26 September 2008

Selamat Hari Raya Aidilfitri

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Dengan rasa rendah diri, aku memohon berjuta-juta kemaafan dari kalian semua. Semoga segala salah silap semasa kita saling mengenali samada gurau senda, usik mengusik, jentik dan provok dapat kita leraikan sempena kedatangan Syawal nanti.

SELAMAT HARI RAYA, MAAF ZAHIR DAN BATIN!
Nota:
Raya Pertama di Putrajaya
Raya kedua di Besut
Raya ketiga di Besut (Pagi) dan KT (Malam)
Raya keempat di KT

25 September 2008

Hati-hati di Jalan Raya

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Esok, rasanya dah ramai yang start balik kampung. Bagi Terengganu, Kelantan dan Kedah, cuti sekolah sudah bermula esok. Jadi, kepada yang dah mula bercuti dan mahu pulang ke kampung halaman, harap berhati-hati di jalan raya.
Iklan JKJR: Klik tali pinggang tu, nanti kena saman macam aku. Hehehhehe.

Jadual Perjalanan PLUS. Jika baik, ikut. Rasa tak sesuai ikut rasa hati. Janji hati-hati di jalan raya.

Ini petua di jalan raya. Ambik yang mana baik. Pandu perlahan jika berada di laluan yang dirasakan sempit dan tidak selamat. Mungkin kita berhati-hati, tetapi bagaimana dengan orang lain?

Akhir sekali, jangan lupa ini;

Doa Naik Kenderaan

Maha Suci Tuhan yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum itu tidak terdaya menguasainya. Dan sesungguhnya kepada Tuhan kamilah, kami akan kembali!

Amin... Semoga kalian selamat pulang dan kembali.

24 September 2008

Minyak Turun 10 sen je!!

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

10 Sen je! Tapi akhbar-akhbar perdana macam bersungguh nak royak berita penurunan harga minyak yang 10 sen tu. Hampir semua akhbar menyiarkan berita 10 sen di halaman depan. Aku tidak tahu sejauh mana maksud editor memuatkan berita 10 sen di halaman utama. Nak tunjuk Kerajaan BN prihatin, atau mahu menyindir 10 sen tersebut?

Muka Depan The STar

Muka depan Berita Hairan

Melihat kepada reaksi beberapa wakil pertubuhan pengguna dalam Utusan Meloya pada hari ini, rata-rata melahirkan rasa 'cuba' berpuas hati dengan penurunan yang amat sedikit itu. Walhal, aku percaya jauh sebenarnya mereka mahukan penurunan yang paling kurang adalah 20 sen.

Rata-rata beberapa kenalan yang aku lontarkan persoalan ini turut menyatakan sedikit kekecewaan dengan pengumuman yang amat tidak berpihak kepada rakyat. Apatah lagi bilamana pimpinan kerajaan meminta penurunan 10 sen ini akan memberi kebaikan segera dari segi penurunan harga barangan. Kelakar betul!

Seorang sahabat dengan sinis mencadangkan dikumpulkan syiling 10 sen dan diserahkan kepada Pak Lah. Pada aku suatu cadangan yang baik juga. Tinggi simboliknya. Atau mungkin juga boleh dibuat replika 10 sen untuk diserahkan kepada Pak Lah.

Untuk Pak Lah!

Lontaran kecewa ini bukan soal syukur atau tidak. Tapi penurunan itu dijangkakan oleh ramai pihak sepatutnya boleh turun kepada 20 sen. Mungkin kerajaan boleh memberi seribu satu alasan, namun menaikkan harga minyak secara mendadak 70 sen selepas PRU 12 lalu pada aku masih tidak boleh dimaafkan.

Memaafkan sebelum Hari Raya? Mana mungkin memaafkan perompak yang merompak 70 sen, tetapi baru memulangkan 25 sen. Bila nak pulangkan 45 sen lagi???

Kepada anak-anak sedara aku, dan budak-budak yang bakal datang beraya rumah aku, walaupun Pak Lah dan Kerajaan BN masih berhutang 45 sen, namun duit raya pada tahun ini tetap sama. Anak sedara semestinya tetap istimewa dari budak-budak lain.

Adik-adik? Ermm. Tahun ni ada rezeki lebih. InsyaAllah walaupun dah besar panjang, tetap dapat duit raya. ;)

Wallahua'lam.

ISA: Untuk Negara atau BN?

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Akhirnya Raja Petra Kamarudin dihumban ke Kamunting. Pengendali laman web Malaysia Today itu akan ditahan selama 2 tahun di sana. Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata beliau sendiri menandatangani perintah penahanan Raja Petra untuk tempoh itu, lapor Bernama.

"Semalam, saya telah menandatangani penahanan Raja Petra untuk dua tahun ke Kamunting setelah berpuas hati dengan alasan yang cukup untuk menahannya," beliau dipetik sebagai berkata.

Sebelum ini pihak polis mengatakan bahawa Raja Petra ditangkap kerana 'degil' bilamana tidak serik mengeluarkan artikel yang dilihat 'mengganggu' ketenteraman awam.

Menarik juga untuk kita lihat berkenaan ISA adalah bilamana Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu mengeluarkan kenyataan meminta PM membebaskan 5 pemimpin Hindraf.

Mengikut apa yang aku dengar dari berita di sebuah siaran TV, antara alasan yang diberikan Samy Vellu adalah kaum india akan kembali memberi sokongan kepada BN jika 5 pemimpin berkenaan dibebaskan.

Dalam kenyataannya, Samy Vellu juga menyebut Pak Lah akan berbincang perkara tersebut dengan Menteri Dalam Negeri.

Aku percaya Pak Lah akan menurut permintaan MIC tersebut bagi memastikan sokongan kaum india akan dipulihkan.

Bagi Samy Vellu pula, aku berpendapat inilah ruang yang ada untuk dia bertindak sebagai Hero Tamil sekali lagi setelah dipinggirkan oleh masyarakat India sebelum ini. Sebab itu Samy turut menyatakan akan membangkitkan perkara itu sekali lagi dalam mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) akan datang.

Masyarakat didedahkan oleh media bahawa mereka yang ditahan ISA sebagai pengacau, pengganas, pengganggu ketenteraman awam, penimbul provokasi dan sebagainya kepada negara. Rupa-rupanya yang dilindungi ISA adalah BN semata-mata. Jika ianya tidak baik untuk BN, maka ISA adalah jalannya. Jika menguntungkan BN, maka tidak perlu kepada ISA.

Celakalah kepada mereka yang menyokong undang-undang yang zalim ini! Bagi mereka yang masih mempertahankan undang-undang zalim ini, mereka perlu tahu bahawa walaupun Allah itu Maha Mengetahui, namun tetap akan berlaku perbicaraan di akhirat kelak.

Bukan Allah itu tidak tahu apa yang kita perbuatkan. Namun, sebagai suatu keadilan, Mahkamah Allah tetap memberi kita ruang untuk dibicarakan.

Wallahua'lam.

23 September 2008

Bantuan Dana Raya, RM200 atau RM300?

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

"Aku pun boleh Bantuan Dana Raya".

Aku tanpa segan mengaku kepada beberapa orang sahabat yang nama aku turut tersenarai dalam senarai penerima Bantuan Dana Raya. Ketika itu mereka sedang kecoh berbicara soal ketelusan JKK dalam menguruskan wang tersebut.

Sinar Harian melaporkan di Dun Ladang, seramai 1515 orang namanya tercicir dari senarai penerima. Manakala di lain-lain tempat juga hampir memperkatakan perkara yang sama. Perkara ini yang sebenarnya saban tahun berlaku menjadi sedikit hangat bilamana MB Ahmad Said dilihat berlagak telus bilamana meminta BPR menyiasat.

"RM 100 hok boleh tu, aku nak buat bagi duit raya tahun ni". Aku menjelaskan kepada Saudara Wan yang sibuk bercerita.

"Aik, RM 100 je? Kan dapat RM 300?" Saudara Wan bertanya.

"Ye ke? Aku ingat RM 200 je sebab kakak ipar aku hulur RM 200 je. Dia yang pergi ambik duit tu. Memang dia pun yang beria-ria isi borang bagi pihak aku. RM 100 aku dah bagi kat dia sebab 'upah' dia bersungguh sangat." Aku menerangkan.

"RM 300 la. Mungkin JKK dah ambik kot RM 100 tu" Saudara Wan terus bersungguh.

Aku diam. Tak tahu nak kata apa. Aku bukan kisahkan berapa yang aku patut dapat. Aku langsung tak berniat mahukan duit tersebut. Aku memang dah niat jika dapat duit itu sekalipun akan digunakan untuk dibahagi-bahagikan semasa raya nanti.

Apa yang aku fikirkan sejauh mana kejujuran JKK yang memang diketahui memang tidak jujur. Bukan mahu bersangka buruk, tetapi label JKK yang turut berlogo UMNO dan BN itu memang aku tidak percaya. Memang tidak boleh dipercayai.

Moral: Siapa nak duit raya, datang la beraya kat rumah. Aku tengah plan nak buat rumah terbuka, tapi masih memikirkan tarikh sesuai kerana terlalu padat program dan kerja yang menunggu.

Wallahua'lam.

Dun Ladang Kekal milik PAS

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Petikan: Buletinonline.net

Kuala Terengganu, 22 September - DUN Ladang kekal bersama PAS apabila Mahkamah Pilihan Raya di sini hari ini, menolak petisyen pilihan raya oleh UMNO Terengganu.

Ia adalah berikutan kegagalan pempetisyen membuktikan dakwaannya bahawa kerani Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak melaksanakan tugas dalam mengendalikan kertas undi pos, Kuala Terengganu.

Dato' Tengku Hassan Tengku Omar

Keputusan dibacakan oleh Hakim Datuk Ramly Ali yang menolak permohonan UMNO Terengganu untuk membuat pemeriksaan rapi dan pengiraan semula undi pos bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang.

"Setelah menimbang semua keterangan, pempetisyen gagal membuktikan petisyen (yang memohon pemeriksaan rapi dan pengiraan undi pos). Dengan ini petisyen (UMNO Terengganu) ditolak," katanya.

Pada 28 April lepas, UMNO Terengganu memfailkan petisyen memohon pemeriksaan semula dilakukan terhadap 127 undi pos bagi DUN Ladang yang ditolak SPR pada hari pengundian 8 Mac lepas.

Petisyen tersebut dikemukakan oleh Ketua UMNO Cawangan Lorong Kemunting, Mahari Endut yang menamakan tiga pihak iaitu Pegawai Pengurusan Pilihan Raya bagi Parlimen Kuala Terengganu, Dato’ Md Razali Kassim, SPR dan Anggota Dewan Undangan Negeri Ladang, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar sebagai responden.

Mahari diwakili oleh barisan peguam diketuai Datuk Muhammad Shafee Abdullah manakala Peguam Kanan Persekutuan, Datuk Kamaluddin Mohd Said mewakili SPR dan Tengku Hassan pula diwakili peguam Dato’ Wan Abdul Muttalib Embong.

Pada pilihan raya umum ke-12 8 Mac lepas, calon PAS Dato’ Tengku Hassan Omar mengalahkan Bekas Exco Terengganu, Dato’ Wan Hisham yang menjadi calon Barisan Nasional (BN) dengan majoriti.

Bernama memetik kata Wan Abdul Muttalib berkata mahkamah menolak petisyen yang dikemukakan oleh UMNO Terengganu kerana tiada keterangan daripada saksi-saksi pempetisyen yang boleh membatalkan kemenangan Tengku Hassan itu.

Beliau berkata mahkamah mendapati kerani-kerani SPR telah melaksanakan tugas dengan sempurna serta mengikut undang-undang dalam mengendalikan kertas undi pos berkenaan.

Sementara itu, Dato’ Tengku Hassan berkata sejak daripada awal, beliau sudah menjangka untuk memenangi kes itu.

Sehubungan itu, beliau berkata tugasnya kini adalah untuk memberi sepenuh perhatian dalam memberikan khidmat kepada pengundi di DUN Ladang.

22 September 2008

Akhirnya...

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Aku rasa dah puas hati dengan template yg baru ni. Namun, byk lagi benda-benda lama yang aku belum masukkan ke sini. Semuanya dalam proses. So, jemput-jemputlah untuk kutuk, komen atau juga memberi tunjuk ajar kepada aku.

Apapun, ini semua akan mengambil masa untuk lihat template ini ada masalah atau tidak. Harap kalian sabar dengan aku yang tidak membuat posting-posting terkini berkenaan dunia luar.

p/s: Thanks Aiman atas header blog yg agak segar. Namun, semua ni akan dikekalkan sekiranya ini sahaja yang terbaik yang aku terima. ;)

wallahua'lam.

16 September 2008

Sebelum Anwar ke Putrajaya....

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Lamanya tak update blog. Beberapa isu yang agak sensitif membuatkan aku sedikit malas menulis. Malas dan sedikit takut. Maaf, aku bukan takut pada ISA. Tapi takut penjelasan yang aku berikan tidak memuaskan hati sesetengah pihak.

Hari ini 16 September. Rupanya Anwar belum lagi sampai ke Putrajaya. Sidang media yang dibuat pula pada aku lebih kepada mengulangi apa yang telah diperkatakan sebelum ini. Cuma dilihat lebih sedikit ke depan.

Apapun, aku juga mahu mengumum suatu. Sebelum Anwar ke Putrajaya, aku akan sedaya updaya aku terlebih dahulu melangkah dari Anwar. Melihat kepada situasi Anwar yang telah 'gagal' dengan 16 September, maka aku kira tarikh yang akan diletakkan selepas ini adalah kira-kira sebulan dari sekarang.

Tanpa mahu menimbulkan sebarang gimik yang berlebihan, sebenarnya aku mahu mengumumkan sesuatu tentang blog aku. Mudah cerita, aku sebenarnya sedang cuba menukar template blog aku ini ke template yang lebih memudahkan aku.

Template baru blog yang dicadangkan adalah lebih kurang sama sahaja susunannya. Cuma dengan code XML, ia lebih mudah diuruskan berbanding HTML. Tak faham? Aku pun tak tahu macam mana mahu menyampaikan hasrat aku ini.

Cadangan template baru yang akan digunakan adalah seperti ini:

Atau kalian boleh ke SINI. Sekali lihat memang tidak banyak perbezaan. Masih 3 colum dan warna yang digunakan pun masih hijau. Cuma seperti yang aku katakan format XML ini akan memudahkan aku dengan cukup banyak di samping dapat menggunakan widget yang disediakan oleh pihak google.

Berkenaan dengan header blog (ala macam banner la kiranya kat atas sekali tuu), aku masih tiada idea lagi untuk meletakkan yang macamana paling sesuai dan menarik. Jadi, aku buka kepada sesiapa yang ada cadangan, mahupun mahu menyumbang header berkenaan kepada aku (alasan seorang yang buta dalam photoshop).

Kalu ada apa-apa, leh tinggalkan komen, YM atau email sahaja aku. Ok, aku nak balik kampung jumpa Balqis lak. Rindu sama itu anak. Rindu mak dia? Sudah tentu!! ;)

Selamat berbuka n Selamat Hari Malaysia.

Wallahua'lam.

P/s: Esok 17 Ramadhan (Nuzul Quran). Berapa juz kah yang sudah dihabiskan?

14 September 2008

Mansuhkan ISA!

10 September 2008

Berubahkah Malaysia?

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Sehingga hari ini ramai yang menanti detik 16 September, kemudian dikatakan 20 September. Apapun ianya tetap dinanti dan ditunggu. Aku percaya terlalu ramai yang menanti. Namun, pada telahan aku lebih ramai yang menanti dengan mengambil sikap tunggu dan lihat. Jika ya, benarlah. Jika tidak, tidaklah.

Ada juga beberapa sahabat di alam nyata dan maya bertanya soalan berkaitan perkara itu. Aku lebih suka mengatakan tunggu dan lihat. Namun jauh di sudut hatiku biarlah ianya tidak berlaku dalam masa yang terdekat ini. Pada aku, September 2008 terlalu awal.

Aku melihat Pakatan Rakyat sebenarnya berdepan dengan beberapa masalah yang perlu diselesaikan terlebih dahulu. Beberapa itu mungkin 10, mungkin 50 dan mungkin 1001 masalah.
Antara yang perlu diselesaikan adalah persetujuan melantik siapa menjadi PM. Mesti jelas antara pimpinan PR. Masalah yang satu ini sahaja sudah cukup dapat menggoyahkan PR. Andaikata tiba-tiba ada satu parti yang tidak bersetuju dan menarik diri dari pakatan, maka lenyaplah impian.

Dasar dan halatuju PR juga mesti lebih jelas. Jika perlu, keluarkan 'dasar bersama' yang bakal digunakan. Itu diperingkat Pusat. Di negeri-negeri juga sepatutnya sudah diselaraskan dengan baik. Jangan PR di Selangor begini caranya, di Perak lain caranya. Mungkin setiap negeri ada kelainan, namun perlu dilihat asas yang ada adalah tetap kebersamaan.

Aku cukup tertarik sebenarnya dengan apa yang ditulis oleh MSO yang memetik kata-kata Cikgu Mustafa Ali. Mungkin ada yang melihat pandangan Cikgu Pa sebagai 'membangkang' kepada terlaksananya 16 September. Namun sebenarnya disitulah letaknya kefahaman politik Cikgu Pa dalam isu yang ada sekarang.

PR berada pada tahap yang cukup rapuh jika dibandingkan dengan BN. Pada aku, sebenarnya PR masih jauh di belakang. Melihat kepada komponen BN yang sehari dua ini tidak boleh dijadikan ukuran. Apatah lagi Umno Penang sudah sekian lama terasa tersisih oleh Gerakan Penang.

Senario yang dikatakan Tsunami ini juga perlu dilihat dari beberapa sudut. Pertamanya, adakah gelombang yang wujud itu sekata di seluruh negara? PR jika membentuk kerajaan juga bakal berdepan dengan gangguan kerajaan-kerajaan negeri yang masih dikuasai BN. Itu belum lagi dilihat dari sejauh mana sokongan rakyat secara menyeluruh.

Aku masih menanti. Namun, jauh di sudut hati aku tidak mengharapkan ianya berlaku 'sekelip mata'. Biar lambat, asalkan selamat. Mungkin dilihat peluang sebegini tidak datang selalu. Namun jangan yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.

Tapi, aku tetap menanti untuk menikmati.

04 September 2008

Permata Hatiku - Balqis II

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

“Encik, ada sesuatu yang saya nak beritahu pasal bayi encik. Isteri encik dah dimaklumkan tadi oleh doktor” Tegur seorang jururawat ketika mana aku mengiringi isteriku keluar dari Bilik Bersalin menuju Wad Selepas Bersalin.

Aku diam menanti apa yang nak dimaklumkan.

“Anak encik ni disyaki ada Sindrom Down. Ini kita tengok dari dahi dan mata dia. Tapi untuk mengesahkan kita kena bawa dia berjumpa Doktor Pakar terlebih dahulu.” Jelas jururawat tadi.

Aku sedikit tersentak. Namun cepat-cepat bertenang menerima makluman itu. Aku segera melihat wajah Balqis yang berada di celah kaki isteriku yang masih berada di atas ‘stretcher’.

Aku mengangguk bersetuju mengiyakan apa yang dikatakan oleh jururawat tadi. Memang jika sekali lihat tidak kelihatan rupa yang dimaksudkan. Aku yang menyambut Balqis di dalam Bilik Bersalin pun tidak perasan perkara ini sebelum ini.

“Tak apa. Kami boleh terima seadanya” Kataku cuba senyum sambil melihat kepada isteriku.

Selepas jururawat meninggalkan kami di katil wad, aku segera membisikkan kepada isteriku yang kedatangan Balqis ada hikmah yang tersendiri. Aku gambarkan kepadanya, terlalu ramai yang sempurna fizikal dan mental, tetapi tidak mampu menjadi seorang manusia yang sempurna. Aku jelaskan kepadanya yang aku bersedia menerima Balqis. Isteriku tersenyum kelat. Itulah perasaan kami sebenarnya pada hari pertama. Sama-sama terkejut.

Malam itu, selepas Solat Maghrib aku melakukan Sujud Syukur. Hatiku mula tenang dan benar-benar dapat menerima keadaan Balqis seadanya. Betapa syukurnya aku kerana mempunyai zuriat sendiri dibandingkan dengan insan lain yang terpaksa mengambil anak angkat. Betapa syukurnya aku kerana dimudahkan mendapat zuriat walaupun perkahwinan kami belum mencecah setahun. Aku lahirkan syukur kepadaNya atas rezeki yang diberikan itu. Alhamdulillah.

Pelbagai respon yang aku terima bila aku ceritakan perihal anak aku kepada saudara-mara dan kawan-kawan. Kebanyakannya melahirkan simpati. Tidak kurang juga yang amat positif dalam memberi perangsang.

“Sabarlah, ada hikmah yang terkandung di sebalik ujian ini” Satu SMS yang aku terima.

“Tak apa dik, budak begini biasanya rajin” Respon seorang jururawat bilamana melihat Balqis di sebelah uminya.

“Bestnya akak dapat baby gitu. Saya suka sangat budak-budak gitu kak” Seorang kawan isteriku ceria bila diberitakan tentang Balqis.

“Budak gini kena la bagi tumpuan yang lebih skit. Banyak la bersabar nak layan kerenah dia tu” Jiran sebelah rumah menasihati.

Aku dan isteri sebenarnya kini memang telah bersedia untuk menerima Balqis seadanya. Isteriku beberapa kali sebak sebelum ini bilamana kawan-kawan lain yang mula menangis bilamana diceritakan perihal Balqis. Keprihatinan dan simpati yang diberikan kami amat hargai. Walhal dia sudah bersedia menerima Balqis begitu. Mungkin sudah terbayang pada mereka bagaimana ujian untuk membesarkan seorang anak yang Sindrom Down ini.

Aku sendiri pada hari ini secara peribadi amat bersedia menerima keadaan Balqis. Kepada sesiapa yang bertanyakan khabar isteri dan anak, akan aku ceritakan keadaan Balqis yang sebenar. Aku bukan mahu menagih simpati, aku juga bukan mahu mereka menangis dan menasihatiku bersabar. Aku mahu mereka tahu bahawa aku bersedia menerima hakikat ini. Dengan kata lain, aku bangga dengan Balqis. Sungguh!.

Jika ada yang datang menziarahi Balqis dan isteriku, aku akan bertanyakan kepada mereka samada mereka perasan atau tidak keadaan Balqis. Kemudian aku akan menceritakan keadaan Balqis kepada mereka. Pada aku, mungkin yang melihat / nampak fizikal Balqis terasa akan menyinggung perasaan kami jika bertanya. Tapi pada kami menceritakan keadaan sebenar Balqis sebagai tanda kami bersedia menerima dia seadanya.

Awal minggu lalu Balqis sudah dibawa berjumpa doktor. Katanya perlu diadakan 'Kromosom Study'. Darah Balqis perlu diambil dan dihantar ke KL untuk ujian. Kami menurut sahaja apa yang dirasakan baik kepada Balqis. Menurut doktor juga, setakat ini dengupan jantung Balqis baik. Sepanjang menjaga Balqis setakat ini pun dia tidak pernah demam. Tidak terkena Kuning. Tidak banyak meragam dan cukup memudahkan.

Semoga Allah mengekalkan kesihatan Balqis dan memberi kekuatan untuk kami untuk menjadi Abi dan Umi yang terbaik untuk Balqis.

Wallahua'lam.

03 September 2008

Permata Hatiku - Balqis I

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

"Abang, abang ada kat mana? Ni dah nak ke Bilik Bersalin." Aku terima panggilan telefon dari isteriku kira-kira jam 9.00 pagi, 26 Ogos seminggu yang lalu.

Aku bergegas naik semula ke tingkat 1 Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu. Ketika itu, aku sebenarnya baru sahaja turun dari wad berkenaan menghantar bekal sarapan kepada isteriku. Aku tidak menyangka secepat itu akan dimasukkan ke Bilik Bersalin.

"Encik Amdang!" Panggil seorang Jururawat dari pintu Dewan Bersalin.

Ketika itu isteriku sudah berada di dalam. Ditanya kepadaku adakah aku mahu bersama di bilik bersalin menemani isteriku. Aku mengangguk sambil ditunjukkan kepadaku beberapa peraturan yang mesti dipatuhi. Aku mengiyakan kesemuanya dan dibawa kepada isteriku.

Di sisi isteri tercinta, aku memegang erat tangannya dengan tangan kiri. Tangan kananku mengusap kepala sambil membisikkan kata-kata menyabarkan dan memberi semangat. Kelu sebenarnya lidah bila berada di situasi sebegini. Aku tidak dapat bayangkan betapa besarnya pengorbanan seorang ibu yang susah payah melahirkan aku.

Mahu disuruh bersabar, aku tidak tahu kesakitan yang ditanggung. Aku berselawat perlahan-perlahan di sebelah kepalanya. Sesekali aku mencium tangan yang dipegang erat.

Jam 11.30 bermulalah episod kemuncak. Kesemua jururawat yang tadinya sesekali sahaja menjenguk isteriku, kini mula mengerumuni. Isteriku diajar meneran. Tarik dan hembus nafas diajar bagi membolehkan proses meneran berjalan lancar. Cubaan pertama, gagal. Kedua, gagal. Ketiga juga gagal.

Aku teringat yang isteriku tidak sempat bersarapan. Mungkin sebab itu dia kurang bertenaga. Entah berapa kali dicuba, namun masih gagal untuk mengeluarkan bayi yang telah dikandung selama ini. Setelah beberapa kali gagal, seorang jururawat meminta izin untuk digunting sedikit laluan bagi memudahkan bayi keluar. Bimbang jika berterusan gagal, bayi akan kelemasan.

Dengan berat hati, isteriku mengangguk. Agaknya dia sudah tidak tahan. Mungkin juga bimbang dengan kandungan yang mungkin kelemasan. Akhirnya tepat jam 12.02 seorang bayi perempuan dilahirkan. Berat ketika itu 2.83 kg. Alhamdulillah.

Setelah puteriku dibersihkan, dia dibawa semula kepada kami. Aku mengalun azan dan iqamah di telinga bayiku. Sedikit syahdu bilamana melihat bayi yang comel itu bergerak dalam dakapan isteriku. Dalam penat, aku melihat suatu tanda kepuasan di wajah isteriku.

Seketika kemudian, aku diminta keluar beredar dari bilik berkenaan. Kepada ahli keluarga segera aku membuat panggilan memaklumkan berita gembira, manakala kepada beberapa orang sahabat aku sempat SMS. Namun, tidak semua berjaya dimaklumkan kerana kehabisan kredit. So, terimalah pengumuman ini seadanya.

Balqis yang berumur seminggu

Sedapnya Balqis tidur.

Maaf kerana tidak segera memaklumkan di sini. Doakan aku berjaya menjadi Abi yang baik kepada puteri kami yang diberi nama Balqis ini. Wallahua'lam.
 

Great Morning ©  Copyright by a m d a n g 8 1 | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks