegitu liar dan orang yang tidak tahu-menahu muncul di tengah persoalan dan berjaya memesungkan pandangan sedemikian ramai orang. Ramai yang telah ikut serta dan terbawa dengan perbuatan yang tidak benar ini. Yang tidak bersalah menjadi mangsa sementara yang berdusta bermaharajalela. Oraqg ramai
diperdaya dan mereka percaya apa yang ingin mereka percaya, tanpa menghiraukan kebenaran.

Saya sedar akan adanya mereka yang sentiasa mencurigai dan memutar-belitkan segala apa yang saya katakan untuk meremeh dan menyalah tafsir kata-kata saya. Saya terperangkap dalam situasi "dipersalahkan jika berbuat sesuatu dan dipersalahkan jika tidak berbuat sesuatu". Ada yang menasihatkan saya supaya tidak memberi kenyataan kerana ia akan hanya menjadi satu usaha yang sia-sia. Kata
mereka, apapun yang saya katakan tiada bezanya kerana orang lebih suka dengan tafsiran mereka sendiri meskipun di ceritakan yang sebenarnya. Walaupun setelah kisah yang sebenar muncul, orang-orang seperti ini akan mempunyai penjelasan mereka sendiri. Seakan suatu yang tidak boleh dimenangkan.

Bagaimanapun, saya rasa jika saya tidak berani dan cuba melawan arus untuk menyatakan yang sebenarnya, saya hanya memejamkan mata dan malah membenarkan pembohongan berterusan. Saya akan cuba dengan rasa penuh tanggungjawap menegakkan kebenaran rnengatasi kepalsuan. Bagi saya, rnengambil sikap tidak peduli adalah tidak bertanggung jawap. Seperti kata Martin Luther, "Di sini saya berdiri, saya tidak dapat berbuat lebih, tolonglah saya Tuhan".

Ahli Media Sekalian,

Saya merayu kepada anda semua supaya berhenti menyebarkan fitnah tentang YAB Dato Sri Mohd Najib Abdul Razak, Perdana Menteri dan isterinya. Saya tahu bahawa Dato Sri' dan isteri tidak pernah menemui si mati, Altantuya. Terlalu banyak fitnah yang dilernparkan kepada TPM dan isterinya. Mereka yang menyebarkan fitnah tidak pernah mengeluarkan bukti yang kukuh kerana sememangnya tidak ada bukti. Kebenaran adalah kebenaran dan tiada apa yang boleh mengubah kebenaran.

Sdr/Sdri mungkin cukup mengenai perbicaraan kes masih berlangsung. Saya telah dinasihatkan oleh peguam saya supaya tidak rnenyentuh secara khusus kes saya demi memelihara keluhuran perbicaraan tersebut.

Akhir sekali, saya ingin mengucapkan syukur ke hadrat Allah SWT bagi membenarkan dan menguatkan lagi bukti yang saya tidak bersalah di mahkamah. Saya juga ingin rnenjelaskan bahawa saya tidak pernah melakukan kesalahan kepada si mati. Walaubagairnanapun, saya mengucapkan simpati saya yang tidak terhingga kepada keluarga simati keatas kehilangan rnereka.

Ribuan terima kasih di atas perhatian sdr/sdri.
----------------------------------------------------------------------

18 November 2008

Kerana BN, Harga Barangan Tetap Tidak Turun.

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Hari ini merupakan kali ke lima kerajaan menurunkan harga minyak bagi tahun ini. Menurunkan harga minyak sehingga lima kali bunyinya seolah-olah kerajaan yang ada ini cukup baik, cukup prihatin. Namun benarkah begitu?

Hari ini Pak Lah dari luar negara menyeru supaya rakyat memboikot peniaga yang tidak menurunkan harga barang. Kata Pak Lah, ini merupakan kali ke lima kerajaan menurunkan harga minyak, namun tiada penurunan harga dilakukan oleh peniaga-peniaga. Justeru cadangan boikot terkeluar dari mulut Pak Lah.

Sebenarnya para peniaga telah lama tersepit. Mereka mendapat bekalan dari pembekal, dan menjualkannya kepada pengguna. Tinggi harga yang mereka terima, maka tinggilah harga yang akan dijual. Mereka tidak mampu memberi harga yang lebih murah dari yang diterima pembekal. Itu adalah suatu yang mustahil!

Antara sedar atau tidak, fenomena kenaikan harga barang sebenarnya dapat dirasai pada pertengahan tahun 2007 lagi. Di Terengganu misalnya pernah diadakan suatu Sidang Rakyat pada akhir tahun lalu bagi membincangkan bagaimana menangani kenaikan harga barangan.

Namun, kenaikan harga barangan yang berlaku ketika itu tidak diambil perhatian serius oleh pihak kerajaan. Apatah lagi syarikat-syarikat yang menaikkan harga barangan itu seolah-olah bebas melakukan apa sahaja kerana barangan mereka tidak dikawal. Produk seperti Milo, susu formula, tepung gandum dan minyak masak ketika itu antara yang dikesan mengalami kenaikan yang tinggi.

Itu belum termasuk input pertanian yang melibatkan kebanyakan pengusaha sayuran dan ladang seperti baja dan racun serangga. Kenaikan barangan pembinaan juga berlaku malah turut menjejaskan sektor pembinaan.

Itu adalah antara kenaikan yang telah berlaku di akhir tahun 2007 sehingga Mac 2008 yang lalu. Ketika itu harga minyak disebut-sebut akan dinaikkan selepas PRU12. Namun, Timbalan Perdana Menteri ketika itu memberi jaminan bahawa harga minyak tidak akan dinaikkan.

Jaminan itu ternyata jaminan politik bilamana sejurus selesai PRU 12, harga minyak yang disebut akan dinaikkan pada Ogos 2008 telah dinaikkan seawal Jun 2008. Malah kenaikan itu merupakan suatu kenaikan yang paling GILA dan membebankan rakyat. Kenaikan sebanyak RM 0.78 itu telah membuka peluang kepada semua peniaga dan pengusaha untuk menaikkan harga barangan masing-masing setelah kian lama tersepit.

Aku secara peribadi tidak menyokong sebarang kenaikan oleh sesiapapun. Kenaikan itu menyusahkan semua pihak terutamanya yang kurang berkemampuan. Bagaimanapun, kenaikan adakalanya perlu bagi mengurangkan kos operasi atau meningkatkan keuntungan. Apapun, ianya mestilah munasabah dan tidak membebankan banyak pihak. Itu bagi peniaga dan pengusaha.

Bagi kerajaan pula sewajarnya sesuatu tindakan menaikkan harga perlu difikirkan kesannya. Kesan inflasi, kesan kerumitan dan sebagainya. Kerajaan menjaga kebajikan semua rakyat. Fikirkan kesan jangka panjang dan bukan fikir untuk sehari dua.

Bayangkan sekiranya kerajaan bertahan untuk mengumumkan kenaikan harga minyak dari Jun 2008 kepada Ogos 2008. Aku percaya banyak kesan-kesan yang berlaku sekarang dapat diatasi. Kerajaan mungkin menanggung sedikit kesan kenaikan minyak dunia, namun dari sudut rakyat terlalu banyak kebaikan dan kenikmatan yang dapat dinikmati.

Kerajaan tidak perlu bayar rebet minyak kepada rakyat, kerajaan tidak perlu umum insentif itu dan ini dan sebagainya. Lihat bilamana minyak turun seperti hari ini, maka kerajaan yang melopong bilamana janji yang sudah dibuat mesti terus dilaksanakan paling kurang untuk tempoh setahun.

Begitu juga kesan kenaikan harga barang di pasaran. Sebagaimana susahnya kerajaan nak umum harga minyak turun, begitu jugalah rakyat. So, nak salahkan siapa? Kerajaan Barang Naik lah!!

Wallahua'lam.

p/s: Teringat masa mula-mula minyak naik dulu. Ramai yang SMS mengucapkan tahniah kepada BN kerana menaikkan harga minyak. Tidak kurang yang mengatakan ahli BN paling untung kerana Kad Ahli mereka melayakkan mereka mendapat minyak percuma. Kui kui kui.

Iklan: Menjadi Lelaki Hebat!

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Pertamanya maaf kerana ini bukanlah iklan minyak lintah, pil-pil kuat, tongkat-tongkat ali, mahupun sebarang teknik urutan mahupun minuman bertenaga. Namun, ianya tetap berkaitan dengan lelaki. Memang untuk lelaki sahaja.

Lelaki yang sejati memang tidak gentar untuk menyahut cabaran. Sebab itu jika yang gentar dan penakut akan diperlekeh dengan dikatakan tiada 'tuuuuuuuttt'. Tetiba juga hari ini kecoh apabila seorang NC dikatakan tiada tuuuuuuuut menjadikan dia tidak layak memegang jawatan tersebut. (Klik).

Sebelum tersasul lebih jauh, dipendekkan sahaja cerita. Ini adalah iklan Majlis Berkhatan @ bersunat @ jawi atau dengan bahasa yang sedikit menggerunkan adalah potong!!. Majlis ini adalah anjuran Jabatan Pembangunan Remaja Terengganu dengan kerjasama Masjid Pengadang Baru. Turut serta menjayakan program ini adalah tenaga-tenaga dari PAPISMA Terengganu.

Klik Gambar untuk lebih jelas.

Aku ketika mana menerima poster ini sedikit tergelak melihat slogan "InsyaAllah Selamat.. Cepat.. Hebat". Pada aku sedikit kelakar dan kurang sesuai perkataan hebat itu digunakan. Apapun, mungkin bagi menyatakan kehebatan setelah ianya bersih dari kekotoran. Atau juga mungkin istilah hebat itu bagi dibandingkan dengan mereka yang belum berkhatan.

Apa lagi ibubapa sekalian. Jom buktikan anak lelaki kalian sebenarnya memang penuh keberanian. Anak jantan sifatnya berani. Jangan biarkan sifat-sifat Mak Nyah menguasai mereka. Daftar segera sebelum terlambat.

"Tak ape, saya boleh bawa anak saya ke klinik sahaja" Mungkin nada ini akan kedengaran.

Tapi tahukah anda bahawa beramai-ramai menanti episod tragis seorang demi seorang itu benar-benar menguji kejantanannya? Usik mengusik sesama mereka dan ditambah oleh orang-orang yang terdahulu itu akan menyemarakkan lagi suasana. Sudah tentu anda mahu anak anda dilihat HERO apabila tidak menangis sepertimana kebanyakan anak-anak lain.

Wallahua'lam.

p/s: Aku dulu berani je berkhatan ni. Cuma ada la seriau skit-skit. Hehehe.

Harga Petrol, Diesel turun lagi.

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Memetik berita dari Malaysiakini.

Kerajaan hari ini mengumumkan penurunan harga petrol dan diesel sebanyak 15 sen seliter berkuatkuasa esok. Sehubungan itu, harga runcit petrol dan diesel adalah seperti berikut:

• Petrol RON97 daripada RM2.15 seliter kepada RM2 seliter;

• Petrol RON92 daripada RM2.05 seliter kepada RM1.90 seliter; dan

• Diesel daripada RM2.05 seliter kepada RM1.90 seliter.

Penurunan harga petrol dan diesel itu diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini. Ini merupakan kali kelima kerajaan menurunkan harga minyak petrol dan diesel. Sebelum ini, kerajaan mengumumkan penurunan harga minyak petrol dan diesel sebanyak 15 sen pada 31 Oktober lalu.

12 November 2008

Taman Tamadun Islam yang mengecewakan!

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Mengecewakan! Itulah yang dapat aku katakan bilamana dimaklumkan oleh seorang petugas di Taman Tamadun Islam (TTI) bahawa Taman Monumen ditutup pada setiap hari Selasa (kecuali cuti Umum dan Cuti Persekolahan). Taman Monumen ini menempatkan replika-replika masjid terkenal di seluruh dunia dan merupakan kawasan yang berbayar di TTI.

Pintu masuk dibuka separuh menandakan Taman Monumen ini tidak beroperasi pada hari Selasa.

Kekecewaan yang aku rasai tidak seberapa jika dibandingkan dengan 45 orang pengunjung dari Seremban dan Singapura yang datang semata-mata mahu melawat replika-replika masjid berkenaan. Mereka ini merupakan tetamu aku dan isteri yang datang ke Terengganu bagi menjayakan program yang mereka namakan Jalan-Jalan Cari Masjid.

Selain 45 orang terbabit yang juga merupakan tetamu aku, terdapat kira-kira 6 buah bas lagi yang kebanyakannya membawa pengunjung dari luar negeri Terengganu turut kecewa bilamana taman terbabit ditutup pada hari berkenaan. Kebanyakan dari mereka tidak dapat menerima pusat pelancongan terbabit ditutup seminggu sekali dengan alasan penyelenggaraan. Apatah lagi maklumat penutupan hanya diperolehi setelah berada di depan pintu berkenaan.

Bas dari Johor

Bas ini membawa pelajar Kolej Komuniti Kuantan. Antara sebahagian Bas yang sempat diambil gambarnya. Bas-bas lain bergerak meninggalkan TTI selepas kecewa.

"Cuba bayangkan berapa banyak mereka (pihak TTI) rugi sebab tutup hari ini. Sekarang sahaja mudah-mudah untuk mereka dapat RM 3000". Luah seorang pengunjung dari Singapura yang membuat kira-kira mudah.

Bayaran RM10 dikenakan kepada setiap pengunjung dewasa manakala RM5 bagi pengunjung kanak-kanak. Harga ini dikatakan harga promosi setelah diberi potongan 50% kononnya. Namun, mengikut pemerhatian aku harga yang dikatakan promosi ini sebenarnya sudah patut berakhir selepas cuti persekolahan bulan Jun 2008 yang lalu. Namun, kerana kurang mendapat sambutan dan kos RM20 bagi seorang adalah amat tinggi bagi kebanyakan pengunjung, maka dikekalkan harga RM10 sehingga sekarang.

Berbalik kepada penutupan pada setiap hari Selasa, aku mengira ianya merupakan suatu kesilapan besar dan tidak patut sama sekali berlaku. Bayangkan suatu tempat yang diangkat sebagai satu destinasi utama pelancongan Terengganu dan bersempena Tahun Melawat Terengganu, maka taman terbabit hendaklah sentiasa bersedia dan dibuka setiap hari sepanjang tahun. Apatah lagi hebahan mengenai penutupan tempat berkenaan setiap Selasa tidak dilakukan dengan berkesan.

Lebih mengecewakan lagi bilamana Laman Web TTI (http://www.tti.com.my) seolah-olah mati dan langsung tidak dapat memberi apa-apa maklumat melainkan alamat dan nombor talian telefon sahaja. Sedangkan TTI ini sudah dilancarkan seawal Februari 2008 lagi. Aku pada mulanya berkira web terbabit bukanlah web yang rasmi, namun pencarian menunjukkan hanya itu sahaja rujukan rasmi yang ada. (Klik sini untuk rujukan)

Pegawai yang bertugas mengatakan Selasa ditutup bagi menjalankan tugas penyelenggaraan dan pembaikian. Pada aku, tugas-tugas penyelenggaraan dan pembaikan seharusnya dijalankan pada waktu malam sahaja. Ini sesuai kerana Taman Monumen terbabit dibuka dari pagi sehingga jam 7 malam sahaja kepada umum.

"Sepatutnya buka setiap hari. Pelancong yang datang kebanyakannya percaya bahawa TTI ini dibuka sepenuhnya setiap hari" Luah seorang Ustazah yang mengetuai rombongan dari Seremban. Kekecewaan jelas terpancar di wajahnya.

Apa tidaknya, mereka sanggup datang ke Terengganu dengan menaiki Kapal Terbang di awal pagi dari Kuala Lumpur dan menyewa bas di sini untuk tujuan program ziarah masjid mereka. Mereka berlepas pulang pada malam hari yang sama juga dengan Kapal Terbang.

Nota: Lawatan rombongan JJCM terbabit ke TTI (Masjid Kristal) adalah selepas melawat Masjid Terapung (Masjid Tengku Tengah Zaharah), Kuala Ibai dan Masjid Rusila beserta rumah YB Dato Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Marang.

Klip Video Paling Panas Minggu Ini!

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

video

Ini adalah sedikit rakaman bagaimana gaya Balqis apabila menghisap jari. Kami sering ketawa kerana sifatnya yang satu ini. Walaupun mungkin sifat ini dilihat kurang baik, namun kerana menghisap jari itulah Balqis menjadi baik.

Walaupun kenyang menyusu, dia tidak akan segera tidur melainkan diletakkan meniarap dan biarkan dia menghisap jarinya. Tak sampai 20 hisapan, dia akan tertidur dengan sendirinya. Begitu juga sekiranya Uminya lambat memberikan susu. Cukup dengan 'sogokan' ibu jarinya, Balqis akan diam.

Sekurang-kurangnya itu lebih baik dari puting kosong kot!

Wallahua'lam.

Wajah-wajah Balqis

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Saje nak post imej-imej pengubat rindu kepada Pak Sedara dan Mak Sedara Balqis, mahupun kepada semua sepupu-sepupu Balqis di seluruh dunia. Kepada yang nak ngaku anak sedara pun, aku tak kisah.

Gaya manja ala-ala Gadis Kecil Tudung Merah. Tapi yang ni kuning.

Sukanya dia! Mesti ada yang puji Abi dia sebab pandai layan Balqis. Terima Kasih.

Ini antara gaya terbaru Balqis. Akhir-akhir ni inilah gaya yang biasa dilakukan. Isap ibu jari!!

Gaya apa lak ni?

Muka tak puas hati dengan Umi dia. Lambatnya dapat susu.

Nama saya Balqis. Lawa tak dagu saya? Dagu ni ikut dagu Umi saya.

Inilah gaya yang paling biasa. Zzzzzzzzzzzzzzzz.

Gaya Anak Zirafah? Ini baju yang diberikan oleh Kak Ummi. Topi tu macam besar skit. Tapi cute sangat baju ni. Macam tau-tau je yang Balqis ni tinggi.

De Xtreme Blog Contest: Tempat ke-4

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Pertamanya maaf kerana sedikit terlewat membuat posting berkaitan ini. Sedikit masalah yang dihadapi ini mahu rasanya aku letakkan dan salahkan kepada Celcom. Hehehehe.

Inilah pertama kali sebenarnya aku diberikan penghargaan seumpama ini sepanjang berada di dunia blog. Langsung tidak aku sangka blog yang hijau ini ada peminat tersendiri. Walaupun diiktiraf sebagai mendapat tempat ke-4, namun pada aku walaupun berada di kedudukan yang ke 100 pun aku amat menghargainya. Apapun, aku lebih suka kepada komen yang diberi oleh tuan punya penganjur iaitu Cik Ein kepada aku.
Komen : Bijak dalam memilih kombinasi warnanya yang boleh menyejukkan mata aku nie. Grafik yang menarik. Cuma Contentnya saja agak kurang menyerlah, mungkin bleh gunakan bold, underline, atau warna yg berbeza untuk menekankan lagi sesuatu isi.
Pasal pemilihan warna, memang ini adalah warna yang aku minat. Pada aku memang menyejukkan pun. Supaya kalu ada posting aku yang panas-panas sekalipun, si pembaca akan cepat terasa sejuk. Maklumlah kadang-kadang isu yang aku bawa sedikit panas.

Grafik yang menarik?. Ermm. Bab ni aku rasa nak kongsi je hadiah dengan si Aiman. Dia ni memang antara designer aku selain Cik Baity dan Joe. Ada lagi beberapa teman yang akan menjadi mangsa aku apabila aku memerlukan sesuatu design. Sekadar menyebut yang biasa menjadi mangsa. ;)

Cuma Contentnya saja agak kurang menyerlah, mungkin bleh gunakan bold, underline, atau warna yg berbeza untuk menekankan lagi sesuatu isi. - Aku sebenarnya cukup suka dengan komen sebegini. Pada aku jujur. InsyaAllah ada masa aku akan perbaiki dari semasa ke semasa.

Sebenarnya blog ini belum siap sepenuhnya. Mungkin ada yang tertanya-tanya ke mana link-link yang ada pada blog ini sebelum ini, tetapi hilang setelah masuk ke rumah baru ini. Kekurangan idea untuk menyusun link dan mengatur kedudukan kotak-kotak blog.

Aku masih berdepan dengan masalah line tenet yang tak stabil sebenarnya ni. Sekian. Wassalam.

p/s: Aritu aku pernah janji nak kumpul blogger dari Terengganu, tp sehingga hari ini aku masih tak berjaya luangkan masa. Mungkin ada kawan-kawan yang boleh ingatkan dan bantu aku dalam hal ni.

10 November 2008

Politik Berasuah dan Samseng Budaya UMNO.

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Dulu, kini dan selamanya. Begitulah UMNO. Mengamalkan politik secara rasuah dan samseng. Bukan tidak pernah diketahui sebelum ini. Sudah berlambak pun dilaporkan, namun semuanya seolah-olah halal dan tiada apa-apa.

Diberitakan sudah 900 kes politik wang dilaporkan. 900 bukan suatu angka yang kecil. Apatah lagi ianya adalah sesuatu yang haram dalam Islam. Merasuah perwakilan adalah suatu dosa. Namun, pada UMNO dosa dan pahala, syurga dan neraka tiada kaitan dengan pemilihan.

SEBAHAGIAN daripada anggota perwakilan cuba meleraikan pergaduhan yang tercetus pada Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Seremban di dewan Kelab Golf Taman Tuanku Ja'afar. - fotoBERNAMA

Bergaduh dalam Mesyuarat Agung semacam kebiasaan. Bertengkar lidah biasa, baling-baling pun tidaklah terlalu pelik. Angkat senjata pun pernah dilaporkan. Ganas? Itu memang budaya UMNO.

Politik sebenarnya suatu yang bersih dan tidak salah. Islam mengharuskannya. Namun, bagaimana politik yang dibawa itu wajar dipersoalkan. Politik Islam penuh dengan adab dan tertib. Penuh muhibbah dan rasa tanggungjawab.

Aku hairan juga melihat bagaimana sejak dari dulu UMNO mendapat tempat di hati pengikut-pengikut UMNO. Walaupun calar dan kudis yang ada cukup busuk, namun selalu dipejam sebelah mata. Rakyat juga walaupun melihat kebusukan tersebut masih boleh memekakkan telinga. Pelik, tapi itulah realiti Melayu.

Politik Melayu hanya untuk perut. Adakalanya untuk yang di bawah perut. Bawalah segala isu, segala bukti dan fakta, semuanya akan diluah begitu sahaja. Fakta dan bukti yang dibawa akan dianggap bohong dan penipu sahaja. Isu UMNO zalim, jahat, samseng dan sebagainya seolah-olah tidak akan didengari rakyat.

Bercakap pasal Melayu cukup kuat. Berdegar-degar. Namun, sebenarnya puak-puak inilah yang merosakkan imej dan institusi ketuanan Melayu. Sejarah telah membuktikan, namun apabila berdepan dengan realiti keperluan perut dan di bawah perut, mereka diam dan membisu.

Hmmmmm. Aku hanya mahu mengeluh dulu. Pada aku, Islam tetap di hati.

Wallahua'lam.

p/s: Haramkan sahaja parti yang suka buat benda haram nih!

06 November 2008

Tahniah Najib, Tahniah Obama.

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Pertamanya tahniah Dato' Seri Najib Tun Razak atas kemenangan tanpa bertanding jawatan Presiden UMNO. Kebiasaan Presiden UMNO adalah Pengerusi BN dan seterusnya menjadi Perdana Menteri sekiranya BN memerintah. Walaupun sudah diumum menang, tapi Najib masih belum menjadi Presiden UMNO, Pengerusi BN mahupun Perdana Menteri.

Tahniah juga kepada Barrack Hussien Obama atas kemenangan dalam Pilihanraya Presiden Amerika mengalahkan John McCain. Walaupun sudah diistiharkan menang, Obama juga belum mula bertugas selaku Presiden US. Mengikut kalendar, Obama akan mula bertugas 20 Januari 2009.

Antara Najib dan Obama, kedua-duanya bakal menjadi pemimpin sebuah negara. Bezanya laluan yang dilalui masing-masing cukup berbeza. Najib melalui jalan yang cukup mudah apabila langsung tiada pertandingan dalam jawatan Presiden UMNO, manakala Obama berdepan dengan Pilihanraya Presiden yang dilihat cukup mencabar.

Selamat tinggal Bush, selamat jalan Pak Lah. Obama mungkin sedikit berbeza dari Bush kerana datangnya dari Parti yang berbeza. Namun sikap yang ditunjukkan Obama sebenarnya tidaklah terlalu jauh dengan Bush. Cuma dilihat lebih diharap.

Najib datangnya dari satu parti dengan Pak Lah. Pak Lah dilihat tidak berjaya dalam pentadbirannya. Islam Hadhari yang cuba dibawanya telah dicemari oleh tangannya sendiri. Imej Pak Lah secara keseluruhannya lebih baik dari Najib. Najib dilihat lebih teruk dari Pak Lah. Apakah ada harapan baru untuk Malaysia?

CHANGE. Itu slogan Obama. Kita terpaksa menunggu beberapa tahun lagi untuk melakukan perubahan melalui Pilihan Raya ke 13. Mungkin ada yang akan melihat kejayaan Obama mendapat ilham bagaimana Obama berjaya dengan kempennya. Sudah tentu ada yang akan mencadangkan itu ini begitu dan begini kepada PAS kelak.

Sekurang-kurangnya pemilihan yang berlaku di sana dilihat berjalan dengan aman dan lebih demokrasi. Malaysia? Bukankah kita ada demokrasi ala Malaysia? Walaupun bendera semacam sama jalurnya, tetapi bulan dan bintang lain-lain.

Wallahua'lam.

p/s: Tidak salah berubah ke arah kebaikan.

05 November 2008

Ucapan Ijtima' Kepimpinan Pas Terengganu Kali ke 12

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Sabtu lalu aku sempat mengikuti Ijtima' Kepimpinan PAS Terengganu kali ke 12. Walaupun terpaksa berkejar jauh ke Selatan Terengganu, namun kerana mahu mengikuti program yang julung-julung kali diadakan ini, maka aku bersama keluarga gagahkan diri jua ke sana

Kesian Balqis kurang cukup tidur kerana tidak selesa tidur di celah-celah ribuan manusia yang hadir. Kesian juga kepada Jue yang terpaksa mendukung Balqis ke sana dan ke mari. Namun, demi mengikuti program sampai tamat digagahkan jua.

Di sini suka aku kongsi teks ucapan yang diedarkan dan telah disampaikan oleh Tuan Guru Dato' Seri Presiden PAS semasa ucaptama progam. Fail dalam pdf. Rasanya tiada masalah untuk dibaca. Wallahua'lam.

Download Ucaptama Ijtima' Kepimpinan PAS Terengganu kali ke 12. KLIK.

Wallahua'lam.

04 November 2008

Susu Ibu atau Susu Lembu?

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Pernah dengar Susuibu.com? Aku diperkenalkan laman tersebut oleh beberapa orang teman bilamana aku bertanyakan perihal penyusuan ibu. Laman yang aku kira cukup bermanfaat sebenarnya bagi ibu-ibu. Jika dengar dari nama laman ini sudah digambarkan apa yang bakal dibincang dan diperkatakan. Semuanya mengenai susu ibu.

Suatu ketika dahulu mungkin isu susu ibu tidak begitu popular. Aku percaya hampir kebanyakan kita (sebaya dan mungkin lebih berumur dari aku) menikmati susu ibu sepenuhnya dari ibu masing-masing. Jarang-jarang sangat rasanya orang dulu-dulu menggunakan susu lembu (susu tin) untuk anak mereka.

Pertamanya, kos susu. Keduanya kerana masa mereka yang banyak di rumah memudahkan penyusuan badan. Mengikuti forum-forum di dalam laman terbabit sebenarnya cukup membuat aku teruja mengikuti pengalaman dan kesungguhan ibu-ibu terbabit memastikan hanya susu ibu untuk anak masing-masing.

Hari ini sebenarnya menjadi suatu kejanggalan jika dikatakan seorang anak itu mahu diberi susu ibu sepenuhnya. Apatah lagi bilamana si ibu itu bekerjaya.

Di bawah ini aku sertakan suatu artikel dari Malaysiakini. Isu melamin yang menggemparkan kebanyakan ibu langsung tidak menakutkan aku dan isteri. Pada aku, isu terbabit tidak ada kaitan dengan kami. Bukan sombong, tetapi kerana yakin dengan kebaikan susu ibu yang dianugerahkan Allah.

Nota: Artikel ni untuk si isteri tersayang. Sebagai suatu tanda sokongan dari seorang suami.
------------------------------------------------------------------------------------
Petikan Malaysiakini.

Melamin, sejenis bahan kimia yang kaya dengan nutrien, selamat digunakan dengan jumlah yang sesuai jika tidak dicampurkan dengan asid sianurik yang boleh memudaratkan manusia.

"Orang ramai hanya tahu tentang melamin, tiada sesiapapun bercakap tentang asid sianurik.

"Sebenarnya asid sianuriklah menjadi punca tersirat masalah keracunan makanan yang membunuh kanak-kanak di China," kata timbalan dekan Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Dr Mustafa Ali Mohd kepada Bernama.

tainted milk product from china 230908Beliau menambah kebanyakan bahan makanan yang dikeluarkan kini seperti susu segar, sayur-sayuran dan daging mengandungi asid sianurik tanpa diketahui peranannya yang berbahaya kepada manusia.

"Kehadiran melamin dan asid sianurik secara bersendirian tidak berbahaya kepada manusia, tetapi kini masalahnya timbul apabila melamin digunakan bersama-sama asid sianurik," beliau dipetik sebagai berkata hari ini.

Dr Mustafa, yang juga ketua Shimadzu-UMMC Center for Xenobiotics Studies (SUCXeS), berkata pusat itu dengan kerjasama Kementerian Kesihatan sedang menjalankan satu kajian terhadap melamin sejak isu itu dibangkitkan dan mendapati susu segar yang diperiksa turut dicampur asid sianurik.

"Kehadiran melamin dalam susu adalah untuk menambahkan kandungan protein, tetapi hasil kajian kami menunjukkan susu turut mengandungi asid sianurik yang boleh menyebabkan sakit buah pinggang.

"Susu yang baik ada nutrien yang tinggi, apabila pengeluar susu
mencampurkkan air dalam susu semata-mata untuk mengaut keuntungan, mereka akan memasukkan melamin bagi mengimbangkan tahap nutrien agar tidak dikesan oleh pembeli.

"Penggunaan melamin ada tujuannya (menambahkan protein) tapi kami tidak faham kenapa asid sianurik dicampurkan dalam susu segar," katanya.

Menurut agensi berita itu lagi, Mustafa berkata kajian mereka bertujuan mengkaji tujuan sebenar kehadiran asid sianurik dan melamin dalam susu segar, sayur-sayuran dan daging segar serta mengkaji bahan makanan lain seperti sos, soya dan ikan bagi
memastikan sama ada bahan makanan itu turut terdedah atau tidak kepada bahan kimia berkenaan.

Ditanya sama ada melamin boleh digantikan dengan bahan lain, Dr Mustafa berkata boleh, tetapi melamin sering menjadi pilihan kerana dikeluarkan secara berlebihan di China dan diperolehi dengan harga yang terlampau murah.

melamine testing of chemical 041108Katanya lagi, melamin merupakan bahan kimia yang tidak berwarna dan tidak mempunyai rasa, manakala bahan gantian lain yang boleh digunakan seperti pada sayur-sayuran mempunyai warna dan rasa yang boleh menyebabkan warna dan rasa produk yang dicampurkan dengannya berubah warna dan rasa asalnya.

"Jadi, melamin sentiasa menjadi pilihan (pengeluar susu dan makanan)," katanya.

"Secara saintifiknya penggunaan melamin tidak berisiko jika mematuhi had penggunaannya, sama seperti panadol... jika guna sikit jadi penawar, jika berlebihan akan membawa kemudaratan," kata Dr Mustafa.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), tahap melamin yang dibenarkan dalam makanan kanak-kanak adalah 1ppm (1 bahagian dari sejuta) dan 2.5ppm bagi orang dewasa.

Kanak-kanak sering menjadi mangsa kerana mereka sentiasa bergantung kepada susu.

"Manakala asid sianurik pula, kami tidak pasti, kami sedang menjalankan kajian mengenai perkara itu (iaitu) kenapa asid sianurik hadir dalam makanan dan sama ada boleh diganti dengan bahan lain," tambahnya.

Mengenai susu dan bahan makanan yang diimport dari negara lain yang turut tercemar dengan bahan melamin, beliau berkata berkemungkinan makanan haiwan serta baja yang digunakan oleh negara itu diimport dari China dan terdedah dengan melamin dan asid sianurik.

SUCXes ditubuhkan pada 1999 hasil kerjasama antara Universiti Malaya (UM) dan syarikat analisis berteknologi tinggi antarabangsa, Shimadzu dan Fisher Scientific.

Ia berperanan sebagai pusat latihan, perkhidmatan dan penyelidikan.

 

Great Morning ©  Copyright by a m d a n g 8 1 | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks