29 October 2008

Soal Selidik..

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Aku baru sahaja menyiapkan beberapa soalan berbentuk 'Poll' kepada semua pengunjung blog ini. Harap sesiapa yang berkelapangan dapat tanda sahaja soalan-soalan yang dikemukakan itu. Diharap juga poll berkenaan dapat menjadi kayu ukur kepada blog ini bagi aku meningkatkan prestasi dan penulisan.

<----- Tengok belah kiri sini untuk respon kepada poll yang ada.

Dalam perasan atau tidak, sebenarnya komen yang dikemukakan oleh kebanyakan pengunjung berkisar kepada artikel-artikel bersifat personal. Bagi artikel-artikel politik, jarang dapat dilihat komen atau sebarang teguran melainkan artikel tentang Ahmad Said mula-mula nak dilantik menjadi MB dahulu.

Bukan sekadar mahu melihat reaksi, tetapi sebenarnya lebih kepada mahu berdiskusi. Pandangan seseorang sebenarnya berbeza dari sudut mana dia berada.

Adapun, soalan berkaitan iklan yang dipaparkan lebih kepada 'gimik' semata-mata. Ada info terlindung di sebalik soalan ini. Hanya yang mengetahui sahaja akan memahami. Jika perasan di lain-lain blog ditulis dengan perkataan 'menampung secawan kopi' sahaja. Tak faham? Nanti lah ada masa kita bercerita.

Wallahua'lam.

27 October 2008

Misi Berjaya! Terima kasih semua.

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Alhamdulillah. Syukur tak terkata rasanya. Betapa tidak melihat kedatangan sahabat-sahabat yang sudi datang bertandang ke rumah. Sungguh tidak disangka kehadiran yang hadir hampir-hampir 90 peratus dari senarai yang diundang.

Terima kasih juga buat beberapa rakan blogger yang sudi hadir memeriahkan majlis. Aiman dan isteri, Nasikerabupetro, Kak Ummi dan Abang Lan sekeluarga, Siput dan isteri, Ibnu Abbas dan family. Sungguh terharu dengan kehadiran walaupun menu yang disediakan amat biasa. Apatah lagi boleh dikatakan masih dalam 'try and error'. Menu? dah tentu Soto!

Kami sama-sama ketawa suami isteri malam tadi semasa menyiapkan nasi himpit. Sebenarnya kami sama-sama pertama kali membuatnya! Aku biasa juga tolong 'tekan-tekan' nasi himpit jika disuruh mak. Manakala bagi isteriku itulah yang pertama kali. Kadang-kadang terasa semacam 'nakal' menjadikan tetamu sebagai bahan percubaan. Apapun, aku yakin ianya akan menjadi.

Sejak malam tadi lagi sebenarnya kerja-kerja persiapan memasak dilakukan. Potong ayam, buat stok ayam, buat nasi himpit, kupas bawang, masak air dan siapkan 'gift' untuk tetamu cilik. Sasaran tetamu yang akan hadir adalah sekitar 100 orang. Itupun tidak ramai yang menyatakan kesahihan untuk menghadirkan diri. Aku beranikan diri mengagak jumlah tersebut. Pada aku, biar masak lebih.

Alhamdulillah sejak dari jam 2 petang sehingga jam 6.30 petang tetamu tidak putus bersilih ganti. Sungguh aku tidak sangka kehadiran yang sebegitu ramai. Hampir tidak menang tangan kami. Apatah lagi bilamana sesekali Balqis menangis kelaparan, maka uminya terpaksa meninggalkan aku sendirian. Mujurlah segala persiapan telah dibuat, cuma kerja-kerja penambahan dan pemantauan sahaja dibuat.

Kemuncaknya, terdapat sedikit kesulitan bilamana kami kekurangan Sup. Sebenarnya aku sudah sediakan stok ayam dan rempah ratus yang siap ditumis sebagai 'standby'. Namun, kerana sedikit kekalutan, aku memasukkan jumlah air yang agak berlebihan. Kononnya mahu 'mencukupkan' dengan nasi himpit yang ada. Kesannya, sup itu cair sahaja. Rasanya juga agak terlebih masin.

(Nota: Mohon maaf sangat-sangat kepada yang mendapat Soto Versi ke-2. Tapi, nasib la sebab datang lewat. Heheheh)

Selepas majlis berakhir, barulah aku perasan yang aku sebenarnya tidak banyak bersama-sama dengan tetamu, sebaliknya sibuk di dapur mempersiapkan hidangan. Walaupun berakhir dengan penuh kepenatan, namun kepuasan sebenarnya bilamana melihat hidangan yang dihidangkan habis. Sedang molek la kiranya.


Antara hadiah dari tetamu. Thanks Kak Ummi kerana terselit juga hadiah untuk amdang dan Jue. Thanks semua atas kesudian meluang masa hadirkan diri.

Wallahua'lam.

26 October 2008

Undangan ke Majlis Kesyukuran

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Hmmm.. seperti yang aku janji-janjikan kepada beberapa orang teman, insyaAllah esok aku nak buat sedikit majlis makan-makan sempena dua purnama Balqis hadir dalam hidup kami. Kiranya sempena Syawal juga yang masih berbaki.

Mudah cerita, majlis esok insyaAllah akan dibuat seperti berikut:

  • Tarikh: 27 Oktober 2008 / 27 Syawal 1429H
  • Masa: Jam 2 - 6 Petang
  • Lokasi: Rumah Aku (Tak tahu, leh YM @ SMS aku)
  • Menu: Rahsia. Heheheh rasanya dah bagi hint dulu-dulu.

Jemputan ni terbuka kepada semua yang mengenali diri aku, Balqis dan juga isteri aku. Samada kenal sungguh-sungguh, mahupun semua para blogger yang sebelum ini kenal melalui alam maya sahaja. Makluman awal mengenai kehadiran akan memudahkan pihak kami menyediakan makanan yang secukupnya. Hehehhe.

Sorry sebab lewat umum. Maklumlah tarikh dah lama tetapkan, tapi nak putuskan masa tu yang susah. Asyik berubah-ubah sahaja perancangan.

Mari belake deh! Jangan lupa bawa family sama.

Wallahua'lam.

20 October 2008

Catatan Seorang Abi 1

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Dalam sedar tak sedar, dah 55 hari aku menjadi seorang ayah. Aku membahasakan diriku sebagai Abi dengan anakku. Apa boleh buat bila si ibu mahu membahasakan dirinya sebagai umi dan mahu aku sebagai abi. Lagipun, ianya panggilan yang baik. Maka aku tidak kisah. Macam baik lak kalu dipanggil abi nih. Hehehe.

Ramai yang kata Balqis ni iras aku. Yang aku perasan satu je, kulit dia yang cerah je mengikut aku. Lain-lain tak nampak plak. Hehehehhe.

55 hari yang berlalu rasanya terlalu banyak ilmu yang aku baru belajar. Ada yang simple, tetapi menjadi pengajaran. Ada yang berat, tetapi boleh diambil ringan. Ada yang dilihat ringan, tapi sebenarnya adalah sesuatu yang berat dan mencabar mahu dilaksanakan. Semuanya bercampur menjadi satu ilmu yang cukup menyeronokkan.

Suatu pengalaman yang aku mahu kongsi kali ini ketika mana pertama kali aku membawa Balqis ke bahagian pediatrik di HSNZ. Ketika itu belum sampai seminggu rasanya umur Balqis. Sambil menguruskan pendaftaran, Balqis dibawa masuk ke sebuah bilik untuk ditimbang terlebih dahulu.

Sama-sama tidak tahu prosedur hospital, isteriku terkejut bilamana jururawat yang bertugas meminta ditanggalkan kesemua pakaian Balqis untuk diambil timbangan. Bila dibuka diaper, terlihatlah yang Balqis berak. Isteriku kelam kabut. Beg pakaian semuanya dalam kereta. Tiada diaper, tiada wipe dan tiada kain lampin bersama kami ketika itu.

Ketika itu aku sedang berurusan dengan bahagian pendaftaran. Kerana tiada surat beranak mahupun Mykid, maka aku perlu memberi beberapa keterangan yang lebih bagi memudahkan pihak hospital mengisi maklumat.

Apabila isteriku selesai menimbang Balqis, dia bersegera datang kepada aku.

"Abang, ambilkan diaper dan wipe Balqis. Dia berak bla.. bla.. bla.." isteriku mula bercerita. Kami sama-sama senyum kerana memang langsung tidak tahu perkara sebegini akan berlaku.

Aku segera ke kereta mendapatkan bahan-bahan keperluan Balqis. Kebetulan hari itu ruang parking kereta agak penuh, maka aku terpaksa berlari anak mendapatkan kereta kira-kira 200 meter dari perkarangan hospital. Bukan apa, bimbang kalau-kalau Balqis kencing atau terberak dalam seluar yang tiada alas itu.

Selepas memakaikan Balqis dengan diaper barulah kami masuk berjumpa dengan doktor bertugas pada hari berkenaan.

Kami sama-sama ketawa bila mengingatkan peristiwa yang simple sahaja sebenarnya, tetapi menunjukkan masih ada ilmu yang kami kurang tentang persediaan menyambut ahli baru ini. Selepas kes tu aku segera mendapatkan beg kecil yang sesuai untuk dibawa barang-barang keperluan ringkas yang perlu bagi Balqis.

amdang: Maklumlah, sebelum ni kalu aku pergi hospital untuk timbang pun, paling tidak kasut sahaja yang disuruh buang. Tak tahu baby kena buang semua. ;)

17 October 2008

Piala Monsoon: Apa yang BPR siasat?

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Malaysiakini melaporkan "BPR: Tiada rasuah dalam Monsoon Cup" merujuk kepada kenyataan Ketua Pengarah BPR, Datuk Ahmad Said Hamdan. Beliau dipetik sebagai berkata,

"Kita dapati tiada wujud kesalahan atau jenayah rasuah mengenai kejohanan kapal layar Piala Monsun di Terengganu selepas melakukan beberapa kali semakan. Bagi BPR memang sudah jelas tidak ada apa-apa...kita sudah buat yang terbaik. " - Berita Harian.

Jika melihat kepada apa yang diulas dan dijawab oleh Ahmad Said tersebut, kesimpulan mudah yang dapat dibuat adalah BPR tidak menyiasat permasalahan sebenar apa yang dilaporkan kepada mereka.

Laporan Pemuda PAS dan PKR Terengganu kepada BPR yang dibuat sebelum ini adalah berkenaan salah guna Dana Khas Persekutuan (Wang Royalti) yang dikatakan telah dibelanjakan bagi tujuan penganjuran kejohanan Monsoon Cup dan Taman Tamadun Islam yang dilihat tidak membawa kebaikan kepada rakyat Terengganu.

Namun, apa yang disiasat oleh BPR adalah kejohanan berkenaan, tetapi bukan menjurus kepada penganjuran kejohanan.

Kejohanan Piala Monsoon hanya meliputi acara pertandingan. Siapa pengadil, peserta, kiraan mata, pengundian, aktiviti sampingan dan apa yang berlaku dalam tempoh kejohanan itu berlangsung sahaja. Pendek kata ianya bermula dari pendaftaran peserta, perasmian sehinggalah kepada pembahagian hadiah dan penutup sahaja.

Namun, penganjuran kejohanan yang dimaksudkan si pelapor adalah meliputi kesemua aspek bermula dari persetujuan kejohanan itu diadakan, perjanjian yang dibuat, pembahagian tender, penyerahan tender, pembangunan dan sebagainya.

Sebagai satu contoh, keputusan memilih T-Best Event sebagai penganjur acara kepada kejohanan ini cukup pelik. T-Best Event bukan anak syarikat Kerajaan Negeri, namun Wan Hisham yang merupakan Exco Kerajaan Negeri ketika itu bebas memegang jawatan dalam syarikat yang tidak berkepentingan kepada rakyat. Mungkin di sini terletak jawapan kenapa Kerajaan Terengganu ketika itu terlalu mudah meluluskan sebarang kewangan kepada penganjuran kejohanan ini.

Mungkin BPR perlu bangun dari tidur. Atau mungkin juga BPR yang perlu disiasat???

16 October 2008

Himpunan Pemuda Islam Terengganu (HIMPIT)

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Ini adalah makluman program HIMPIT. Himpunan Pemuda Islam Terengganu bagi tahun 2008. Aku melihat program tahun ni dilihat lebih menarik dengan suasana yang dirasakan lebih kembali kepada konsep HIMPIT dulu-dulu.

Tarikh: 23 - 25 Oktober
Tempat: Pantai Pandak, Chendering
Aktiviti: *Rujuk Tentatif

Tentatif Program
23 OKTOBER 2008 (KHAMIS)

09.00 – 12.00 Mlm : CERAMAH PERDANA I
* YB Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang
* YB Saifudin Nasution
* YB Hj Mohd Abdul Wahid Endut (YDP PAS K.Trg)
* Ustaz Azman Shapawi bin Abdul Rani
24 OKTOBER 2008 (JUMAAT)

08.00-09.00 pg : PENDAFTARAN PESERTA

09.30-11.00 pg : BICARA PEJUANG
Bersama YB Ustaz Mohd Nor Hamzah (Naib Ketua Pemuda Negeri)
11.15- 12.30 pg : Pembahagian Tapak Khemah

01.00 – 02.00 Ptg : Solat Jumaat & Khutbah Sempena HIMPIT.

02.30 – 06.00 Ptg : PEMUDA PERKASA (Modul KHAS)
Solat Asar Berjamaah
06.00 - 08.30 Mlm : Khidmat Diri
Kuliah Maghrib HIMPIT
09.00 – 12.00 Mlm : CERAMAH PERDANA II
* YB Solahuddin Ayub
* Ybg Tuan Haji Muhammmad bin Sabu
* YBM Dr Syed Azman Syed Nawawi ( ADUN Batu Buruk )
* YB Ustaz Ariffin Deraman
25 OKTOBER 2008 (SABTU)

07.30 - 12.00 Pagi : PEMUDA BERSAMAMU
* LARIAN HIMPIT ‘08
* Bola Sepak Pantai
* Pertandingan Memancing
* Sukan Rakyat
* Rawatan Kesihatan
12.00 : PERASMIAN PENUTUP DAN PEMBAHAGIAN HADIAH
Oleh : Dato Hj. Mustafa Ali
Pesuruhjaya PAS Terengganu
Bola sepak pantai. Are U ready?
Lampiran**

1. Ceramah Perdana I & II
* Kedua-dua ceramah dibuat ditapak HIMPIT.

2. PERKHEMAHAN PESERTA DIURUSKAN OLEH DPP KAWASAN-KAWASAN. (Penganjur hanya menyediakan khemah untuk AJK Program dan Urusetia Program Sahaja

3. Pemuda Perkasa (Modul Khas)
Modul yang menguji ketahanan fizikal dan mental peserta seperti aktiviti pendakian bukit, aktiviti pantai dan lain-lain.
4. Khutbah Himpit
Sebanyak empat buah masjid dalam DUN Batu Buruk terlibat untuk khutbah ini.
5. Kuliah Mahrib HIMPIT
Sebanyak 3 buah surau di setiap DUN dalam Kawasan Kuala Terengganu terlibat.
6. Tanyangan Video dan Khidmat Kesihatan Percuma (sepanjang program)

7. Pemuda BersamaMu - Penyertaan Larian HIMPIT, Bola Sepak Pantai, Memancing dan Sukan Rakyat hanya kepada peserta program sahaja.

Nota: Apa-apa maklumat, kena rujuk dengan SU Pemuda Kawasan masing-masing la.

Wallahua'lam.

15 October 2008

Dah start puasa 6?

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

"sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dia mengiringi dengan enam hari dari bulan syawal maka itu seperti puasa sepanjang tahun" - Maksud Hadis.

Imam Nawawi dalam Syarh Muslim, 8/56 mengatakan,

“Para ulama madzhab Syafi’i mengatakan bahwa paling afdhol (utama) melakukan puasa syawal secara berturut-turut (sehari) setelah solat ‘Idul Fithri. Namun jika tidak berurutan atau diakhirkan hingga akhir Syawal maka seseorang tetap mendapatkan keutamaan puasa syawal setelah sebelumnya melakukan puasa Ramadhan.”

Dah start puasa 6 ?

"Camana nak start puasa, hari-hari ada rumah terbuka." Jawab seorang teman tersenyum.

Orang dulu-dulu, 2 Syawal dah mulakan puasa. 7 Syawal dah habis. Hari ini dah 15 Syawal. Aku baru buat separuh. Lagi separuh leh buat dalam 15 yang berbaki.

Sebenarnya memang seronok mulakan puasa 6 Syawal ni segera. Ketika itu perut masih terlatih dengan kebiasaan sebulan Ramadhan. Kadang-kadang tidak terasa pun letih berpuasa. Namun, halangan paling besar adalah hidangan-hidangan istimewa yang disediakan di rumah-rumah terbuka.

Satay semacam mendapat ranking paling atas. Diikuti lemang, ketupat, nasi minyak dan sebagainya. Sesetengahnya pula menggemari hidangan kambing. Tidak kisah kambing panggang, gulai mahupun goreng.

Apapun persoalan hidangan yang disediakan oleh rumah-rumah terbuka, puasa 6 Syawal ini jangan sampai tidak sempat. 15 hari yang berbaki sebenarnya suatu tempoh yang masih sempat untuk sama-sama kita mengambil manfaat. Peluang ni dalam bulan Syawal je!.

Tulisan ini sebenarnya sebagai motivasi diri untuk aku segera menghabiskan puasa 6 Syawal. Kadang-kala hari demi hari yang berlalu terlalu cepat. Nanti sedar-sedar dah tidak sempat untuk mencukupkan 6 hari. Maka, ada baiknya saling ingat mengingati dalam perkara yang baik ini.

Anda dah start puasa 6??

p/s: mesti yang akan kata Hampeh! sebab tajuk puasa, tapi letak gambar satay. Cobaan..

13 October 2008

Rahsia Terbongkar – Mengapa Bas Bandar Beri Khidmat Percuma

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Ditulis oleh Mat Ali (sumber: Buletinonline.net)

Penipuan Tentang ‘Cas Ligas’ terbongkar, kononya kerajaan bermurah hati memberikan khidmat percuma kepada rakyat yang menggunakan khidmat bas bandaraya Kuala Terengganu.

Padahal sebenarnya rekabentuk ’Bas Bandar yang ‘pelik’, dilancarkan pada 27 Ogos tahun lalu tidak diluluskan oleh Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP)

Kerajaan Terengganu kini tidak dapat pulangan dari pelaburan yang menggunakan RM3.4 juta wang rakyat semata-mata untuk merealisasikan ‘idea gila’ bekas Menteri Besar Dato Seri Idris Jusoh.

Walaupun pada asal cadangan perkhidmatan tersebut tambang dibayar sebanyak 50 sen, namun ia diberikan percuma apabila LPKP tidak mengeluarkan permit kerana cukai kastam yang belum dilunaskan selain masalah rekabentuk.

Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Mazlan menyatakan kegagalan memperolehi permit dari LPKP menyebabkan bas tersebut menjadi liabiliti.

Akhirnya hanya empat buah bas yang dibeli dengan harga RM430,000 sebuah, bergerak mengelilingi Kuala Terengganu, sementara empat buah lagi ‘sekong’ dibawah garaj.

Walaupun nampak cantik, dengan atap bercirikan seni ukir Terengganu, namun rekabentuk ‘cas ligas’ gagal melepasi ciri-ciri keselamatan yang ditetapkan oleh LPKP.

Buletinonline sebelum ini pernah mempersoalkan rekabentuk tersebut dalam artikel ‘Dilema Pengangkutan Awam Terengganu’ yang juga kebetulan mempersoalkan adakahh ianya sebuah rumah atau kenderaan.

Cerita pasal makanan: Soto Ayam

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Malam tadi merupakan kali pertama aku memasak Soto. Aku tidak pasti perkataan Soto itu diambil dari mana. Dikatakan soto ni makanan dari Indonesia yang berupa sup ayam dengan kuah sedikit 'kuning'. Mungkin di Malaysia, soto ni dipelopori oleh golongan Jawa.

Aku juga tidak tahu samada soto itu mewakili sup sahaja, atau turut termasuk nasi himpit atau mee yang biasanya turut dihidang bersama. Apa yang biasa dilihat, soto ni mesti ada sup, ayam carik-carik dan beberapa aksesori tambahan seperti daun sup, bawang goreng, kicap dan taugeh.

Resepi yang aku cuba buat malam tadi diambil dari internet - My Resipi.com. Namun diubah mengikut kesesuaian yang dirasakan perlu. Aku tidak tahu selain Soto Ayam, apakah juga ada Soto Daging, Itik, ikan mahupun Seafood.

Sebenarnya semangat untuk menghasilkan soto ini lahir bilamana aku terfikir apakah menu yang sesuai jika dibuat rumah terbuka. Kebetulan terfikir nak raikan sahabat-sahabat sempena bulan Syawal yang mulia. Juga sebagai suatu tanda kesyukuran dengan kedatangan Balqis. dalam hidup kami. (Alhamdulillah majlis Aqiqah Balqis sudah selamat diadakan pada Hari Raya kedua yang lalu).

Idea mahu menjadikan soto sebagai hidangan bilamana melihat Kak Mar (Akak Ipar) menyediakan soto sebagai menu utama hidangan Hari Raya pada tahun ini. Kata Kak Mar, dia dapat resepi tu semasa belajar di Johor. Jika dibandingkan soto yang aku masak malam tadi dengan soto Kak Mar, ada la perbezaannya.

Antara bahan yang digunakan Kak Mar dalam sup sotonya adalah rempah kurma. Pada aku rasanya ok, cuma aku masih tidak berani mencampurkan terlalu banyak bahan dalam sup. Takut lain sangat rasanya.

Kesimpulan dari percubaan pertama aku malam tadi:
  • Sup mestilah dimasinkan lagi. Ini kerana nasi himpit adalah tawar. Nanti 'lecah' sangat rasanya.
  • Taugeh tu kena celur laa. Mana leh main mentah gitu. Rasa pun tak sedap kalu mentah. Buat ulam cicah budu ok la.
  • Kicap jangan pedas sangat.
  • Halia tu potong halus-halus baru kisar. Kalu tergigit halia semasa makan, memang sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku.
  • Nasi himpit kena tunggu sejuk betul baru potong. Kalu tak, pecah. Tak lawa
Komen: 60% menghampiri kejayaan. Lepas ni tambah begedil, tambah telur rebus mesti makin menjadi. ;)

Hospital Sultanah Nur Zahirah bekukan Sijil Sakit

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Tulisan: Line (TKO) - Klik untuk artikel asal.

 "Hari ini aku ke Hospital Sultanah NurZahirah, K.Terengganu kerana isteriku mengalami pendarahan yang banyak. Jam 9.30 kami dah sampai ke hospital. Memandangkan isteriku memang mempunyai rekod di Klinik Pakar, kami terus kesitu.

Pihak Klinik Pakar meminta kami ke bahagian Pesakit Luar untuk mendapatkan surat rujukan kerana fail kesnya telah lama. Kami bergegas ke sana. Kami melihat beberapa poster dari kertas A4 di beberapa bahagian di tempat menunggu. Terpapar kata-katanya seperti berikut:


PERHATIAN PADA SEMUA PELANGGAN


SIJIL SAKIT (M.C) TIDAK AKAN DIKELUARKAN

DARI 27 SEPT.2008 HINGGA 11 OKT.2008


ARAHAN : PENGARAH HOSPITAL SULTANAH NUR ZAHIRAH


Persoalan mula timbul dalam diriku, adakah tindakan ini wajar dilakukan oleh sebuah hospital kerajaan. Tidakkah ini melanggar akta buruh di mana sijil sakit termaktub di dalam akta itu.J ika seseorang itu tidak dapat menjalankan tugas kerana sakit, maka mereka berhak mendapatkan sijil sakit.

Jika perkara ini diamalkan, bagaimana jika pekerja itu pengsan atau mati dalam menjalankan kerjanya. Siapa harus dipersalahkan? Dengan kata lain, pekerja terpaksa juga bekerja dalam keadaan sakit.

Adakah pihak hospital sanggup menerima saman daripada keluarga pesakit atau pesakit itu sendiri sekiranya akibat arahan itu mereka menerima kecerderaan atau kematian.Pihak hospital seharusnya tidak perlu memikirkan tentang bagaimana satu-satu jabatan akan bergerak kerana ini adalah di luar bidang kuasanya.

Tujuan di wujudkan hospital adalah memberikan rawatan kesihatan pelanggan bukannya memikirkan tentang haruskah diberi sijil sakit atau tidak. Adakah pihak hospital sudah tidak mempercayai penilaian doktor-doktor yang bertugas atau pihak hospital sudah lari dari prinsip asalnya.

Setelah menunggu beberapa lama, akhirnya tiba giliran isteriku mendapatkan rawatan. Doktor wanita muda itu hanya bertanya tentang penyakit dan terus menulis skrip ubat tanpa memeriksa isteriku terlebih dahulu. Isteriku terpaksa bertekak hanya untuk mendapatkan surat rujukan ke klinik pakar. Doktor tersebut juga enggan memberikan sijil sakit kepada isteriku sebaliknya hanya memberi slip masa sedangkan isteriku tidak mampu bekerja kerana darah yang keluar agak banyak.

Aku rasa Pengarah Hospital terbabit harus ditukarkan ke sektor swasta kerana beliau bertindak sebagai bos, bukan bertindak sebagai pegawai kerajaaan yang menerima gaji dari pembayar cukai. Fikirkanlah.

Amdang: Aritu larang orang nak masuk melawat sambil beri sumbangan, ni nak larang ambik MC plak. Alahai...

11 October 2008

Kenapa Shah Rukh Hang mendapat Datuk?

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Petang tadi ketika menanti isteriku bersiap-siap untuk keluar ke majlis rumah terbuka seorang pimpinan Pemuda PAS Terengganu, aku sempat menonton sebuah drama di TV9. Pendekar 5 agaknya tajuk drama itu. Kisah 5 Hang. Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Lekir, Hang Kasturi dan Hang Lekiu.

Kelakarnya bila melihat Hang Tuah (lakonan Cico Harahap Rashid) yang sedang berlatih silat langsung tiada ciri-ciri fizikal seorang pendekar. Tubuh tegap, tapi perut sedikit maju ke depan. Jebat (Beego) juga begitu. Lain-lain 3 Hang tidak pula dapat aku pastikan tahap kemajuan perut mereka kerana yang lain semuanya berbaju.

Aku kira tidak salah sekiranya hero yang mempunyai sedikit 'kecacatan' itu ditutup dengan tiada adegan 'separuh bogel' tersebut. Bukan susah, gambarkan sahaja mereka dengan memakai baju. Lebih sopan, lebih bermaruah jadinya.

5 Hang tersebut adalah hero Melaka. Tidak perlu sebenarnya diceritakan. Walaupun mereka ini tidak mempunyai sejarah yang khusus, namun kisah mereka sentiasa diperkatakan. Pelbagai versi kisah mereka juga sudah difilem dan didramakan.

Aku kira, watak lakonan drama dan filem kita amat seadanya. Tiada pelakon yang perlu betul-betul gemuk untuk menjayakan sesuatu watak. Tiada juga pelakon yang perlu betul-betul kurus untuk menjayakan sesuatu watak. Itu peringkat yang agak tinggi, setakat nak 'kemaskan' perut pun tak mampu, nampak sangat semuanya semacam tangkap muat.

Kenal Shah Rukh Hang (di India dieja dengan Khan)? Seorang anak muda dari Melaka. Berpetak perutnya. Hensem wajahnya. Paling penting, senyumnya menimbulkan lesung batu di pipi menawan kalbu.

Kerana namanya yang turut mempunyai Hang, dia dikatakan mempunyai pertalian darah yang amat rapat dengan Hang Tuah. Mungkin cicit generasi ke 17. Mungkin kerana mahu menghargai jasa-jasa Hang Tuah, maka Shah Rukh Hang ini dikurniakan anugerah Datuk. Agaknya laa.

Datuk Shah Rukh Hang. Hang Peh!!

07 October 2008

Adakalanya diam itu lebih baik

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

"Apa komen Cikgu Pa?" Itu yang aku lontarkan kepada seorang sahabat yang berniaga akhbar Harakah bilamana mendapat tahu TG Nik Aziz memberi pandangan balas terhadap pandangan peribadinya tentang 16 September.

Melalui sahabat yang lain, aku dimaklumkan Cikgu Pa mengambil keputusan berdiam diri sehingga mereka berdua bertemu mata.

"Macam anak dengan ayah je. Sekarang dah tiada apa-apa" Kata Cikgu Pa menjawab perselisihan yang berlaku.

Semuanya telah berlalu. 16 September berlalu, permasalahan antara kedua-dua pimpinan terbabit juga sudah berlalu. Cikgu Pa betul, TG Nik Aziz juga tidak silap dalam menegur.
Nota: Kenapa aku lama tak update blog dengan isu-isu semasa? Adakalanya diam itu lebih baik. ;)

Abdul Hadi Awang: Majoriti Melayu Muslim Asas Kerajaan Pakatan Rakyat (Siri I)

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Oleh: Aqil Fithri

Islam ada pengalaman yang menarik dan elok jika dihimbau kembali dalam menghalusi kerumitan politik dewasa ini. Bagi Ibn Taimiyyah, adalah lebih penting pemimpin muslim yang zalim berbanding pemimpin kafir yang adil, asalkan shariat Islam maseh ditegakkan.

Jalur Ibn Taimiyyah ini sebenarnya ditentang oleh Khawajah Nasir ad-Din at-Thusi. Kini, dalam konteks penekanan PAS pada majoriti Melayu Muslim, wacana—antara nilai dan shariat—ini menarik untuk diangkat. Apatah lagi, al-Qur’aan menerusi Surah al-Maaidah, ayat 8 turut membicarakan kedekatan taqwa dengan keadilan. Wawancara Ummahonline.com bersama Tuan Guru Dato’ Seri Abdul Hadi Awang, Presiden PAS ini membuka medan perbahasan panjang.

Khalayak melihat Pakatan Rakyat (PR) memberi harapan yang lebih baik berbanding Barisan Nasional (BN). PR menjanjikan penghapusan akta-akta yang menindas, pendidikan percuma, kebajikan yang meluas, dan sebagainya. Jadi, apakah ada lagi kebimbangan lain untuk kita memilih PR?

Saya rasa, bagi PAS tidak ada kebimbangan, kerana PAS konsisten dengan Islam yang diperjuangkan… di mana dalam penyertaan kita bersama PR, tidak disentuh idealogi perjuangan parti masing-masing. Dalam hal ini, PAS berhak untuk menyatakan Islam sebagai satu syarat yang penting kepada sebarang perubahan. Kepada PAS, sebarang perubahan dalam negara tanpa meletakkan Islam, tidak akan berjaya. Ini kerana, kita telah mengalami percubaan idealogi-idealogi yang lain daripada Islam—bukan sahaja di Malaysia, tapi di seluruh dunia—iaitu kegagalan komunisme, sosialisme, kapitalisme, dan liberalisme yang sedang kita hadapi ini. Ini kegagalan orang yang bukan Islam. Oleh kerana itu, sudah tiba masanya kita mengemukakan Islam sebagai penyelesaian. Dengan sebab itu PAS meletakkan syarat Islam adalah syarat penting dalam sebarang penyertaannya di dalam PR.

Sebelum ini, Tuan Guru ada menyebut jumlah ahli parlimen PR mestilah majoriti Melayu Muslim. Persoalannya, mengapa Melayu?

Melayu ini kerana majoriti orang Islam (di Malaysia) adalah Melayu. Bahkan kalau kita baca Muqadimmah Ibn Khaldun, ada hadith yang menyebut, “pemimpin dari Quraisy.” Ini kerana, yang menjadi teras kepada penguasaan Islam pada masa itu adalah kabilah Quraisy. Maka, syarat kepimpinan mestilah Quraisy.

Di Malaysia, oleh kerana majoriti orang Islam adalah Melayu, dengan sebab itu kepimpinan Melayu Islam adalah lebih utama… kecuali kalau berubah, orang Cina masuk Islam ramai-ramai, dan mereka menjadi majoriti. Maka, sudah tentu mereka yang perlu menjadi teras. Itu pernah berlaku dalam sejarah Islam. Bila orang Turki yang menganut Islam, mereka merupakan orang Islam yang terkuat, maka mereka menjadi kepimpinan.

Di Malaysia, hakikat ini diterima oleh semua parti-parti politik, bahawa teras ialah Melayu Islam. Cumanya, kita mahu Islam dijadikan prinsip kepada penyelesaian masalah-masalah dalam negara. Ini satu perkara yang sering ditinggalkan.

Bukankah sudah memadai majoriti Muslim sahaja?

Muslim sahaja tidak cukup. Muslim lain, Islam lain. Muslim itu ada orang yang memelok Islam tapi tidak beramal dengan Islam. Kita mahu, Muslim yang beramal dengan Islam. Saya yakin, jika Islam dijadikan model… sepertimana yang kita pernah laksanakan di Kelantan, juga di Terengganu, dan seperti yang kita sedang laksanakan di Kedah dan di Perak. Dan, ini tidak menjadi masalah kepada orang bukan Islam. Apa salahnya bila Islam itu kita kemukakan dalam perubahan peringkat pusat? Bahkan peringkat pusat lebih wajar, sebab kuasanya lebih berbanding dari peringkat negeri lagi.

Tapi bukankah kedudukan Islam dan juga Melayu telah terjamin dalam perlembangaan, termasuklah menerusi institusi Yang Dipertuan Agong sendiri?

Yang penting kita menafsirkan perlembagaan menurut al-Qur’aan dan Hadith. Bukan menafsirkan mengikut barat. Islam dalam perlembagaan hari ini ialah Islam sebagai religion. Islam bukan religion, tapi ad-Deen, yang mempunyai makna yang lebih luas. Sebab itu, kita pakai perlembagaan itu juga, tapi Islam itu sebagai ad-Deen, bukan sebagai religion.

Tapi, bukankah PAS boleh menarik diri dari PR sekiranya berlaku masalah setelah pembentukan kerajaan PR nanti. Malah, dengan sendiri PR akan turut terbubar pada waktu tersebut?

Sehingga hari ini, kita maseh dalam PR. Kita tidak bersedia untuk keluar lagi. Kita maseh peringkat awal, peringkat perbincangan, peringkat mahu membuat perubahan, dan belum lagi peringkat memerintah negara. Saya yakin dan percaya, kerana hari ini parti-parti pakatan rakyat telah menerima majoriti Muslim. Ini mereka telah terima. Saya difahamkan DAP pun terima, Keadilan pun terima, iaitu mesti majoriti mesti Islam.

Bukan saya membuat kenyataan begitu sahaja, bahkan saya mendapat maklum balas, bahawa kalangan bukan-Islam menerima majoriti Islam dalam kerajaan. Ini perkara yang sangat penting.

Tapi, apakah PAS menaruh kecurigaan terhadap ahli parlimen bukan-Islam yang ingin menyeberang ke dalam Pakatan Rakyat?

Kita menghukum apa yang zahir. Itu yang diajar oleh Islam. Hakikat yang tersembunyi, itu di sisi Tuhan. Kerana, Tuhan mengajar kita dalam al-Qur’aan, sekiranya mereka mahu menipu kamu, maka Allah akan menjadi penolong kamu dalam menghadapi mereka.

Jadi, yang penting keikhlasan kita untuk melaksanakan Islam.

Sekiranya PAS mengancam untuk keluar dari Pakatan Rakyat, itu boleh membangkitkan soal penjanjian PAS dengan Pakatan Rakyat. Tidakkah tindakan tersebut menunjukkan PAS ingkar pada penjanjian?

Tidak ada ancaman. Ancaman tidak ada. Bahkan ini dibincang secara terbuka di dalam parti-parti pakatan rakyat.

Memang isu berkenaan majoriti Melayu Muslim telah lama timbul. Tapi, berkenaan berita tentang penarikan diri PAS dari Pakatan Rakyat hanya baru saja timbul?

Itu permainan media. Media yang menimbulkan isu PAS hendak keluar. Saya tegaskan, kita maseh lagi dalam Pakatan Rakyat.

Tapi, tidakkah PAS memerlukan muktamar khas untuk memutuskan sebarang kedudukannya dalam Pakatan Rakyat?

Saya tidak mahu menjawab soalan yang berupa andaian. Andaian bila tiba masa baru kita membuat keputusan. Muktamar khas bukan mesti. Kalau tidak perlu, cukup dengan keputusan PAS Pusat sahaja.

Tapi, kalau melihat kaitan isu majoriti Melayu Muslim ini, Nabi turut bertolak ansur dalam Penjanjian Hudaibiyyah. Tidak begitu?

Tapi, Nabi tidak bertolak ansur dalam perkara prinsip. Nabi hanya bertolak ansur dalam perkara cabang sahaja. Nabi tidak terima supaya pemerintahan Islam dibubarkan. Apa yang diterima ialah, Penjajian Hudaibiyyah itu memberi makna bahawa pemimpin mustrikin makkah mengiktiraf Madinah adalah sebuah kerajaan Islam. Ini yang penting dalam Penjanjian Hudaibiyyah.

Adapun syarat-syarat penjanjian tersebut, itu adalah cabang. Prinsip Penjajian Hudaibiyyah itu adalah mengiktiraf kerajaan yang dibentuk oleh Nabi di Madinah. Itu kita kena sedar.

Tapi dalam soal BN dan PR ini, bukankah PAS juga boleh memakai kaedah “memilih kemudaratan yang lebih kecil”?

Pakatan Rakyat belum lagi teruji pemerintahannya di peringkat pusat. Apa yang ada cuma di peringkat negeri. Dengan sebab itu, penekanan dibuat di peringkat negeri seperti yang ada sekarang… di mana kita telah diberi kepercayaan untuk memimpin dua buah negeri, di samping Kelantan. Ini satu kepercayaan yang sangat besar. Bahkan, kita turut menerima hakikat DAP memerintah Pulau Pinang, dan keadilan memimpin Selangor. Dan kita menyertai kerajaan tersebut. Jadi, sebab itu tidak timbul lagi soal keluar dari Pakatan Rakyat, sebab kita maseh bersama dalam kerajaan (negeri).

Jika PR—peringkat pusat—belum lagi teruji, mengapa PAS meletakkan batas-batas lebih awal sebelum diuji?

Itu sebelum mendirikan kerajaan, maka kita mestilah ada asas dahulu. Majoriti Melayu Muslim adalah asas kepada kerajaan ini. Asas itu kena ada. Macam kita nak mendirikan rumah juga. Tapak rumah tersebut mestilah diuji terlebih dahulu. Rumah tidak ada lagi… dan ujian rumah setelah membinanya adalah ujian kedua. Sebaleknya, ujian pertama ialah tapak rumah tersebut.

Tapi, kita melihat ada perbezaan sikap dengan DAP di Perak. Di Perak, DAP sedia memilih Menteri Besar dari kalangan PAS, meskipun mereka mempunyai suara majoriti dalam DUN. Ini menunjukkan satu tolak-ansur DAP dalam semangat Pakatan Rakyat. Jadi, adakah ini juga menunjukkan bahawa DAP sebenarnya lebih berjiwa besar berbanding PAS?

Alhamdulillah, kita lebih lama dari DAP. Kita ditubuhkan pada 1951, sebaleknya DAP dalam tahun 1960-an. Kita lebih awal. Dan kita menghadapi tribulasi lebih hebat dari DAP lagi. Kita berpengalaman memerintah kerajaan negeri. Kita berpengalaman menjadi kerajaan campuran bersama dengan BN. Kita berpengalaman menjadi pembangkang. Kita berpengalaman semua. DAP baru saja berpengalaman memerintah kerajaan Pulau Pinang. Kita lebih lama. Dan kita berjiwa besar kerana ketahanan kita pada prinsip kita. Dengan sebab itu, prinsip Islam yang kita perjuangkan ini adalah sangat penting. Inilah teras kepada jiwa besar kita.

Setelah kejatuhan Baghdad, banyak ilmuan Islam yang muncul. Ini termasuklah Ibn Athaillah dalam bidang tasawwuf, Ibn Katsir dalam bidang tafsir, Nasir al-Din al-Thusi dalam bidang falsafah, dan Ibn Taimiyyah dalam bidang aqidah, dan ramai yang lain lagi. Salah satu rumusan Ibn Taimiyyah dalam Minhajul Sunnah ialah “pemimpin muslim yang zalim lebih baik dari pemimpin kafir yang adil.” Jadi, apa pandangan Tuan Guru tentang pandangan Ibn Taimiyyah ini?

Itu pandangan yang betul, dalam soal kepimpinan negara. Sebab itu saya rasakan bahawa majoriti Muslim itu penting. Kerana kepada kita, idealogi negara iaitu Islam adalah sangat penting. Bila kita memilih seorang Islam, idealoginya Islam, walaupun dia seorang yang zalim, tapi dia tetap melaksanakan shariat Islam. Jadi, ini yang kita mahu. Itu yang dimaksudkan oleh Ibn Taimiyyah. Apa yang berlaku hari ini tidak wujud. Yang berlaku hari ini ialah orang Islam yang tolak idealogi islam. Ini masalah yang kita sedang hadapi. Itu lain dengan maksud dari kitab Ibn Taimiyyah. Ibn Taimiyyah itu zaman Tartar menguasai Baghdad, di mana pada masa itu ada kerajaan-kerajaan Islam. Dan kerajaan Islam itu maseh melaksanakan shariat Islam. Walaupun rajanya minum arak, dan berfoya-foya, tapi rajanya tidak berani untuk membatalkan shariat Islam. Apa yang berlaku hari ini, pemimpinnya orang Islam, tapi menolak terus pemerintahan cara Islam. Ini masalah yang kita hadapi.

Jadi, ini bercanggah dengan pandangan Nasir al-Din al-Thusi yang meletakkan “pemimpin kafir yang adil lebih baik dari pemimpin muslim yang zalim?”

Itu pada zamannya. Zaman pemimpin Islam yang memerintah dengan Islam. Peribadi pemimpin itu sendiri memang buruk. Kita hari ini, ada pemimpin yang sembahyang, tapi tak laksanakan shariat. Jadi, kita perlu letakkan asas pemerintahan Islam sangat penting. Kita tidak ada pemeritahan Islam hari ini. Itu masalah kita.

Artikel asal dari Ummahonline.

06 October 2008

Bongkar: Fakta Sebenar Disebalik Insiden Anggota Polis Lepaskan 58 Das Tembakan !!

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Petikan dari Pahangdaily.

Satu syawal yang lalu, seluruh negara dikejutkan dengan berita "Anggota Polis Lepaskan 58 Das Tembakan". Sesungguhnya berita ini amat menggemparkan sekali, tambahan pula ia dilakukan oleh seorang anggota polis. Apakah yang berlaku sebenarnya?. Mengapakah anggota polis terbabit melepaskan tembakan membabi buta begitu?. Mengapakah seorang anggota polis yang diluar tugas boleh membawa begitu banyak peluru sedangkan beliau sepatutnya menyerahkan semua senjatanya ketika diluar tugas rasmi. Inilah yang menjadi persoalan ramai pihak. Kami juga tertanya-tanya dengan laporan yang disiarkan oleh media arus perdana tentang perkara ini. Sesungguhnya, insiden yang berlaku ini adalah "mirip" kepada kejadian yang membabitkan Prebet Adam suatu ketika dulu. Beliau juga dikatakan telah membuat tembakan rambang dan membahayakan orang awam. Tiada apa yang berlaku, namun disebalik kisah tersebut tersembunyi sebab musabab kenapa Prebet Adam melakukannya. Ini kerana tekanan perasaan dan jiwa akibat "adiknya" yang dikatakan meninggal dunia gara-gara penangan "orang ternama". Apakah kes terbaru ini juga sama seperti yang pernah berlaku itu. Segala persoalan masih bermain difikiran ramai orang terutamanya para penduduk dan orang awam yang berada di tempat kejadian tempohari.

Pihak kami telah menjalankan risikan "kisah sebenar" kejadian ini dari kacamata orang awam. Ini kerana kami tidak yakin dengan laporan media arus perdana. Tambahan pula kebanyakan wartawan yang terbabit hanya mendapatkan maklumat dan gambaran kejadian ini daripada pihak polis semata-mata. Ini maknanya ada fakta-fakta kes yang tidak diketahui umum. Justeru itu pihak kami mengambil peluang ini untuk membuat "pembongkaran" tentang isu ini. Bukanlah tujuan kami untuk menyalahkan mana-mana pihak. Namun kejadian ini sebenarnya harus dipandang dari sudut keselamatan orang awam. Apa yang dapat dilihat sekarang ialah pihak berkenaan lebih menyalahkan anggota polis terbabit dan mengaitkan beliau dengan "masalah mental" dan "ajaran sesat". Lantaran itu, anggota polis terbabit telah dirujuk ke Jabatan Psikiatri Hospital Lipis dan khabarnya kini dibawa pula ke Hospital Bahagia Tangjung Rambutan untuk menjalani ujian mental. Sebaliknya "mental orang awam" yang tertanggu dengan kes ini tidak didedahkan kepada khalayak ramai. Malahan pihak media juga seolah-olah dihalang untuk melaporkan berita sebenar tentang kejadian ini. Justeru itu kami lampirkan gambarfoto yang sempat diambil pada pagi kejadian oleh krew Pahang Daily yang sempat berada dilokasi kejadian. Kebanyakan media melaporkan fakta yang salah dalam insiden ini. Lihat laporan ini:

Anggota Polis Lepaskan 58 Das Tembakan Akibat Tekanann

KUANTAN, 1 Okt (Bernama) -- Seorang anggota polis melepaskan 58 das tembakan ke udara dipercayai akibat mengalami tekanan dalam satu kejadian di Kampung Selendang, Padang Tengku, Kuala Lipis. Ketua Polis Daerah Lipis, DSP Abdul Razak Hassan berkata, anggota polis berusia 22 tahun itu bertindak demikian pada pukul 6.30 pagi di kawasan berhampiran satu tanah perkuburan Islam. "Tiada sebarang kecederaan dilaporkan kerana penempatan agak jauh dari kawasan berkenaan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini. Ketika kejadian, hanya anggota berkenaan yang berada di tempat itu. Katanya, anggota polis itu yang baru berkhidmat selama tiga tahun, turut melepaskan tiga das tembakan ke arah keretanya sendiri. Beliau berkata anggota polis itu membawa pulang pistol yang sepatutnya ditinggalkan di tempatnya bertugas di Balai Polis Simpang Durian, Jelebu, Negeri Sembilan. Anggota polis itu telah ditahan untuk siasatan lanjut dan polis masih menyiasat punca dia bertindak demikian, kata Abdul Razak. -BERNAMA

Ada beberapa perkara dan fakta yang telah disalah lapor oleh pihak media berhubung dengan kejadian sebenar insiden ini, iaitu ;-

Bukan Pistol, 2 Buah Raifel M15 Juga Digunakan

Untuk makluman kes tersebut melibatkan seorang anggota polis yang berumur 22 tahun dan bertugas di Balai Polis Simpang Durian, Jelebu Negeri Sembilan. Menurut maklumat beliau dikatakan dalam perjalanan ke satu tempat untuk melakukan "jihad", lantaran itulah beliau membawa begitu banyak senjata. Beliau menaiki sebuah kereta Iswara Aeroback dengan nombor pendaftaran BDC7918. Siasatan kami senjata dalam kes berkenaan bukan sahaja sepucuk pistol biasa malahan juga turut melibatkan dua pucuk senapang Raifel M15 (Sila lihat foto) serta terdapat begitu banyak peluru hidup termasuk 2 set peluru M15 yang masih belum digunakan. Disamping itu juga beliau turut membawa kayu belantan, beberapa buah kitab dan lain-lain barangan yang dipercayai untuk tujuan "jihad" berkenaan. Beliau dikatakan dalam perjalan ke sebuah lokasi berhampiran Padang Tengku-Merapoh yang dikenali sebagai "Bukit Tujuh". Laporan polis mengatakan suspek hanya membawa pistol adalah tidak benar sama sekali. Mana mungkin pistol boleh mengeluarkan sehingga 58 das peluru ditembak ke udara?.




Bukti jelas menunjukkan dua lagi keronsong peluru Raifel M15 didalam kenderaan suspek yang masih belum digunakan.

Kami difahamkan tempat berkenaan adalah satu "kawasan keramat" yang biasanya dikunjungi oleh mereka-mereka yang ingin menjalankan aktiviti "pembomohan". Kawasan ini dikatakan menjadi tempat pemujaan dan amalan syirik. Banyak kejadian misteri yang dialami oleh mereka-mereka yang pernah melalui kawasan ini, termasuk diganggu makhluk halus ataupun jin. Malahan, jika berlaku kerosakan kereta dikawasan terbabit, maka tiada sesiapa pun penduduk kampung yang berdekatan berani membuka pintu kiranya anda memerlukan bantuan. Itu cerita orang-orang kampung sekitar Bukit Tujuh. Ini bermakna tempat itu penuh dengan misteri.

Kesalahan Lokasi dan Masa Insiden Diselesaikan

Difahamkan kejadian sebenar berlaku bukanlah di Kampung Selendang seperti yang dilaporkan oleh semua media arus perdana. Insiden berkenaan berlaku di Kampung Teha, Mukim Gua, Padang Tengku, Kuala Lipis Pahang. Kampung Selendang adalah lokasi surau yang berdekatan dan menjadi tempat perhimpunan orang awam. Mungkin wartawan terbabit hanya singgah disitu dan tidak pergi ke lokasi kejadian sebenar seperti kami. Laporan media juga menyebut kejadian itu dapat diselesaikan dalam masa 15 minit, walhal sebenarnya fakta itu adalah salah dan kemungkinan besar mereka hanya mendapatkannya daripada pihak polis. Sebenarnya kejadian itu bermula sejak jam 6 pagi lagi dan berakhir hampir 2 jam kemudian. Ini menyebabkan penduduk setempat berada didalam ketakutan ketika solat sunat Aidil Fitri. Difahamkan kereta yang dinaiki oleh anggota polis terbabit telah kehabisan minyak dan terhenti dikawasan berkenaan. Lihat foto dibawah yang diambil dari lokasi kejadian.


Inilah laluan jalan lokasi tempat kejadian tembakan anggota polis di Kg.Teha

Sebenarnya ada penempatan disekitar kejadian, dan yang paling hampir jaraknya hanya tidak sampai 100 meter daripada lokasi terbabit

Lagi bukti, jarak yang terlalu dekat dengan dua buah rumah penduduk tempatan. Kenapa fakta ini dikelirukan?

Suspek Dalam Tugas Dan Memakai Seragam Polis

Laporan media arus perdana pihak polis mengatakan bahawa suspek diluar waktu bertugas dan hendak pulang ke kampung halamannya di Kelantan. Tetapi, siasatan kami setelah kehabisan minyak kenderaannya, suspek yang dilihat berpakaian seragam dan berkopiah itu keluar dari keretanya dan mundar-mandir sambil memegang "pistol" ditangannya. Ketika itu beliau tidak menganggu dan menembak. Beliau hanya ke hulu ke hilir seperti orang kehilangan arah. Terdapat saksi yang telah menghubungi pihak polis, namun polis yang menerima laporan tidak mempercayai bahkan melayan panggilan tersebut. Mungkin beliau berangapan perkara itu adalah satu permainan semata-mata. Pihak terbabit terpaksa pergi ke balai, hanya dua orang polis yang bertugas di balai berkenaan. Setelah laporan dibuat, maka polis terbabit mengikuti beliau untuk memastikan bahawa apa yang dilaporkan itu adalah benar ataupun tipu. Memandangkan hanya dua anggota polis bertugas, maka seorang sahaja yang telah pergi ke tempat kejadian dengan pengadu. Polis terbabit juga pada awalnya tidak percaya pistol yang dipegang oleh suspek adalah pistol sebenar. Lalu cuba menghampiri suspek menerusi "longkang" yang berdekatan. Suspek mula menembak setelah menyedari ada pihak polis datang dan cuba untuk mengganggu beliau ketika itu. Maka bermulalah aktiviti tembakan kepada polis terbabit dan juga ke udara. Keadaan ketika itu umpama ada pesta "main mercun", tambahan pula ketika itu adalah pagi Hari Raya Aidil Fitri.

Tembakan bukan sahaja ditujukan ke udara dan kenderaaan suspek sendiri. Malahan lebih parah lagi ia juga ditujukan kepada orang awam yang melalui kawasan itu. Suspek dikatakan berdiri ditengah jalan sambil menghalakan senjata kepada kenderaan yang lalu lalang. Difaham ada mangsa yang hampir terbunuh dalam kejadian tersebut. Mangsa dikatakan akan membuat "saman" atas kes ini. Mangsa dikatakan melalui jalan berkenaan walaupun keadaan "berbahaya" ketika itu kerana tiada anggota polis yang mengawal lalulintas. Tiada sekatan atau pun lencongan dibuat, menyebabkan kenderaan mangsa meredah laluan berkenaan. Mujurlah mereka tidak terbunuh.


Kesan tembakan pada cermin kenderaan suspek, foto kiri kayu belantan yang turut dibawa oleh suspek semasa kejadian "ngeri" ini

Kejadian tembakan hanya dapat ditamatkan setelah 3 orang anggota polis dari Balai Polis Lipis yang lebih profesional untuk memujuk suspek tiba. Akhirnya suspek menyerah diri dan dibawa dengan kenderaan polis terbabit ke balai polis. Kejadian itu berakhir dengan tiada korban manusia, namun terdapat beberapa penyelewangan fakta dan tindakan pihak polis yang sebenarnya boleh mengancam keselamatan orang awam.

Antara Tindakan Yang Gagal Dilaksanakan Polis

Kejadian ini sebenarnya menyebabkan orang awam semakin takut dengan pihak polis. Persoalan yang timbul bagaimana suspek terbabit boleh bergerak sejauh itu dengan membawa banyak senjata berbahaya didalam kenderaan mereka. Bahkan ia boleh mengganggu ketenteraman awam. Bayangkan sekiranya tembakan yang dibuat mengenai penduduk tempatan. Kami difahamkan terdapat 3 buah kenderaan yang terkena tembakan. Mujurlah tidak ada kemalangan jiwa. Bahkan ada mangsa penduduk tempatan yang hampir "maut" bila peluru tembakan berkenaan benar-benar melalui atas kepala beliau. Mujurlah beliau menundukkan kepalanya. Bukankah ini berbahaya kepada orang awam. Soalnya sekarang, apa yang dibangkitkan hanyalah isu "Suspek dipercayai kurang siuman". Sedangkan nyawa penduduk tempatan sebenarnya ramai yang hampir melayang gara-gara kelewatan dan kegagalan pihak polis dalam kes ini. Antara kegagalan pihak polis ialah :-
  • Gagal memastikan suspek terbabit bertugas di balai terbabit (Balai Polis Simpang Durian, Jelebu) Hinggakan beliau boleh keluar sejauh itu dengan membawa senjata berbahaya.
  • Gagal mengawal keluar masuk senjata di balai tempat suspek bertugas. Ini menyebabkan suspek boleh mengambil senjata dan peluru sesuka hati tanpa ada sebarang sekatan daripada mana-mana pihak untuk tujuan "jihadnya" itu.
  • Gagal memastikan keselamatan orang awam. Laporan dibuat tetapi polis menganggap ianya adalah "lawak jenaka", akhirnya pengadu terpaksa membawa anggota polis terbabit ke tempat kejadian. Hanya dua orang anggota yang bertugas di Balai Polis berhampiran. Akhirnya bantuan 3 anggota terpaksa dihantar dari Balai Polis Lipis, itu pun sudah terlambat ketika ada kenderaan orang awam yang sudah ditembak.
  • Gagal membuat sekatan jalanraya, dan memeriksa senjata yang dibawa dari Negeri Sembilan hingga ke Pahang. Bukankah banyak terdapat "roadblock" di musim perayaan.
  • Ketika suspek melepaskan tembakan hanya seorang anggota polis ditempat kejadian. Tiada sekatan untuk melencongkan pengguna jalaraya dari melalui jalan berkenaan. Akibatnya terdapat tiga kenderaan yang cuba melalui kawasan terbabit telah ditembak oleh suspek. Mujurlah tiada nyawa yang terkorban. Hanya orang awam yang menjaga dan menghalang kenderaan melalui jalan berkenaan. Mungkin polis ramai yang bercuti raya.
  • Laporan polis yang memutar belit fakta mengatakan tiada penempatan awam, hanya guna pistol dan tiada orang awam yang ditembak adalah amat mengecewakan. Padahal ada rumah yang jaraknya tidak sampai 100 meter dari tempat kejadian. Kesemua keluarga dalam rumah terbabit terpaksa melarikan diri dalam ketakutan untuk menyelamatkan diri kerana takut ditembak. Tambahan pula terdapat peluru yang dihalakan ke rumah mereka. Ini jelas sekali mengganggu ketenteraman awam dan menyebabkan keluarga terbabit "trauma" dengan kecuaian pihak polis ini.
  • Pihak polis gagal mengenalpasti anggota mereka yang bermasalah seperti ini. Suspek tidak mengalami masalah kewangan kerana buku bank yang turut terdapat dalam kenderaan beliau menujukkan baki simpanan sebanyak RM12,000. Ini bermakna suspek adalah seorang yang penjimat dalam usianya baru mencecah 22 tahun itu.
Pulihkan Imej Polis, Suspek Perlu Ditahan ISA

Susulan daripada terbongkarnya fakta sebenar kes ini, maka pihak kami mendapati polis sengaja melaporkan cerita yang berbeza kepada apa yang sebenarnya berlaku. Seolah-olah kes ini tidak melibatkan keselamatan awam, walhal perkara sebaliknya berlaku. Mujurlah Krew Pahang Daily antara yang paling awal sampai ditempat kejadian ketika ia masih berlaku. Justeru itu kami bertanggungjawab atas laporan ini. Kreadibiliti pihak polis perlu diperbaiki, laporan yang salah menyebabkan penduduk setempat kecewa dengan kejadian ini. Mereka tahu apa yang berlaku di kampung mereka ketika kejadian. Sebelum ini sudah banyak kejadian senjata dibawa keluar tanpa rekod dan pengetahuan pihak terbabit, namun kes kali ini dianggap paling serius kerana tembakan rambang terhadap orang awam sebenarnya berlaku. Media arus perdana juga sengaja memutar belitkan laporan ini. Kami menyeru supaya pihak-pihak berkenaan mengambil perhatian perkara seperti. Jangan biarkan ia berlaku lagi. Bayangkan jika suspek pergi menyerang ditempat awam, sudah pasti banyak mangsa yang akan terkorban dalam kes ini. Maka itu, adalah wajar suspek ditahan ISA atau terus didakwa di mahkamah kerana beliaulah yang telah mengganggu ketenteraman awam dan melakukan huru-hara secara jelas didepan mata. Apa yang ditunggu lagi oleh pihak polis dan kerajaan Malaysia. Tindakan menghantar suspek ke Tg.Rambutan adalah satu alasan untuk melarikan diri daripada cerita sebenar kes ini dari pandangan mata rakyat. Tunjukkan sikap profesional dalam kes ini sama dengan apa yang berlaku kepada Raja Petra yang dikatakan mengganggu ketenteraman awam.

[Pahang Daily mengucapkan syabas kepada 3 orang anggota polis dari Balai Polis Lipis yang lebih cekap dan berani mengawal keadaan. Jika tidak sudah pasti kes ini akan terus berpanjangan. Kepada keluarga dan mangsa yang terbabit dalam insiden ini, harap bersabar dengan dugaan yang melanda. Semoga kes ini akan memberi pengajaran kepada kita agar lebih berwaspada dan berhati-hati dengan sesuatu kejadian].

Amdang: Aku tetap tidak berkenan penggunaan ISA terhadap mana-mana pihak selagi mana ianya bersifat TAHAN TANPA BICARA!
 

Great Morning ©  Copyright by a m d a n g 8 1 | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks