31 October 2007

Terengganu dan Arak: Dulu dan Sekarang

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Minggu lepas, aku menerima risalah sebaran Giant. Bukan risalah politik, sebab Giant tidak membekalkan riben merah kepada polis (aku rasa la). Risalah sambutan ulangtahun Giant. Biasa la Hyper Market ni, ada je sambutan yang dibuat kerana nak menawarkan harga murah (kononnya!)

Ini adalah kali kedua aku menerima risalah promosi dari Giant. Kali pertama dulu ketika Giant mahu dibuka 26 September lalu. Ketika itu pasaraya berkenaan menawarkan pelbagai barangan pada harga yang ‘istimewa’. Apa yang menarik perhatian aku pada risalah kali ini adalah IKLAN JUALAN ARAK yang turut diselitkan bersama barangan lain.

Aku tidak tahu samada orang lain sensitif atau tidak perkara ini, namun aku kira sebagai sebuah negeri Pantai Timur yang majoritinya adalah Melayu, IKLAN JUALAN ARAK berkenaan cukup sensitif dan amat tidak patut sama sekali. Sebaran yang meluas sampai ke setiap rumah di taman-taman sekitar Bandar Kuala Terengganu itu sudah tentu turut dibaca atau dilihat oleh kanak-kanak.IKLAN JUALAN ARAK itu juga tidak dilabel sebagai makanan yang TIDAK HALAL. Ini mungkin mengelirukan bukan sahaja kanak-kanak, malah kepada sesiapa juga yang tidak pernah melihat minuman keras ini. Mungkin ada yang menganggap minuman di dalam tin itu mahal kerana mempunyai khasiat tersendiri sepertimana Tongkat Ali, dan pelbagai lagi minuman herba dan kesihatan yang lain.

Mungkin jika ditanya pihak Giant, mereka akan menjawab “Iklan ini kami cetak sekaligus untuk seluruh pasaraya kami di seluruh Malaysia, itu pasal semua pun ada IKLAN JUALAN ARAK”. Itu satu kemungkinan jawapan. Kesilapan? Mungkin tidak sama sekali. Itu memang disengajakan.
Aku teringat IKLAN CELCOM yang memaparkan wajah Maya Karin sebagai penghias billboard. Jika di Kelantan dan Terengganu, setakat ini wajah Maya Karin masih lagi bertudung merah. Cantik pada aku berbanding dengan rambutnya yang mengurai umpama pontianak itu. Iklan di Terengganu yang masih bertudung itu adalah warisan Kerajaan PAS Terengganu.

Sewaktu PAS memertintah Terengganu, hanya 8 premis jualan arak sahaja yang dibenarkan. 8 yang dibenarkan itu pun bising dijaja UMNO bahawa PAS mengambil cukai arak. Sedangkan ketika itu kawalan terhadap jualan minuman keras ini sangat ketat walaupun masih ada yang menjual secara curi-curi. Nak iklan dalam risalah seperti Giant itu, jangan harap!

Itu IKLAN JUALAN ARAK di Giant. Sekiranya sesiapa mengunjungi Bandar Kuala Terengganu hari ini, sudah ada kedai-kedai yang memasang signboard kedai dengan iklan arak sebagai penaja. Ini mula dapat diperhatikan sekitar Bandar Kuala Terengganu. Daerah-daerah lain aku masih tidak mendapat maklumat berkenaan perkara tersebut.

Jika sebegitu hebat promosi dan iklan arak yang ada di Terengganu, maka tidak hairan betapa sebelum ini akhbar-akhbar tempatan Edisi Timur dan Sinar Harian sendiri mendedahkan betapa gejala arak yang ada di Terengganu sekarang semakin membimbangkan. Jika arak yang merupakan ibu maksiat ini menjadi satu kebiasaan di Terengganu, maka apalah mahu dihairankan mengapa Terengganu semakin subur dengan jenayah dan masalah.

Indahnya masa lalu. Walau dalam serba kekurangan, tapi terasa cukup dengan apa yang telah diberikan kerajaan. Rasa tenang dan aman melebihi terasa nikmat dari pembangunan, tetapi penuh dengan kezaliman dan tertekan. Semoga rindu ini terubat dengan PRU-12 nanti. InsyaAllah.




amdang: suka wanita bertudung hitam

26 October 2007

Sebulan Giant Di Terengganu

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Sebulan lalu, 26 September 2007, Giant Terengganu telah dibuka dengan secara rasminya. Pembukaan Giant itu merupakan kewujudan HyperMarket yang kedua di negeri ini selepas Mydin Mall. Ketika itu Umat Islam sedang sibuk membuat persiapan akhir menyambut Aidilfitri. Maka berduyun-duyunlah rakyat Terengganu memenuhi pasaraya berkenaan yang turut menawarkan harga istimewa sempena pembukaannya itu.

Kesempatan pembukaan Giant itu digunakan sepenuhnya oleh Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu bagi bertemu orang ramai bagi menerangkan apa sebenarnya yang berlaku di Batu Burok dengan menyebarkan risalah penerangan. Risalah bertajuk "Umno Rancang Rusuhan" itu diterima baik oleh orang ramai yang mengunjungi pasaraya berkenaan. Kita tinggalkan seketika isu PBBB 809.

Setelah sebulan Pasaraya Giant menjadi jiran baru Mydin Mall, sungutan dan keluhan para peniaga makin kedengaran. Sebelum ini kemunculan Mydin Mall telah cukup membuat perniagaan mereka terjejas. Kali ini dengan kemunculan Giant, tekanan yang mereka rasai semakin kuat.

Tekanan itu bukan hanya dirasai oleh mereka yang berniaga barangan runcit, malah yang turut merasai bahang ini adalah mereka yang berniaga di pasar-pasar samada borong mahupun harian. Sebagai peniaga kecil, mereka sememangnya tidak mampu bersaing dengan pasaraya yang bukan sahaja mempunyai banyak kemudahan, malah turut menawarkan harga yang mampu memikat pelanggan.

Kewujudan pasaraya bukan sesuatu yang pelik bagi sebuah negeri yang sedang membangun. Kewujudannya turut boleh dikaitkan dengan kuasa beli rakyat dan ekonomi rakyat sesebuah negeri terbabit semakin baik. Namun apa yang berlaku di Terengganu adalah sesuatu yang mungkin tidak berlaku di negeri lain. Bolehkah kalian bayangkan bagaimana dua buah pasaraya besar bersaing dengan jarak antara keduanya tidak sampai 500 Meter!

Mungkin ramai melihat akan berlaku persaingan sihat, dan pengguna khususnya rakyat Terengganu akan mendapat manfaat dari persaingan sihat itu. Mereka akan bersaing menawarkan perkhidmatan terbaik, harga termurah dan juga pelbagai aktiviti yang mampu menarik pengunjung ke premis masing-masing. Namun tanpa sedar pertembungan dua gergasi itu akan memberikan kesan negatif yang cukup menakutkan. Peniaga lain akan makin terhimpit lantaran tidak mampu bersaing langsung.

Desas-desus di Terengganu kini juga hangat apabila Pasaraya Tesco pula disebut-sebut akan turut dibuka di Pekan Batu Enam, Kuala Terengganu. Kelulusan dikatakan sudah diberikan, namun perundingan berkaitan tapak sahaja yang masih belum selesai. Kebimbangan golongan peniaga semakin terasa dan akan membuat mereka patah semangat. Bukan langsung tiada harapan untuk bersaing, namun Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) pun dilihat tidak berminat menolong peniaga bumiputera Melayu, malah turut sama terlibat dalam pasaraya Giant.

Kini, hanya terdapat dua pasaraya milik penuh Melayu iaitu Sabasun dan Si Comel. Sebelum ini Pasaraya Nur Fresh & Frozen telah ditutup sebaik sahaja beberapa minggu Mydin Mall bertapak di Terengganu. Teringat pula pada kenyataan MB Terengganu, Idris Jusoh berkenaan pasaraya ketika mana Mydin Mall dibuka dahulu. Entah apa pula komen MB yang seorang itu bilamana Melayu semakin terpinggir di negeri Melayu.

Hentikanlah penderitaan rakyat Terengganu ini. Benarlah mereka ini sudah tidak boleh dibiarkan lagi memerintah. Bukan sahaja segala macam projek diserahkan kepada kroni dan kontraktor luar, malah peluang berniaga dan bermacam lagi untuk rakyat dinafikan. Pembangunan yang tiada perancangan dan bersifat membazir dibiarkan berterusan.

Dok Leh Lok Doh... Punoh!


25 October 2007

1924: Satu cerita Lalu

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Saje nak kongsi satu lagu dari Soldier Of Allah. Aku mula diperkenalkan lagu-lagu mereka ni sejak berada di kampus lagi. Mula-mula dengar memang tak terasa apa sebab tak dapat tangkap bunyi lirik. Tetapi setelah biasa dan meneliti lirik, muzik yang agak asing ini aku boleh terima. Bukan soal muzik, tapi amatilah pada lirik. Mungkin ada yang persoalkan muzik begini dan begitu, tetapi dalam mendekati golongan yang sukakan muzik sebegini, kadangkala mungkin perlu. Bukan selalu, tetapi pada golongan yang tertentu.



Umpama seorang ustaz tidak memakai kopiah, tidak salah. Tetapi bila berada di kelompok orang lain memakai kopiah, maka si ustaz tadi perlu rasanya berserban. Paling tidak turut sama berkopiah. Sekadar menghormati pandangan umum. Kerana mungkin timbul fitnah, atau paling kurang tidak menimbulkan rasa gundah sesetengah pihak. Menjaga ummah dari berbalah perkara kecik dan remeh.

Jadi, lagu ini boleh dipasang dan didengar dari corong komputer di rumah atau di tempat yang private. Jangan terburu memasang pada corong speker sebelum ceramah, apatah lagi pada surau atau masjid. Sebab ini bukan lagu nasyid. Kerana orang kita tidak boleh menerima akal ini adalah nasyid. Tetapi panggil aja lagu dakwah. Ketika itu, hulurlah lirik di bawah. Biar mereka faham apa itu sejarah. Tidaklah mengeluh ini lagu yang apa-apa ntah! Wallahua'lam.

Layannnnzz..



Link untuk download MP3 dan Lirik lagu-lagu Soldier Of Allah.


24 October 2007

PBBB 809 Selesai?

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Semalam aku berjumpa dengan seorang kawan yang ditangkap oleh anak buah Dato' Ayob dalam Peristiwa Berdarah Batu Burok (PBBB 809), semasa bersembang-sembang beliau menceritakan yang dirinya baru sahaja pulang dari IPD Kuala Terengganu bagi 'melapor diri'. Sahabat yang bekerja sebagai peniaga itu turut menceritakan yang beliau turut terserempak dengan sekumpulan UMNO yang masuk bagi membuat laporan polis yang diketuai oleh Tengku Putera.



Aku tidak terkejut apabila sahabat tadi menceritakan yang beliau dipanggil dan diminta 'melapor diri' kepada IPD. Namun sesuatu yang menarik adalah bilamana polis dilihat cuba menutup kes dengan menarik balik surat yang dikeluarkan kepada semua yang pernah ditahan. Surat itu merupakan 'temu janji' mereka yang ditahan dengan pihak polis. Mereka seolah-olah sudah 'dilepaskan' cuma diambil nombor telefon bagi membuat tindakan susulan.

Ini bukan perkara pelik sebenarnya. Apabila situasi dan keadaan yang ada tidak memihak kepada pihak polis, maka mereka akan melakukan 'pendamaian'. Rakyat yang agak tertekan dengan penahanan sememangnya berharap perdamaian ini, namun sampai bila kezaliman dan kejahatan polis dalam mengawal ketenteraman awam akan terus dilenyapkan begitu sahaja.

Mereka lakukan tangkapan, membuat kekasaran dan melakukan provokasi. Kemudian memukul orang yang ditahan dalam tahanan. Apabila merasakan mereka 'tidak kuat' dalam kes berkaitan, maka mereka melakukan 'perjanjian damai'.

Aku kira, jika aku berada di tempat mereka yang ditahan pun akan bersetuju dengan 'perdamaian' itu. Ini kerana bukan sesuatu yang menyeronokkan terpaksa ulang alik dari rumah ke balai, dari balai ke mahkamah dan sebagainya. Namun, dalam kita tidak sedar penjanjian damai itu telah membuat mereka semakin naik lemak dengan tindakan mereka. Seolah-olah kuasa undang-undang di tangan mereka. Maka kesalahan, tindakan biadap akan terus mereka lakukan terhadap awam.

Aku cukup tertarik dengan Malek Husin yang bakal menjadi jutawan segera. Jutawan yang berdepan dengan pelbagai kesakitan dan kepayahan. Jutawan yang terpaksa melalui mimpi ngeri dan terus membayangi mimpi itu. Memang payah dan merumitkan terpaksa ulang-alik ke mahkamah. Terpaksa meninggalkan kerja, kos lawyer dan sebagainya.

Aku tidak nampak kemenangan Malek pada jumlah yang akan berjaya diperolehi beliau. Namun apa yang aku nampak adalah nilai sebuah perjuangan. Sabar, tekad dan sanggup sedikit bersusah dalam menegakkan kebenaran dan keadilan itulah kemenangan yang sebenar. Berjaya menang kes atau tidak, itu tetap soal kedua. Berjaya membongkar apa kezaliman, kejahatan dan salah laku mereka yang diberi amanah menjaga keselamatan itulah yang utama!

Kepada mereka yang ditahan dan telah diberi 'keampunan', aku berharap mereka ini tidak menganggap kes mereka selesai setakat itu sahaja. Anda mempunyai hak kerana ditahan seolah-olah pesalah, diperlaku sebagai penjenayah, dan dilayan dengan cukup teruk, maka berbuatlah sesuatu supaya pihak keselamatan tidak lagi selamat dengan uniform mereka itu. Bukan mahu mengajar melawan polis, tetapi mahu mengajar polis-polis yang jahat itu!

Aku juga berharap wujud segera pasukan peguam dan pihak yang tampil ke depan bagi membantu dan membela nasib mereka ini. Mereka ini tidak kuat kerana berasakan bersendirian, tidak semangat kerana dibayangkan kesusahan, dan ditakutkan dengan bayang-bayang. Walhal mereka tidak bersalah sama sekali!!

Mungkin sahaja membayangkan kepada mereka nilai RM yang bakal diperolehi. Kawan yang ditahan tadi apabila ditanya, cukupkah jika dibayar RM5000 sebagai saguhati, cepat-cepat sahaja dia menjawab "Itu hanya lekat celah gigi!"sengihnampakgigi

23 October 2007

Iklan BERSIH

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...



Tahukah anda apa itu BERSIH? Apa tuntutan BERSIH dan apakah program pada 10 November nanti? Klik la banner tu kalu nak tahu..

Melihat kepada agak perlahan pergerakan yang berlaku dalam masyarakat bagi menggerakkan satu himpunan yang besar, maka aku akan mengiklankan banner tersebut sehingga hari program pada setiap posting aku. Mungkin sedikit serabut sebab akan diletak di tengah-tengah (copy harakahdaily punya ni) semacam harakahdaily punya konsep, namun pada aku publisiti berterusan dan penerangan kenapa perlu bersama-sama BERSIH amat perlu.

Aku yakin dan pasti ada yang akan bersuara, "Biarlah orang lain sahaja yang pergi, kami tetap sokong walaupun tidak pergi", atau "Apa sangatlah kesan keluar beramai-ramai begitu?" dan mungkin juga yang tidak kurang akan berkata "Molek doh negara kita ni..".

Aku bukan bersangka tidak baik kepada yang mungkin menguzurkan diri, namun sangkaan aku punya alasan dan asas kerana betapa ramai yang tidak bersetuju dengan sesuatu dasar dan arahan kerajaan, namun diam membisu kerana takut itu dan ini. Sedangkan itu adalah soal HAK dan KEADILAN yang mesti dituntut dan diadili secara adil dan saksama. Jahatkah sistem yang ada di NEGARA ini? Lihat sahaja kepada siapa yang mendokong DASAR itu. Apakah mereka BAIK dan JUJUR?

21 October 2007

Nak RM 2.5 Juta?

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Malek: Pengalaman ngeri sebagai tahanan ISA
Soon Li Tsin
Oct 20, 07 11:22pm

Abdul Malek Hussin, bekas tahanan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri), tidak akan dapat melupakan buat selama-lamanya peristiwa buruk yang telah berlaku ke atas dirinya sembilan tahun yang lalu. Abdul Malek, 51, telah menang dalam samannya terhadap kerajaan kerana menangkap dan menyeksanya pada tahun 1998.

Mahkamah juga menganugerahkan gantirugi RM2.5 juta kepadanya. Beliau memfailkan saman tersebut pada Mac 1999, terhadap anggota cawangan khas, Borhan Daud; Ketua Polis ketika itu, Tan Sri Abdul Rahim Noor dan kerajaan Malaysia. Abdul Malek yang juga pengerusi badan pemantau Pilihanraya Bebas dan Adil Malaysia (Mafrel) ditahan di bawah ISA sembilan tahun yang lalu.

Beliau menceritakan kepada Malaysiakini setiap saat pahit yang dilaluinya sewatku menjadi tahanan ISA.

Berikut adalah petikan temubual beliau dengan Malaysiakini:
------------------------------------------------
Sudah sembilan tahun berlalu, bolehkah anda menceritakan apa yang berlaku, apakah yang telah mereka lakukan terhadap anda, dan perasaan anda ketika itu?

Apabila (bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim) dipecat oleh kerajaan kerana dituduh terbabit dalam aktiviti tidak bermoral, maka ramai rakyat yang tidak puashati dengan ketidakadilan (penangkapan Anwiar), dan sebagai seorang rakyat, saya menyokong pejuangan untuk menegakkan keadilan untuk Anwar.

Saya adalah antara mereka yang tidak senang dengan cara kerajaan pimpinan Dr Mahathir mengguna dan menyalahgunakan kuasa ketika itu, untuk memecat Anwar dan saya mengambil keputusan untuk menunjukkan sokongan (kepada Anwar).
Saya terbabit dalam gerakan reformasi sejak hari pertamanya lagi pada 4 September 1998.

Selepas penangkapan Anwar, saya telah mengambil inisiatif untuk menganjurkan satu perhimpunan besar-besaran untuk menuntut pembebasan Anwar dan peletakan jawatan Dr Mahathir dan Ketua Polis Negara ketika itu, Abdul Rahim Noor.

Saya kemudiannya mengetuai perhimpunan di Masjid Negara pada 25 September, lima hari selepas Anwar ditangkap. Saya ditangkap di rumah saya di Ampang pada kira-kira jam 10-11 malam.

Saya pulang (ke rumah) dengan menaiki kereta yang dipandu oleh seorang rakan. Dia menurunkan saya kira-kira 200 meter dari rumah saya dan polis menangkap saya ketika saya berada di pintu pagar.

Saya digari dan dipaksa membuka pintu pagar rumah saya oleh pasukan polis yang diketuai oleh ASP Borhan Daud. Mula-mula dia memaksa saya membuka (pintu rumah) dan tentunya saya bertanya, "Mengapa saya digari?" dan dia berkata, saya ditahan di bawah ISA.

Saya kemudiannya bertanya, "Mengapa anda perlu menggari tangan saya?" dan saya bertanya kepadanya "Apakah sebab saya ditahan", (dan dia berkata) "ISA" dan dia menjawab seperti robot, semuanya adalah (di bawah) ISA. Dia kemudiannya berkata, dia mahu menggeledah rumah saya, dan saya bertanya mana warannya.

Malah, saya bertanya waran untuk menangkap saya di bawah ISA. Dia berkata, ianya tidak perlu dan saya bertanya kepadanya mengapa, dan dia berkata, ISA, dan dia berkata, saya sepatutnya tahu. Dia mahu menggeledah rumah saya dan saya bertanya di mana warannya, dan sekali lagi, dia berkata, ianya tidak perlu dan saya bertanya kepadanya mengapa dan dia berkata ISA.

Saya memanggil anak-anak saya dan keluarga saya membuka pintu dan anggota polis masuk dengan memakai kasut, terus ke tingkat bawah dan tingkat atas rumah saya. Mereka kemudiannya masuk ke bilik mentelaah saya, serta menggeledah dan memeriksa semua dokumen saya.

Mereka kemudian masuk ke bilik tidur saya di mana isteri dan anak-anak saya sedang tidur. Isteri saya terkejut dan bertanya kepada saya apa yang berlaku dan saya menunjukkan kepadanya (tangan yang bergari) dan apabila dia bertanya mengapa, saya menjawab "ISA".

Kemudian, mereka merampas beberapa dokumen dan mereka juga merakamkan dokumen-dokumen tersebut. Selepas 40 minit berada di dalam rumah saya, mereka mengarah saya mengikut mereka. Mereka kemudiannya bertanya di mana kereta saya. Borhan memaksa saya menunjukkan kepadanya di mana kereta saya dan saya berkata, saya dihantar pulang oleh seorang rakan dan saya turun kira-kira 200 meter (dari rumah).

Saya menunjukkan kepada Borhan tempat saya turun dari kereta. Rakan saya sudah beredar dari situ. (Borhan) naik marah dengan jawapan saya sehingga dia bertindak menampar saya di situ juga dan sakitnya dapat dirasai hingga ke hari ini. Saya rasa saya telah kehilangan lebih 40-50 peratus deria pendengaran di telinga kiri saya.

Apabila mahkamah diberitahu mengenai perkara itu, Borhan menafikannya. Selepas itu, dia memaksa saya masuk ke dalam kereta, bukan kereta polis, ia kereta biasa. Saya diarah memakai (kacamata) tertentu bervisi kelabu, tetapi kemudiannya saya menyedari bingkai di sini (sebelah kiri) telah patah dan saya memberitahu mereka yang ianya telah patah dan mereka mengarahkan saya (menanggalkan) kacamata saya dan salah seorang pegawai (membuka) baju-t hitam yang dipakainya dan menyerkupnya menutup kepala saya.

Anda bayangkanlah bau baju t-shirt itu yang agaknya telah dipakainya sejak pagi hingga tengah malam. Ia amat busuk dan mereka memaksa saya masuk ke dalam kereta. Saya melutut dan diarah supaya tidak melihat ke mana-mana kerana mereka tidak mahu saya tahu ke mana mereka membawa saya. Kemudiannya mereka membawa saya pergi dari situ dan kira-kira beberapa minit kemudiannya, kereta tersebut berhenti. Saya tidak tahu di mana.

Mereka kemudiannya membawa saya naik anak tangga sebuah bangunan yang kemudiannya saya mendapat tahu (Ibupejabat Kontinjen Polis Kuala Lumpur). Mereka membawa saya ke sebuah bilik dan saya diarah menandatangani (sekeping) kertas yang disediakan oleh Borhan yang menyatakan bahawa saya ditahan di bawah ISA, jadi Borhan adalah pegawai yang melakukan tangkapan. Selepas itu mereka mengarahkan saya menanggalkan pakaian - menanggalkan baju dan seluar saya.

Saya ingat ok kerana saya tahu tahanan ISA akan diberi pakaian tahanan khas (iaitu) berwarna biru. Jadi saya ingat saya akan diberi pakaian tersebut. (Selepas) saya menanggalkan kesemua pakaian, tiba-tiba seorang pegawai menggari tangan saya dari belakang dengan kuat sekali, dan di situ terdapat enam hingga lapan orang pegawai di depan saya dalam sebuah bilik kecil di tingkat satu.

Saya digari dan mereka menutup mata saya dengan dua (keping) kain hitam dan saya bingung sepenuhnya. Saya tidak tahu siapakah mereka, jadi saya mengagak mereka semua adalah pegawai yang melakukan tangkapan yang diketuai oleh Borhan.

Kemudian Borhan menendang dan menumbuk saya dan saya boleh dengar suaranya betul-betul di depan saya kerana dia yang menangkap saya dan saya boleh kenal suaranya. Seorang pegawai akan mengambil satu objek keras dan memukul kaki kanan saya, seorang pegawai lagi akan memukul kaki kiri saya dan mereka kemudiannya menumbuk muka saya.

Saya kemudiannya kena 'flying kick', 'side kick' dan mereka kemudiannya memaksa saya berdiri. Sejurus kemudian saya terjatuh dan tidak sedarkan diri untuk pertama kali dan mereka menuangkan air dan memaksa saya berdiri lagi dan saya jatuh pengsan sekali lagi - semuanya sebanyak lima kali. Dan saya juga mengira dengan jari saya berapa kali saya dipukul [...] semuanya 63 kali.

Selepas itu saya tidak tahan lagi dan tidak sedarkan diri. Itulah yang dapat saya ingat ketika masih sedar... Salah satu pukulan itu amat kuat sekali dan tiba-tiba kain yang menutup mata saya terjatuh dan betul-betul di depan saya adalah (Abdul) Rahim Noor yang memakai sarung (tinju) berwarna merah. Dia memakai (baju) batik Indonesia, berseluar hitam dan kasut berkilat warna perang.

Saya masih ingat dan saya menceritakannya secara terperinci di mahkamah. Dan kerana (kain penutup mata) terjatuh, saya terkejut dan dia juga terkejut kerana saya dapat mengenalinya dan dia terus beredar, begitu juga dengan semua pegawai lain yang turut beredar dari situ kerana tidak mahu mereka dikenali.

Kemudian mereka pusing saya menghala ke dinding dan sekali lagi menutup mata dan saya terus dibelasah hingga tidak sedarkan diri. Apabila saya sedar semula, waktunya masih belum jam 4 pagi. Mereka mengarah saya pergi ke bilik lain yang hawa dingin dibuka dengan kuat. Saya masih bertelanjang dan badan saya sakit akibat dipukul. Penghawa dingin itu terletak di tengah-tengah bilik dan setiap beberapa minit mereka mencurah air sejuk ke kepala saya.

Dalam keadaan anda telah diseksa dan cedera, dicurahkan pula dengan air sejuk dan saya menggeletar kesejukan. Mereka bertanya sama ada saya sejuk dan saya menjawab iya dan mereka akan mencurah lebih banyak lagi air sehingga kira-kira jam 4.30 pagi. Mereka kemudian berhenti dan tidak lagi bertanya sebarang soalan.

Semasa diseksa mereka, Borhan bertanya kepada saya sama ada saya dahaga dan saya menjawab "tentulah dahaga". Kemudian secara tiba-tiba seseorang memegang saya dari belakang dan seorang lagi menggunakan jarinya untuk membuka mulut saya seluas-luasnya. Mereka kemudiannya menuang cecair yang rasanya hanyir dan kotor, ke dalam mulut saya. Ia adalah air kencing dan mereka memberitahu saya ia adalah air kencing. Air kencing mereka, bukan air kencing saya. Mereka bergilir-gilir kencing dan secara paksa menuang kira-kira dua tin air kencing mereka.

Bila mereka bertanya sama ada saya lapar atau tidak, saya jawab "Tentulah saya lapar". Borhan meminta pegawainya menyediakan tahi anjing untuk saya. Ia dekat dengan mulut saya, saya dapat menghidu baunya.

Dan dia mengugut saya yang dia akan menggunakan penyuntik yang mengandungi virus HIV dan menyuntiknya ke badan saya kerana saya telah berkata kepadanya "Lebih baik awak bunuh saya. Apa gunanya? Apa yang awak cuba buktikan? Apa yang awak buat di sini? Mengapa awak begitu kejam," saya bertanya kepada mereka (Dia berkata) "Oh awak mahu mati, oh jadi kita akan bunuh awak secara perlahan-lahan, kita akan masukkan virus HIV ke badan awak". Tentulah mereka tidak melakukannya.

Dan kemudiannya selepas kira-kira jam 5 pagi, mereka berhenti membelasah saya. Saya rasa mereka juga keletihan dan pulang ke rumah. Pada 26 September, pada waktu tengahari, saya dibawa ke Bukit Aman dan dimasukkan ke tempat kurungan dan hanya dapat melihat matahari pada hari ke-28 penahanan saya.

Maka, jika anda bertanyakan perasaan saya mengenainya, (ia) sangat kejam dan tidak berperi kemanusiaan. (Polis) bukan manusia. Saya rasa binatang ada rasa belas kasihan. Malah anjing pun kenal tuannya dan tidak menggigit orang lain. Mereka lebih terusk daripada anjing.

Jika orang kata mereka adalah anjing kerajaan, saya rasa pada masa itu, mereka lebih teruk daripada anjing.

Bagaimanakah anda dilayan di sana (di Bukit Aman)?

Saya tidak dibenarkan menghubungi sesiapa.

Beberapa hari kemudiannya sebelum hari ke-28 (dalam tahanan) , mereka bertanya sama ada saya mahu berjumpa dengan keluarga saya. Sudah tentulah, sebelum berjumpa dengan keluarga, mereka akan mengatur satu sesi khas supaya saya tidak menceritakan apa-apa tentang apa yang terjadi pada diri saya, supaya tidak membayangkan yang saya telah diseksa dan supaya menunjukkan kepada keluarga saya yang semuanya ok dan supaya meyakinkan keluarga saya supaya (tidak memfailkan) permohonan habeas corpus atau saya tidak akan dibebaskan.

Dan saya memberitahu pegawai penyiasat saya di Bukit Aman bahawa saya telah diseksa di IPK dan saya mahu membuat laporan polis terhadap Borhan, mereka berkata, "Tidak, kamu tidak perlu berbuat demikian - kami telah mengambil tindakan terhadap Borhan". Sedangkan ianya tidak benar.

Saya tidak diberi peluang untuk membuat laporan, tidak diberi peluang untuk bertemu peguam saya, tidak dapat hubungi keluarga dan saya hanya diberi rawatan perubatan beberapa hari kemudiannya di Bukit Aman. Saya memberitahu doktor dan beliau memeriksa saya dan ia disahkan dalam laporan perubatan mengenai lebam-lebam di kaki kiri, kaki kanan, di bahagian perut dan terdapat kecederaan.

Saya mengadu kepada Dr Vasantha Ponniah mengenai apa yang berlaku terhadap diri saya dan beliau telah memberi keterangan di mahkamah mengenai keadaan saya berdasarkan kepada kecederaan pada diri saya.

Metodologi cawangan khas ialah memberi layanan paling keras pada hari pertama sebagai satu ingatan kepada tahanan bahawa mereka akan berdepan dengan keadaan yang lebih teruk lagi sekiranya gagal memberi kerjasama. Ia lebih berbentuk psikologi.

Dan sudah tentulah di Bukit Aman, ia telahpun diinstitusi dari segi bagaimana mereka mengendalikan tahanan. Saya dimasukkan ke dalam bilik kurungan seorang diri, tiada cahaya matahari, saya tidak tahu sama ada ianya pagi, saya tidak tahu langsung.

Pada hari ke-28, ketika dikunjungi keluarga semasa saya dibawa dari Bukit Aman ke IPM, saya begitu menghargai cahaya matahari, ianya amat indah sekali. Cukup indah.

Bagaimanakan anda disoalsiasat?

Saya disoalsiasat selama 17 hari di tingkat tiga bangunan tersebut. Mereka bertanya soalan dari pagi, tengahari, petang, sehingga malam, dan kadang-kadang hingga lewat malam. Pada satu ketika apabila mereka tidak puas hati dengan apa yang berlaku di luar di mana orang ramai masih berkumpul di Jalan Tuanku Abdul Rahman (dan) di Kampung Baru, mereka tidak senang lalu, memanggil saya lewat malam untuk disoalsiasat hingga awal pagi.

Sewaktu disoalsiasat oleh pegawai Bukit Aman, soalan-soalan yang mereka tanya setiap hari, soalan mengenai gerakan reformasi, mengenai Anwar Ibrahim, hubungannya dengan orang ini dan orang itu.

Kemudian Nurul Izzah menemui (Presiden Filipina ketika itu, Joseph) Estrada di Filipina dan (bekas Setiausaha Negara Amerika) Madeline Albright. Saya berada di dalam dan semua itu berlaku di luar sana, dan mereka bertanya mengenai Gerak yang ditubuhkan, dan mengenai pembaharuan politik, mengenai PAS, mengenai sama ada ISA patut dimansuhkan atau tidak.

Saya rasa tidak perlu anda menangkap saya di bawah ISA untuk bertanya soalan-soalan tersebut. Mereka menafikan saya peralatan yang ada sekiranya mereka dapati saya tidak bekerjasama sepenuhnya. (Mereka akan) mengambil balik tilam atau bantal.

Selepas dikunjungi keluarga, mereka bagi tahu saya yang saya hanya akan ditahan selama sebulan dan mereka akan membebaskan saya. (Mereka kata) jika saya tidak diberi perakuan untuk dibebaskan, maka mereka akan melanjutkan tahanan dan ianya berterusan sehingga hari ke-57.

Ada juga hari-hari di mana mereka tidak berbuat apa-apa. Mereka akan menghantar makanan dan pada masa itu, saya mendapat makanan, ia seperti nasi bungkus bersama ikan yang berulat. Itu bermakna, ianya dilakukan dengan sengaja. Maksud saya kami adalah tahanan dan makanan ini sepatutnya disediakan oleh kerajaan dan ini bermakna negara menyediakan makanan busuk kepada saya.

Apa yang berlaku selepas anda dibebaskan?

Saya dibebaskan pada 21 November dan tertakluk kepada pengawasan cawangan khas yang memantau aktiviti-aktiviti saya.

Saya perlu melaporkan kepada mereka dan malah mereka mengugut bahawa saya boleh ditangkap semula, saya mesti bekerjasama dengan mereka dan psikologinya ialah mereka mempunyai kuasa untuk menangkap saya semula. Jadi, wujud rasa takut yang saya akan ditangkap semula. Saya mengambil masa yang lama untuk mengembalikan kekuatan dan keberanian untuk membuat laporan polis dan saya membuat keputusan tersebut pada bulan Mac (1999).

Apa yang mempengaruhi saya adalah apabila kerajaan mengambil keputusan untuk menubuhkan Suruhanjaya Diraja (untuk menyiasat kes mata lebam Anwar) apabila kita membaca mengenai testimoni oleh Dr Vasantha Ponniah. Kemudian saya teringat, "Baiklah, itulah wanita yang merawat saya". Jadi, saya ingat adalah sedikit bantuan.

Saya ingat dengan penubuhan Suruhanjaya Diraja itu, akan wujud ruang untuk membuat aduan. Sejak dari itu, semasa saya disoalbalas di mahkamah, mereka bertanya kepada saya mengapa saya mengambil masa yang begitu lama.
Ini bukanlah satu kemalangan jalanraya. Ini adalah sesuatu di mana anda telah diseksa. Anda perlu untuk membina semula keberanian.

Adakah anda takut? Adakah anda pernah berasa seperti telah putus asa?

Saya cuba supaya tidak kelihatan takut walaupun (sebenarnya) saya amat takut sekali.

Saya rasa (anggota) cawangan khas berada di mana-mana sahaja. (Saya rasa) terancam tetapi untuk pulih semula, anda perlu berjumpa dengan orang, anda perlu bercakap dengan orang. Lama kelamaan, saya mula menceritakan kepada orang apa yang berlaku ketika dalam tahanan.

Mereka amat terkejut. Kemudian rakan-rakan telah meyakinkan saya untuk bercakap mengenainya dan pada bulan Februari saya menceritakan pengalaman tersebut dalam satu majlis anjuran Gerak (Gerakan Rakyat Malaysia untuk Keadilan) oleh (bekas Presiden PAS) Datuk Fadzil Noor di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor pada Februari 1999.

Saya memperolehi semula keberanian saya. Dan anda perlu faham bahawa anda boleh dituduh membuat laporan palsu. Saya terpaksa menyediakan laporan polis yang panjang dan begitu terperinci serta satu afidavit untuk memfail saman sivil.

Bagaimanapun perasaan keluarga anda mengenai semua itu?

Mereka sudah biasa yang apa saya lakukan. Mereka menyokong aktiviti-aktiviti saya. Malah, isteri dan anak-anak saya sudah tahu mengenai keazaman saya untuk melaporkan aktiviti-aktiviti demi hak rakyat, aktiviti politik dan aktiviti sosial.


Raya dan Perjuangan

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

SATU daripada peperangan besar yang berlaku di zaman Nabi s.a.w. ialah Perang Khandak. Oleh kerana dalam sejarah perang bangsa Arab inilah untuk pertama kali tentera muslimin menggali parit-parit besar (Khandak) di sekeliling kota Madinah, untuk menjadi kubu dan juga untuk tujuan pertahanan dan keselamatan penduduk Madinah.

Maka sempena peristiwa tersebut lalu peperangan itu disebut sebagai "Perang Khandak."

Fakta sejarah juga mencatatkan bahawa peperangan sebelum itu belum pernah terjadi pelbagai puak kaum musyrikin bergabung dalam satu pakatan dengan puak Yahudi membentuk barisan (Al-Ahzab), untuk memerangi Nabi s.a.w. dan kaum muslimin.

Sebab itulah peperangan Khandak juga dikenali sebagai "Perang Al-Ahzab."

Para ulama sejarah terdiri dari Ibnu Ishaq, Urwah bin Zubir, Qatadah, Al-Baihaqi dan majoriti ulama sirah menyatakan bahawa Peperangan al-Ahzab itu berlaku dalam bulan Syawal tahun kelima hijrah.

Bagaimanapun ada juga pandangan ulama yang mengatakan Perang Al-Ahzab itu berlaku pada tahun keempat hijrah. Tetapi hanya seorang sahaja yang berpendapat begitu iaitu Musa bin Uqbah.

"Al-Ahzab" menjadi sangat masyhur kerana, ia satu perkataan yang dituntut oleh agama supaya mengumandangkannya dengan berulang kali setiap datangnya hari raya Aidilfitri dan juga Aidiladha.

"Al-Ahzab sentiasa bergema dalam takbir hari raya: "Lailaha IllaLlahu Wahdah, Sodaqo wa'dah, wa Nasoro `abdah, wa a-`Azzajundahu wa Hazamal Ahzaba Wahdah." Yang bermaksud: Tiada Tuhan melainkan Allah yang Maha Esa, yang benar segala janji-janji-Nya, dan telah menolong hamba-Nya, dan yang telah memuliakan tentera-Nya, yang berjaya menumpaskan tentera al-Ahzab (Barisan bersatu musyrikin dan Yahudi) dengan keEsaan-Nya."

Al-Ahzab yang sentiasa bergema disegenap penjuru alam setiap hari raya, ia membawa maksud supaya umat Islam menjadikan setiap hari raya sebagai saat yang paling bermakna untuk mengenang kembali peristiwa tentera Islam pimpinan Nabi yang telah diberi kejayaan oleh Allah SWT menumpaskan tentera al-Ahzab pada bulan Syawal tahun kelima hijrah.

Punca mulanya peperangan Khandak ialah bahawa sebahagian tokoh-tokoh Yahudi dari perkampungan Bani Nadir telah keluar dari Madinah menuju ke Makkah. Mereka bekerja keras menemui pemimpin musyrikin Quraisy, mempengaruhinya supaya diadakan kerjasama untuk memerangi Nabi Muhammad dan kaum muslimin Madinah.


Yahudi Madinah memang terkenal sebagai ahli kitab. Orang-orang Arab turut menghormati ulama-ulama Yahudi sebagai pengikut Nabi Musa yang mempunyai kitab berasaskan wahyu Allah.

Sedangkan di kalangan masyarakat Arab tidak ada ahli ilmu berasaskan kitab Allah, jika ada tok lebai pun hanyalah dari kalangan mereka yang belajar dengan ulama Yahudi.

Oleh kerana Yahudi yang berada di sekitar Madinah melihat perkembangan Islam itu terlalu pesat, maka timbullah rasa bimbang di hati mereka.

Rasa dengki menguasai diri mereka apabila melihat perkembangan Islam yang semakin meluas pengaruhnya.

Justeru itu mereka sentiasa berfikir bagaimana hendak mencantas pengaruh Nabi Muhammad yang semakin merebak dari sehari ke sehari.

Dalam pertemuan dengan pemimpin musyrikin Quraisy Makkah, tokoh-tokoh Yahudi menyatakan bahawa mereka sedia bekerjasama dengan Quraisy Makkah untuk mencabut akar umbi pengaruh Muhammad dan agamanya.

Untuk mendapatkan kerjasama itu, tokoh-tokoh Yahudi itu sanggup mengampu puak musyrikin Quraisy dengan mengatakan bahawa agama dan kepercayaan kaum Quraisy lebih baik dari agama yang dibawa oleh Muhammad.

Tidak pelik apabila tokoh-tokoh ulama Yahudi sebagai ahli kitab, sanggup mengatakan bahawa Quraisy yang menyembah berhala itu lebih baik dari agama tauhid yang dibawa oleh Muhammad s.a.w.

Semua itu dilakukan kerana hendak memuaskan nafsu dan demi sikap perkauman Yahudi yang begitu tebal.

Dendam terhadap Muhammad yang dipilih oleh Allah sebagai Nabi dan Rasul akhir zaman, sedangkan mereka yang begitu lama menanti kemunculan Nabi akhir zaman, menyangka bahawa Nabi akhir zaman itu pasti dari kalangan Yahudi.

Mereka sanggup mengatakan agama menyembah berhala yang menjadi keyakinan musyrikin Quraisy itu, jauh lebih dari agama Muhammad, kerana Nabi yang mereka tunggu itu tidak datang dari bangsa Yahudi, sebaliknya Nabi Muhammad s.a.w. dari bangsa Arab.

Allah SWT yang sentiasa memerhatikan tindak tanduk Yahudi itu, lalu menurunkan wahyu-Nya kepada Nabi Muhammad s.a.w., bagi menjelaskan sikap puak Yahudi yang keji itu. Firman Allah yang bermaksud:

"Apakah kamu tidak memperhatikan orang yang diberikan bahagian dari al-Kitab?

Mereka percaya kepada yang disembah selain Allah dan taghut dan mengatakan kepada orang-orang kafir (musyrikin Makkah), bahawa mereka (yang menyembah berhala) itu lebih benar jalannya dari orang-orang beriman."

"Mereka itulah orang yang dilaknat Allah. Barang siapa dilaknat oleh Allah, nescaya kamu tidak akan mendapati penolong bagi mereka." (Surah An-Nisa ayat 51-52).

Dengan segala helah dan muslihat licik, akhir tokoh-tokoh Yahudi itu berjaya mempengaruhi puak musyrikin Quraisy, untuk melaksanakan cita-cita jahat mereka mengadakan pakatan seterusnya memeterai perjanjian untuk tujuan keji bagi memerangi Nabi s.a.w..

Setelah puak Yahudi selesai mengadakan perjanjian dengan kafir Quraisy Makkah, lalu mereka beredar dan meneruskan misinya menuju ke Ghatfan bagi menemui penduduk Arab Ghatfan.

Mereka menjalankan kempen sebagaimana mereka berkempen kepada Quraisy Makkah.

Peringkat pertama sememangnya Arab Ghatfan tidak setuju untuk memerangi Nabi Muhammad.

Tetapi dengan putar belit puak-puak Yahudi itu, akhirnya mereka berjaya menarik perhatian penduduk Ghatfan untuk turut serta dalam pakatan tersebut.

Selepas itu tokoh-tokoh Yahudi itu pergi menemui puak Arab Bani Fazarah dan bani Murrah. Sempurnalah usaha puak Yahudi itu untuk mengadakan pakatan bersama beberapa puak Arab musyrikin untuk memerangi Nabi s.a.w..

Mereka telah memutuskan masa dan tempat peperangan itu dilaksanakan. Medan perang yang mereka tentukan ialah Madinah, sesuai dengan tujuan mereka untuk menyerang Nabi dan kaum muslimin. Masa yang mereka tetapkan ialah pada bulan Syawal.
----------------------------------------------------------------------------
Nota: Aku copy dari SINI

18 October 2007

Mood Raya: Cerita Raya 1

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Hari Terakhir Puasa
Petang tu dah mula terima SMS raya. Paling best bila dalam kebanyakan SMS raya tu, ada juga yang mengingatkan betapa itu adalah hari perpisahan dengan bulan yang mulia. Sayu gak bila mengingatkan itu. Apatah lagi ketika itu dah mula timbul rasa seronok nak raya. Bukan seronok sebab dah tiada puasa dan terawih, tetapi bila mengambil peluang berkumpul bersama ahli keluarga.

Malam Raya
Malam tu dah tak ada sunat Terawih. Lepas Isyak, ikut sama takbir Raya di Masjid. Lepas tu terus turun tangga balik rumah. Akhir-akhir ini aku jarang sangat minum / makan hidangan di tangga masjid tu. Bukan sebab yang kacau air tu orang UMNO, tetapi kebetulan malam tu aku rasa nak balik awal ke rumah. Sambung makan sebenarnya! Adik aku masak Nasi Beriani. Ada lagi lebih waktu berbuka tadi. Kalu aku tak bersungguh makan, nanti dikatakan masakan dia tak sedap plak. So, ambik hati dengan makan banyak skit masakan dia. sengihnampakgigi

Malam tu juga berderet beratur nak iron baju. Adik-adik aku yang perempuan la yang sibuk. Yang lelaki hulur je 'minta tolong' gosokkan. Aku malas skit nak iron baju masa ramai-ramai serabut tu. Aku ke ruang tamu layan anak-anak sedara. Ilham tak habis-habis dengan handphone. Main games manjang. Bagusnya, jika dia ada masalah, ngajuk atau nangis, pujuk je dengan handphone. Beres!

Aku tidur awal malam tu. Makin banyak SMS masuk mengucapkan Selamat Hari Raya. Tahun ni aku tidak larat nak SMS kawan-kawan ucapan Selamat Hari Raya seperti tahun-tahun sudah. Aku hantar SMS kepada yang perlu sahaja. Yang aku rasa perlu. Tapi sebenarnya aku kira tak ada siapa pun kecik hati jika tak menerima SMS ucapan raya ni. Tak larat nak delete ada la. Apa pun, thanks kepada yang hantar SMS raya. Aku hargai 10 sen - 30 sen yang kalian hantar tu. Aku ingat je siapa hantar dan tak hantar. Cuma aku tak balas sebab aku tak nak menyusahkan kalian delete SMS. Baik tak aku?

Pagi Raya
Balik solat Subuh, terus masuk dapur. Cari makanan. Mak masak Nasi Dagang. Cepat-cepat je tolong hidang dan siapkan makanan. Sunat makan pagi sebelum pergi solat Sunat Eidulfitri. Jika Raya Eidul Adha, sunat makan selepas solat sunat Hari Raya. Kebetulan masjid di kampung aku akan solat sunat seawal jam 8.15 pagi. Jadi aku dan abang terpaksa 'push' adik-adik supaya bersegera. Pengalaman lalu menunjukkan selalu sahaja lewat sampai ke masjid jika hari raya.

Tahun ni pagi raya dengan ketiadaan Kak Long, Abang Chik dan Amir. Abang Chik akan balik raya ke- 2 kata mak. Maka gambar raya pada tahun ini tanpa mereka bertiga dan juga tanpa 'cameraman'. Aku bergilir dengan abang mengambil gambar.

Bosan la nulis bab raya ni... :(

Mood Raya

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Layan je laa..

11 October 2007

Selamat Hari Raya!

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Lagi 2 hari nak Raya, tapi saje nak ucap awal skit. Sebab esok lusa dah tak ramai online. Lagipun Hari Raya mana ada masa sangat nak buka internet. Jadi, aku mintak izin untuk buat ucapan ini lebih awal dari tarikh Hari Raya.

Ayat aku akan sama macam orang-orang lain yang juga buat ucapan Hari Raya. Ucapan yang kadang kala kalu masuk inbox email 'cemuih' nak baca. Kalu masuk dalam inbox sms henpon pun malas dah nak baca. Sebab apa, sama jer. Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin. Itu jer ayat yang sama dan membosankan.

Sungguh aku cakap ni. Cuba tengok sms yang akan diterima dan akan dihantar. Mesti pantun "ketupat rendang di atas para", tak pun pantun sms pengganti kad raya, atau pelbagai kemungkinan lagi yang sama dan sangat biasa. Tak ada feel langsung ucapan-ucapan raya ni jika menggunakan SMS atau E-card atau seumpamanya. Paling ditunggu pun SMS dari individu-individu tertentu yang memang ditunggu dan dinanti.

Jadi, seperti juga orang lain yang membosankan dengan ucapan yang membosankan itu, maka aku tambah kebosanan dan 'kecemuihan' kalian dengan aku mengucapkan "Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin" juga. sengihnampakgigisengihnampakgigi

Aku cuba juga mencari perkataan yang lain selain dari ucapan "Selamat hari Raya" ini, namun aku tidak mahu dilihat 'teruk' dengan mengucapkan Selamat Pengantin Baru atau Selamat Hari Lahir atau juga Selamat Hari Pekerja. Jadi, Selamat Hari Raya yang membosankan itu tetap juga aku sampaikan walaupun kalian sudah penat menerima ucapan selamat ini.

Apa boleh buat, dah memang nak raya, maka ucapan Selamat Hari Raya aja yang sesuai sempena raya ni.

Kesempatan yang ada ini, aku hulur tangan untuk disambut salam dan mohon dimaafkan. Jika salam kemaafan itu tidak disambut pun tidak mengapa asalkan kemaafan diberikan. Salam hanya sebagai satu 'tanda' penerimaan, namun apa yang terlintas di hati dan kemaafan dari hati yang tulus dan ikhlas itu yang penting.

Kesalahan aku banyak kan? Usik gurau, komen dan teguran yang kadangkala nakal dan sinis. Tak kurang juga yang dilihat agak keterlaluan pada sesetengah pihak yang 'terkena'. Apa boleh buat, aku cuba berkata benar walaupun pahit.

Kemaafan untuk kalian? InsyaAllah aku tidak pernah simpan dendam. Aku awal-awal lagi maafkan segala kesalahan dan kesilapan sepanjang mengenali, bersama, bergurau senda, usik mengusik, kutuk mengutuk dan sebagainya. Pada aku, sebarang komen kalian adalah betul dan benar mengikut apa yang kalian luahkan. Namun, sebagai yang berakal dan punya alasan, aku juga punya jawapan dan dalil tersendiri. Jadi, tiada apa yang perlu dirisaukan. 0 - 0 dah harapnya.

Jika ini merupakan posting terakhir dalam hidup aku, aku harap kalian dapat doakan aku di Sana. Hidup bukan setakat dunia ini kerana hidup di Sana lebih panjang dan kekal selamanya. Kita hanya merancang dan merencana, namun perancangan Allah mengatasi segalanya. Salam Eidul Fitri dari aku, Selamat Berjuang dan teruskan Perjuangan.

Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar!

10 October 2007

Suwandi: Siasat penembak saya!

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Berikut adalah petikan dari BuletinOnline.

------------------------------------------------------------------

KUALA TERENGGANU: Suwandi Ab Ghani, 38, mangsa yang parah akibat terkena tembakan peluru hidup dalam Tragedi Berdarah di Batu Burok pada 8 September lalu, berharap polis menyiasat orang yang menembaknya dan dikenakan tindakan undang-undang.

Suwandi yang bekerja sebagai peniaga berkata demikian dalam laporan yang dibuat di Balai Polis daerah, di sini, kira-kira jam 1.00 petang, Selasa (9 September). Bersama-sama beliau ialah peguam Fariz Irwan Mustafa, yang mengiringi beliau membuat laporan ke balai polis.

Berikut ialah laporan polis yang dibuat oleh Suwandi.

Bahawa saya pada 8 September 2007, lebih kurang jam 10 malam telah tiba di Batu Burok, Lorong Kenanga dan hendak parking kereta di situ berhampiran dengan Hotel Park Inn. Saya datang seorang diri dengan kereta Mazda plet nombor TAF 117. Saya bercadang untuk hadir mendengar ceramah politik yang dianjurkan oleh Bersih.

Selepas itu, kereta saya terperangkap kerana banyak kereta di situ dan saya parking di tepi jalan tersebut sahaja. Saya pun turun pergi meninjau dan berada di tepi warung (kedai makan) sebelah Hotel Park Inn sama ada ceramah telah berlangsung.

Lebih kurang jam 10.30 malam, saya melihat pihak polis melepaskan gas pemedih mata kepada orang yang hendak hadir ceramah.

Selepas itu, pihak Polis FRU menyembur air kimia kepada orang-orang warung termasuklah saya yang berada di situ. Oleh yang demikian, saya melarikan diri daripada pancutan air kimia tersebut dan berlindung di tepi bangunan sub-stesen TNB di sebelah Hotel Park Inn.

Tiba-tiba di kalangan orang ramai yang berada di situ, saya terdengar bunyi orang berteriak: polis, polis. Bila orang berteriak, ada seseorang yang berpakaian biasa melarikan diri ke arah Polis FRU yang berada di hadapan Hotel Park Inn.

Saya juga melihat orang ramai berkejar ke arah seseorang yang berpakaian biasa tersebut. Tiba-tiba orang tersebut, pusing ke belakang dan seingat saya melepaskan dua (2) das tembakan secara rambang ke arah orang ramai sebelum dia menuju ke arah Polis FRU.

Pada waktru tersebut (lebih kurang jam 11 malam), saya nampak percikan api daripada tembakan pistol orang tersebut. Lebih kurang beberapa saat selepas itu, saya terada pedih di bahu kanan dan saya melihat ada darah keluar daripada bahu kanan saya.

Saya meminta pertolongan daripada orang ramai dan dibawa ke hospital oleh orang ramai. Saya dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu. Saya dibawa ke Bahagian Kecemasan dan saya diberi bantuan pernafasan.

Saya dipindah selepas itu ke Wad CCU dan bahagian rusuk saya ditebuk oleh doktor untuk mengeluarkan pendarahan dalaman.

Lebih kurang jam 12 malam, saya terdengar perbualan doktor menyatakan peluru berada dalam badan saya dan tidak dapat dikeluarkan di hospital ini kerana ketiadaan pakar dan peralatan yang sesuai. Saya cuba menghubungi keluarga saya tetapi mereka tidak dibenarkan melawat saya.

Keesokan harinya, pada waktu pagi, saya dilawati oleh beberapa orang pegawai polis yang mengaku daripada Tabung Kebajikan Polis menyerahkan bantuan hamper kepada saya.

Saya kemudiannya dilawati oleh pimpinan PAS Terengganu, Tuan Haji Yahaya Ali dan Ustaz Hassan Salleh. Selepas itu, barulah isteri saya dan ayah saya dibenarkan melawat saya.

Saya juga dibawa ke Bilik CT Scan dan ketika keluar daripada Bilik CT Scan, saya mula digari oleh pihak polis. Pada waktu tengah hari, lebih kurang jam 3 petang, saya dibawa keluar oleh pihak hospital untuk dipindahkan ke Hospital USM Kubang Kerian, Kota Bharu.

Bermula pada 9 September 2007, saya dirawat di HUSM sehingga 19 September 2007 saya dibenarkan pulang ke rumah saya di Terengganu.

Saya tidak dapat membuat report ini sejurus selepas kejadian tembakan tersebut kerana saya dimasukkan ke hospital dan selepas dikeluarkan oleh hospital, saya masih belum pulih sepenuhnya. Saya masih lagi merasa sakit-sakit di bahagian dalam dada saya.

Saya membuat report ini supaya orang yang menembak saya itu disiasat dan dikenakan tindakan undang-undang.

Sekian laporan saya.

Konspirasi ?

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Cuba lihat papan tanda ucapan Selamat Hari Raya dari Dato Ayob. Tiada yang pelikkan? Semua jabatan pun mengucapkan Selamat Hari Raya. Cuma berbeza pada papan tanda itu adalah ditaja oleh Mydin. Papan ini diletakkan di simpang 4 Sekolah Agama Khairiah, Kuala Terengganu.

Mungkin kalian bertanya, apa yang pelik bila Mydin yang taja? Pelik la sebab dalam isu Dato Ayob yang dilihat bermasalah ini, tiba-tiba Mydin berani taja papan tanda. Apakah Mydin turut terlibat dalam konspirasi PBBB809? Mungkin juga Mydin yang membekalkan RIBEN MERAH kepada pihak PDRM Terengganu pada malam kejadian.

Mydin ni tidak pelik jika terlibat pun. Sebab sebelum ini pernah menawarkan peluang pekerjaan dan memastikan antara syarat permohonan adalah mengisi borang UMNO. Maaf, aku saje mengusik. Jika tiada usikan, hidup tidak ceria. Jika aku tidak berbuat salah, nanti susah pula aku nak lafazkan Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin. sengihnampakgigi

08 October 2007

Aku dapat kad raya!

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Yea!! Aku dapat kad raya! Lawa tak kad raya aku? Dapat dari peminat blog aku. Ops, bukan dari IP xxx.xxx tu. Ini dari peminat yang sentiasa menyokong dan memberi teguran. Aku masih tidak faham maksud kartun-kartun pada kad raya tersebut. Aku digambarkan memakai jubah dan berserban sambil memberi ceramah / teguran kepada dua orang pemuda. Pemuda itu dilihat sedang membuat kerja mengacau dodol manakala dua gadis dilihat bermain bunga api. Apa maknanya ni? Aku tidak sempat bertanya kepada si pengirim kad.

Sekejap aku fikir maksud kad ini. Apakah aku dikira 'baik' terhadap wanita dan hanya menyuruh lelaki membuat kerja-kerja? Wanita aku biarkan berehat dan bermain-main sahaja. Maknanya aku 'baik ada makna' dengan wanita? atau aku dilihat kasar dengan lelaki dan berlembut dengan wanita? Ah! susah juga memahami maksud kartun ini. Apapun aku cukup hargai kad ini.

Kad? Kad apa? Kad raya? Kad raya siapa? Alamak!! Aku lupa memberi kad raya kepada seseorang. Apakah dia merajuk hati? Alah, aku lelaki. Perempuan perlu faham lelaki tidak suka menghantar kad dan membuat benda yang dilihat remeh itu. Itulah sifat lelaki. Selalu memandang sesuatu sebagai remeh dan kecil. Sedangkan wanita begitu mengharapkan sebaliknya walaupun sesuatu yang kecil nilainya pada mata lelaki, tetapi cukup bermakna bagi mereka. Bandingkan dengan wanita yang sentiasa memandang berat dan penuh tanggungjawab. Sebab itu lelaki jarang sakit jiwa dengan karenah wanita. sengihnampakgigi

Agaknya sebab itu lelaki tidak kisah jika rumah tidak bersapu selama seminggu. Bersepah sana sini. Pinggan kotor bersusun di sinki. Baju berendam berhari-hari. Hehehe. Saje berceloteh hiburkan hati melihat pinggan di sinki. Nak masak berbuka nanti, aku basuhlah. Jika orang datang rumah pun bukan masuk sampai ke dapur jika bulan puasa ni. Senyum sedapkan hati. K lah, nak mandi dan siapkan diri. Hari ini kerja macam biasa. Cuti belum dipohon. Harap-harap dapat beraya sakan walaupun raya ke 3 sudah ada tugas yang menanti. Wallahua'lam.

Batu Buruk: Sebulan yang buruk

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Sebulan sudah berlalu. PBBB 809 masih disebut dan masih diperkatakan di sana sini. Buktinya, TV masih menyiarkan rakaman yang dikatakan diambil dari Batu Buruk. Iklan "Bukan Budaya Kita" sering disebut membuktikan satu 'keburukan' media dipergunakan parti pemerintah. Bukan hanya di TV, malah akhbar juga membenarkan iklan UMNO Terengganu dan kemudiannya berselindung sebalik nama Majlis Belia bagi menyiarkan iklan

Mungkin sebab namanya Batu Buruk, maka insiden ini dilihat lebih buruk. Tragedi keganasan polis terhadap ceramah bukan sahaja berlaku di Batu Buruk, tetapi sebelum ini turut berlaku di dua batu yang lain iaitu Batu Rakit dan Batu Enam. Di Batu Rakit, peristiwa itu mungkin sudah 'tenggelam' dan di Batu Enam mungkin panas sekitar enam hari sahaja.

Apapun Batu Buruk mencatat sejarah tersendiri yang cukup berbeza. Penggunaan peluru hidup, kerjasama terancang antara UMNO dan polis, provokasi yang melampau dan juga publisiti yang berlebih-lebihan terhadap insiden membuatkan isunya menjadi lebih segar dan meniti di bibir biarpun sebulan sudah. Isunya juga bukan hanya mendapat liputan di Terengganu, malah seluruh negara dan melampaui sehingga ke Myanmar. Jika tidak, bagaimana Tentera Myanmar boleh mengikut contoh meleraikan perhimpunan aman yang berkesan.

Sebulan berlalu memperlihatkan kedua-dua parti antara PAS dan UMNO semakin kukuh kedudukan dengan sokongan penyokong masing-masing. Ini mengikut persepsi dan pemahaman aku berdasarkan penerangan yang dilakukan oleh parti masing-masing. Mungkin dari segi penerangan UMNO lebih ke depan, namun dari segi isu simpati berpihak kepada PAS. Namun, paling malang adalah pihak PDRM Terengganu khususnya yang tercemar teruk dengan insiden tembakan peluru hidup.

Isu peluru hidup sudah sedia mencemarkan PDRM Terengganu di bawah Dato' Ayob. Penggunaannya dilihat bacul dan bersifat 'batu buruk'. Namun yang paling mencemarkan Dato' Ayob adalah sikap lengah dan tunggu tanpa mengambil tindakan kepada anggotanya yang telah melepaskan tembakan terbabit. Tanpa mengambil keterangan dari saksi-saksi yang lain menunjukkan Dato' Ayob cuba menyembunyikan atau diarah menyembunyikan sesuatu dalam kejadian itu. Dia dilihat begitu membela anggota terbabit yang dikatakan melepaskan tembakan bagi membela diri dari dibunuh oleh orang awam. Kelakar sekali bunyinya. Tapi, itulah yang tamadun yang terpahat sebagai sejarah di Terengganu Le ning.

Cukuplah sebulan masa diberikan kepada Dato' Ayob. Dia dilihat lebih sibuk mencari pembakar bendera dari menyelesaikan masalah yang lebih serius. Di sini dilihat satu lagi kegagalan Dato' Ayob dalam menerajui polis Terengganu. Wajarlah sekiranya Dato' Mustafa Ali awal-awal lagi mendesak ditubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat apa sebenarnya yang berlaku. Itu bukan sahaja dilihat bebas dan telus, malah mungkin boleh memperbaiki nama baik Dato' Ayob dan anggota polis sendiri.

Belum terlewat kiranya pemuda-pemuda Islam Terengganu bangkit bagi menyatakan rasa kekesalan kepada pihak polis Terengganu khususnya Dato' Ayob yang dilihat gagal menjaga keselamatan dan nyawa rakyat. Kegagalan menyiasat anggota yang melepaskan tembakan juga tidak boleh diabai dan dimaafkan. Apakah mereka kira nyawa pemuda-pemuda Islam lebih murah dari nyawa seekor babi? Atau mereka mahu menunjukkan polis adalah kebal dari sebarang undang-undang dengan perlindungan UMNO?

Suatu tindakan yang segera dan mampu memberi impak perlu disegerakan. Mungkin perlu diadakan satu perarakan bagi menyatakan kekesalan dan menyerahkan memo bantahan kepada Dato' Ayob selaku Ketua Polis Negeri. Mungkin boleh bermula dari tapak ceramah di Jalan Persiaran Hakim 1 itu sebagai satu simbolik. Atau boleh saja bermula dari Permai Inn tempat dimana peluru hidup itu dilepaskan.

Mungkin ada yang akan mengatakan PAS mengambil kesempatan sempena orang ramai pulang beraya. PAS sebuah parti politik, jika tidak pandai mengambil kesempatan, usahlah berpolitik. Lebih baik terus ceramah dan ceramah di dalam markas dan kemudiannya syok sendiri bahawa penerangan kita sudah sampai ke akar umbi dan kita sudah diterima masyarakat. Usahlah wujud sifat menyedapkan hati lagi. Dakwah perlu berjalan, siasah perlu ke depan. Wallahua'lam.

Nota: Artikel ini bukan mahu mengajar mana-mana pimpinan PAS. Namun adakalanya kita selesa bersandar menyebabkan kita terlelap seletika. Apatah lagi dalam bulan Ramadhan ini cepat benar datang rasa mengantuknya. Berehat seketika, terlelap hingga berbuka.

06 October 2007

Akhirnya Imran Makhzan bersuara

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Akhirnya baru tercatat dalam akhbar yang IMRAN MAKHZAN sudah pun ditemuramah oleh pihak polis bagi membantu siasatan kes Bakar Bendera pada 16 September lalu..

aku selaku orang yang (memulakan persoalan?? dan) mendesak IMRAN MAKHZAN disiasat berasa puas hati setelah mendapat berita ini dan membaca pengakuan IMRAN MAKHZAN berkenaan gambar yang telah diambilnya.

aku secara peribadi sebenarnya amat percaya kewujudan gambar tersebut adalah benar kerana turut mendapat beberapa salinan gambar tersebut. Cuma yang aku persoalkan adakah wujud kerjasama antara IMRAN MAKHZAN dan pembakar berhelmet itu. Dengan jawapan dari IMRAN MAKHZAN itu, aku kira persoalan aku terjawab.

apa kata Imran Makhzan: KLIK SINI

apapun, aku tetap bertegas dalam tulisan-tulisan aku yang lain bahawa ISU BAKAR BENDERA hanyalah satu IKLAN kepada cerita sebenar iaitu PELURU HIDUP yang cuba digelapkan.

KLIK SINI

aku sekali lagi menegaskan yang aku tidak berniat melakukan provokasi terhadap IMRAN MAKHZAN apabila mendedahkan maklumat yang aku perolehi dari thread ini kecuali MENGGESA pihak berkuasa yang dilihat lemah dan lembab dalam menjalankan tugas. Aku melakukan demikian bilamana menyedari blog aku mula dikunjungi IP yang datang dari PDRM.

KLIK SINI

dan

KLIK SINI

NOTA: Aku buat pengumuman ini kerana rasa tanggungjawab aku terhadap apa yang aku tulis dan dedahkan. InsyaAllah aku tidak akan seperti POLIS yang MENEMBAK dan menyembunyikan pistol di dalam baju mereka.

wallahua'lam

05 October 2007

UMNO terus guna isu PBBB 809

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Semalam aku terima satu risalah. Risalah semacam akhbar 4 muka itu dikeluarkan seolah-olah dikeluarkan oleh pihak PAS. Ini kerana menggunakan warna hijau dan tajuk yang hampir sama dengan risalah yang dikeluarkan oleh PAS PUSAT sebelum ini yang bertajuk Tragedi Batu Buruk. Antara kandungan risalah itu adalah "Rusuhan memang dirancang" dan kenyataan Ketua Polis Negeri Terengganu, Dato Ayub. Turut dimuatkan artikel berkenaan mengapa ceramah tidak dikeluarkan permit dan juga serangan peribadi terhadap Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato Mustafa Ali.

Aku tertarik dengan risalah berkenaan apabila penulis terbabit menggunakan ganti nama diri "aku" dalam penulisannya. "Aku" digunakan bagi menunjukkan seolah-olah "dia" berada di tempat kejadian. Aku secara peribadi suka cara penulisannya itu walaupun ada beberapa perkara yang dilihat tidak tepat dan agak kelakar. Pelik juga bilamana "aku" terbabit berada di tempat kejadian yang mana sepatutnya dihadiri oleh penyokong pembangkang dan budak UMNO sahaja. Mahu sahaja aku bertanya adakah penulis terbabit seorang budak UMNO atau UMNO budak yang diarah berada di situ bagi melakukan provokasi, atau mungkin menghulurkan Jalur Gemilang untuk dibakar.

Antara satu gambar yang menarik perhatian aku dalam catatan "aku" itu adalah gambar kediaman bonda Tuanku Sultan. Gambar itu diambil membelakangi tanda nama Jalan Persiaran Hakim 1 bagi menunjukkan jalan terbabit dekat dengan kediaman bonda Tuanku. Jika dilihat pada gambar, jarak antara tanda nama jalan terbabit dengan kediaman Bonda Tuanku kira-kira 200 - 250 meter. Agak dekat jarak itu jika ceramah dilakukan di situ.

Tapi, perlu diingat dan diketahu bahawa permit ceramah yang dipohon bukanlah menggunakan papan tanda jalan terbabit sebagai "premis" ceramah. Ceramah dicadang diadakan di rumah paling hujung jalan terbabit. Rumah 895-E merupakan premis yang dipohon dari pihak polis. Jarak antara simpang jalan ke rumah yang paling hujung itu aku amggarkan kira-kira 200-250 meter. Jadi, mengandaikan tempat ceramah dekat dengan kediaman Bonda Tuanku adalah kurang wajar.

Aku sebenarnya sehingga hari ini menanti jika ada sekeping dua surat bantahan dari penduduk berdekatan yang dikemukakan kepada pihak berwajib. Lebih nampak bersungguh jika penduduk terbabit melakukan serahan notis bantahan kepada pemilik premis terbabit kerana mengganggu keamanan mereka. Namun, sehingga hari ini aku tidak nampak semua itu kecuali kenyataan Pak Lah yang menyatakan ada bantahan dari penduduk berdekatan. Nampaknya Pak Lah terlalu prihatin dengan masalah penduduk di situ sehingga menjadi jurucakap kepada penduduk di Persiaran Hakim itu.

Aku tidak sempat menghadamkan risalah itu. Risalah itu sekejap sahaja berada pada tangan aku. Aku terima ketika di rumah. Seseorang yang tidak dikenali telah menghantar risalah tersebut ketika aku sedang mandi. Ketika keluar bilik mandi, aku dengar deruman motosikal berkenaan telah berlalu. Seorang kawan yang menerima risalah terbabit bagi pihak aku meminta izin aku untuk mengambil risalah tersebut. Katanya mahu diberikan kepada pimpinan parti. Aku sekadar membelek-belek seketika sebelum diserahkan kepadanya. Kebetulan hampir dengan waktu Asar, maka aku serahkan kepada dia apabila azan berkumandang.

Aku kira UMNO betul-betul cuba menggunakan PBBB 809 sebagai satu aset kepada mereka. Walaupun isu ini sudah dikumandangkan di TV, iklan di akhbar-akhbar, banner silih berganti dan majlis penerangan beberapa siri termasuk menggunakan mimbar masjid bagi menerangkan isu ini kepada masyarakat, namun penerimaan masyarakat adalah sangat negatif untuk menerima maklumat terbabit secara bulat. Apatah lagi bilamana UMNO terlalu menyerang menggunakan isu ini membuatkan masyarakat mahu mencari apakah sebenarnya yang berlaku di sebalik kejadian yang dilaporkan.

Aku tidak menolak bahawa segelintir penyokong UMNO semakin kukuh keyakinan mereka terhadap UMNO dengan tercetusnya insiden ini, namun sikap orang atas pagar dan individu yang berkecuali amat memihak kepada pembangkang khususnya kepada PAS sekarang. Ini hanyalah kerana keraguan mereka terhadap media yang pro-pemerintah dan juga hilangnya kepercayaan orang ramai kepada pihak keselamatan sekarang.

Secara peribadi, aku patut gembira kerana situasi ini menguntungkan PAS. Namun, hilang kepercayaan kepada pasukan keselamatan seperti pasukan budak UMNO, sepatutnya dilihat sebagai satu keruntuhan badan keselamatan terbabit yang amat teruk dan perlu dipulihkan segera. Aku masih menaruh keyakinan kepada pasukan budak UMNO itu untuk memulihkan keyakinan rakyat terhadap mereka. Namun, jika mereka terus rela diperbudakkan oleh UMNO, maka aku merasakan negara akan menghampiri zaman Temberang Yang Gemilang. Dan aku akan kekal menggelarkan mereka sebagai budak UMNO!

Aku tidak berhasrat menjadikan budak UMNO sebagai musuh. Mereka hanyalah kakitangan yang bertugas dan diberi gaji oleh kerajaan walaupun duit itu adalah dari rakyat. Namun, sikap segelintir budak UMNO yang lebih UMNO dari UMNO budak membuatkan aku agak geram dengan tindak tanduk mereka. Mungkin ini apa yang dikatakan seekor kerbau terpalit lumpur, habis semuanya. Nasib baik lumpur, kalu najis bagaimana?

Wallahua'lam.

Nota: Aku menerima komen yang menarik daripada Al-Abror Mohd Yusof iaitu penulis artikel "Peluru Bukan Jawapan". Namun aku tidak berhasrat mahu berkongsi komen itu di sini. Cukuplah kiranya aku nyatakan bahawa aku gembira dengan komen beliau itu dan aku amat memahami situasi wartawan di Malaysia hari ini. Jika tidak, takkan la kita melihat beberapa bekas wartawan kanan menulis sesuatu yang agak berbeza dari apa yang mereka lakukan semasa menjawat jawatan dahulu.

04 October 2007

Cerita Nakal..

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Saje aku kongsi artikel dari TKO buat sesiapa yang segan nak masuk ke sana. Pada aku artikel ni nakal walaupun kebarangkalian itu ada. sengihnampakgigi

------------------------------------------------------------------------
Suspek kes pembunuhan Nurin telah dijumpai..!!

Oleh Reformis Muda

Malaysia ni betul betul dah korup, polis buat kerja entah macam apa, main serkap jarang tahan orang, naya 4 orang yang ditahan, katanya penjual kain,gambar rumah , muka dan kereta dah keluar surat khabar dan Tv. tiba tiba polis kata 4 orang tersebut tiada kaitan langsung.4 orang tu mana nak letak muka dah la nak jual kainpun musim raya ni. lepas tu minah indon pulak diletak cerita telan kad sim, maka polis mungkin terpaksa sumbat julap ke mulut minah indon ni. kalau nasib baik keluar balik kad sim tersebut. mungkin bila dah keluar kad sim, polis akan cakap kad sim dah rosak akibat bersagat dengan lubang dubur minah indon tersebut, begitu mudah polis mahu menyelesaikan kes. sungguh memalukan.

lebih teruk lagi, media hari ini selain mendedahkan lakaran suspek, ia juga mendedahkan gambar sorang pemimpin abim sebagai salah seorang suspek, ape cerita? mana kawan tu nak letak muka? nanti dikatakan pemimpin muda Islam perogol kanak kanak. mungkin mamat tu malam ni tak pergi sembahyang terawikh akibat dari laporan wartawan yang tak beretika.

berbalik kepada lakaran gambar suspek, mungkin tuhan itu maha besar!! cuba anda lihat btul betul gambar supek.. dari telinga , bentuk rambut dan mulut mungkin ia menyerupai manusia ini. mungkin juga manusia ini bertanggung jawab dalam pembunuhan kes Nurin kerana khianat dan cuai dalam tanggungjawabnya, jadi siapa yang berani boleh report kat michael chong, mungkin boleh dapat RM 20,000. ha ha ha...

sila lihat gambar-.>



Lawan tetap lawan

Reformis muda
--------------------------------------------------------------------

Amdang: Aku nak gelak sekejap.. gelakgulinggelakgulinggelakguling

03 October 2007

Peluru Hidup Bukan Jawapan

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Memetik tajuk "Peluru bukan jawapan", akhbar METRO 1 Oktober menunjukkan betapa berlakunya double standard akhbar kita dalam melaporkan berita. Situasi yang hampir sama, layanan yang hampir sama, dan akhbar yang sama. Namun laporan agak berbeza. Isu PBBB 809 (Peristiwa Berdarah Batu Buruk 8 Sept 2007) dilayan seolah-olah hanya wujud sebelah pihak sahaja dalam peristiwa itu. Apatah lagi kebanyakan akhbar tidak begitu berani melaporkan penggunaan peluru hidup yang dilakukan oleh seorang anggota polis dalam insiden terbabit.

Apa yang lebih menarik pada artikel akhbar berkenaan adalah, betapa pihak keselamatan yang melepaskan peluru hidup disifatkan sebagai BACUL kerana bertindak ganas terhadap orang awam yang tidak bersenjata. BACUL juga kerana mengambil pendekatan BERKASAR dengan rakyat sedangkan masih wujud ruang untuk diplomasi dan perbincangan. Itu adalah gambaran yang diberikan METRO kepada suasana di Myanmar. Bagaimana di Batu Buruk, Terengganu?

Perlu dipersoalkan apakah langsung tidak boleh diadakan perbincangan atau diplomasi dengan pimpinan pakatan BERSIH bagi menyelamatkan suasana pada malam tersebut? Apakah pihak keselamatan tiada pengalaman bahawa sikap keras, maka natijahnya juga adalah kekerasan. Atau mungkin kerana pengalaman itu menjadikan mereka lebih bersedia sepertimana yang dirancang?

Bermakna, melalui pengalaman lalu, jika mahu berlaku huru-hara dalam ceramah pembangkang, maka perlu diganggu dan dihalang ceramah itu. Halangan bukan sekadar sekatan jalanraya, malah turut melibatkan anggota FRU dan provokasi dari SB akan memastikan suasana lebih panas dan lakonan akan lebih real. Mungkin lebih 'sedap' jika dikatakan, jika suasana tidak cukup panas dengan air asid dan bom asap, maka lepaskan tembakan peluru hidup bagi mempercepatkan kesan dari orang awam.

Apa yang berlaku di luar negara itu seolah-olah satu gambaran untuk menjawab apa sebenarnya yang berlaku di Terengganu pada 8 September lalu. Apakah kewajaran peluru hidup digunakan, dan apakah layanan pihak keselamatan berada pada tahap yang boleh dipercayai.

Kita hanya membaca gambaran negara kita dari pandangan akhbar tempatan sahaja. Apakah pandangan akhbar luar negara terhadap negara kita? Apakah polis kita dilihat mesra rakyat pada mereka?

Wallahua'lam

Nota: Artikel ni aku tulis sebab disuruh oleh WM Buletin Online untuk dipaparkan di sana. Itu pasal istilah budak UMNO tidak digunakan kepada pihak polis. hehehe.

Poster Filem Baru MDT

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Erkk. Apa nak cakap kalu ini filem baru DJ? Apapun aku lebih suka kalu babi itu disusun beratur elok je. Biar nampak babi-babi ini dengar kata dan sopan. Hahahah. Sopan ada ke istilah pada babi? Menyondol macam buldozer langgar Masjid Bujal ada la kot..



Apapun, rakyat dapat faham dari poster di atas adalah, Babi tidak ditembak, tetapi orang ditembak. Patutlah masa depan babi lebih terjamin.

Antara Budak UMNO dan UMNO Budak

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Cuba lihat betapa Khairy si UMNO budak dan penyokong UMNO budak itu begitu bersemangat membela tok sami- tok sami Myanmar apabila Kerajaan Junta Tentera Myanmar menyerang orang awam yang mengadakan tunjuk perasaan. Sibuk benar minta Myanmar kekalkan keamanan dengan meminta hentikan keganasan terhadap orang awam sedangkan apa yang berlaku dalam negara sendiri pun merekalah sebenarnya dalangnya.

Wan Farid sendiri hari ini dilaporkan tidak akan menyaman PAS kerana merasakan dengan cara itu dia akan dilihat betul. Betul ke begitu? Dia menuduh PAS tersepit dengan mengaitkan nama dia dalam kes insiden Batu Buruk. Benarkah dia tidak terlibat dalam Insiden Berdarah 809 itu? Aku kira, jika Wan Farid menyaman PAS, itu akan membuktikan yang dia berani dan yakin tidak bersalah. Itu sekiranya dia tidak bersalah.

Tetapi dalam kes ini dia dilihat sebaliknya. Maklum ajalah, bila dia saman PAS, maka sudah tentu pihak mahkamah mahukan bukti. Bila PAS kemukakan bukti, sudah tentu dia tahu yang dia tidak akan dapat melarikan diri lagi. Maka sudah tentu tindakan cerdik yang dikira Wan Farid adalah diam diri dan anggap tiada apa-apa.

Di Pakistan kita dapat lihat kes yang turut melibatkan polis digantung tugas kerana melakukan kesalahan dalam tugas. Menembak bukan kerja polis walaupun mereka diberi pistol. Tugas mereka menjaga keamanan. Itulah hikmah bilamana HAKIM benar dan jujur dan tiada kepentingan. Maka mudah sahaja mengarahkan ketua polis digantung tugas. Agaknya HAKIM kita ni lain skit kot. Maklum sahaja pelantikan pun dirancang melalui telefon aja.

Tapi tidak di Malaysia. Budak UMNO berpistol mudah sahaja melakukan apa sahaja. Kerana pasukan budak UMNO ini yakin di belakang mereka ada UMNO dan UMNO budak yang akan membela mereka. Sebab itu mereka boleh bekerjasama dalam mencari siapa yang membakar bendera, tetapi gagal untuk membawa ke muka pengadilan seorang budak UMNO yang menembak orang awam.

Aku pun dah lama tidak dengar cerita budak UMNO yang menembak itu. Amankah hidup dia? Sihatkah dia? atau akan diberi anugerah kerana menjalankan tugas dengan baik? Apakah dia dikira wira kerana mahu menyelamatkan 'wanita & kanak-kanak' dalam khayalannya? Aku tetap menanti budak UMNO itu diambil tindakan. Jika dia benar sekalipun, dia perlu dibuktikan benar. Tapi, ada ke orang BENAR bersembunyi? bukankah kita di ajar berani kerana BENAR, takut kerana SALAH?

Nota:
Budak UMNO = Mereka yang diperbudak UMNO
UMNO Budak = Pemuda UMNO

02 October 2007

Mustafa Ali cabar KP Negeri dan DJ bersumpah

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Sedikit sedutan yang sempat dirakam oleh seorang kawan yang mengikuti Kenyataan Media Dato Mustafa Ali tentang peristiwa Batu Buruk. Harap maaf sebab kualiti video kurang baik.

video

Aku nak tunggu apa jawapan Dato Ayub dan DJ.sengihnampakgigi

01 October 2007

Email Kisah keganasan budak UMNO

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Satu email aku ambik dari Buletin Online. Email ni dikatakan dari seseorang yang telah ditahan budak UMNO pada malam keganasan budak UMNO di Batu Buruk 8 Sept lalu. Mungkin di sini kita boleh dapat gambaran bagaimana budak UMNO melayan rakyat Malaysia yang mempunyai Kad Pengenalan bercip, dan bandingkan dengan layanan budak UMNO tersebut dengan sejenis binatang yang tiada kad pengenalan bercip dan hidung kemek.

----------------------------------------------------------------------------

Assalamualaikum... apa khabar semua nye, moga2 sihat belaka, makin mantop dengan gerak kerje di kampus, ermmm dah lama tak jenguk sesumpah, belambak rupernye email2 yang tak terbaca, tapi tak apalah, zaman ana dah beralih, dari zaman kampus ke zaman kerje plak.. ermmm hari ni kira dah 9 hari ana kuar dari lokap Kuala Terengganu, seharian jugak duk lepak dalam lokap, satu pengalaman yang cukup menarik.. nak citer nie tak tahu nak mula dari mane, banyak sangat pengalaman yang menarik, tapi tak apalah ana citer mane yang sempatlah, yang detail2 jumpa kat ump 29 hb nanti, Insyallah.

Jam 9.30 malam, 8hb sept 2007, sabtu malam ahad, mak ayah, kakak n abag ipar ana tengah bersiap untuk turun menunaikan umrah pada keesokkan nyer, lepas selesai solat isyak, terus bersiap dengan sweater nak turun ke batu buruk dengan ceramah mat sabu, dengan TX65XX ,elumcur laju untuk terus berkhidmat membantu meneruskan agenda Ummah, membangunkan Islam. Jam 9.50 malam, tiba disimpang batu buruk, kelihatan jalan2 ke tempat ceramah telah ditutup, berpuluh-puluh, polis biru dan merah merentasi jalan ke tempat ceramah, dlam keadaan samangat pergilah cari tempat yang sesuai untuk park TX. betul2 disimpan jalan berhampiran hotel permai iin.

jam 10.30, kereta peronda polis mula melalui kawansan penykong2 berhimpun, sambil memaklumkan ceramah dibatalkan kerana ketiadaan permit. rundingan terus dibuat, sebaik sahaja kebanyak penyokong mula bersurai, jam 10.45 malam bom pemedih mata mula ditembak, kebanyakan penyokong bingung, macam mane dalam keadaan nak bersuraipun bom pemedih mata terus ditembak.

11.00mlm, rusuhan ala2 peperangan baru bermula, baru dan kayu menjadi senjata, water canon, bom pemedih mata silih berganti menyerang orang ramai yang berhimpun, loceng dari truck FRU mula dibunyikan, lalu beraturlah berpuluh-puluh semut merah bersiap sedia membedal maner2 hamba allah yang dijumpainye. Beberapa orang penyokong yang bersembunyi di ESSO batu burok telah ditangkap.

11.30 mlm, hotel permai IIN diselubungi asap, memedihkan penghuninye, malam tu hampir 10 kali kene asap pemedih mata, muntah loya semua ada...ana mula berpecah dari kelompok besar orang yang berdemo, dangan beberapa orang, bersembunyi dibawah permai INN, nasib tak baik, basement permai INN diserbu FRU, ana sorang, FRU lebih dari sepuluh orang, tanpa belas kasihan, disepak, diterajang, ditolak dengan Sheild, dipukul dengan cota kayu, sehingga lah lembik ditepi dinding Basement permai INN, lebih dari 10minit dilanyak sepuas2nye, tanpa belas kasihan langsung, dan ana perasan, kebanyak mereka bukan anak tempatan terengganu, kemungkinan dari sabah Sarawak, ataupun negeri2 lain luar dari Terengganu.

Sweater dah hilang baju dah koyak, selipar entah kemana, langsung diseret keras ke truck FRU, lebih kurang 50 meter dari tempat dipukul, pantang selisih dengan FRU yang lain, cota melayang ke kepala, perut di terajang, Flying kick tepat ke dada, sebak sekejap, belum sempat lagi sampai ke truck, salam 10 meter, selisih dengan sorang lagi FRU, cota dia plak hinggap di belakang, sempat jugak mulut ni, mengucap salam kat FRU tu " SAKIT LAH BODOH", tanpa berlengah lagi, dengan cota yang sama, hingga di kepala plak, entah berapa puluh kali kepala diurut oleh cota malam tu, belakang diterajang, dada disepak, tak ada belas kesihan langsung, Babi diorang tak buat macam nie.

Lepak kejap dalam truck FRU dalam sejam, masa tu mula msg kat sahabat2, mintak doakan ana selamat, masa tu dalam keadaan sakit, tak ada perkataan lain dah yang keluar dari mulut, hanyar beristirfar sahajalah, dalam truck tu. ada 3 orang sekali dengan ana. sorang tu UMNO, salah lalu kawasan tu, kene tangkap jugak, biar dirasa lagi, selama nie orang pas je duk rasa. sepanjang ana mula2 kene pukul, sehingga lah dalam truck, mereka menghina agama Islam, menghina perjuangan kita, sehingga ada yang berkata " Ni perjuangan mung? perjuangan Islam bende macam ni, Islam babi macam nie" betapa celaka nye mereka, Astarfirullhalazim...

Selepas sejam duk lepak dalm truck FRU, dipindah plak ke black maria (truck polis), dalam hati nie bila mula2 kene pukul n tangkap tu, dah ada plan dalam kepala nie, time wat tamrin nanti, nak wat macam FRU jugak lah, baru releks sikit kalau kene betul2 ngan FRU. Dari truck FRU ke Black Maria, lebih kurang 100 meter, dalam keadaan berkaki ayam, jalan penuh dengan kaca, habis kaki hancur, mula lah jalan terhincut2, semasa nak dibawa ke black maria pun sempat lagi kene bantai, bolehlah rasa di tumbuk sebijik kat muka oleh sorang FRU gemuk, enth tak puas hati apa, ana pun tak tahu. bengang jugak lah kepala, sampai di Black maria, dah ada 6 orang dalam tu, sempatlah merasa black maria, perjuangan islam terus dihina, macam2 provokasi dibuat, islam babi, islam bodoh, semua nye melayu yang mngutuk Islam mereka sendiri. tangan dah dagari sejak dalam truck FRU lagi. dari black maria, dibawa ke balai polis KT, lepak dlam black maria tu dalam pukul 4 lebih baru dikeluarkan,melangok plak kat dalam balai... dalam keadaan kepala yang berdarah, badan lebam, sakit macam2 sakit lagi, sabar ajer lah.

setakat itu dulu kot, pengalaman dalam lokap[ yang menarik ana citer semula lah, nak taip banyak2 penat weiii... oklah nie ana attach beberapa keping gambar, seksi sikit, tapi tengok sebagai mencetus semangat... jangan takut plak yer....

wassalam

Tulisan ini disalin terus dari email tanpa diubah ayat dan ejaan asal penulisnya-WM Buletin Online
-----------------------------------------------------------------------

Nota: Gambar tiada dalam web Buletin Online. Sebab itu aku pun tak dapat gambar tu. Agaknya sebab seksi sangat kot. hehehe

LAILATUL QADAR

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Satu panduan berkenaan Lailatul Qadar. Aku dapat dari email. InsyaAllah bermanfaat dan menjadi panduan buat kita semua yang mencari Lailatul Qadar. Namun, seperti pesanan di bawah, janganlah kita memilih malam-malam tertentu sahaja kerana beribadah di Bulan Ramdhan itu sendiri telah digandakan pahala amalan.
------------------------------------------------------------------------------

LAILATUL QADAR

Pesan Nabi Muhammad S.A.W bahawa malam QADAR berlaku pada satu malam daripada 10 malam terakhir (hari ganjil) bulan Ramadhan. Petua Imam Ghazali dan lain-lain ulama untuk mencari malam LAILATUL QADAR. Jika awal Ramadhan jatuh pada hari:

v AHAD @ RABU
Malam Qadar dijangka berlaku pada malam 29 Ramadhan

v ISNIN
Malam Qadar dijangka berlaku pada malam 21 Ramadhan

v SELASA @ JUMAAT
Malam Qadar dijangka berlaku pada malam 29 Ramadhan

v KHAMIS
Malam Qadar dijangka berlaku pada malam 25 Ramadhan

v SABTU
Malam Qadar dijangka berlaku pada malam 23 Ramadhan

Kata Sheikh Abu Hassan bahawa mula dia baligh, dia sentiasa dapat menghidupkan LAILATUL QADAR pada malam yang tepat mengikut petua di atas.

Berdasarkan petua di atas, insyaALLAH malam qadar jatuh pada malam ke-25 Ramadhan bersamaan dengan malam selepas siang 6 Oktober 2007.

Walaubagaimanapun janganlah beribadat pada malam ini sahaja. Carilah Al-Qadar pada malam-malam lain di 10 terakhir ramadhan ini.

Tanda malam Al-QADAR ialah:
§ Malam itu tenang, tidak dingin dan tidak panas
§ Siangnya cahaya matahari warnanya pucat
§ Malaikat jibril akan menyalami orang yang beribadat pada malam itu dan tandanya ialah kita tiba-tiba rasa sangat sayu dan kemudian menangis teresak-esak secara tiba-tiba

MARILAH KITA MEMERIAHKAN SUASANA 10 MALAM TERAKHIR RAMADHAN DENGAN MENINGKATKAN AMAL DAN IBADAT KEPADA ALLAH DENGAN IKHLAS DAN PENUH KEIMANAN. MUDAH-MUDAHAN KITA DIKURNIAKAN KELEBIHAN PAHALA MELEBIHI 1000 BULAN ATAU 83 TAHUN UMUR KITA…AMIIN
------------------------------------------------------------------
Seorang kawan pernah bertanya, adakah pada Malam Qadar ini dosa kita juga akan digandakan sehingga 1000 bulan?? Aku lupa untuk bertanya ustaz. Tapi cukuplah sekadar aku nasihatkan kita semua supaya sama-sama tingkatkan amal dan perbaiki diri. Wallahua'lam..

 

Great Morning ©  Copyright by a m d a n g 8 1 | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks