24 May 2008

Kempen Mampat bermula....

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Alhamdulillah, pagi tadi aku sempat meluangkan masa seketika bersama beberapa teman ke program Mampat. Program Kempen Kembalikan Royalti: Kembalikan Hak & Maruah Rakyat Terengganu dilancarkan pada hari ini dengan pengedaran risalah, pelekat kenderaan, riben hitam putih dan mengutip tandatangan.

kempen royalti minyak 240508 petugasMengikut Malaysiakini, sehingga jam 4.30 petang tadi, sebanyak 1100 tandatangan berjaya dikutip. Aku tidak tahu jumlah tersebut besar atau kecil. Namun, jika mahu dikumpulkan 100 000 tandatangan, bermakna Mampat perlu kira-kira 90 hari lagi untuk mencapai sasarannya. Satu jangkamasa yang agak panjang dan memerlukan keteguhan yang kental.

Sepanjang aku berada di lokasi, aku lihat respon pengunjung amat baik. Malah, kempen RM 1 untuk Royalti Minyak (RM) juga aku kira berjaya. Setiap yang hadir sentiasa menyatakan sokongan dan mahu bersama Mampat dalam memperjuangkan isu ini.

Apa yang menarik perhatian aku pagi tadi adalah pakaian petugas Mampat dan pakaian petugas TM yang mengadakan Karnival TM adalah seakan sama dengan warna oren menjadi tema. Jarak antara kedua-dua tempat berkenaan hanyalah kira-kira 50 meter sahaja. Petugas TM juga antara yang menjadi individu awal datang memberikan sokongan dan menurunkan tandatangan.

kempen royalti minyak 240508 penyokonAku berada di tapak itu sehingga jam 11 sahaja. Sedikit geram kerana camera aku kehabisan bateri. Oppss, bukan kehabisan bateri, tetapi bateri yang 'kong' tidak masuk cas. Huhuhu.

Fasa kedua Mampat dikatakan Konvensyen Royalti yang akan diadakan pada 14 Jun 2008 di TER, Kuala Ibai, Kuala Terengganu. Kalu tengok pada pembentang dan panel forum, aku rasa macam akan gempak habis. Tapi, pada aku orang Terengganu ni kadang kala sukar diduga.

Satu perkara yang aku tidak berkenan dengan laporan Malaysiakini bilamana menyatakan seolah-olah Mampat adalah penyokong kepada Dato Ahmad Said, MB Terengganu. Pada pemerhatian dan sepanjang aku ikuti program kendalian Mampat, aku langsung tidak merasakan wujudnya unsur sebegitu. Namun, kebetulan menyokong dan membawa isu yang berkepentingan dengan Ahmad Said, itu mungkin boleh dikata.

Sebetulnya aku geram ni dengan camera. Patutnya aku rasa banyak yang dapat aku 'snap' dan boleh dijadikan cerita. Namun, kerana kegeraman dan mood aku tak baik ini maka catatan ini seadanya sahaja.

Wallahua'lam.

Gambar: Malaysiakini.com

Nota: Aku ke Oversea lagi esok, maybe seminggu juga di sana. So, macam biasa blog ini akan sepi seketika. Sorry!!

23 May 2008

Royalti: Jom bersama Mampat!

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Pelancaran Kempen Selamatkan Royalti Minyak Terengganu
24 Mei 2008

Sabtu
10.00 Pagi
Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu

@ Sticker Kereta / Motorsikal percuma
@ Riben Percuma

@ Tandatangan Sokongan (percuma je sokong)

Jom beramai-ramai.

Anjuran:

Tangan atas, tangan bawah

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Sedang aku memanaskan kuali, tiba-tiba terdengar satu suara kecil memberi salam. Aku menjenguk kepala dari pintu dapur ke ruang tamu. Kelihatan seorang anak perempuan kecil berumur lingkungan 10 tahun berada di luar sliding door yang terbuka.

Aku menjawab salam. "Mari nak cari rezeki" Kata si anak kecil itu. Nada mendayu dan merayu.

Aku yang faham maksudnya itu segera mengintai-ngintai di mana dompet yang aku letakkan. Kat tingkat atas rupanya. Baru sahaja aku terniat mahu pergi mengambil dompet, muncul pula seorang berpangkat nenek di sebelah anak kecil tadi.

"Mari nak cari rezeki" Kata nenek tadi.

Aku yang menyangka mereka datang bersama terus memberikan sejumlah wang kepada nenek tadi. Tiba-tiba nenek tadi berkata, "Dia ni pun nak jugak". Sambil menunjukkan si anak kecil tadi. Aku tergamam.

"Bahagi-bahagikanlah" Kata aku tanpa sebarang prasangka. Ketika itu aku sudah mula mahu berpaling menuju dapur untuk meneruskan memasak. Api dapur masih menyala, minyak mungkin sudah panas.

"Dia ni ayah dah tak ada, duduk dengan mak je. Dia suku, saya suku." Terang nenek tadi.

Aku pada mulanya sedikit terasa 'panas' dengan sikap keduanya. Aku menarik nafas melegakan perasaan dan naik semula ke atas mendapatkan wang untuk diberikan.

"Terima kasih". Kata si anak kecil. Kedengaran dari mulutnya jumlah yang aku berikan. Memang agak sedikit berbanding nenek tadi. Haji Bakhil kata, budak kecil tak boleh pegang duit banyak-banyak. Hehehe.

Kemudian, keduanya berlalu. Aku meneruskan menggoreng ikan keli. Laukku hari ini ikan keli dan kicap sahaja. Ulam acar kobis. Nasi pun sekadar nasi dingin yang baki semalam.

Ketika sedang menjamah makan, terfikir aku. Kenapa la aku beri duit itu begitu sahaja. Patutnya aku minta si anak kecil itu menyapu laman rumah terlebih dahulu, barulah diberikan wang kepadanya. Bukan besar pun laman rumah. Setakat 2 depa X 2 depa sahaja.

Begitu juga dengan nenek itu tadi. Patutnya aku minta aje nenek tadi masuk sekejap membasuh beberapa pinggan mangkuk dan periuk dalam sinki sebelum diberikan wang. Jika nenek itu sanggup berjalan ke sana ke mari, apalah sangat membasuh pinggan mangkuk ini, fikir aku.


Aku tidak tahu apakah mereka sanggup melakukan kerja yang disuruh, dan kemudiannya diberikan upah. Atau memang niat mereka mahu mendapatkan duit dengan meminta sahaja. Aku tahu ada kalanya mereka ini terdesak apabila melakukan perbuatan meminta-minta ini, namun tidak kurang juga yang mengambil kesempatan terhadap sikap pemurah masyarakat kita.

Aku diajar untuk tidak menghampakan permintaan, bantu setakat yang boleh. Lagipun dengan sedekah ini insyaAllah rezeki kita akan digandakan. Pernah suatu ketika aku cukup-cukup kekeringan wang. Dalam dompet hanya sekitar RM 10 sahaja. Tiba-tiba ada seorang lelaki datang meminta sedekah.

Ikut hati dan rasa, aku cakap je tak ada apa-apa untuk diberi. Tapi percaya dan yakin setiap pemberian pasti dibalas, dan merasakan mungkin ketika itu dia lebih terdesak, maka aku gagahkan diri memberikan RM 5 kepada lelaki itu.

Dalam hati aku, "aku hanya mampu menjadi Umar". Senyum sendiri mengubat hati.

Wallahua'lam.

Bahana Akademi Fantasial

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Pertamanya maaf sekiranya apa yang aku rasa ini jauh tidak tepat sepertimana berita melaporkannnya. Metro hari ini menyiarkan bagaimana seorang Imam tertipu dengan sindiket SMS AF6. Klik. Utusan juga memuatkan berita yang hampir sama perihal apa yang berlaku kepada Imam berkenaan. Klik.

Aku tidak tahu samada Imam berkenaan peminat AF atau tidak. Ada sahaja kemungkinan yang ada. Namun, itulah bahana AF yang menjadi kegilaan hari ini. Ditambah dengan perjudian SMS yang awalnya dahulu dikatakan Haram dan diperdebatkan, namun hari ini seolah-olah ianya menjadi halal dan sebahagian keseronokan.

AF secara jelasnya memang tidak nampak di mana ke'halal'annya. Tidak kira si penyanyi itu bertudung, menyanyi lagu patriotik mahupun melakukan tarian tidak menghairahkan. Pada aku institusi yang wujud itu memang ke arah tidak Halal.

Apapun kegilaan terhadap AF dan sebagainya, aku harap tiada Imam yang cuti Solat Isyak pada malam persembahan / pertandingan diadakan. Walaupun dikatakan sekadar hiburan 'tengok je, tak ngundi pun', namun sedikit sebanyak sebenarnya tetap menyumbang kepada perkembangan AF itu sendiri.

Wallahua'lam.

p/s: Nasib baik aku guna nama AMdang bukan AFdang. Heheheh.

19 May 2008

Mahathir keluar Umno: C4 atau kentut?

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Bila Mahathir keluar Umno, aku melihat ini merupakan senjata terakhir bagi Mahathir mendesak Pak Lah meletak jawatan sebagai PM dan Pengerusi Umno dan BN. Pernyataan jelas dari Mahathir yang beliau keluar dari Umno bukan kerana mahu menyertai mana-mana parti memberi gambaran yang Umno masih disayanginya.

Tindakan Mahathir ini sangat tepat bagi memberi tekanan kepada Pak Lah supaya berundur. Dengan pengunduran Pak Lah, maka BN dijangka dapat mengekalkan kuasa dengan Najib sebagai PM. Najib dilihat akan diberi peluang untuk mentadbir sebelum dinilai prestasinya walaupun mempunyai keperibadian yang boleh dipersoalkan.

Matlamat utama Mahathir, tiada sebarang peralihan kuasa kepada Pakatan Rakyat. Caranya hanyalah dengan Pak Lah turun dari kerusi PM yang ada sekarang. Bagi memberi tekanan kepada Pak Lah dengan menyeru ahli Umno keluar dari Umno secara beramai-ramai dengan dirinya menjadi permulaan.

Sebagai seorang yang cukup lama dalam politik, Mahathir dapat membaca kebarangkalian yang mungkin berlaku. Peristiwa kemenangan besar BN pada 2004 adalah berpunca dari sikap tanggungjawab Mahathir kepada Umno dengan melepaskan jawatan tertinggi kepada Pak Lah. Ketika itu walaupun tiada tekanan dari mana-mana bahagian atau individu dalaman parti, namun Mahathir melihat rakyat sudah mula mempersoal tindakannya khususnya dalam isu pemecatan Anwar Ibrahim.

Mahathir sebelum ini sudah cukup memberi tekanan kepada Pak Lah bagi melepaskan jawatan tertinggi itu. Kritikan, surat, dan forum antara medan yang digunakan bagi menyerang dan memberi amaran. Namun, seperti biasa Pak Lah tetap dengan sikapnya yang tenang dan memejam mata dengan apa yang berlaku di sekitarnya.

Jika benar Pak Lah akan melepaskan jawatannya terkesan dengan keluarnya Mahathir dan para penyokongnya dari Umno, maka peluang Pakatan Rakyat (PR) mengambil alih kerajaan dalam masa terdekat akan semakin malap. Ini kerana Najib sudah tentu akan bertindak lebih bijak dalam menangani kemelut lompat-melompat yang digembar-gemburkan sekarang ini. (lupakan seketika bagaimana strategi PR untuk mendapatkan sokongan sekiranya Najib mengambil alih kerusi PM)

Umno juga akan dilihat lebih selamat sepertimana kata Tun Musa Hitam. Keluarnya Mahathir, maka telah keluarnya 'duri dalam daging' dari Umno. Mahathir akan dilihat sebagai 'orang luar' yang hanya memberi pandangan kepada Umno jika terus cuba mengganggu Umno. Ini kerana tindakan Mahathir itu tidak lebih kepada memakan diri sahaja.

Seorang sahabat memberi contoh keluarnya Mahathir dari Umno umpama turunnya Mahathir dari sebuah bas yang pemandunya Pak Lah. Namun, dia tetap tercegat di tepi jalan tanpa naik mana-mana kenderaan lain yang ada sehingga bas itu dipandu pemandu lain. Bas akan terus berjalan bila tiba masanya, namun Mahathir bimbang-bimbang mati kerana dilanggar oleh kenderaan yang lain.

Apapun, situasi ini mungkin merupakan klimaks kepada perbalahan Pak Lah dan Mahathir. Mahathir telahpun bertindak ke tahap 'mengebom diri' bagi memastikan Pak Lah turun dari kerusi PM. Bom itu akan berkesan sekiranya terkena kepada mana-mana Jeneral-jeneral Kanan Umno. Namun sekiranya setakat bekas-bekas yang sudah dilupakan seperti Sanusi Junid dan ahli-ahli beberapa cawangan sahaja, bom itu tidak lebih seperti kentut yang berbunyi kuat, gempanya menakutkan namun baunya tiada.

Wallahua'lam

18 May 2008

Selamat Hari Guru!

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Alamak! aku dah terlepas 2 hari nak wish selamat Hari Guru kat sumer guru-guru aku. Apa nak buat, pada tarikh 16 Mei tu aku ada program besar yang perlu dihandle. Jadi semalam adalah hari rehat merayakan selesainya program tersebut yang tidak berapa berjaya.

Cikgu masa tadika dulu-dulu sekarang dah tak jadi cikgu. Nama dia Cikgu Esah. Nama betul mana nak tahu sebab zaman budak-budak dulu tahu panggil cikgu je. Dengan tukang masak kat tadika tu pun aku panggil cikgu.

Cikgu sekolah rendah pula yang best dan masih aku ingat Cikgu Latifah, Cikgu Midah (sekarang pensyarah kot?), Cikgu Wan Marzuniah (aku kena rotan dengan dia sebab tak siap kerja sekolah), Cikgu Baharudin (muka garang), Cikgu Fauzi (muka garang gak, tapi bila aku darjah 6 selamba je aku gurau-gurau dengan dia).

Cikgu Mat Jin (Guru Besar sampai mati kot, hehehe), Cikgu Norizan (cikgu math yang baik), Cikgu Ruzhan (Cikgu BM yang pandai melukis), Cikgu Syukri (Cikgu yang pernah aku dendam dengan dia sebab denda aku depan kelas sampai aku menangis. Malu la nangis depan budak pompuan! Huhuhuh)

Cikgu Ravi dan Siva (Cikgu BI), Cikgu Rais (Cikgu BI dan guru pengakap. Antara cikgu BI aku yang best dan membuat aku minat dengan BI), Ustazah Wan Zubaidah (ustazah seluar jeans. Heheheh. Camne la ustazah yang kecik ni sekarang), Cikgu Hanafi (Thanks hadiahkan aku tafsir tu, sampai sekarang masih ada), Cikgu Shahril Hj Liwangsa (Cikgu praktikal dari sarawak yang suka naik basikal racing. Aku selalu la baik dengan dia sebab nak naik basikal dia).

Cikgu Zulkifle (merangkap abang angkat la waktu tu. Heheh. Abis student jeles ngan aku), Ustaz Ibrahim (ustaz yang sporting dan baik. Ingat lagi waktu aku gagap-gagap baca lafaz niat Solat Maghrib masa darjah 3. Hehehe).

Semuanya best dan ada nilaian tersendiri pada aku. Guru-guru di sekolah rendah ini pada aku berperanan memberi tunjuk ajar yang tidak sedikit khususnya dalam mendedah aku kepada alam seorang pelajar.

Guru-guru sekolah menengah pula Ustazah Fatimah (ustazah bahasa arab yang tegas walaupun berperwatakan lembut), Ustazah Zaleha (ustazah Quran Sunnah yang banyak pro kepada budak lelaki pada aku. Agaknya sebab budak lelaki kelas aku baik-baik kot. Hahaha), Cikgu Halim Koh (cikgu math yang selalu pulas pusat aku dan suruh aku berdiri luar kelas sebab tidak siapkan sifir dan latihan), Cikgu Syed Anuar (Cikgu yang paling tidak suka diam), Ustaz Rosli (Matanya menakutkan kami pelajar asrama).

Ustaz Ibrahim (Ustaz yang lembut dan sesekali menegur memang buat aku takut. Pernah sekali kena rotan dalam bilik guru kerana ponteng kelas), Arwah Ustaz Wan (tergiang-giang bacaan Surah Ar-Rahman yang dibacanya dalam solat), Arwah Ustaz Soufi (banyaknya dosa aku dengan dia dulu-dulu walaupun sekejap bersama. Semoga dia memaafkan muridnya yang nakal ini), Ustaz Nawawi (Pengetua yang selalu datang ketuk pintu bilik kejut Subuh. Memang rasa bersalah sangat kalu dah ustaz datang kejut Subuh. Huhuhu).

Teacher Salmi (akhirnya aku dapat 5 untuk BI dalam SPM. Rekod tu. hehehhe), Cikgu Hendon, Cikgu Hassan dan Isteri, Cikgu Arifin, Cikgu Mohamad (Cikgu sains yang ada mengajar secara langsung atau tidak), Tidak lupa juga Cikgu Zaleha (Bersungguh ajar kami add Math. Satu ketika kami pernah fail sekelas. Namun lembut je dia tegur. Tapi aku sampai ke akhir tidak minat add Math. Huhuhu), Cikgu Mazni (bersuara halus je. Cikgu akaun yang penyabar dengan kami yang bising dalam kelas).

Ustazah Maznah (ngajar arabic), Ustazah Wan Fatimah (PK yang agak serius walaupun bersifat sedikit keibuan), Cikgu Mahasan (Kaunselor yang selalu agak sibuk), Cikgu Syed Omar (ajar bertukang mesti kami tak tidur. Tapi kalu kelas, sure kami tidur), Cikgu Zul (bertindak semacam guru disiplin. Tegas gak. Nasib baik aku ni tak nakal. So, tak pernah ada kes dengan dia. Heheh)

Masa kat kampus lak, Encik Jamal (Lecturer balik dari Jepun, speaking pun mcm jepun), Puan Norazah (aku repeat paper dia. Huhuhu), Puan Azmi, Ustaz Wan Sanusi (HEP), Ustaz Zul, Ustaz Zaid (Antara ustaz-ustaz yang biasa dengan Masjid), Hajah Rohana (Lecturer Stat), Puan Fadilah (Aku drop paper dia sebab dia cabar aku. Huhuh), Tuan Hj Ahmad (Lecturer yang best dan baik. Selalu support usrah kitorang)

Ada ramai lagi yang aku x sempat nak sebut. Semuanya mendidik aku secara langsung mahupun tidak. Terutamanya mak dan ayah yang selamanya menjadi guru dan rujukan aku. Tidak lupa kepada Cikgu Jue yang sentiasa bersama aku. Memberi tunjuk ajar dan menjadi teman hidup yang sangat membahagiakan.

Selamat Hari Guru! Semoga kalian semua berbahgia.

Wallahua'lam.

13 May 2008

Isu Murtad Siti Fatimah Tan: Apa sebenarnya yang berlaku?

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Sumber: Email

Bila berita mengenainya disiarkan, ramai yang terpinga-pinga. Di dalam Berita Harian menyiarkan berita bertajuk: Mahkamah benar Siti Fatimah isytihar keluar Islam

Benarkan isytihar murtad? Apakah semua ini? Sama seperti kes Lina Joy? Di akhbar-akhbar mahupun melalui berita TV, kelihatan Siti Fatimah Tan bersama peguamnya. Seorang Melayu. Sudah tentu Islam.

Seorang Melayu Islam menjadi peguam Siti Fatimah Tan yang mahu isytihar murtad?

Tambah bingung lagi. Apakah semua ini?

Ramai yang mengenali peguam Siti Fatimah Tan. Beliau ialah Ustaz Ahmad Jailani. Saya juga mengenalinya. Beliau juga mengenali saya.

Banyak sudah tersiar samada di laman web mahupun di blog komen-komen yang tidak senang dengan apa yang berlaku. Sebahagiannya menjadikan Ustaz Ahmad Jailani sebagai sasaran kecaman.

Tadi, ada khutbah Jumaat di salah sebuah masjid di Pulau Pinang mengulas tentang isu ini. Ustaz Ahmad Jailani sekali lagi menjadi sasarannya. Pelbagai tuduhan itu dan ini dilemparkan.

Sebelum Jumaat, Piyan menelefon saya. Diajaknya saya untuk bersemuka sendiri dengan Ustaz Ahmad Jailani. Bertanya sendiri apa sebenarnya.

Saya kata OK!

Pukul 5.00 petang kami bertemu dengan beliau di pejabatnya. Kredit kepada Piyan atas usahanya hingga berjaya mewancara beliau. Membongkar apa di sebalik isu ini.

Segala-galanya kekusutan terungkai. Segala yang tersembunyi terbongkar. Itulah faedah bertanya kepada yang empunya diri. Bukan berdasarkan andaian itu dan ini.

Klik untuk ikuti video rakaman.


Pemuda BN ikrar taat setia kepada raja-raja Melayu

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

PETALING JAYA 12 Mei - Ketua Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pertemuan keduanya dengan Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah hari ini adalah untuk membincangkan isu berkaitan orang Melayu selain menyatakan taat setia Pemuda UMNO kepada raja-raja Melayu.

Menurut beliau, dalam pertemuan tersebut, isu perpaduan dan ketuanan Melayu yang dilihat semakin dipertikaikan oleh pihak tertentu turut dibincang.

Kata Hishammuddin, beliau turut menyampaikan mesej daripada Pemuda UMNO dan Pemuda Barisan Nasional (BN) yang menyatakan taat setia tidak berbelah bahagi terhadap raja-raja Melayu.

Beliau berkata, dua perkara yang menjadi kepantangan dan sensitiviti orang Melayu di negara ini adalah mengenai agama dan raja-raja di negara ini.

''Maka dalam hal ini, Pemuda UMNO tidak pernah berkompromi dan tidak akan bertolak ansur. Kita tahu apa amanah kita, kita tahu tanggungjawab kita, kita tahu apa kesetiaan kita.

''Kita juga tahu apa yang diperlukan untuk menyatupadukan orang Melayu. Ini sedikit sebanyak merupakan satu perkara yang penting di dalam jiwa perjuangan saya sendiri secara peribadi untuk menyampaikan kepada Raja Dr. Nazrin yang juga Raja Muda Perak,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di luar kediaman Raja Muda Perak di sini hari ini.

Turut mengiringi Hishammuddin di kediaman rasmi Raja Muda Perak itu ialah Ketua Pemuda UMNO Bahagian Gerik, Wan Azizi Wan Mohamed dan Ahli Jawatankuasa Putera UMNO, Mohd. Faizul Mohd. Dahan.

Kelmarin, beliau menghadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah dan Raja Muda, Raja Dr. Nazrin Shah selama hampir dua jam di Istana Changkat, Bukit Persekutuan di sini.

Hishammuddin menambah, pihaknya menyatakan sokongan kepada Raja Dr. Nazrin supaya Raja Muda Perak itu terus-menerus menjadi penaung dan payung kepada semua orang Melayu terutamanya kepada orang Melayu di negeri Perak.

''Saya percaya tanggungjawab dan juga amanah yang dipikul Raja Dr. Nazrin itu merupakan tanggungjawab yang dipikul dengan bersungguh sungguh.

''Saya berasa begitu terharu kerana kita mempunyai pemimpin-pemimpin kita yang boleh terus menjadi payung untuk kita bernaung di bawahnya,'' ujarnya.

Ketika ditanya adakah beliau turut membincangkan mengenai isu Pengerusi DAP, Karpal Singh yang mempertikaikan kuasa sultan dan raja Melayu, Hishammuddin sambil ketawa menafikan berbincang mengenai perkara berkenaan.

sumber: Utusan

Nota: Agaknya bagaimana ayat ikrar yang dimaksudkan itu nanti? Adakah perkataan NATANG sekali lagi digunakan bagi menunjukkan ketaatan dan taat setia??

Jom Masuk Kampus Semula

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Sudah beberapa tahun aku meninggalkan dunia kampus. Selalu juga terdetik dalam diri untuk terus menyambung pengajian bilamana melihat kawan-kawan ada yang masih study. Sewaktu bekerja di Selangor sekitar tahun 2003, aku pernah memohon untuk memasuki semula kampus.

Alhamdulillah permohonan berjaya. Aku dan seorang teman sebilik sebenarnya mohon dari U yang sama dan kami sama-sama dapat. Namun, memandangkan ketika itu angin PRU 11 agak hampir, maka kami memutuskan menangguh seketika niat menyambung pengajian.

Niat yang sudah lama padan tetiba terbakar untuk masuk semula ke kampus. Hehehehe.

UiTM sedia tawar kursus penulisan blog

SHAH ALAM 12 Mei - Universiti Teknologi Mara (UiTM) bersedia memperkenalkan kursus berkaitan pengajian blog dalam usaha membantu pengendali laman blog lebih berwibawa dalam penulisan mereka.

Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Seri Dr. Ibrahim Abu Shah berkata, kebebasan media alternatif kini menakutkan kerana mereka boleh menulis tanpa kepakaran dalam bidang pemberitaan, tidak tertakluk kepada etika dan jarang sekali didakwa di mahkamah.

''Penulisan blog adalah terbuka dan boleh diceburi oleh sesiapa sahaja berbanding pengamal media tradisional yang memerlukan kelayakan, pengalaman dan latihan.

"Saya menyokong sepenuhnya cadangan ini (kursus berkaitan blog). Ia amat kena pada masanya. Kita tahu mereka (penulis blog) sudah pandai tetapi ia perlu bagi membantu mereka menjadi blogger yang profesional dan beretika," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Media dan Pilihan Raya Umum 2008 anjuran Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM di sini hari ini.

Beliau ditanya sama ada UiTM ada cadangan untuk menawarkan pengajian tertentu kepada blogger berikutan penulis blog ketika ini bebas menulis apa saja tanpa perlu mengikuti pengajian bersifat akademik.

Terdahulu dalam ucapannya, Ibrahim berkata, fungsi media massa kini telah berubah apabila media baru kini menjadi fokus golongan muda disebabkan sikap anti kerajaan mereka.

''Setiap kali media tradisional membuat kesilapan, media baru menjadi pilihan alternatif mereka. Setiap kali media tradisional cuba membentuk pendapat masyarakat, mereka kehilangan pembaca yang mempunyai pilihan media baru," ujarnya.

Beliau juga berpendapat kebebasan media pada masa akan datang juga tidak boleh dipandang ringan oleh pengamal media dan ahli politik, ekoran perkembangan semasa.

Katanya, etika dalam media perlu agar media perdana dan media alternatif mendapat perspektif yang seimbang.

Baginya, jika media perdana didakwa cenderung menipu dan tidak adil apabila bertindak atas pengaruh parti pemerintah, media alternatif juga berpotensi untuk berbuat demikian.

''Sesiapa sahaja (media alternatif) boleh menulis. Mereka tidak perlu mempunyai kepakaran dalam bidang pemberitaan, tidak tertakluk kepada etika pemberitaan dan jarang sekali didakwa di mahkamah. Kebebasan ini menakutkan,'' katanya.

Sumber: Utusan

Boleh ke kerja dengan Umno / BN?

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Aku cuba kongsi satu persoalan yang ditimbulkan oleh seorang pengunjung blog ini. Mulanya aku merasakan malas juga menjawab persoalan ini kerana jauh dari bidang aku. Namun, aku cuba menjawab dari pandangan seorang ustaz yang pernah memberi pendapat dalam bab ni. Apapun, jawapan sahih dari ustaz berkenaan aku dah lupa. Aku cuma cuba-cuba ingat kembali. Kalu ada salah dan pendapat lain dialu-alukan la. Sekadar yang ingat...

At 10 May, 2008, Anonymous biskutliat said…

dam, kawan aku tanya.. kita keje ngan kerajaan BN tetapi x sokong BN. benci BN, nape hukum gaji kita? sedangkan kita tahu BN menghalalkan arak dan judi dalam malaysia. mungkin gaji kita sedikit sebanyak bercampur dgn duit haram tu. gane pendapat mung dam?

Sesuka hati dia je panggil aku DAM. Ingat aku Dam Aji ke? Hehehhe.

Ustaz tu jawab tak apa.

Pendapat aku pun tak apa. Kerajaan hak rakyat, bukan hak parti mana-mana. Parti tu hanya diberi kuasa untuk memerintah.

Ustaz tu bg pendapat, hukum kerja makan gaji ni harus je. Harus sebagaimana kerja-kerja lain untuk mencari nafkah. Itu hukum kerja makan gaji. Walau siapa majikan sekalipun samada kerajaan memerintah itu Pas, Umno, Melayu, Cina mahupun Amerika.

Tak perlu timbul soal sokong kerajaan ke tak. Cuba bayangkan jika kita tinggal di Amerika, takkan langsung tak boleh kerja sebab Amerika tu kita kata kafir? Sedangkan kerajaan Amerika tu lagi la ntah apa-apa sumber pendapatan yang mereka ada.

Aku pernah ditegur kerana tidak mahu kerja dengan kerajaan. Alasan aku terdedah kepada banyak benda tak baik dan terdedah kepada sumber rezeki yang tidak baik seperti rasuah, salahguna kuasa dan sebagainya.

Rupa-rupanya Imam Hassan Al-Banna pernah menyebut tentang kerja makan gaji dengan kerajaan ni dulu-dulu. Aku lupa buku apa. Kerja dengan kerajaan memang tidak digalakkan. Namun, adalah lebih baik sekiranya jika kita merasakan dengan memegang sesuatu jawatan / tugas di sana, kita dapat mengawal suasana dari bertambah teruk.

Mungkin jika mereka yang tiada fikrah Islam memegang sesuatu jawatan, maka setiap keputusan / aktiviti yang bakal direncana juga tiada nilai Islam. Maka, boleh la diadakan majlis tarian, karaoke, joget lambak dan sebagainya. Begitu juga dengan dasar muamalat yang akan berlaku seharian.

Namun, dengan kita yang mempunyai kefahaman tentang Islam memegang jawatan itu, maka kita akan berjaya mengawal suasana yang ada tu, maka di situ la letaknya keharusan untuk menerima jawatan tersebut. Mungkin kita menukar akaun bank dari konvensional kepada yang lebih islamik dan sebagainya.

Gitu la lebih kurang yang aku ingat.

Kadang-kadang, kita tengok si A tu baik je. Tapi kenapa la kerja jadi Polis. Kerja yang tersangat-sangat la aku minta jauh keturunan aku dari menceburinya. Namun, mungkin di situ la letaknya kebaikan si A tadi menjadi polis. Maka, dengan dia jadi Polis dan tidak mengamalkan rasuah, ugut dan halalkan maksiat, maka ada la polis yang baik dalam banyak-banyak polis yang tidak baik itu.

Namun, jika yang bersama Umno atau bekerja untuk Umno secara langsung, aku berpendapat ianya berbeza dengan hukum kerja dengan kerajaan. Aku lebih cenderung mengatakan ini lebih teruk dari kerja dengan kerajaan walaupun mungkin ada yang berniat mahu mengubah dari dalam.

Wallahua'lam.

UMNO Masih Kuat : Rosol

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Petikan akhbar Sinar Harian.

KUALA TERENGGANU - UMNO Terengganu menafikan bahawa wujudnya perpecahan serius melibatkankan pemimpin utama dalam parti itu, selepas tercetusnya krisis pelantikan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said yang menggantikan Datuk Seri Idris Jusoh, sebaik sahaja berakhirnya Pilihan Raya Umum ke-12 baru-baru ini.

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, Datuk Rosol Wahid berkata, sehingga ini beliau tidak nampak berlakunya sebarang perpecahan antara rakan pemimpin yang lain dan menganggap ia sebagai satu dakwaan tidak berasas.

“Sebenarnya UMNO Terengganu masih lagi kuat, sama seperti dulu,” ulasnya kepada Sinar Harian, ketika dihubungi, semalam.

Rosol memberitahu demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan wujudnya perpecahan antara pemimpin UMNO Terengganu, menyebabkan parti itu masih gagal mengadakan Mesyuarat Perhubungan sejak berakhirnya pilihan raya umum lalu.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Rosol memberitahu, pihaknya masih belum membuat keputusan berhubung mesyuarat tersebut kerana ia akan diputuskan sendiri oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri yang kini masih dipegang oleh bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh.

“Beliau (Idris) yang berhak memutuskan tarikh sebenar mesyuarat berkenaan dan sehingga kini saya masih belum menerima apa-apa arahan daripada beliau mengenai perkara itu,” ujarnya.

Menurut Rosol, pada kebiasaannya Mesyuarat Perhubungan diadakan sebulan selepas pilihan raya umum, tetapi kini setelah dua bulan proses pilihan raya umum berlalu, ia masih belum diadakan.

Ditanya sama ada perkara ini menjejaskan pentadbiran dan perancangan UMNO sendiri beliau memberitahu, ia langsung tidak menggugat perjalanan parti dan pihaknya juga tidak menerima sebarang desakan daripada pemimpin serta anggota UMNO.

“UMNO Terengganu masih lagi sama seperti dulu dan kita akan meneruskan usaha serta strategi untuk berjuang demi kepentingan rakyat selain membantu mereka meraih kehidupan lebih baik dalam segenap segi,” ujarnya.

Mengulas mengenai ulang tahun UMNO ke-62 yang disambut semalam, bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri itu berkata, UMNO masih lagi relevan untuk semua masyarakat Melayu di negara ini walaupun sudah lebih enam dekad berlalu.

Beliau berkata, dalam tempoh berkenaan UMNO ternyata berjaya membawa banyak perubahan kepada rakyat dan negara termasuk kewujudan lebuh raya sebagai laluan perhubungan dan pelbagai dasar ekonomi ke arah meningkatkan taraf hidup rakyat.

“Oleh itu, sempena ulang tahun UMNO ini saya berharap pemimpin akan melaksanakan tugas mereka dengan lebih baik. Jangan bertengkar dan bergaduh sesama sendiri kerana rakyat yang akan menjadi mangsa.

“Kasihani rakyat terutama mereka yang tinggal di kampung kerana tidak pernah mengenal erti penat lelah dalam berjuang untuk parti,” katanya.

08 May 2008

Siapa Paling Tidak Cerdik: Mohd Shaid, TV3 atau PDRM?

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

"Melayan orang gila boleh membuatkan kita menjadi gila". Itu antara kata-kata yang selalu diulang oleh orang yang mengaku waras bila berdepan dengan orang gila. Namun pada aku, orang gila itu sewajarnya dijauhi kerana kita mudah mengecamnya dengan pakaian dan sikapnya yang sememangnya pelik.

Berdepan dengan manusia yang TIDAK CERDIK sebenarnya lebih bahaya. Bahaya itu bilamana puak-puak tidak cerdik itu bergabung dan cuba berlagak cerdik. Aku petik sedikit Buletin Utama malam tadi untuk dinilai bersama.

video

Walaupun lulusan universiti, Mohd Shaid tidak boleh dikatakan cerdik kerana telah bertindak tidak cerdik. Membuat laporan polis terhadap manifesto Pakatan Rakyat di Selangor sekadar mencari publisiti murahan. Sungguh murahan dan langsung tidak cerdik!. Memalukan lulusan UiTM je.

Begitu juga penilaian aku terhadap TV3 yang menyiarkan berita tidak cerdik itu sebagai berita keduanya pada malam tadi. Aku tidak nampak langsung nilai keutamaan pada berita sebegitu rupa. Apakah Buletin Utama sudah menjadi rancangan Melody?

Pihak Polis pula yang menerima laporan tersebut terus menjalankan siasatan dan dikatakan masih menjalankan siasatan. Tiada kes lainkah negara kita ini sehingga laporan polis yang sebegitu rupa mahu diambil perhatian oleh polis?

Aku rasa cukuplah jika dikatakan sekadar menerima laporan sahaja. Kesungguhan menjalankan siasatan terhadap kes-kes sebegini juga menampakkan sikap polis yang dicucuk hidungnya oleh pemerintah.

Tidak cerdik! Sungguh tidak cerdik mereka-mereka ini. Mahu rasanya kasihankan mereka ini, terutamanya si Mohd Shaid itu. Namun, orang yang tidak cerdik bercampur sombong sebegini bukan senang diajar. Jika ditegur, kita pula dikatakan salah. Kesian.

Masalahnya, orang-orang berpakaian kemas itu dilihat cerdik pada pandangan umum masyarakat (bagi sesetengah golongan tidak cerdik). Jika mereka yang tidak cerdik ini pakaiannya sama seperti orang gila, sudah tentu kita tidak sukar menasihati orang ramai dari menjauhi mereka. Tetapi bilamana lagak mereka bagus, pakaian kemas, berkereta mewah dan besar pula, sudah tentu sukar kita membezakan. Hanya jauhari yang mengenal manikam.

Jika aku ditanya, antara Mohd Shaid, TV3 dan Polis siapakah yang paling cerdik, sudah tentu aku sukar menilainya memandangkan aku hanya tahu Mohd Syahid itu lulusan UiTM tanpa disebut bidang dan pengajiannya. TV3 dan PDRM sudah tentu sukar dinilai kecerdikan mereka.

Tetapi jika ditanya antara mereka siapa paling tidak cerdik, aku suka membungkus ketiga-tiga mereka dalam satu bungkusan dan melabelkan TIDAK CERDIK! sambil mencampakkannya ke tempat kitar semula. Semoga ketiga-tiganya sedar atas sikap tidak cerdik mereka itu.

Apakah penilaian anda sebaliknya??

link petikan Utusan pasal laporan Mohd Shaid. KLIK.

Wallahua'lam.

07 May 2008

Politik dengan kawan-kawan

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Hidup memang penuh dengan politik. Politik bukan hanya soal menggunakan kuasa, tetapi juga skills. Bukan sekadar melaksanakan, tetapi juga berfikir samada sesuatu tindakan itu tepat atau tidak. Sebab itu perlu senantiasa muhasabah diri, dengar komen-komen dari pelbagai sudut dan tidak malu untuk meminta maaf.

Ini cerita politik persahabatan. Bukan tiada isu politik kepartian, tetapi aku lebih suka membawakan isu ini terlebih dahulu. Politik dalam persahabatan perlu dan memang penting bagi memastikan kawan-kawan tiada kecil hati dan persahabatan terjalin sihat dan berkekalan. Tolak ansur itu politik, boikot juga politik dalam bersahabat.

Sebelum lebih mengarut, terlebih dahulu aku mohon kemaafan kepada beberapa orang sahabat yang telah melangsungkan perkahwinan beberapa hari sudah. Maaf kerana lambat ucap tahniah dan maaf kerana tidak menghadiri undangan (bagi yang mengundang).

Aku masih ingat 2 tahun sudah. Seorang sahabat (aku namakan A je) telah berkahwin tanpa mengundang sahabat-sahabat yang lain. Bila sahabat A tadi mengumumkan perkahwinannya dalam Yahoo!group, maka riuh seketika. Setelah dijelaskan sebab dan alasannya yang memang terpaksa mengadakan majlis secara kecil-kecilan itu, kami semua memahami dan menerima alasannya. Malahan, semua memberi sokongan kepada sahabat tadi atas tindakannya itu.

Aku sedikit terkejut sebenarnya dengan tindakan berani sahabatku itu. Mudah cerita, si A tadi berkeras dengan ayahnya mahu mengahwini seorang gadis kampungnya walaupun ditentang si ayah. Semoga mereka terus bahagia dan si ayah dan keluarga dapat menerima pasangan sahabatku itu.
Gambar hiasan semata-mata.

Walaupun pengumuman sedikit lewat, namun kerana didahului dengan permohonan maaf dan maklumat yang diterima secara langsung dari sahabatku si A, maka aku kira kami semua cepat kendur dan mudah memaafkannya. Aku tidak tahu apa akan jadi sekiranya berita perkahwinannya itu sampai ke telinga kami dari sumber kawan-kawan yang lain. Mungkin kami akan sedikit terkilan dan kecewa.

Aku sendiri sebelum ini bertunang dalam tempoh yang agak lama. Hampir-hampir setahun. Namun, oleh kerana masing-masing pandai menyimpan rahsia, dekat-dekat tarikh perkahwinan kami baru la ada beberapa orang yang tahu perihal kami bertunang. Kebetulan ketika itu sudah agak hampir dengan tarikh pernikahan. Maka, aku cepat-cepat mengumumkannya sebelum orang lain dapat tahu dari sumber lain selain aku.

Pada aku, beberapa perkara penting pada kita dan penting pada pandangan sahabat-sahabat perlu dijaga. Perkahwinan, kematian, sakit dan kelahiran anak perlu dikongsi. Mungkin kita sukar mahu berkongsi kesakitan atau penderitaan, namun kegembiraan aku kira sewajarnya dikongsi bersama. Walaupun berita gembira itu sekadar pengumuman tanpa jemputan kenduri dan sebagainya. Berita itu sudah memadai bagi yang memahami.

Aku masih ingat bilamana aku mengumumkan tarikh perkahwinan kepada kawan-kawan, ramai yang gelak dan menyangka aku bergurau. Ketika itu kad belum siap, jadi aku umum terlebih dahulu. Bimbang jika kawan-kawan mendapat maklumat dari sumber lain, dan berkecil hati. Maka, aku umum terlebih dahulu. Alhamdulillah dalam bab pengumuman, aku kira berjaya.

Namun dalam soal kad undangan, aku agak mengecewakan kawan-kawan bilamana ramai yang mengadu dan menunjukkan sikap kecewa bila tidak mendapat kad. Sedikit terkilan kerana aku agak berkira ketika itu untuk membuat kad dalam jumlah yang besar. Nampaknya persepsi kad jemputan masih perlu bagi menunjukkan kesungguhan kita menjemput mereka. Itu pengajaran yang aku dapat.

Hmmmm. Sekadar berkongsi rasa sambil melepaskan sedikit keluhan terhadap seorang sahabat. Apapun, setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya. Wallahua'lam.

p/s: Jika ada yang mahu mengundang aku, pada aku kad tidak perlu. Berikan sahaja alamat dan panduan selengkapnya. Cukup SMS peringatan takut-takut aku terlupa tarikh bahagia itu.
 

Great Morning ©  Copyright by a m d a n g 8 1 | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks